Riwayat Nabi Hud...^^..
Nabi Hud merupakan keturunan Sam bin Nuh ( cucu Nabi Nuh).
Salasilah lengkap adalah seperti berikut: Hud Bin Abdullah bin Ribah
bin Hulud bin Aus bin Irmi bin Soleh bin Alfalisyada bin Sam bin Nuh
bin Adam. Nabi Hud merupakan seorang daripada suku " Aad"
dari keluarga yang terpandang dan berpengaruh, terkenal sejak
kecilnya dengan kelakuan yang baik budi pekerti yang luhur dan
sangat bijaksana dalam pergaulan dengan kawan-kawannya.
" Aad" adalah nama bapa suatu suku yang hidup di jazirah Arab
di suatu tempat bernama " Al-Ahqaf" terletak di utara Hadramaut
antara Yaman dan Umman. Ia termasuk suku yang tertua sesudah
kaum Nabi Nuh serta terkenal dengan kekuatan jasmani dalam bentuk
tubuh-tubuh yang besar dan sasa. Mereka dikurniai oleh Allah tanah
yang subur dengan sumber-sumber airnya yang mengalir dari segala
penjuru sehinggakan memudahkan mereka bercucuk tanam untuk
bahan makanan mereka dan memperindah tempat tinggal mereka
dengan kebun-kebun bunga yang indah-indah.
Berkat kurnia Tuhan itu mereka hidup menjadi makmur, sejahtera dan
bahagia serta dalam waktu yang singkat mereka berkembang biak dan
menjadi suku yang terbesar diantara suku-suku yang hidup
di sekelilingnya. Sebagaimana dengan kaum Nabi Nuh, kaum Hud, suku
Aad ini adalah pengisian rohaninya tidak mengenal Allah, Yang Maha
Kuasa Pencipta alam semesta. Mereka membuat patung-patung yang
diberi nama " Shamud" dan " Alhattar" dan itu yang disembah sebagai
tuhan mereka yang menurut kepercayaan mereka dapat memberi
kebahagiaan, kebaikan dan keuntungan serta dapat menolak kejahatan,
kerugian dan segala musibah.
Ajaran dan agama Nabi Idris dan Nabi Nuh sudah tidak lagi berbekas
dalam hati, jiwa serta cara hidup mereka sehari-hari. Kenikmatan
hidup yang mereka sedang nikmati di dalamnya berkat tanah yang
subur dan menghasilkan rezeki yang melimpah ruah menurut anggapan
mereka adalah kurniaan dan pemberian dari kedua berhala mereka
yang mereka sembah. Kerananya mereka tidak putus-putus sujud
kepada kedua berhala itu dengan mensyukurinya sambil memohon
perlindungannya dari segala bahaya dan mushibah berupa penyakit
atau kekeringan.
Sebagai akibat dan amalan dari Aqidah yang Sesat, pergaulan hidup
mereka menjadi dikuasai oleh tuntutan dan pimpinan Iblis, di mana
nilai-nilai moral dan akhlak tidak menjadi dasar penimbangan atau
kelakuan dan tindak-tanduk seseorang. Tetapi kebendaan dan
kekuatan lahiriahlah yang menonjol sehingga timbul kerusuhan dan
tindakan sewenang-wenang di dalam masyarakat di mana yang kuat
menindas yang lemah, yang besar memperkosa yang kecil dan yang
berkuasa memeras yang di bawahnya.
Sifat-sifat sombong, bongkak, iri-hati, hasad dengki, dan benci-
membenci yang didorong oleh hawa nafsu bermaharajalela dan
menguasai kehidupan mereka sehingga tidak memberi tempat kepada
sifat-sifat belas kasihan, sayang menyayangi, jujur, amanat dan
rendah hati. Demikianlah gambaran masyarakat suku Aad tatkala Allah
mengutuskan Nabi Hud sebagai nabi dan rasul kepada mereka.
