Friday 11 July 2014

Jalan Mendapat Taqwa Melalui Jalan Wasilah Dan Jihad...^^..

Jalan Mendapat Taqwa Melalui Jalan Wasilah Dan Jihad...^^..

Apabila kita hendak memperkatakan tentang wasilah bererti ianya
bukanlah syarat. Ia juga bukan rukun. Ia lebih kepada kaedah atau
method. Pada bahasa, wasilah bermaksud perantaraan. Tetapi pada
syarak, maksudnya berbeza dan perkara ini akan diterangkan
seterusnya.  Mari kita baca satu ayat yang menerangkan bagaimana
kita boleh dapat taqwa dari Tuhan. Macam mana hendak dapat taqwa.

Firman Allah SWT: Maksudnya: “ Wahai orang mukmin, hendaklah
kamu bertaqwa kepada Allah, hendaklah kamu mencari wasilah atau
jalan untuk sampai bertaqwa pada Tuhan dan hendaklah kamu
berjuang pada jalannya, moga-moga kamu mendapat kemenangan
(di dunia dan di Akhirat).” (Al Maidah: 35)

Taqwa itu penting. Kita telah huraikan sebelum ini bahawa ia
merupakan aset umat Islam dunia dan Akhirat. Untuk
mendapatkannya seperti dalam ayat di atas ada dua jalan:

1@ Wasilah iaitu perantaraan yang sampai kepada Tuhan termasuk
jalan-jalan supaya kita dipelihara Tuhan.

2@ Jihad (berjuang) pada jalan Allah.

*** Jalan Wasilah. ***

Apa maksud wasilah ? Wasilah di sini ada dua pengertian iaitu:

1@ Membuat kerja-kerja kebaikan, kebajikan dan amal-amal soleh
yang berbentuk hablumminallah dan hablumminannas. Kita akan sampai
dipelihara Tuhan nanti. Kita akan sampai kepada Tuhan. Ertinya Tuhan
terima, Tuhan redha lalu Tuhan akan jamin keselamatan kita dunia
dan Akhirat.

2@ Pengertian yang lebih utama dari pengertian di atas ialah kita
perlu cari guru atau mursyid untuk memimpin kita kepada Tuhan.
Wasilah di sini maksudnya guru atau mursyid yang memimpin dan
mendidik. Jadi, cari wasilah dengan maksud yang kedua ialah cari
guru yang memimpin kita kepada Tuhan supaya sifat taqwa itu dapat
kita miliki atau dengan kata-kata lain, kita dapat perlindungan dari
Tuhan. Kalau tidak ada guru atau mursyid yang membawa dan
memimpin kita maka kita tidak akan sampai kepada Tuhan. Walau
seseorang itu alim atau kuat beribadah macam mana pun tetapi kalau
tidak ada mursyid, insyaAllah dalam bab agama, syaitanlah yang akan
memimpinnya.

Sebab itu Sayidina Ali ada berkata, “ Barang siapa yang tidak ada
syeikh atau guru maka syaitanlah yang akan menjadi gurunya.”

Bila kita baca sejarah silam, ramai ahli abid yang sudah zuhud, yang
sudah menghabiskan masa dengan beribadah, yang sudah terputus
dengan hal-hal dunia hingga kagum kita dengar tetapi ramai disesatkan
syaitan. Dalam Quran diceritakan kisah Bal’am, Barsisa dan lain-lain
lagi yang disesatkan syaitan sebab mereka tidak ada guru, tidak ada
mursyid. Begitu hebat ibadah mereka sampai tinggalkan dunia tetapi
rupanya dalam bab agama, syaitan menjadi guru atau mursyid mereka.

Jadi, kita kena cari wasilah iaitu guru mursyid. Kalau di zaman rasul,
Rasulullah guru mursyid. Di zaman khalifah maka khalifahlah guru
mursyid. Bila ada mujadid maka mujadidlah guru mursyid. Waktu ada
mujadid maka ulama juga patut bergurukan mujadid. Kalau mereka
bersendiri dan tidak mahu mencari mujadid sebagai mursyid, mereka
akan tersesat, sekalipun mereka pakar tafsir, pakar feqah, pakar
tasawuf atau pakar usuluddin. Berdasarkan ayat tadi maka wajib
bagi kita mencari mursyid.

Maka fahamlah kita bahawa makna wasilah itu ada dua.

