Friday 12 February 2021

Perjalanan Hidup Para Rasul. 001. Nabi Adam...^^..

 Perjalanan Hidup Para Rasul. 001. Nabi Adam...^^..

[[[ @ Sebutir Kata Dari Pengarang/Editor Ringkasan Kisah Para Nabi Dan Rasul
Pilihan Tuhan Allah S.W.T. (Little Huddin)

Segala puji bagi Tuhan Allah s.w.t., Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam,
semoga dilimpahkan rahmat ke atas Nabi junjungan, Muhammad s.a.w. beserta
keluarga, para sahabat dan sekalian umatnya yang mahu beriman.

Sebagai umat Islam, kita sedia maklum bahawa sejarah riwayat para Nabi dan
Rasul itu amat besar pengaruhnya terhadap para pembaca, besar sekali
pengaruhnya kepada jiwa anak-anak, mahupun pada jiwa usia remaja,
lebih-lebih lagi, bahkan berpengaruh pula bagi jiwa yang mahu mengambil
contoh teladan dalam menjalani kehidupan mereka, agar diterima dan diredhai
oleh Tuhan Allah s.w.t.

Manfaatkanlah hidup kita dari kisah-kisah hikmat yang terdapat pada riwayat
Nabi-nabi sebelum kita. Kerana mereka adalah manusia pilihan Tuhan Allah
s.w.t. dan perjalanan hidup mereka sentiasa dihiasi dengan sifat-sifat
terpuji, dan patut dijadikan teladan buat semua manusia yang mahukan
ketenangan dalam hidup.]]]


* Hikmah Penciptaan Makhluk Baru Yang Dikenali Umat Nabi Adam.*

Setelah Tuhan Allah s.w.t. menciptakan bumi dengan gunung-gunungnya,
laut-lautannya dan tumbuh-tumbuhannya, menciptakan langit dengan mataharinya,
bulan dan bintang-bintangnya yang bergemerlapan. Juga menciptakan
Malaikat-malaikatNya iaitu sejenis makhluk halus yang diciptakan untuk
beribadah kepada Zat Yang Maha Kuasa. Maka tibalah kehendak TUhan Allah
s.w.t. untuk menciptakan sejenis makhluk lain yang akan menghuni dan mengisi
bumi, memeliharanya, menikmati tumbuh-tumbuhannya, menguruskan kekayaan yang
terpendam di dalamnya dan berkembang biak, turun-temurun bagi waris-mewarisi
bagi tempoh masa yang telah ditakdirkan baginya.


* Makhluk Sebelum Nabi Adam a.s. Dan Kekhuatiran Para Malaikat*

Para Malaikat ketika diberitahukan oleh Tuhan Allah s.w.t. akan kehendakNya
untuk menciptakan makhluk lain itu, mereka khuatir kalau-kalau kehendak
Allah s.w.t itu akan menyebabkan kerosakan pada bumi, pelanggaran pada hukum
alam dan makhluk baru itu tidak bersyukur dengan melakukan ibadah kepada
Tuhan mereka kerana sibuk menjalankan tugas, cuai dan lalai tanpa mereka
sedari.

Berkatalah para Malaikat kepada Tuhan Allah s.w.t., " Wahai Tuhan kami !
Mengapa Engkau menciptakan makhluk lain selain kami, padahal kami selalu
bertasbih, bertahmid, melakukan ibadah dan mengagungkan namaMu tanpa
henti-henti, sedangkan makhluk yang Engkau akan ciptakan dan turunkan
ke bumi itu, nescaya akan bertengkar satu dengan yang lain, akan saling
bunuh-membunuh untuk menguasai kekayaan alam yang terlihat diatasnya dan
terpendam di dalamnya, sehingga akan terjadilah kerosakan dan kehancuran
di atas bumi yang Engkau ciptakan itu."