*** Nabi Hud Berdakwah Di Tengah-tengah Sukunya ***
Sudah menjadi sunnah Allah sejak diturunkannya Adam Ke bumi bahawa
dari masa ke semasa jika hamba-hambaNya sudah berada dalam
kehidupan yang sesat sudah jauh menyimpang dari ajaran-ajaran
agama yang dibawa oleh Nabi-nabiNya, akan diutusNya seorang Nabi
atau Rasul yang bertugas untuk menyegarkan kembali ajaran-ajaran
nabi-nabi yang sebelumnya dan mengembalikan masyarakat yang
sudah tersesat ke jalan lurus dan benar dan mencuci bersih jiwa
manusia dari segala tahayul dan syirik menggantinya dan mengisinya
dengan Iman, Tauhid dan Aqidah yang sesuai dengan fitrah.
Demikianlah maka kepada suku Aad yang telah dimabukkan oleh
kesejahteraan hidup dan kenikmatan duniawi sehingga tidak
mengenalkan Tuhannya yang mengurniakan itu semua. Nabi Hud
memulai dakwahnya dengan menarik perhatian kaumnya suku Aad
kepada tanda-tanda wujudnya Allah yang berupa alam sekeliling
mereka dan bahawa Allahlah yang mencipta mereka semua dan
mengurniakan mereka dengan segala kenikmatan hidup yang berupa
tanah yang subur, air yang mengalir serta tubuh badan yang tegak
dan kuat. Dialah yang seharusnya mereka sembah dan bukannya
patung-patung yang mereka perbuat sendiri.
Mereka sebagai manusia adalah makhluk Tuhan paling mulia yang
tidak sepatutnya merendahkan diri sujud menyembah batu-batu yang
dapat mereka hancurkan sendiri dan memusnahkannya dari pandangan
dan dengan tangan mereka.
Di terangkan oleh Nabi Hud bahawa dia adalah pesuruh Allah yang
diberi tugas untuk membawa mereka ke jalan yang benar beriman
kepada Allah yang menciptakan mereka menghidup dan mematikan
mereka memberi rezeki atau mencabutnya daripada mereka. Ia tidak
mengharapkan upah dan menuntut balas jasa atas usahanya memimpin
dan menuntut mereka ke jalan yang benar.
Ia hanya menjalankan perintah Allah dan memperingatkan mereka
bahawa jika mereka tetap menutup telinga dan mata mereka
menghadapi ajakan dan dakwahnya mereka akan ditimpa azab dan
dibinasakan oleh Allah sebagaimana terjadinya atas kaum Nuh yang
mati binasa, tenggelam dalam air bah akibat kebongkakan dan
kesombongan mereka menolak ajaran dan dakwah Nabi Nuh seraya
bertahan pada pendirian dan kepercayaan mereka kepada berhala
dan patung-patung yang mereka sembah dan dipuja itu.
Bagi kaum Aad seruan dan dakwah Nabi Hud itu merupakan barang
yang tidak pernah mereka dengar ataupun menduga. Mereka melihat
bahawa ajaran yang dibawa oleh Nabi Hud itu akan mengubah sama
sekali cara hidup mereka dan merosakkan peraturan dan adat istiadat
yang telah mereka kenal dan warisi dari nenek moyang mereka.
Mereka tercengang dan merasa hairan bahawa seorang dari suku
mereka sendiri telah berani berusaha merombak tatacara hidup mereka
dan menggantikan agama dan kepercayaan mereka dengan sesuatu
yang baru, yang mereka tidak kenal dan tidak pula dimengertikan dan
susah diterima oleh akal fikiran mereka. Dengan serta-merta
ditolaklah oleh mereka dakwah Nabi Hud itu dengan berbagai alasan
dan tuduhan kosong terhadap diri beliau serta ejekan-ejekan dan
hinaan yang diterimanya dengan kepala dingin dan penuh kesabaran.
