Monday 24 February 2014

Cinta Sejati Seorang Ibu Terhadap Anak-Anaknya...^^..

Cinta Sejati Seorang Ibu Terhadap Anak-Anaknya...^^..

Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap
menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang
dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang
disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman,
maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair. Al-Khansa
bin Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang
terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah
bersyair mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr :

" Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang.
Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang dii ufuk barat,
Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku
ke atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku."

Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya
bersyair telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para
pejuang Islam. Ia mempunyai empat orang putera yang kesemuanya
diajar ilmu bersyair dan di didik berjuang dengan berani. Kemudian
puteranya itu telah diserahkan untuk berjuang demi kemenangan
dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil
lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran.

Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan
satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua Islam dari
berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang,
maka terkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa telah
mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat
senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan
perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat
dan menaikkan semangat pejuang tentera Islam.

Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar
lagi akan ke medan perang, " Wahai anak-anakku ! Kamu telah
memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan
sukarela pula. Demi Allah, yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya
kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang
wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah
memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan
keturunan kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu.
Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah kepada kaum
muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasanya
kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa."

Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang
bermaksud, " Wahai orang yang beriman ! Sabarlah, dan
sempurnakanlah kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu,
dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi orang yang beruntung."
Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda
yang disayanginya.

Seterusnya Khansa berkata, " Jika kalian bangun esok pagi, insya
Allah dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan
musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah
pertolongan dari Allah. Jika kamu melihat api pertempuran semakin
hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang
bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya
ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu akan berjaya
mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang
kekal."

Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang
masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh,
kemudian berdoa moga-moga Allah memberikan mereka kemenangan
atau syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas, panglima besar Islam
telah memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik sahaja semboyan
perang berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada
hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang
tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang.
Pasukan Islam mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin
akan pertolongan Allah .

Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga.
Berkat dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun
berasa takut. Sambil mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang dari
mereka bersyair, " Hai saudara-saudaraku ! Ibu tua kita yang banyak
pengalaman itu, telah memanggil kita semalam dan membekalkan
nasihat. Semua mutiara yang keluar dari mulutnya bernas dan
berfaedah. Insya Allah akan kita buktikan sedikit masa lagi."

Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya
disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang
mencabar. Dengan semangat yang berapi-api ia bersyair,

" Demi Allah ! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami.
Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati. Segeralah
bertempur, segeralah bertarung dan menggempur musuh-musuh
bersama-sama. Sehingga kau lihat keluarga Kaisar musnah." Anak
Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan
bersyair, " Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas
tidak goncang.

Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal
cemerlang. Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat
terhadap anak-anaknya sendiri. Mari ! segera memasuki medan
tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri. Dapatkan
kemenangan yang bakal membawa kegembiraan di dalam hati. Atau
tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi."

Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul
abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,
" Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan. Dan
bukanlah pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal.
Kalau aku tidak membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok
itu terjunam ke jurang bahaya dan musnah mangsa oleh senjataku."

Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk
mendapatkan Syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang
berada di garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam
pada mulanya kebingungan dan kacau kerana pada mulanya tentera
Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan, sementara
tentera berjalan kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak itu.

Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan
memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu
marah dengan menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-
mijak tentera Farsi yang lainnya. Kesempatan ini digunakan oleh
pihak Islam untuk memusnahkan mereka.

Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya
mereka lari lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh
pasukan Islam hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah
teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian kecil sahaja yang
dapat menyelamatkan diri.

Umat Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam
yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan
Kadisia itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000
orang syuhada itu terbujur empat orang adik-beradik Khansa.
Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang datang menemui
Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat anaknya telah
menemui syahid.

Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak
bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan, " Segala
puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka,
dan aku mengharapkan dari Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku
dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmatNya !"

Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang
masih hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan
pertempuran Kadisia. Dari peristiwa peperangan itu pula wanita penyair
ini mendapat gelaran kehormatan " 'Ummu syuhada) yang ertinya ibu
kepada orang-orang yang mati syahid."

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Feb 2014...^^..

No comments:

Post a Comment