1@ Wasilah itu adalah amalan-amalan yang boleh mendekatkan kita
kepada Tuhan. Iaitu ibadah berbentuk hablumminallah dan
hablumminannas. Banyak ibadah yang kita buat yang boleh
mendatangkan kasih sayang dan belas kasihan Tuhan. Melalui
ibadah-ibadah tersebut, Tuhan bantu kita dan Tuhan campurtangan
dan permudahkan urusan kita. Tuhan jauhkan bala bencana dari kita.
Tuhan ampunkan dosa kita. Di samping ibadah asas, ibadah-ibadah ini
termasuklah bertaubat, menebus dosa, sembahyang malam,
bersedekah, berkasih sayang, bermaaf-maafan, sembahyang hajat
dan sebagainya.

2@ Wasilah itu juga adalah guru mursyid yang boleh memimpin kita
kepada Tuhan, yang boleh membawa kita kepada Tuhan, yang boleh
mendekatkan diri kita kepada Tuhan. Termasuklah di sini tarekat
dan amalan tarekat kerana ia adalah platform untuk mursyid
memimpin dan mendidik kita di samping ia adalah saluran barakah.
Tarekat itu termasuk wasilah. Rugilah orang yang tidak ada atau
belum ada tarekat. Ada Hadis yang mengatakan: Maksudnya:
“ Hendaklah kamu bersama Tuhan, kalau tidak boleh, maka hendaklah
kamu bersama orang yang boleh bersama Tuhan (yang boleh
memimpin kita kepada Tuhan).”

Wasilah melalui perhubungan atau perantaraan orang-orang Tuhan
dikatakan juga tawasul. Kita rujuk kepada doa yang kita baca selepas
azan yang berbunyi: Maksudnya: “ Wahai Tuhan, Engkau jadikanlah
Nabi Muhammad itu wasilah bagi kami.”

Maksud doa ini ialah kita minta kepada Tuhan supaya Nabi Muhammad
itu menjadi wasilah atau perantaraan kita sebab belum tentu
Rasulullah mahu menjadi wasilah bagi kita. Walaupun Rasulullah itu
memang berperanan sebagai wasilah (penghubung atau perantaraan)
kita dengan Tuhan tetapi belum tentu dia mahu menjadi penghubung
untuk semua orang. Ada orang dia tolak dan tidak mahu jadi
penghubung baginya. Rasulullah SAW hanya mahu menjadi wasilah
bagi orang-orang soleh. Ini yang kita takutkan. Oleh itu kita berdoa
secara khusus agar Tuhan jadikan Rasulullah itu wasilah bagi kita.

Wasilah itu pula ada wasilah lahir dan ada wasilah batin.

+++ Wasilah Lahir, Rasulullah mendapat wahyu dari Allah dan
disampaikan wahyu itu kepada kita. Rasulullah juga belajar dengan
Allah bagaimana hendak berakhlak dan bagaimana hendak hidup cara
Islam. Kita pun melihat dan kita tiru dia. Kita jadikan dia sebagai
contoh. Maknanya ketika itu dia menjadi wasilah lahir kita. Dia jadi
perantaraan atau orang tengah.

+++ Wasilah Batin pula adalah wasilah yang bersifat rohaniah, Rasulullah
itu perlu kita kaitkan dalam semua ibadah dan doa kita. Contohnya,
dalam dua kalimah syahadah, ada syahadah Allah dan ada syahadah
Rasul. Kalau tidak ada syahadah Rasul, maka syahadah kita tidak sah.
Dalam berdoa, kita disuruh bermula dengan selawat dan disudahi
dengan selawat kedua. Rasulullah itu boleh membantu dan menolong
kita secara rohaniah walaupun Baginda sudah wafat namun rohnya
adalah muqaddasah (suci) dan mutasarrif (boleh berperanan).

Di samping Rasulullah SAW, pemimpin yang berwatak rasul atau
mujadid di setiap zaman itu adalah juga sebagai wasilah. Mereka
boleh menolong kita secara rohaniah terutama dalam hal-hal
membaiki diri dan mengusahakan taqwa. Itulah maksud wasilah.
Mencari wasilah itu untuk tujuan menjaga dan memelihara diri kita,
untuk keselamatan kita dunia dan Akhirat. Wasilah itu adalah jalan
kepada Tuhan.

