Wednesday 5 March 2014

Kisah Nabi Adam Dalam Al-Quran...^^..

Kisah Nabi Adam Dalam Al-Quran...^^..

Al Quran menceritakan kisah Adam dalam beberapa surah di antaranya
surah Al Baqarah ayat 30 sehingga ayat 38, surah Al A'raaf ayat
11 sehingga ayat 25 dan surah Al Hijr ayat 26 sehingga ayat 43.

*** Surah Al Baqarah Ayat 30-38,

30@ Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat;
“ Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”.
Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata):
“ Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang
yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-
bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan
mensucikanMu ?”. Tuhan berfirman: “ Sesungguhnya Aku mengetahui
akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

31@ Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-
benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia
berfirman: “ Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya
jika kamu golongan yang benar”.

32@ Malaikat itu menjawab: “ Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak
mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami;
sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

33@ Allah berfirman: “ Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini
semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama
benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “ Bukankah Aku telah
katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit
dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang
kamu sembunyikan ?”.

34@ Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “ Tunduklah
(beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk
memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah
ia dari golongan yang kafir.

35@ Dan kami berfirman: “ Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu
dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja
kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu
menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang
yang zalim”.

36@ Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga
itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah
berada di dalamnya dan Kami berfirman: “ Turunlah kamu! Sebahagian dari
kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua
disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga
ke suatu masa (mati)”.

37@ Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah
(kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima
taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima
taubat), lagi Maha Mengasihani.

38@ Kami berfirman lagi: “ Turunlah kamu semuanya dari syurga itu !
Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul
dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang
mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu
yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita”.

*** Surah Al A'raaf Ayat 11-25,

11@ Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami
membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-
malaikat: “ Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud melainkan
Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.

12@ Allah berfirman: “ Apakah penghalangnya yang menyekatmu
daripada sujud ketika Aku perintahmu ?” Iblis menjawab: “ Aku lebih
baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang
dia Engkau jadikan dari tanah.”

13@ Allah berfirman: “ Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak
patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah,
sesungguhnya engkau dari golongan yang hina”.

14@ Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka
dibangkitkan (hari kiamat)”.

15@ Allah berfirman: “ Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi
tempoh (ke suatu masa yang tertentu)”.

16@ Iblis berkata: “ Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan
daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat
menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;

17@ “ Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari
belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan
Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.

18@ Allah berfirman: “ Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk
yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka
yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan
(golongan) kamu (yang derhaka) semuanya;

19@ “ Dan wahai Adam ! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam
Syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja
kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu
menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang
zalim”.

20@ Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka
berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan Aurat
(dalam keadaan tidak berpakaian) mereka yang (sekian lama) tertutup
dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “ Tidaklah Tuhan kamu
melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana
Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari
orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)”.

21@ Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata):
“ Sesungguhnya aku(Syaitan) adalah dari mereka yang memberi
nasihat kepada kamu berdua”.

22@ Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua
(ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan
(buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-
masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari)
Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: “ Bukankah Aku
telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan
kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata ?”

23@ Mereka berdua merayu: “ Wahai Tuhan kami, kami telah
menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan
kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami
dari orang-orang yang rugi”.

24@ Allah berfirman: “ Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan
setengah kamu menjadi Musuh bagi setengahnya yang lain, dan bagi
kamu disediakan tempat kediaman di bumi, dan juga diberi kesenangan
hingga ke suatu ketika (mati)”.

25@ Allah berfirman lagi: “ Di bumi itu kamu Hidup dan situ juga
kamu Mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan
hidup semula pada hari kiamat)”.

*** Surah Al Hijr Ayat 26-43,

26@ Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari
tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah
warna dan baunya.

27@ Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang
panasnya menyerap ke liang bulu roma.

28@ Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada
malaikat: “ Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari
tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah
warna dan baunya.

29@ “ Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku
tiupkan padanya roh dari (ciptaan) ku, maka hendaklah kamu sujud
kepadanya.

30@ (Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat,
semuanya sekali,

31@ Melainkan Iblis, ia enggan turut bersama mereka yang sujud.

32@ Allah berfirman: " Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut
bersama mereka yang sujud itu ?”.

33@ Iblis menjawab: “ Aku tidak patut sujud kepada manusia yang
Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari
tanah kental yang berubah warna dan baunya”.

34@ Allah berfirman: “ Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya,
kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah
(satu makhluk yang) diusir.

35@ “ Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga
ke hari kiamat”.

36@ Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku ! Jika demikian, berilah tempoh
kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat)”.

37@ Allah berfirman: “ Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya
engkau dari golongan yang diberi tempoh.

38@ “ Hingga ke hari masa yang termaklum”.