Tuhan Allah s.w.t. berfirman bagi menghilangkan kekhuatiran para Malaikat
itu dengan ayat-ayatNya, " Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui dan
Aku sendiri menyedari hikmat penguasaan Bani Adam ke atas bumiKu. Bila Aku
telah menciptakannya dan meniupkan roh kepadanya, bersujudlah kamu
di hadapan makhluk baru itu sebagai penghormatan kepadanya dan bukan sebagai
sujud ibadah, kerana Aku melarang hamba-hambaKu beribadah sesama makhlukKu."

Tuhan Allah s.w.t. juga berfirman, " Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan
manusia dari tanah yang kering, dari tanah yang hitam yang busuk baunya."
(Surah Al Hijr, Ayat 26)

Kemudian diciptakanlah Nabi Adam oleh Tuhan Allah s.w.t. dari segumpal tanah
liat, kering dan lumpur hitam yang berbentuk. Setelah disempurnakan
bentuknya, ditiupkanlah roh ciptaan Tuhan ke dalamnya dan berdirilah tegak
menjadi manusia yang sempurna.


* Hikmah Pengetahuan Tuhan Allah s.w.t Dan Ilmu Nabi Adam Tentang Nama-Nama
Benda Yang Terdapat Di Dunia.*

Sebagaimana firman Tuhan Allah s.w.t. yang bermaksud, " Tidaklah Aku berikan
ilmu kepada kamu (malaikat, jin dan manusia) kecuali sangat sedikit sekali."

Tuhan Allah s.w.t hendak menghilangkan anggapan rendah para Malaikat terhadap
Nabi Adam dan menyakinkan mereka akan kebenaran hikmatNya. Kepada Nabi Adam,
Tuhan Allah s.w.t. memberikan beberapa ilham, pengajaran dan petunjuk tentang
nama-nama benda yang berada di alam semesta, sehingga dia menjadi seorang
yang pandai. Seorang yang akan dilantik menjadi khalifah atau pemimpin,
seharusnya mempunyai ilmu yang banyak.

Setelah Nabi Adam mengenali segala ilmu dan ilham dari Tuhan Allah s.w.t.,
maka Dia mengumpulkan para Malaikat dan memperagakan benda-benda yang
terdapat di muka bumi, serta berfirman kepada para Malaikat, " Beritahu
kepadaKu nama benda-benda itu serta keterangan-keterangan, jika memang kamu
makhluk yang benar."

Para malaikat tidak berdaya memenuhi cabaran Tuhan Allah s.w.t untuk
menyebut nama-nama benda yang berada di depan mereka. Mereka mengakui
kelemahan mereka dengan berkata, " Maha Suci Engkau ! Sesungguhnya Kami
tidak memiliki pengetahuan tentang sesuatu, kecuali apa yang Engkau telah
ajarkan kepada Kami, kerana sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui dan
Maha Bijaksana."

Nabi Adam lalu diperintahkan oleh Tuhan Allah s.w.t untuk memberitahu
nama-nama benda itu kepada para Malaikat dan setelah Nabi Adam menerangkan
nama-nama dan fungsi benda-benda tersebut. Tuhan Allah s.w.t. berfirman
kepada para Malaikat, " Bukankah Aku telah katakan padamu bahawa Aku
mengetahui rahsia langit dan bumi, serta mengetahui apa yang kamu lahirkan
dan apa yang kamu sembunyikan."


* Iblis Enggan Bersujud Hormat Kepada Nabi Adam a.s., Saat Tuhan Allah
s.w.t. Memerintahkan Hal Demikian.*

Iblis membangkang dan enggan mematuhi perintah Tuhan Allah s.w.t. seperti
yang dilakukan para Malaikat yang lain, yang segera patuh dan bersujud
di hadapan Nabi Adam sebagai penghormatan bagi semua makhluk Tuhan Allah
s.w.t kerana terpilih dan diberi amanat untuk menguasai bumi dengan segala
apa yang hidup dan tumbuh di atasnya serta yang terpendam di dalamnya.