Berkatalah kaum Aad kepada Nabi Hud: " Wahai Hud ! Ajaran dan
agama apakah yang engkau hendak anjurkan kepada kami ? Engkau
ingin agar kami meninggalkan persembahan kami kepada tuhan-tuhan
kami yang berkuasa ini dan menyembah tuhanmu yang tidak dapat
kami jangkau dengan pancaindera kami dan tuhan yang menurut kata
kamu tidak bersekutu.
Cara persembahan yang kami lakukan ini ialah yang telah kami warisi
dari nenek moyang kami dan tidak sesekali kami tidak akan
meninggalkannya bahkan sebaliknya engkaulah yang seharusnya kembali
kepada aturan nenek moyangmu dan jangan merosakkan kepercayaan
dan agama mereka dengan membawa suatu agama baru yang tidak
dikenali oleh mereka dan tentu tidak akan direstuinya."
" Wahai kaumku !" jawab Nabi Hud, " Sesungguhnya Tuhan yang aku
serukan ini kepada kamu untuk menyembahNya walaupun kamu tidak
dapat menjangkauNya dengan pancainderamu namun kamu dapat
melihat dam merasakan wujudnya dalam diri kamu sendiri sebagai
ciptaanNya dan dalam alam semesta yang mengelilingimu beberapa
langit dengan matahari, bulan dan bintang-bintangnya, bumi dengan
gunung-ganangnya, sungai, tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang
yang kesemuanya dapat memberi manfaat bagi kamu sebagai manusia.
Dan dapat kamu menikmati kehidupan yang sejahtera dan bahagia.
Tuhan itulah yang harus kamu sembah dan menundukkan kepala kamu
kepadaNya.Tuhan Yang Maha Esa, tiada bersekutu, tidak beranak
dan diperanakan yang walaupun kamu tidak dapat menjangkauNya
dengan pancainderamu, Dia dekat daripada kamu serta mengetahui
segala gerak-geri dan tingkah lakumu, mengetahui isi hatimu, denyut
jantungmu dan jalan fikiranmu.
Tuhan itulah yang harus disembah oleh manusia dengan kepercayaan
penuh kepada KeEsaanNya dan keKuasaanNya dan bukan patung-
patung yang kamu perbuat pahat dan ukir dengan tangan kamu sendiri
kemudian kamu sembah sebagai tuhan padahal ia suatu barang yang
pasif tidak dapat berbuat sesuatu yang menguntungkan atau
merugikan kamu.
Alangkah Bodohnya dan Ceteknya fikiranmu jika kamu tetap
mempertahankan agamamu yang sesat itu dan menolak ajaran dan
agama yang telah diwahyukan kepadaku oleh Allah Tuhan Yang
Maha Esa itu."
" Wahai Hud !" jawab kaumnya, " Gerangan apakah yang menjadikan
engkau berpandangan dan berfikiran lain daripada yang sudah menjadi
pegangan hidup kami sejak dahulu kala dan menjadikan engkau
meninggalkan agama nenek moyangmu sendiri bahkan sehingga engkau
menghina dan merendahkan martabat tuhan-tuhan kami dan
memperbodohkan kami dan menganggap kami berakal sempit dan
berfikiran cetek ?
Engkau mengaku bahawa engkau terpilih menjadi rasul pesuruh oleh
Tuhanmu untuk membawa agama dan kepercayaan baru kepada kami
dan mengajak kami keluar dari jalan yang sesat menurut pengakuanmu
ke jalan yang benar dan lurus. Kami merasa hairan dan tidak dapat
menerima oleh akal kami sendiri bahawa engkau telah dipilih menjadi
pesuruh Tuhan.
