Saturday 8 February 2014

Menangis  Kerana Takutkan Allah...^^..

Menangis  Kerana Takutkan Allah...^^..

Rasulullah S.A.W telah bersabda, " Bahawa tidak akan masuk neraka
orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu
kembali ke tempat asalnya." Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar
menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari
kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah
diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka. Maka salah satu
daripada rambut-rambut matanya berkata, " Wahai Tuhanku, Rasul
Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang
menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan
matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat
takut kepada-Mu."

Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya
dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis
kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan,
telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut."

Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa
pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan
mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan,
semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya.
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, " Kamu lihat (pada hari itu)
setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap
umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada
hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan."
(Surah al-Jatsiyah ayat 28)

Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar
kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan
dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat
didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan
berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, " Diriku,
diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi
sahaja yang akan berkata, "Umatku, umatku."

Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa
itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi
Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata, " Wahai api !
Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli
sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang
yang berpuasa, supaya engkau kembali."

Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali,
lalu malaikat Jibril berkata, " Sesungguhnya api neraka itu menuju
kepada umat Muhammad S.A.W" Kemudian Jibril membawa
semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S.
" Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu
Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah
api itu. Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S.
" Wahai Jibril, Apakah air itu ?" Maka Jibril berkata, " Itulah air
mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut
kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk
memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu."
Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.

Telah bersabda Rasulullah S.A.W, " Ya Allah, anugerahilah kepada
kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu,
sebelum tidak ditemunya air mata."

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Feb 2014...^^..

No comments:

Post a Comment