Saturday 8 February 2014

Pahlawan Neraka...^^..

Pahlawan Neraka...^^..

Suatu hari satu pertempuran telah berlaku di antara pihak Islam
dengan pihak Musyrik. Kedua-dua belah pihak berjuang dengan hebat
untuk mengalahkan antara satu sama lain. Tiba saat pertempuran itu
diberhentikan seketika dan kedua-dua pihak pulang ke markas masing-
masing.

Di sana Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat telah berkumpul
membincangkan tentang pertempuran yang telah berlaku itu.
Peristiwa yang baru mereka alami itu masih terbayang-bayang di
ruang mata. Dalam perbincangan itu, mereka begitu kagum dengan
salah seorang dari sahabat mereka iaitu, Qotzman. Semasa bertempur
dengan musuh, dia kelihatan seperti seekor singa yang lapar membaham
mangsanya. Dengan keberaniannya itu, dia telah menjadi buah mulut
ketika itu.

" Tidak seorang pun di antara kita yang dapat menandingi kehebatan
Qotzman," kata salah seorang sahabat. Mendengar perkataan itu,
Rasulullah pun menjawab, " Sebenarnya dia itu adalah golongan
penduduk neraka." Para sahabat menjadi hairan mendengar jawapan
Rasulullah itu. Bagaimana seorang yang telah berjuang dengan begitu
gagah menegakkan Islam boleh masuk dalam neraka. Para sahabat
berpandangan antara satu sama lain apabila mendengar jawapan
Rasulullah itu.

Rasulullah sedar para sahabatnya tidak begitu percaya dengan
ceritanya, lantas baginda berkata, " Semasa Qotzman dan Aktsam
keluar ke medan perang bersama-sama, Qotzman telah mengalami luka
parah akibat ditikam oleh pihak musuh. Badannya dipenuhi dengan
darah. Dengan segera Qotzman meletakkan pedangnya ke atas tanah,
manakala mata pedang itu pula dihadapkan ke dadanya. Lalu dia terus
membenamkan mata pedang itu ke dalam dadanya."

" Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia tidak tahan
menanggung kesakitan akibat dari luka yang dialaminya. Akhirnya
dia mati bukan kerana berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh
dirinya sendiri. Melihatkan keadaannya yang parah, ramai orang
menyangka yang dia akan masuk syurga. Tetapi dia telah
menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka."

Menurut Rasulullah S.A.W lagi, sebelum dia mati, Qotzman ada
mengatakan, katanya, " Demi Allah aku berperang bukan kerana agama
tetapi hanya sekadar menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak
dihancurkan oleh kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah untuk
membela kehormatan kaumku. Kalau tidak kerana itu, aku tidak akan
berperang." Riwayat ini telah dirawikan oleh Luqman Hakim.

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Feb 2014...^^..

No comments:

Post a Comment