*** Jalan Jihad (BerJuang). ***

Selain itu walaupun kita ada wasilah, ada guru yang memimpin kita
untuk membuat amalan-amalan kebajikan dan amalan-amalan soleh
yang berbentuk hablumminallah dan hablumminannas, kita mesti ada
jihad perjuangan. Tidak ada jihad, tidak boleh pergi. Jadi kalau
ditafsirkan ayat tadi, tidak boleh kita pisahkan antara jihad dan
wasilah itu sendiri. Hendak laksanakan wasilah kita tidak akan mampu
kalau tidak ada jihad. Sama ada jihad melawan hawa nafsu atau
jihad melawan musuh-musuh luar yang agak mengganggu. Yang
paling mengganggu adalah Nafsu.

Walaupun ada wasilah guru penunjuk jalan dan ada wasilah membuat
amalan-amalan soleh yang juga adalah hasil dari tunjuk ajar guru
tetapi untuk berjaya, ia terpulang pada diri kita sendiri. Guru sudah
tunjuk jalan. Kejayaannya ditentukan oleh sejauh mana kita boleh
berjihad dan bermujahadah.

Kalau boleh mujahadah, boleh berjihad dengan baik sama ada
mengenai musuh-musuh luar lebih-lebih lagi terhadap musuh batin,
di mana jihad itu menggunakan wasilah, barulah boleh sampai kepada
Tuhan. Jadi tidak boleh dipisahkan antara jihad dengan wasilah.
Jihad itu sendiri adalah kerana hendak melakukan dua perkara
tersebut iaitu hendak manfaatkan wasilah dan hasil dari tunjuk ajar
guru supaya dia dapat mujahadah. Hendak bermujahadah itu banyak
gangguannya.

Sebab itu Tuhan senaraikan wasilah, selepas itu jihad. Wajahidu
fisabilihi. Jadi kalau wasilah itu kita faham dan kita hayati, untuk
menjayakannya menggunakan jihad atau mujahadah iaitu mujahadah
ke luar dan ke dalam dengan ilmu, dengan faham, dengan pimpinan
dan dengan mujahadah maka apa kata Tuhan: " la‘allakum tuflihun"
(moga-moga kamu mendapat kemenangan dunia dan Akhirat).

Itupun Tuhan baru kata " moga-moga", masih tidak confirm. Padahal
Tuhan sudah tunjukkan jalan. Kita pun sudah faham jalan tetapi
Tuhan kata " moga-moga sahaja engkau mendapat kemenangan".
Ertinya di situ ada rahsia. Mungkin di hujung-hujung ada kebimbangan.
Sebab syaitan akan buru kita sampai mati. Takut-takut di hujung
di waktu sakaratul maut, kita terkandas. Sebab itu Tuhan berkata,
" moga-moga engkau mendapat kemenangan". Tuhan masih tidak
menetapkan kerana syaitan tunggu. Walaupun di perjalanan, syaitan
tidak berjaya menipu tetapi dia tunggu di hujung.

Begitu berdendamnya syaitan. Kalau waktu nazak dia dapat menipu,
kita sudah tidak sempat bertaubat lagi. Kalau dalam perjalanan,
masih ada peluang bertaubat. Kalau kita fikirkan ini, cemasnya
menghadapi kematian. Bukan soal azabnya tetapi takut-takut kita
kandas last minute. Sebab itu kalau orang fikir mati, hilang selera
untuk buat maksiat.

Jadi taqwa itu penting iaitu semua sifat-sifat mahmudah yang
dikehendaki perlu dimiliki. Rupanya hendak memiliki sifat taqwa bukan
hanya sifat takut sahaja. Itu tidak cukup. Hendak memiliki sifat
taqwa yang di dalamnya ada berbagai-bagai sifat mahmudah mesti
ada wasilah. Wasilah ada dua iaitu guru serta tarekat dan amalan
kita yang berbentuk hablumminallah dan hablumminannas. Untuk
menjayakan wasilah, perlu kepada jihad iaitu mujahadah terhadap
musuh luar tetapi yang utama ialah mujahadah terhadap musuh
dalam iaitu hawa Nafsu sendiri dan Syaitan yang sangat bahaya,
lebih bahaya daripada musuh-musuh luar.

Jadi kalau kita faham erti taqwa, ada ilmunya, dihayati, ada guru
yang memimpin dan mendidik kita serta kita gunakan tenaga jihad
melalui mujahadah kita, insya-Allah, kita akan dapat kemenangan
demi kemenangan dunia dan Akhirat.

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited July 2014,,,^^..

No comments:

Post a Comment