Tuesday 18 March 2014

Kisah Nabi Nuh Dalam Al-Quran...^^..

Kisah Nabi Nuh Dalam Al-Quran...^^..

Al-Quran menceritakan kisah Nabi Nuh dalam 43 ayat dari 28 surah
di antaranya surah Nuh dari ayat 1 sehinga 28, juga dalam surah
" Hud" ayat 25 sehingga 49 yang mengisahkan dialog Nabi Nuh
dengan kaumnya dan perintah pembuatan kapal serta keadaan banjir
yang menimpa di atas mereka.

*** Surah Nuh Ayat 1-28,

1@ Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya,
(dengan berfirman kepadanya): “ Berikanlah peringatan dan amaran
kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi
sakitnya”.

2@ Dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: “ Wahai kaumku !
Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan
dan amaran yang nyata;

3@ “ Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya,
serta taatlah kamu kepadaku;

4@ “ Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa
kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga
ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertaqwa)
kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai
masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat
ini tentulah kamu segera beriman)”.

5@ (Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata:
“ Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan
malam (supaya mereka beriman);

6@ “ Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun)
selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).

7@ “ Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman)
supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, mereka
menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung
dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku
sombong, takbur dengan melampau.

8@ “ Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;

9@ “ Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara
beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi
secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

10@ “ Sehingga aku berkata (kepada mereka): " Pohonkanlah ampun
kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.

11@ “ (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan
hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

12@ “ Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta
kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-
kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang
mengalir di dalamnya).

13@ “ Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah
(dan kekuasaanNya),

14@ “ Padahal sesungguhnya, Ia telah menciptakan kamu dengan
kejadian yang berperingkat-peringkat ?

15@ “ Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah
menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,

16@ “ Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta
menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),

17@ “ Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda
yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh
sempurna,

18@ “ Kemudian Ia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati),
dan mengeluarkan kamu daripadanya (sesudah dihidupkan semula untuk
dihitung amal kamu dan diberi balasan), dengan pengeluaran yang
sesungguh-sungguhnya ?

19@ “ Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan,

20@ “ Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya”.

21@ Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “ Wahai Tuhanku !
Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah
menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak
menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).

22@ “ Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan
rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku).

23@ “ Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata:
" Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu,
terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq,
serta Nasr.

24@ “ Dan sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan
kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan yang demikian) janganlah
Engkau (wahai Tuhanku) menambahi orang-orang yang zalim itu
melainkan kesesatan jua”.

25@ Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka
ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian (pada hari
akhirat) dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan
beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat
memberikan pertolongan).

26@ Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “ Wahai Tuhanku !
Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup
di atas muka bumi !

27@ “ Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup),
nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka
tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur
ingkar.

28@ “ Wahai Tuhanku ! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu
bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan
berIman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman,
lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau
tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan !”

*** Surah Hud Ayat 25-49,

25@ Dan demi sesungguhnya ! Kami telah utuskan Nabi Nuh lalu ia
memberitahu kaumnya dengan berkata: “ Sesungguhnya aku ini seorang
Rasul pemberi amaran yang nyata kepada kamu.

26@ “ Iaitu janganlah kamu menyembah melainkan Allah; sesungguhnya
aku bimbang (jika kamu menyembah yang lainnya), kamu akan ditimpa
azab yang tidak terperi sakitnya pada hari pembalasan”.

27@ Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: “ Kami
tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia
seperti kami; dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu
melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat;
dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang
kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu
orang-orang pendusta”.

28@ Nabi Nuh berkata: “ Wahai kaumku ! Jika keadaanku
berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, serta Ia mengurniakan
pangkat Nabi kepadaku dari sisiNya, kemudian bukti yang nyata itu
menjadi kabur pada pandangan kamu (disebabkan keingkaran kamu
yang telah sebati), maka adakah kamu nampak ada gunanya Kami
memaksa kamu menerima bukti itu sedang kamu tidak suka kepadanya ?

29@ Dan (ketahuilah) wahai kaumku ! Aku tidak meminta kepada
kamu sebarang harta benda sebagai upah menyampaikan agama Allah
itu, tiadalah aku harapkan upahku melainkan dari Allah semata-mata;
dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman (sebagaimana
yang kamu minta itu), kerana sesungguhnya mereka akan menemui
Tuhan mereka (dan pada hari itu mereka akan menuntut dan
menerima hak masing-masing); tetapi aku nampak kamu semua, kaum
yang tidak mengetahui apa yang mesti diketahui.

30@ Dan lagi wahai kaumku ! Siapakah yang akan menolongku dari
azab Allah jika aku menghalau mereka ? Maka mengapa kamu tidak
mahu ingatkan kekuasaan Allah ?

