Asal Usul Bekas Tapak Kaki Nabi Ibrahim A.S (Maqam)...^^..
Setelah Nabi Ismail bersetuju untuk membantu Nabi Ibrahim
membangunkan Kaabah, maka Nabi Ibrahim bersama dengan anaknya
pun mula membina Kaabah setelah Allah S.W.T menunjukkan kepada
mereka tempat yang harus dibina Baitullah itu. Ada dua riwayat
yang mengatakan bahawa Allah S.W.T meninggikan tapak Baitullah
sebelum dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, tapak Baitullah
tidak terkena bala bencana taufan sewaktu taufan besar melanda.
Satu riwayat lagi mengatakan bahawa tapak Baitullah itu telah
runtuh dalam taufan besar sepertimana runtuhnya binaan-binaan
besar yang lain. Setelah peristiwa taufan besar melanda maka
sesungguhnya tidak ada orang lain yang memulakan pembinaannya
semula kecuali Nabi Ibrahim dan anaknya.
Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memulakan pembinaan Baitullah. Nabi
Ibrahim menyusun naik batu sementara Nabi Ismail pula mengutip
batu-batu besar seperti yang difirman oleh Allah S.W.T yang
bermaksud, " Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama
anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah)
sambil keduanya berdoa dengan berkata, " Wahai Tuhan kami !
Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya Engkau amat
mendengar lagi Amat Mengetahui." (surah al-Baqarah ayat 127).
Apabila binaan sudah meninggi, Nabi Ismail, menghulurkan batu besar
yang cukup tinggi dan diambil oleh Nabi Ibrahim dan membina Baitullah
sehingga ia siap pembinaannya. Maka dengan kehendak Allah S.W.T
sebaik sahaja Nabi Ibrahim meletakkan kakinya di batu besar itu,
maka terlekatlah tapak kaki Nabi Ibrahim sepertimana dapat kita
melihatnya sehingga hari ini dekat Baitullah. Dan ini adalah suatu
tanda kebesaran Allah S.W.T.
Apabila agama Islam datang, Allah S.W.T mensyariatkan untuk
bersembahyang di belakang maqam Ibrahim sepertimana firman
Allah yang bermaksud, " Dan jadikanlah oleh kamu maqam Ibrahim
itu tempat sembahyang." (surah al-Baqarah ayat 125).
Yang dikatakan maqam Nabi Ibrahim itu adalah kedua belah bekas
tapak kaki beliau dan bukan kubur Nabi Ibrahim. Setelah selesai
pembinaan Baitullah, maka Allah S.W.T memerintahkan Nabi Ibrahim
memberi kebenaran kepada umat manusia menunaikan haji di Baitullah.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud, " Dan serulah umat manusia
untuk datang mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke
(Rumah Allah)mu dengan berjalan kaki, dengan berkenderaan berjenis-
jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk
rantau) yang jauh." (surah al-Haj ayat 27).
Setelah itu Nabi Ibrahim naik ke gunung (Jabal) Abi Qubais satu
gunung yang paling dekat dengan baitullah dan di sana beliau
memanggil dengan nama Allah, " Wahai sekalian manusia, sesungguhnya
Tuhan kamu telah membina satu rumahNya bagi kamu, oleh itu
hendaklah kamu semua tunaikan haji di sana." Nabi Ibrahim menyeru
ke kanan dan ke kiri seolah-olah orang melaungkan azan. Allah S.W.T
menyampaikan seruan Nabi Ibrahim a.s pada setiap orang yang
diciptakan dalam bacaan talbiah dan itulah pernyataan semua orang
yang mengerjakan fardhu haji, kerana haji itu tidak akan sah tanpa
talbiah.
Bacaan talbiah antara lainnya, " Labbaikallah hummalabbaik" yang
bermakna, " Aku datang untuk menunaikan panggilanMu ya Allah".
Menunaikan haji adalah salah satu rukun Islam, oleh itu hendaklah
kita menunaikannya apabila kita sudah mampu melaksanakannya.
Banyak orang menunaikan haji, tetapi sekembali mereka dari
menunaikan haji yang sangat menyedihkan ialah terdapat juga orang
yang melakukan maksiat lebih teruk dari masa sebelum menunaikan
haji.
Oleh itu, hendaklah kita mulakan dengan sembahyang, puasa, zakat
dan seterusnya menunaikan haji. Kalau kita menunaikan haji tanpa
mengerjakan sembahyang lima waktu maka sia-sia sahaja haji yang
kita lakukan sebab ia tidak akan diterima oleh Allah S.W.T. Dan ini
adalah salah satu punca mereka yang kembali dari menunaikan haji
melakukan bermacam-macam maksiat.
Bagi mereka yang mendapat kenikmatan haji mereka ini tidak akan
berani melakukan kerja-kerja yang dimurkai oleh Allah S.W.T
sebaliknya mereka akan berusaha untuk menjadi muslim yang sempurna.
Tanpa mengerjakan sembahyang, maka semua kerja-kerja yang
berbentuk amal, sedekah, zakat dan sebagainya semuanya itu tidak
akan diterima oleh Allah S.W.T.
tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Mac 2014...^^..
No comments:
Post a Comment