Friday 15 November 2013

Imam al-Nawawi...^^..

Imam al-Nawawi...^^..

Nama lengkap beliau ialah Abu Zakaria Yahya bin Syaraf bin Murni bin
Hasan bin Husain bin Muhammad bin Jum'ah bin Hizaam al-Dimasyqi.
Beliau dilahirkan di Nawa, iaitu sebuah kampung di Hauran, lebih
kurang 50 km dari selatan Damsyiq pada tahun 630H. Sejak kecil lagi,
beliau rajin menuntut ilmu, menghafal al-Quran dan lain-lain.

Kemudian, beliau berhijrah ke Damsyiq pada tahun 649H ketika berumur
19 tahun untuk mendalami ilmu-ilmu agama kerana Damsyiq pada ketika
itu adalah bandar ilmu dan bandar ulama. Beliau membaca dan
mempelajari sebanyak 12 mata pelajaran daripada tuan-tuan gurunya
sehari semalam. Bahkan, dikatakan bahawa beliau pernah 2 tahun tidak
tidur berbaring, iaitu tidak tidur nyenyak kerana menuntut ilmu.

Akhirnya, beliau dibenarkan mengajar di Darul Hadis al-Asyrafiyyah
selepas kewafatan Imam Abu Syamah pada tahun 665H. Pernah suatu hari
berlaku ketegangan di antara beliau dengan Sultan yang memerintah.
Ketegangan ini berpunca kerana Imam Nawawi enggan memberi fatwa
bersama-sama ulama lain yang mengharuskan Sultan mengambil wang
rakyat untuk menghadapi serangan Tatar.

Keengganan ini disebabkan beliau mengetahui dengan yakin keadaan
Sultan memiliki harta yang banyak, di samping ratusan hamba perempuan
yang semuanya berhiaskan barangan kemas yang mahal-mahal. Imam Nawawi
berkata: " Seandainya tuanku menjual semua hamba itu dan membelanjakan
semua barang kemas yang ada pada mereka untuk keperluan perang, dan
ternyata masih belum mencukupi, nescaya hamba bersedia mengeluarkan
fatwa bagi membenarkan tuanku mengambil harta rakyat."

Mendengar hal ini, Sultan murka, lalu mengusir beliau daripada Damsyiq.
Dengan berlapang dada, Imam Nawawi menerima hakikat ini. Setelah lebih
kurang sebulan al-Imam berada di kampung, baginda Sultan meninggal
dunia selepas baginda sultan sempat memohon maaf kepada beliau.

Kemudian, Imam Nawawi kembali semula ke Damsyiq untuk mengajar apabila
dirayu oleh para ulama, kemudian Imam Nawawi balik kampung sekembali
daripada haji dan wafat di sisi kedua orang tua dan keluarganya pada
malam Rabu 24 Rejab 676H, pada usia yang masih muda, iaitu 45 tahun.

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Nov 2013...^^..

No comments:

Post a Comment