Friday 15 November 2013

Riwayat Hidup Imam Syafie...^^..

Riwayat Hidup Imam Syafie...^^..

Imam al-Syafie adalah imam yang ketiga mengikut susunan tarikh
kelahiran. Imam al-Syafie hidup semasa pemerintahan Abbasiyah.
Imam al-Syafie dilahirkan di Bandar Ghazzah, Palestin pada tahun
150 H dan tarikh inilah yang termasyhur di kalangan ahli sejarah.

Keturunannya bertemu dengan keturunan Rasulullah SAW, iaitu datuknya,
Abdul Manaf. Imam al-Syafie dapat menghafaz al-Quran dengan mudah,
iaitu semasa beliau kecil lagi, termasuk juga menghafaz hadis-hadis
dan menulisnya. Imam al-Syafie menuntut ilmu di Mekah sehingga beliau
menjadi seorang yang bijak.

Namun, beliau tetap menyambung mempelajari ilmu-ilmu, kemudian
berpindah ke Madinah. Beliau mengambil surat akuan dari Gabenor Mekah
untuk menemui Imam Malik. Setelah Imam al-Syafie belajar dengan Imam
Malik, Imam Malik meminta beliau supaya belajar dengan lebih
bersungguh lagi.

Imam al-Syafie terus mempelajari ilmu hadis dan feqah dari Imam Malik
sehinggalah Imam Malik meninggal dunia, iaitu pada tahun 170 H. Imam
al-Syafie adalah seorang yang alim dalam bidang ilmu feqah. Imam
al-Syafie berkahwin dengan Hamidah binti Nafi' bin Anbasah bin Amr bin
Uthman bin Affan.

Imam al-Syafie banyak menghidap penyakit semasa hidupnya. Imam
al-Syafie Rahimahullah meninggal dunia di Mesir pada malam Khamis
selepas Maghrib, iaitu pada malam akhir bagi bulan Rejab tahun 204 H.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi muridnya yang setia, iaitu
Imam al-Rabi' bin Sulaiman al-Jizi Rahimahullah ketika berusia 54 tahun.

Diceritakan bahawa sekumpulan manusia duduk di majlis ilmu Imam
al-Syafie selepas beliau meninggal dunia. Tiba-tiba, datanglah seorang
Arab mengucapkan salam dan bertanya di manakah Imam al-Syafie?
Di manakah bulan dan matahari bagi majlis ini? Kemudian mereka menjawab:
" Beliau telah meninggal dunia!"

Lalu orang itu pun menangis dengan kuat dan berkata: " Semoga Allah
mengasihaninya dan mengampunkan dosa-dosanya. Beliau adalah pembuka
kepada pintu-pintu hujah yang tertutup, juga penutup lawannya dengan
hujah yang terang. Beliau juga menyucikan air muka yang hitam.
Seterusnya, beliau membuka pintu fikiran-fikiran yang tertutup rapat.
Semoga Allah meredainya!"

Imam al-Syafie mendapat sanjungan dan pujian daripada rakan taulan,
murid dan tokoh pada zamannya. Ramai ulama dan tokoh cendekiawan
Islam memuji kelebihan Imam al-Syafie. Antaranya:

1@ Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah berkata, " Selama hayatku, aku
tidak faham erti nasakh dan mansukh sehingga aku belajar dengan Imam
al-Syafie."

2@ Muslim bin Khalid al-Zinji Rahimahullah berkata kepada Imam
al-Syafie, " Berfatwalah kamu, sesungguhnya kamu telah berkah memberi
fatwa."

3@ Sayidah Nafisah Rahimahallah, seorang wanita solehah dan juga alim
pada zaman Imam Syafie berkata, " Semoga Allah melimpahi rahmat-Nya
kepada Imam al-Syafie kerana beliau seorang yang sentiasa
memperbaharui wuduknya."

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Nov 2013...^^..

No comments:

Post a Comment