Wednesday 5 March 2014

Perlawanan Seorang Lelaki Alim Dengan Iblis...^^..

Perlawanan Seorang Lelaki Alim Dengan Iblis...^^..

Suami isteri itu hidup tenteram mula-mula. Meskipun melarat, mereka
taat kepada perintah Tuhan. Segala yang dilarang Allah dihindari, dan
ibadah mereka tekun sekali. Si Suami adalah seorang yang alim yang
taqwa dan tawakkal. Tetapi sudah beberapa lama isterinya mengeluh
terhadap kemiskinan yang tiada habis-habisnya itu. Ia memaksa
suaminya agar mencari jalan keluar. Ia membayangkan alangkah
senangnya hidup jika segala-galanya serba cukup.

Pada suatu hari, lelaki yang alim itu berangkat ke ibu kota, mahu
mencari pekerjaan. Di tengah perjalanan ia melihat sebatang pohon
besar yang tengah dikerumuni orang. Ia mendekati. Ternyata orang-
orang itu sedang memuja-muja pohon yang konon keramat dan sakti
itu. Banyak juga kaum wanita dan pedagang-pedagang yang meminta-
minta agar suami mereka setia atau dagangnya laris.

" Ini syirik," fikir lelaki yang alim tadi. " Ini harus dibanteras habis.
Masyarakat tidak boleh dibiarkan menyembah serta meminta selain
Allah." Maka pulanglah dia terburu-buru. Isterinya hairan, mengapa
secepat itu suaminya kembali. Lebih hairan lagi waktu dilihatnya
si suami mengambil sebilah kapak yang diasahnya tajam. Lantas lelaki
alim tadi bergegas keluar.

Isterinya bertanya tetapi ia tidak menjawab. Segera dinaiki keldainya
dan dipacu cepat-cepat ke pohon itu. Sebelum sampai di tempat
pohon itu berdiri, tiba-tiba melompat sesusuk tubuh tinggi besar
dan hitam. Dia adalah iblis yang menyerupai sebagai manusia.

" Hai, mahu ke mana kamu ?" tanya si iblis. Orang alim tersebut
menjawab, " Saya mahu menuju ke pohon yang disembah-sembah
orang bagaikan menyembah Allah. Saya sudah berjanji kepada Allah
akan menebang pohon syirik itu." " Kamu tidak ada apa-apa hubungan
dengan pohon itu. Yang penting kamu tidak ikut-ikutan syirik seperti
mereka. Sudah pulang sahaja." " Tidak boleh, kemungkaran mesti
dibanteras," jawab si alim bersikap tegas. " Berhenti, jangan
teruskan !" bentak iblis marah.

" Akan saya teruskan !" Kerana masing-masing tegas pada pendirian,
akhirnya terjadilah perkelahian antara orang alim tadi dengan iblis.
Kalau melihat perbezaan badannya, seharusnya orang alim itu dengan
mudah boleh dibinasakan. Namun ternyata iblis menyerah kalah,
meminta-minta ampun. Kemudian dengan berdiri menahan kesakitan
dia berkata, " Tuan, maafkanlah kekasaran saya. Saya tak akan berani
lagi mengganggu tuan.

Sekarang pulanglah. Saya berjanji, setiap pagi, apabila Tuan selesai
menunaikan sembahyang Subuh, di bawah tikar sembahyang Tuan
saya sediakan wang emas empat dinar. Pulang saja berburu, jangan
teruskan niat Tuan itu dulu,"

Mendengar janji iblis dengan wang emas empat dinar itu, lunturlah
kekerasan tekad si alim tadi. Ia teringatkan isterinya yang hidup
tidak kecukupan. Ia teringat akan saban hari rungutan isterinya.
Setiap pagi empat dinar, dalam sebulan sahaja dia sudah boleh
menjadi orang kaya. Mengingatkan desakan-desakan isterinya itu
maka pulanglah dia. Patah niatnya semula hendak membanteras
kemungkaran.

