Sunday, 9 March 2014

Syahid Selepas Mengucapkan Syahadah...^^..

Syahid Selepas Mengucapkan Syahadah...^^..

Suatu ketika tatkala Rasulullah S.A.W sedang bersiap di medan
perang Uhud, tiba-tiba terjadi hal yang tidak terduga. Seorang
lelaki yang bernama Amar bin Thabit telah datang menemui baginda.
Dia rupanya ingin masuk Islam dan akan ikut perang bersama
Rasulullah S.A.W. Amar ini berasal dari Bani Asyahali. Sekalian
kaumnya ketika itu sudah Islam setelah tokoh yang terkenal Saad
bin Muaz memeluk Islam.

Tetapi Amar ini enggan mengikut kaumnya yang ramai itu. Keangkuhan
jahiliyyah menonjol dalam jiwanya, walaupun dia orang baik dalam
pergaulan. Waktu kaumnya menyerunya kepada Islam, ia menjawab,
" Kalau aku tahu kebenaran yang aku kemukakan itu sudah pasti aku
tidak akan mengikutnya." Demikian angkuhnya Amar.

Kaum Muslimin di Madinah pun mengetahui bagaimana keanehan Amar
di tengah-tengah kaumnya yang sudah memeluk Islam. Ia terasing
sendirian, hatinya sudah tertutup untuk menerima cahaya Islam yang
terang benderang. Kini dalam saat orang bersiap-siap akan maju
ke medan perang, dia segera menemui Nabi S.A.W, menyatakan
dirinya akan masuk Islam malah akan ikut berperang bersama
angkatan perang di bawah pimpinan Nabi S.A.W.

Pedangnya yang tajam ikut dibawanya. Nabi S.A.W menyambut
kedatangan Amar dengan sangat gembira., tambah pula rela akan
maju bersama Nabi Muhammad S.A.W. Tetapi orang ramai tidak
mengetahui peristiwa aneh ini, kerana masing-masing sibuk menyiapkan
bekalan peperangan. Di kalangan kaumnya juga tidak ramai
mengetahui keIslamannya.

Bagaimana Amar maju sebagai mujahid di medan peperangan. Dalam
perang Uhud yang hebat itu Amar memperlihatkan keberaniannya
yang luar biasa. Malah berkali-kali pedang musuh mengenai dirinya,
tidak dipedulikannya. Bahkan dia terus maju sampai saatnya dia
jatuh pengsan.

" Untuk apa ikut ke mari, ya Amar !" Demikian tanya orang yang hairan
melihatnya, sebab sangka mereka dia masih musyrik. Mereka kira
Amar ini masih belum Islam lalau mengikut sahaja pada orang ramai.
Dalam keadaan antara hidup dan mati itu Amar lalu berkata,
" Aku sudah beriman kepada Allah dan RasulNya, lalu aku siapkan
pedangku dan maju ke medan perang. Allah akan memberikan
syahidah padaku dalam waktu yang tidak lama lagi."

Amar meninggal. Rohnya mengadap ke hadrat Illahi sebagai pahlawan
syahid. Waktu hal ini diketahui Rasul S.A.W, maka baginda pun
bersabda,, " Amar itu nanti, akan berada dalam syurgaNya nanti."
Dan kaum Muslimin pun mengetahui akhir hayat Amar dengan penuh
takjub, sebab di luar dugaan mereka. Malah Abu Hurairah r.a
sahabat yang banyak mengetahui hadith Nabi S.A.W berkata kaum
Muslimin, " Cuba kamu kemukakan kepadaku seorang yang masuk
syurga sedang dia tidak pernah bersyarat sekalipun juga terhadap
Allah."

" Jika kamu tidak tahu orangnya." Kata Abu Hurairah r.a lagi, lalu
ia pun menyambung, ujarnya, " Maka baiklah aku beritahukan, itulah
dia Amar bin Thabit." Demikianlah kisah seorang yang ajaib, masuk
syurga demikian indahnya. Ia tidak pernah solat, puasa dan lain-
lainnya seperti para sahabat yang lain, sebab dia belum memeluk
Islam.

Tiba-tiba melihat persiapan yang hebat itu, hatinya tergerak memeluk
Islam sehingga ia menemui Nabi S.A.W . Ia menjadi Muslim, lalu
maju ke medan perang, sebagai mujahid yang berani. Akhirnya
tewas dia dengan mendapat syahadah iaitu pengakuan sebagai
orang yang syahid. Mati membela agama Allah di medan perang.
Maka syurgalah tempat bagi orang yang memiliki julukan syahid.
Nabi S.A.W menjamin syurga bagi orang seperti Amar ini.

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Mac 2014...^^..

No comments:

Post a Comment