Iblis merasa dirinya lebih mulia, lebih utama dan lebih agung dari Nabi
Adam, kerana ia diciptakan dari unsur api, sedangkan Nabi Adam pula dari
tanah dan lumpur. Kebanggaannya dengan asal-usulnya menjadikan Ia sombong
dan merasa rendah untuk bersujud menghormati Nabi Adam sebagaimana yang
dilakukan para Malaikat yang lain, walaupun diperintahkan oleh Tuhan Allah
s.w.t.

Tuhan Allah s.w.t. telah berfirman, " Kami telah menciptakan Jin sebelum
manusia, daripada api yang sangat panas." (surah Al Hijr, Ayat 27)

Tuhan Allah s.w.t bertanya kepada Iblis, " Apakah yang mencegahmu sujud
menghormati sesuatu yang telah Aku ciptakan dengan tanganKu ? Adakah engkau
menganggap dirimu besar dan agung ?"

Iblis menjawab, " Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul dari dia. Engkau
ciptakan aku dari api dan menciptakan dia dari lumpur."

Sebagaimana firman Tuhan Allah s.w.t. yang bermaksud, " Ingatlah ketika
Allah berfirman kepada para Malaikat, " Sujudlah kamu kepada Nabi Adam."
Maka Sujudlah mereka semua, kecuali Iblis, Ia enggan dan sombong, maka Ia
adalah golongan yang kafir." (Surah Al Baqarah, Ayat 34)

Tuhan Allah s.w.t. juga berfirman, " Allah s.w.t. bertanya, " Wahai Iblis !
Mengapa engkau tidak turut bersama mereka yang bersujud. Ia menjawab, " Aku
tidak mahu sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah kering,
dari tanah hitam yang busuk baunya." Allah s.w.t. berfirman, " Keluarlah
engkau daripada singgahsana syurga, kerana sesungguhnya engkau terkutuk. Dan
sesungguhnya, atasmu laknat sehingga hari pembalasan."
(Surah Al Hijr, Ayat 32-35)

Kerana kesombongan, keegoan dan keengganannya melakukan sujud yang
diperintahkan, maka Tuhan Allah s.w.t. menghukum Iblis dengan mengusirnya
dari syurga dan mengeluarkannya daripada barisan para Malaikat dengan
disertai kutukan dan laknat yang akan terus bersamanya sehingga hari kiamat.
Di samping itu, ia dinyatakan sebagai penghuni di dalam neraka.

Iblis dengan sombongnya menerima dengan baik hukuman Tuhan Allah s.w.t itu
dan Ia memohon agar diberi kesempatan kepadanya untuk hidup kekal sehingga
hari kebangkitan kembali saat hari kiamat. Tuhan Allah s.w.t. meluluskan
permohonannya dan ditangguhkanlah Ia sehingga hari kebangkitan. Iblis
apabila sudah menerima jaminan Tuhan Allah s.w.t bahawa Ia akan diberi
peluang hidup sehingga hari kebangkitan, tidak pula berterima kasih dan
bersyukur atas pemberian jaminan itu, bahkan sebaliknya Ia mengancam akan
menyesatkan Nabi Adam, sebagai sebab terusirnya dia dari syurga dan
dikeluarkannya dari barisan para Malaikat, dan bersumpah akan mendatangi
anak-anak keturunan Adam dari segala sudut untuk memujuk mereka agar
meninggalkan jalan yang lurus dan bersama-sama menempuh jalan yang sesat,
mengajak mereka melakukan maksiat dan hal-hal yang terlarang, menggoda
mereka supaya melalaikan perintah-perintah agama dan mempengaruhi mereka
agar tidak bersyukur dan meninggalkan amal soleh.

Kemudian Tuhan Allah s.w.t. berfirman kepada Iblis terkutuk itu, " Pergilah
engkau bersama pengikut-pengikutmu yang semuanya akan menjadi isi Jahannam
dan bahan bakar neraka. Engkau tidak akan berdaya menyesatkan hamba-hambaKu
yang telah beriman kepadaKu dengan sepenuh hatinya dan memiliki aqidah yang
mantap, yang tidak akan tergoyah oleh rayuanmu, walaupun engkau menggunakan
segala kepandaianmu menghasut dan memfitnah." 

bersambung...