Demikianlah, semenjak pagi itu isterinya tidak pernah marah lagi.
Hari pertama, ketika si alim selesai sembahyang, dibukanya tikar
sembahyangnya. Betul di situ tergolek empat benda berkilat, empat
dinar wang emas. Dia meloncat keriangan, isterinya gembira. Begitu
juga hari yang kedua. Empat dinar emas. Ketika pada hari yang
ketiga, matahari mulai terbit dan dia membuka tikar sembahyang,
masih didapatinya wang itu.

Tapi pada hari keempat dia mulai kecewa. Di bawah tikar sembahyangnya
tidak ada apa-apa lagi kecuali tikar pandan yang rapuh. Isterinya
mulai marah kerana wang yang kelmarin sudah dihabiskan sama
sekali.

Si alim dengan lesu menjawab, " Jangan khuatir, esok barangkali kita
bakal dapat lapan dinar sekaligus." Keesokkan harinya, harap-harap
cemas suami-isteri itu bangun pagi-pagi. Selesai sembahyang dibuka
tikar sejadahnya kosong. " Kurang ajar. Penipu," teriak si isteri.
" Ambil kapak, tebanglah pohon itu." " Ya, memang dia telah menipuku.
Akan aku habiskan pohon itu semuanya hingga ke ranting dan daun-
daunnya," sahut si alim itu.

Maka segera ia mengeluarkan keldainya. Sambil membawa kapak yang
tajam dia memacu keldainya menuju ke arah pohon yang syirik itu.
Di tengah jalan, iblis yang berbadan tinggi besar tersebut sudah
sedia menghalang. Katanya menyorot tajam, " Mahu ke mana kamu ?"
herdiknya menggegar.

" Mahu menebang pohon," jawab si alim dengan gagah berani.
" Berhenti, jangan teruskan." " Bagaimanapun juga tidak boleh,
sebelum pohon itu tumbang." Maka terjadilah kembali perkelahian
yang hebat. Tetapi kali ini bukan iblis yang kalah, tapi si alim yang
terkulai. Dalam kesakitan, si alim tadi bertanya penuh hairan,
" Dengan kekuatan apa engkau dapat mengalahkan saya, padahal
dulu engkau tidak berdaya sama sekali ?"

Iblis itu dengan angkuh menjawab, " Tentu sahaja engkau dahulu
boleh menang, kerana waktu itu engkau keluar rumah untuk Allah,
demi Allah. Andaikata kukumpulkan seluruh belantaraku menyerangmu
sekalipun, aku takkan mampu mengalahkanmu.

Sekarang kamu keluar dari rumah hanya kerana tidak ada wang
di bawah tikar sejadahmu. Maka biarpun kau keluarkan seluruh
kebolehanmu, tidak mungkin kamu mampu menjatuhkan aku. Pulang
saja. Kalau tidak, kupatahkan nanti batang lehermu."

Mendengar penjelasan iblis ini, si alim tadi termangu-mangu. Ia
merasa bersalah, dan niatnya memang sudah tidak Ikhlas kerana
Allah lagi. Dengan terhuyung-hayang ia pulang ke rumahnya.
Dibatalkan niat semula untuk menebang pohon itu. Ia sedar bahawa
perjuangannya yang sekarang adalah tanpa keIkhlasan kerana Allah,
dan ia sedar perjuangan yang semacam itu tidak akan menghasilkan
apa-apa selain dari kesia-siaan yang berlanjutan.

Sebab tujuannya adalah kerana harta benda, mengatasi keutamaan
Allah dan agama. Bukankah bererti, ia menyalahgunakan agama untuk
kepentingan hawa nafsu semata-mata ?

" Barangsiapa di antaramu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah
(berusaha) memperbaikinya dengan tangannya (kekuasaan), bila tidak
mungkin hendaklah berusaha memperbaikinya dengan lidahnya (nasihat),
bila tidak mungkin pula, hendaklah mengingkari dengan hatinya
(tinggalkan). Itulah selemah-lemah iman." Hadith Riwayat Muslim

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Mac 2014...^^..

No comments:

Post a Comment