Apakah kelebihan kamu di atas seseorang daripada kami, engkau tidak
lebih tidak kurang adalah seorang manusia biasa seperti kami hidup
makan minum dan tidur, tiada bezanya dengan kami, mengapa engkau
yang dipilih oleh Tuhanmu ? Sungguh engkau menurut anggapan kami
seorang pendusta besar atau mungkin engkau berfikiran tidak sihat
terkena kutukan tuhan-tuhan kami yang selalu engkau ejek, hina dan
cemuhkan."
" Wahai kaumku !" jawab Nabi Hud, " Aku bukanlah seorang pendusta
dan fikiran ku tetap waras dan sihat tidak kurang sesuatu pun dan
ketahuilah bahwa patung-patungmu yang kamu perTuhankan itu tidak
dapat mendatangkan sesuatu gangguan atau penyakit bagi badanku
atau fikiranku.
Kamu kenal aku, sejak lama aku hidup di tengah-tengah kamu bahawa
aku tidak pernah berdusta dan bercakap bohong dan sepanjang
pergaulanku dengan kamu tidak pernah terlihat pada diriku tanda-
tanda ketidakwajaran perlakuanku atau tanda-tanda yang meragukan
kewarasan fikiranku dan kesempurnaan akalku.
Aku adalah benar pesuruh Allah yang diberi amanat untuk menyampaikan
wahyuNya kepada hamba-hambaNya yang sudah tersesat dengan
pengaruh ajaran Iblis dan sudah jauh menyimpang dari jalan yang benar
yang diajar oleh nabi-nabi yang terdahulu kerana Allah tidak akan
membiarkan hamba-hambaNya terlalu lama terlantar dalam kesesatan
dan hidup dalam kegelapan tanpa diutuskan seorang rasul yang
memimpin mereka ke jalan yang benar dan penghidupan yang
diredhaiNya.
Maka percayalah kamu kepadaku, gunakanlah akal fikiran kamu,
berimanlah dan bersujudlah kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam,
Tuhan yang menciptakan kamu, menciptakan langit dan bumi,
menurunkan hujan bagi menyuburkan tanah ladangmu, menumbuhkan
tumbuh-tumbuhan bagi meneruskan hidupmu.
Bersembahlah kepadaNya dan mohonlah Ampun atas segala perbuatan
salah dan tindakan sesatmu, agar Dia menambah rezekimu dan
kemakmuran hidupmu dan terhindarlah kamu dari azab dunia
sebagaimana yang telah dialami oleh kaum Nuh dan kelak azab
di akhirat.
Ketahuilah bahawa kamu akan dibangkitkan kembali kelak dari kubur
kamu dan diminta bertanggungjawab atas segala perbuatan kamu
di dunia ini dan diberi ganjaran sesuai dengan amalanmu, yang baik
dan soleh mendapat ganjaran baik dan yang hina dan buruk akan
mendapat ganjaran dengan api neraka.
Aku hanya menyampaikan risalah Allah kepada kamu dengan
memperingati kamu akan akibat yang akan menimpa kepada dirimu,
jika kamu tetap mengingkari kebenaran dakwahku."
Kaum Aad menjawab: " Kami bertambah yakin dan tidak ragu lagi
bahawa engkau telah mendapat kutukan tuhan-tuhan kami sehingga
menyebabkan fikiran kamu kacau dan akalmu berubah menjadi tidak
waras. Engkau telah mengucapkan kata-kata yang tidak masuk akal
bahawa jika kami mengikuti agamamu, akan bertambah rezeki dan
kemakmuran hidup kami dan bahawa kami akan dibangkitkan kembali
dari kubur kami dan menerima segala ganjaran atas segala amalan
kami.
Adakah mungkin kami akan dibangkitkan kembali dari kubur kami setelah
kami mati dan menjadi tulang-belulang. Dan apakah azab dan seksaan
yang engkau selalu menakut-nakuti kami dan mengancamkannya kepada
kami ? Semua ini kami anggap kosong dan ancaman kosong belaka.