39@ Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku ! Kerana Engkau telah menjadikan
daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala
jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan
menyesatkan mereka semuanya,

40@ “ Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang
dibersihkan dari sebarang syirik”.

41@ Allah berfirman: “ Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku
memeliharanya.

42@ “ Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang
kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu
dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).

43@ “ Dan sesungguhnya neraka Jahannam itu, tempat yang dijanjikan
bagi sekalian mereka (yang menurutmu).

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

+++ Maklumat Tambahan/ Extra Info...***

### Kisah Anak-Anak Nabi Adam***

*** Tempat Diturunkan Dan Kewafatan Nabi Adam a.s. ***

Nabi Adam diturunkan di tanah Hindustan dan Ibu Hawa di Jeddah.
Kedua-dua mereka bertemu semula di Muzdalifah. Sesudah menjangkau
usia tua ia meninggal di tanah Hindustan dan dikuburkan di sana.
Setelah satu tahun berlalu Ibu Hawa wafat di Jeddah dan dikuburkan
di sana.

Menurut hadis-hadis yang sahih, Nabi Adam dijadikan pada hari Jumaat
dan diwafatkan pada hari Jumaat sebagaimana hari yang diturunkannya
ke bumi.

Terdapat juga riwayat yang mengatakan bahawa Nabi Adam a.s. wafat
ketika berusia seribu tahun dan sesudah setahun selepas itu meninggal
pula Siti Hawa.

Sebahagian riwayat yang lain pula mengatakan bahawa Nabi Adam
dikuburkan di tanah Hindustan, dan sebahagian riwayat yang lain
mengatakan bahawa Adam dikuburkan di Negeri Makkah atau Jeddah,
berhampiran dengan Siti Hawa.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari menyebut
bahawa: Sesungguhnya Allah menjadikan Adam a.s. pada hari Jumaat,
diturunkan ke bumi pada hari Jumaat, beliau berTaubat kepada Allah
atas dosanya memakan buah pohon khuldi itu pada hari Jumaat dan
wafat pada hari Jumaat.

Sebahagian riwayat mengatakan bahawa beliau wafat pada 10 hari
bulan Muharram. Demikianlah cerita Nabi Adam a.s.

*** Kisah Kedua-dua Anak Nabi Adam a.s. (Qabil dan Habil).***

Pemberian nikmat Allah s.w.t. yang berupa syahwat, baik bagi lelaki
yang berkeinginan terhadap perempuan, atau sebaliknya perempuan
yang berkeinginan terhadap lelaki, timbullah rasa kasih sayang
di antara kedua-dua jenis, menyebabkan tersebar luas keturunan
Adam dan Hawa di alam dunia ini.

Nabi Adam a.s. dan Ibu Hawa mempunyai anak kurniaan Allah s.w.t.
yang berkembar dua iaitu lelaki dan perempuan dan menurut syariat
( hukum agama) Nabi Adam, tidak boleh menjodohkan setiap saudara
yang lahir secara bersama ( dalam satu keturunan). Oleh yang demikian,
Qabil dijodohkan dengan kembar Habil, sedangkan Habil dijodohkan
dengan kembar Qabil.

Qabil sebaliknya tidak mahu menerima peraturan tersebut, tetapi mahu
adiknya dikahwinkan dengan saudari kembarnya sendiri, kerana
kembar Qabil lebih cantik berbanding kembar Habil.

Qabil tidak mengikuti kehendak ( syariat) Adam a.s. . Nabi Adam
memberi nasihat kepada kedua-dua anaknya, Qabil dan Habil, agar
berkorban demi Allah s.w.t. Sesiapa yang diterima korbannya, ia
akan dijodohkan dengan kembar Qabil. Sesungguhnya Qabil
melaksanakan korban dengan cara yang tidak ikhlas( kerana Allah
s.w.t.) tetapi hanya semata-mata mengikut hawa nafsunya ( nafsu
berahi). Sebaliknya Habil dengan hati yang benar-benar ikhlas
( kerana Allah s.w.t.) melaksanakan perintah ayahnya, mengikut
tuntutan syariat Allah s.w.t. dan Habil selalu taat dalam
melaksanakannya.

*** Qabil Membunuh Habil.***

Allah s.w.t menerima korban Habil, dan ia berhak mengahwini kembar
Qabil, iaitu Iqlima seorang wanita yang cantik jelita. Manakala Qabil
berhak mengahwini kembar Habil yang bernama Labuda, seorang
wanita yang tidak secantik Iqlima. Akibat tidak dapat memenuhi
kehendak nafsu, Qabil berasa iri hati( Hasad dengki) dan bertindak
ingin membunuh saudaranya Habil. Habil menjawab dengan cara yang
sopan,

" Sesungguhnya korban yang diterima Allah s.w.t adalah korban orang
benar-benar takut kepadaNya. Sekiranya saudara mengangkat tangan
untuk membunuh saya, maka saya sekali-kali tidak akan mempunyai
rasa iri hati untuk membunuhmu, kerana saya takut kepada Allah s.w.t."

