Wednesday, 2 July 2014

081. At-Takwir 001-029, Terjemahan Al Quran...^^.. (Menggulung)

081. At-Takwir 001-029, Terjemahan Al Quran...^^..
(Menggulung)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Apabila matahari dilingkari cahayanya telah digulungkan (dan
hilang lenyap);

2@ Dan apabila bintang-bintang berguguran berselerak;

3@ Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah
dihancurkan menjadi debu);

4@ Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar (ditinggalkan begitu
sahaja);

5@ Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan (mati);

6@ Dan apabila lautan telah meluap-luap bercampur-baur;

7@ Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya
(roh-rohnya) ;

8@ Dan apabila anak bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup:
ditanya,

9@ Dengan dosa apakah dia dibunuh ?

10@ Dan apabila surat catatan (amal manusia) dibentangkan;

11@ Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya (dihancurkan);

12@ Dan apabila neraka Jahannam dinyalakan menjulang;

13@ Dan apabila Syurga telah didekatkan (kepada orang-orang yang
akan masuk);

14@ (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap jiwa dan orang akan
mengetahui tentang amal yang telah dikerjakannya.

15@ Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam
timbul;

16@ Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya;

17@ Dan demi malam, apabila ia hampir habis,

18@ Dan demi Subuh, apabila fajarnya telah mulai terang;

19@ Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang
disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia,

20@ Yang mempunyai kekuatan , lagi berkedudukan tinggi di sisi
Allah yang mempunyai 'Arasy,

21@ Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai.

22@ Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai
golongan yang menentang Islam), bukanlah dia seorang gila (seperti
yang kamu tuduh);

23@ Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya
ialah wahyu dari Tuhan, kerana) demi sesungguhnya ! Nabi Muhammad
telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata.

24@ Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan
disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara
yang ghaib.

25@ Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang
kena rejam.

26@ (Dengan yang demikian) Ke manakah kamu hendak pergi (kiranya
kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran, sudah terang  akan
kebenaran) ?

27@ Al-Quran itu, tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh
penduduk alam:

28@ Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan
(Islam yang lurus) yang betul.

29@ Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai
sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang
memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.

### Ayat di atas menggambarkan bagaimana hebatnya hari Kiamat.
Ketika itu matahari berguling (jatuh) dari tempatnya, bintang-bintang
bertebaran terpelanting ke sana sini, gunung-gunung pecah belah,
lantaran gempa yang kuat gegarannya, sehingga menjadi debu yang
berterbangan. Air lautan naik dan melimpah ke atas daratan serta
sangat panas, kubur-kubur terbongkar dan terbalik, sehingga kosong
apa-apa yang ada di dalamnya.

Ketika itu semua manusia mati ketakutan, melarikan diri masing-
masing sehingga melupakan harta benda dan binatang-binatang
miliknya. Begitu juga binatang-binatang dalam hutan berkeliaran
kerana ketakutan, sehingga berkumpul sesama mereka. Ketika itu,
robohlah bumi ini, musnahlah semua alam (jin dan manusia) dan
bertukarlah ke alam akhirat keseluruhannya melainkan tuhan Allah.

Apabila ditiup trompet (bermakna tibanya perintah Allah), maka
berlakulah hari kiamat. Kemudian berbunyi trompet buat kali kedua,
untuk mengumpulkan semua manusia dan menghidupkannya. Setiap
manusia akan diperiksa setiap amalan masing-masing, terutama
bapa yang membunuh anak perempuannya hidup-hidup, lantaran malu
mempunyai anak perempuan, sebagaimana adat kebiasaan orang-
orang Arab jahiliah dahulu.

Maka buku amalannya (semasa hidup di dunia) di buka di hadapannya,
yang tercatat setiap amalan termasuk alam ghaib (tidak pernah rosak
kandungannya). Malaikatnya selalu patuh dalam menulis buku amalan
ini. Di akhirat jualah, akan di balas Allah dengan balasan yang seadil-
adilnya. ####

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Jun 2014...^^..

No comments:

Post a Comment