Ketahuilah bahawa kami tidak akan menyerah kepadamu dan mengikuti
ajaranmu kerana bayangan azab dan seksa yang engkau bayang-
bayangkannya kepada kami, bahkan kami menentang kepadamu
datangkanlah apa yang engkau janjikan dan ancamlah kami jika engkau
betul-betul benar dalam kata-katamu dan bukan seorang pendusta."
" Baiklah !" jawab Nabi Hud, " Jika kamu meragukan kebenaran kata-
kataku dan tetap berkeras kepala tidak menghiraukan dakwahku dan
meninggalkan persembahanmu kepada berhala-berhala itu maka
tunggulah saat tibanya pembalasan Tuhan di mana kamu tidak akan
dapat melepaskan diri dari bencananya. Allah menjadi saksiku bahawa
aku telah menyampaikan risalahNya dengan sepenuh tenagaku kepadamu
dan aku akan tetap berusaha sepanjang hayat dikandung badan
memberi penerangan dan tuntunan kepada jalan yang baik yang telah
digariskan oleh Allah bagi hamba-hambaNya."
*** Pembalasan Allah Atas Kaum Aad ***
Pembalasan Tuhan terhadap kaum Aad yang kafir dan tetap
membangkang itu, diturunkan dalam dua peringkat.Tahap pertama
berupa kekeringan yang melanda ladang-ladang dan kebun-kebun mereka,
sehingga menimbulkan kecemasan dan kegelisahan, kalau-kalau mereka
tidak memperolehi hasil dari ladang-ladang dan kebun-kebunnya seperti
biasanya.
Dalam keadaan demikian Nabi Hud masih berusaha meyakinkan
mereka bahawa kekeringan itu adalah suatu permulaan seksaan dari
Allah yang dijanjikan dan bahawa Allah masih lagi memberi kesempatan
kepada mereka untuk sedar akan kesesatan dan kekafiran mereka dan
kembali berIman kepada Allah dengan meninggalkan persembahan
mereka yang bathil, kemudian berTaubat dan memohon Ampun kepada
Allah agar segera Hujan turun kembali dengan lebatnya dan terhindar
mereka dari bahaya kelaparan yang mengancam.
Akan tetapi mereka tetap belum mahu percaya dan menganggap janji
Nabi Hud itu adalah janji kosong belaka. Bahkan mereka pergi
menghadap berhala-berhala mereka memohon perlindungan dari
musibah yang mereka hadapi. Tentangan mereka terhadap janji Allah
yang diwahyukan kepada Nabi Hud segera mendapat jawapan dengan
datangnya pembalasan tahap kedua yang dimulai dengan terlihatnya
gumpalan awan dan mega hitam yang tebal di atas mereka yang
disambutnya dengan sorak-sorai gembira, kerana dikiranya bahawa
hujan akan segera turun membasahi ladang-ladang dan menyirami
kebun-kebun mereka yang sedang mengalami kekeringan.
Melihat sikap kaum Aad yang sedang bersuka ria itu berkatalah Nabi
Hud dengan nada mengejek: " Gumpalan awan hitam itu bukanlah
awan rahmat/hujan bagi kamu tetapi awan taufan yang akan membawa
kepada kehancuran kamu sebagai pembalasan Allah yang telah
aku janjikan dan kamu ternanti-nanti untuk membuktikan kebenaran
kata-kataku yang selalu kamu sangkal dan kamu dusta itu."
Sejurus kemudian menjadi kenyataanlah apa yang diramalkan oleh Nabi
Hud itu bahawa bukan hujan yang turun dari awan yang tebal itu tetapi
angin taufan yang dahsyat dan kencang disertai bunyi gemuruh yang
mencemaskan yang telah merosakkan bangunan-bangunan rumah dari
dasarnya membawa berterbangan semua perabot-perabot dan harta
benda dan melempar jauh binatang-binatang ternakan. Keadaan kaum
Aad menjadi panik mereka berlari ke sana-sini, mudik mencari
perlindungan .