Sudah menjadi kebiasaan dari syaitan yang merupakan musuh Nabi
Adam beserta seluruh cucu-cicitnya. Sekiranya terdapat permusuhan
sesama saudara, maka syaitan ikut serta mengadu domba(mengapi-
apikan) diantara kedua-duanya. Ini mengakibatkan terjadinya keinginan
yang sangat memuncak dalam nafsu Qabil untuk membunuh saudaranya
Habil. Setelah melakukan pembunuhan tersebut, ia merasa menyesal,
tetapi pepatah telah mengatakan: " Sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tiada berguna." .

Akhirnya hati Qabil merana tanpa putus sebagaimana firman Allah
s.w.t. yang bermaksud: " Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya
menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnya,
maka jadilah ia seorang di antara orang-orang yang kerugian."
(Surah Al Maidah: 30.)

Setelah melakukan pembunuhan tersebut Qabil kebingungan memikirkan
cara bagaimana untuk menguruskan mayat saudaranya Habil. Saat itu
Allah mengilhamkan, dua ekor burung gagak berkelahi dan seekor
daripadanya mati terbunuh. Kemudian gagak yang masih hidup menggali
tanah, bangkai tersebut dikuburkan ke dalam tanah dan ditimbus
semula. Hal ini ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya:

" Kemudian Allah mengirim seekor burung gagak menggali-gali di bumi
dengan paruhnya dan kakinya untuk memperlihatkan kepadanya( Qabil),
bagaimana seharusnya menguburkan mayat saudaranya. Berkata Qabil,
" Aduhai celaka aku ! Mengapa aku tidak mampu berbuat seperti
burung gagak ini, lalu dapatlah aku menguburkan mayat saudaraku ini ?
Kerana itu, jadilah dia seorang di antara orang-orang yang menyesal."
(Surah Al Maidah: 31)

Demikianlah riwayat Qabil yang menguburkan mayat saudaranya. Habil
merupakan manusia pertama yang mati dibunuh di muka bumi( dunia) ini.
Setiap manusia yang dibunuh tanpa dosa, maka baginya adalah
ganjaran pahala. Sebaliknya Qabil, merupakan orang pertama yang
melakukan kejahatan atau pembunuhan. Setiap pembunuhan yang
dilakukan oleh manusia derhaka akan mendapat dosa dan seksaan
dari Allah s.w.t. Allah tetap membalas setiap tingkahlaku manusia, baik
perbuatan yang buruk mahupun perbuatan yang baik sesuai dengan
amal perbuatan mereka.

*** Kisah Anak Nabi Adam di Dalam Al Quran.***

*** Surah Al Maidah Ayat 27-31,

27@ Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah
(mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku
dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan
satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah).
Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak
diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):
” Sesungguhnya aku akan membunuhmu !”. (Habil) menjawab:
“ Bahawasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang
bertaqwa;

28@ “ Demi sesungguhnya ! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku
untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku
kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut
kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam;

29@ “ Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan
(membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu
menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah dia balasan orang-
orang yang zalim”.

30@ Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak)
membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia
dari golongan orang-orang yang rugi.

31@ Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya)
mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil)
bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata:
“ Wahai celakanya aku ! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku
tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat
menimbuskan mayat saudaraku ?”. Kerana itu menjadilah ia dari
golongan orang-orang yang menyesal.

### SelesaiLah, kisah Nabi Adam. Terdapat banyak lagi kisah para-
para nabi dan rasul yang kita telah kenali dan tidak kita ketahui
di terangkan di dalam kitab-kitab selain Al Quran. Kitab Zabur,
Taurat dan Injil, menerangkan nabi-nabi yang seZaman dengan
mereka,  tetapi penyampaian mereka sedikit terpesong dan selalu
diubahsuai oleh pendeta-pendeta mereka, menyebabkan kitab
mereka berUbah tidak lagi Suci seperti yang di ungkapkan oleh
Nabi-nabi mereka. Tetapi Allah telah memilih kitab Al Quran untuk
membenarkan kesemua kitab-kitab sebelumnya (Taurat, Zabur dan
Injil), dan sebagai kitab sempurna dari semua kitab-kitab serta
Allah tetap memelihara Ayat-ayatNya sehingga hari Kiamat . ###

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Mac 2014...^^..

No comments:

Post a Comment