31@ Dan aku tidak pernah berkata kepada kamu: di sisiku ada
perbendaharaan Allah, dan tidaklah aku mendakwa mengetahui perkara-
perkara yang ghaib dan aku tidak mengatakan bahawa aku ini malaikat;
dan aku juga tidak berkata terhadap orang-orang yang beriman yang
kamu pandang hina itu, bahawa Allah tidak akan memberi kebaikan
kepada mereka. Allah lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam
hati mereka. Sesungguhnya aku jika bertindak demikian, nescaya
menjadilah aku dari orang-orang yang zalim”.

32@ Mereka berkata: “ Wahai Nuh ! Sesungguhnya engkau telah
bertikam lidah membantah kami lalu engkau banyakkan sangat hujjah-
hujjah semasa mengemukakan bantahanmu kepada kami; oleh itu,
datangkanlah azab Allah yang engkau janjikan kepada kami, jika
betul engkau dari orang-orang yang benar”.

33@ Nabi Nuh menjawab: “ Sesungguhnya Allah jualah yang akan
mendatangkan azabNya itu kepada kamu jika Ia kehendaki, dan kamu
tidak sekali-kali akan dapat melemahkan kuasa Allah !

34@ Dan tidak ada gunanya nasihatku kepada kamu, jika aku hendak
menasihati kamu, kalau Allah hendak menyesatkan kamu (kerana kamu
tetap berdegil); Dia lah Tuhan kamu dan kepadaNya kamu akan
kembali”.

35@ (Mereka terus berdegil), bahkan mereka menuduh dengan
mengatakan Nabi Nuh sengaja mengada-adakan secara dusta: bahawa
Tuhan mengurniakan pangkat Nabi kepadanya. Nabi Nuh diperintahkan
menjawab dengan berkata: “ Kalau aku yang mereka-reka wahyu itu
maka akulah yang akan menanggung dosa perbuatanku itu, dan
sebenarnya aku bersih dari dosa kesalahan kamu menuduhku”.

36@ Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: “ Bahawa
sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-
orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau
berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.

37@ Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami,
dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan
janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim
itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan)”.

38@ Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu, dan tiap-tiap kali
sepuak dari kaumnya melalui tempat ia membina bahteranya, mereka
mengejek-ejeknya. Nabi Nuh pun menjawab: “ Jika kamu memandang
kami bodoh (kerana membuat bahtera ini), maka sesungguhnya kami
juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran kamu), sebagai
(balasan) ejekan kamu.

39@ Maka kamu akan mengetahui siapakah yang akan didatangi azab
yang menghinakannya di dunia, dan yang akan ditimpakan pula dengan
azab yang kekal pada hari akhirat kelak”.

40@ (Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami
untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka
bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada
Nabi Nuh: “ Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis
haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang
telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya),
juga bawalah orang-orang berIman”. Dan tidak ada orang-orang yang
beriman yang turut bersama-samanya, melainkan Sedikit sahaja.

41@ Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-
pengikutnya yang beriman): “ Naiklah kamu ke bahtera itu sambil
berkata: "  Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya ".
Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.”

42@ (Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa
mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu)
Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang
terpisah daripadanya: “ Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami,
dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir”.

43@ Anaknya menjawab: “ Aku akan pergi berlindung ke sebuah
gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan
oleh air”. Nabi Nuh berkata: “ Hari ini tidak ada sesuatupun yang
akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani
olehNya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara
keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-
orang yang ditenggelamkan oleh taufan.

44@ Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada
bumi dan langit dengan berkata: “ Wahai bumi telanlah airmu, dan
wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”. Dan (ketika itu)
surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera
Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung “ Judi” serta diingatkan
(kepada kaum kafir umumnya bahawa): “ Kebinasaanlah akhirnya
bagi orang-orang yang zalim”.

45@ Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: 
“ Wahai Tuhanku ! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri,
dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-
bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya”.

46@ Allah berfirman: “ Wahai Nuh ! Sesungguhnya anakmu itu
bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan
denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya
bukanlah Amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon
kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan
mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang
yang jahil”.

47@ Nabi Nuh berkata: “ Wahai Tuhanku ! Sesungguhnya aku
berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak
mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak
mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya
menjadilah aku dari orang-orang yang rugi”.

48@ Allah berfirman: Wahai Nuh ! Turunlah (dari bahtera itu) dengan
selamat dan berkat dari Kami kepadamu dan kepada umat-umat yang
bersama-samamu. Dan (dalam pada itu) ada umat-umat dari keturunan
mereka yang Kami akan beri kesenangan kepadanya (dalam kehidupan
dunia), kemudian mereka akan dikenakan azab dari Kami yang tidak
terperi sakitnya”.

49@ (Kisah Nabi Nuh) itu adalah dari perkara-perkara yang ghaib yang
Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum
engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Oleh itu, bersabarlah.
Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia
dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Mac 2014...^^..

No comments:

Post a Comment