Suami tidak tahu di mana isterinya berada dan ibu juga kehilangan
anaknya, sedang rumah-rumah menjadi sama rata dengan tanah.
Bencana angin taufan itu berlangsung selama, lapan hari tujuh malam
sehingga sempat menyampuh bersih kaum Aad yang bongkak itu dan
menamatkan riwayat kaumnya dalam keadaan yang menyedihkan
untuk menjadi pengajaran dan ibrah bagi umat-umat yang akan datang.
Adapun Nabi Hud dan para sahabatnya yang beriman telah mendapat
perlindungan Allah dari bencana yang menimpa kaumnya yang kacau
bilau dan tenang seraya melihat keadaan kaumnya yang kacau bilau
mendengar gemuruhnya angin dan bunyi pohon-pohon dan bangunan-
bangunan yang berjatuhan serta teriakan dan tangisan orang yang
meminta tolong dan mohon perlindungan.
Setelah keadaan cuaca kembali tenang dan tanah " Al-Ahqaf " sudah
menjadi sunyi senyap dari kaum Aad pergilah Nabi Hud meninggalkan
tempatnya, berhijrah ke Hadramaut, di mana ia tinggal menghabiskan
sisa hidupnya sampai ia wafat dan dimakamkan di sana dimana hingga
sekarang makamnya yang terletak di atas sebuah bukit di suatu
tempat lebih kurang 50 km dari kota Siwun dikunjungi para penziarah
yang datang beramai-ramai dari sekitar daerah itu, terutamanya dan
bulan Syaaban pada setiap tahun.
*** Kisah Nabi Hud Dalam Al-Quran ***
Kisah Nabi Hud diceritakan oleh 68 ayat dalam 10 surah di antaranya
surah Hud, ayat 50 hingga 60 , surah Al-Mukminun ayat 31 sehingga
ayat 41 , surah Al-Ahqaaf ayat 21 sehingga ayat 26 dan surah
Al-Haaqqah ayat 6 ,7 dan 8.
*** Pengajaran Dari Kisah Nabi Hud A.S. ***
Nabi Hud telah memberi contoh dan sistem yang baik yang patut ditiru
dan diikuti oleh juru dakwah dan ahli penerangan agama. Beliau
menghadapi kaumnya yang sombong dan keras kepala itu dengan
penuh kesabaran, ketabahan dan kelapangan dada. Ia tidak sesekali
membalas ejekan dan kata-kata kasar mereka dengan serupa tetapi
menolaknya dengan kata-kata yang halus yang menunjukkan bahawa
beliau dapat menguasai emosinya dan tidak sampai kehilangan akal
atau kesabaran.
Nabi Hud tidak marah dan tidak gusar ketika kaumnya mengejek
dengan menuduhnya telah menjadi gila dan tidak waras. Ia dengan
lemah lembut menolak tuduhan dan ejekan itu dengan hanya mengata:
" Aku tidak gila dan bahawa tuhan-tuhanmu yang kamu sembah tidak
dapat menggangguku atau mengganggu fikiranku sedikit pun tetapi
aku ini adalah rasul, pesuruh Allah kepadamu dan betul-betul aku
adalah seorang penasihat yang jujur bagimu, menghendaki kebaikanmu
dan kesejahteraan hidupmu dan agar kamu terhindar dan selamat
dari azab dan seksaan Allah di dunia mahupun di akhirat."
Dalam berdialog dengan kaumnya. Nabi Hud selalu berusaha mengetuk
hati nurani mereka dan mengajak mereka berfikir secara rasional,
menggunakan akal dan fikiran yang sihat dengan memberikan bukti-
bukti yang dapat diterima oleh akal mereka tentang kebenaran
dakwahnya dan kesesatan jalan mereka. Namun Hidayah itu adalah
dari Allah, Dia akan memberinya kepada siapa yang Dia kehendakinya.
tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Mac 2014...^^..
No comments:
Post a Comment