Monday 11 November 2013

Tuk Kenali (Ulama Kelantan Yang Mencintai Ilmu Allah)...^^..

Tuk Kenali (Ulama Kelantan Yang Mencintai Ilmu Allah)...^^..

Tuk Kenali merupakan seorang ulama dan orang soleh yang sangat
terkenal suatu masa dahulu. Tuk Kenali berasal dari Kelantan. Nama
sebenarnya ialah Muhammad Yusuf bin Ahmad. Beliau memiliki ilmu
yang luas serta anak murid yang ramai. Tuk Kenali juga dianugerahkan
oleh Allah dengan beberapa kelebihan yang tidak dimiliki oleh orang
lain.

Sejak kecil lagi, Tuk Kenali memiliki semangat mahu belajar serta
cintakan ilmu yang sangat tinggi. Setiap kali hendak pergi mengaji
Al Quran di rumah guru Al Qurannya, Tuk Kenali meletakkan sebotol
air di tepi rumahnya. Apabila pulang, Tuk Kenali akan mencelup
jarinya ke dalam air itu dan menulis di atas lantai. Begitulah cara
yang luar biasa Tuk Kenali menguasai ilmu Al Quran.

Tuk Kenali sanggup berjalan kaki hampir 13 kilometer setiap hari
untuk pergi menuntut ilmu. Selepas tamat belajar di tanah air, Tuk
Kenali belayar ke Makkah untuk menyambung pengajian di sana. Pada
peringkat awal, beliau terpaksa menumpang kitab kawan-kawannya.
Namun berkat berguru dengan ramai ulama hebat, Tuk Kenali muncul
sebagai penuntut yang menguasai pelbagai jurusan ilmu.

Selepas 17 tahun menimba ilmu di Makkah, beliau menyambung pelajaran
ke Mesir pula. Apabila kembali ke tanah air, Tuk Kenali mula gigih
menyebarkan ilmu dengan membuka dua buah pusat pengajian pondok
di kampung kelahirannya, Kenali yang terletak dalam jajahan Kota
Bharu, Kelantan.

Tuk Kenali mendidik dan mengasuh murid-muridnya, sehingga lahirlah
ramai tuan guru yang bertindak membuka pondok-pondok pengajian
di tempat masing-masing. Satu lagi kehebatan Tuk Kenali ialah
beliau mengajar tanpa menggunakan kitab. Beliau hanya mendengar
murid-muridnya membaca dan beliau akan membetulkan jika terdapat
kesilapan bacaan. Kemudian, Tuk Kenali akan menghuraikan pelajaran
tersebut dengan panjang lebar.

Selain aktif mengajar dan mendidik masyarakat di pondok pengajian
dan di masjid, Tuk Kenali juga aktif menulis. Beliau menjadi
Ketua Pengarang Kehormat bagi sebuah majalah Islam yang diterbitkan
pada tahun 1918 yang dinamakan Pengasuh. Beliau juga merupakan
penasihat dan penulis bagi sebuah lagi majalah Islam yang berjudul
Al Hidayah.

Di samping giat dalam pendidikan, Tuk Kenali terlibat dalam aktiviti
kemasyarakatan dan pemerintahan. Beliau dilantik menjadi Ahli Majlis
Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Beliau terkenal dengan sifat
kepemurahannya. Jika ada barang-barang kepunyaannya tercicir, lalu
dipulangkan semula kepadanya, maka Tuk Kenali tidak akan menerimanya.

Tuk Kenali pernah mengingatkan orang ramai supaya bersiap-sedia
kerana negeri Kelantan akan dilanda banjir yang sangat besar. Setahun
kemudian, apa yang diperingatkan oleh Tuk Kenali pun berlaku. Sampai
ke hari ini, itulah satu-satunya kejadian banjir yang paling besar
dalam sejarah negeri Kelantan, berlaku pada 26 Disember 1926.

Ia dinamakan "Bah Merah" kerana air banjir itu berwarna kemerahan.
Air sungai Kelantan melimpah sehingga menenggelamkan bandar Kota
Bharu. Selepas 12 hari, barulah air kembali surut.

Suatu ketika yang lain, Tuk Kenali meramalkan bahawa Jepun akan
menyerang Tanah Melayu atau Malaysia. Lapan tahun selepas kematiannya,
apa yang dikatakan oleh Tuk Kenali benar-benar terjadi. Tentera
Jepun mendarat di Tanah Melayu.

Malah banyak lagi kelebihan dan keistimewaan yang Allah berikan
kepada orang soleh daripada Tanah Melayu ini. Semuanya berkat
ketakwaannya kepada Allah SWT.

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Nov 2013...^^..

No comments:

Post a Comment