Perkara Aneh Yang Berlaku Keatas Seorang Nabi...^^..
Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu
ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi
yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang
hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada
suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, " Esok engkau
dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat.
Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi)
maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah,
keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau
daripadanya."
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke
barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar
berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, " Aku
diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu
yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk
memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan
diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya
lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan
madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan
sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya
disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu
ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk
emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga
tiga kali berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, " Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia
pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk
emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang
sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil
itu berkata, " Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun
mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan
keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu
sambil berkata, " Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar
burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan
harapanku dari rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu
tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk
menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk
mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan
kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan
burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalanannya. Tidak lama kemudian
dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun
bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan
hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah
Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia
berkata, " Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana
yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti
semuanya ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, " Yang
pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti
bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta
menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap
akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka
janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu,
maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri
berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal
seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul
membuat ghibah."
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam
diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam
kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap
hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka
mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal
seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis
mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut
melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya,
" Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah
aku kerjakan di dunia dulu."
Maka berkata Allah S.W.T., " Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata
tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang
kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri
kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang
walaupun ia benar.
tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Nov 2013...^^..
No comments:
Post a Comment