Wednesday, 6 November 2013

Kisah Pemuda Beribu Bapakan Babi...^^..

Kisah Pemuda Beribu Bapakan Babi...^^..

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan
Allah S.W.T. Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke
Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.
Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga.
Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. " Ya Allah, siapakah
orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?". Allah pun
menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat
tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit
Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah
beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa
ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya
bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau
dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak
melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu
di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi
betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa
terkejut melihatnya. " Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam
hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu
dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke
dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa
pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan
dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium
dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke
bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. " Wahai saudara! Apa
agama kamu?". " Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam.
" Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu."
Kata Nabi Musa.

" Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. " Sebenarnya kedua babi itu
adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang
besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh
rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya
dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku
sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana
yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi,
aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.

" Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku
bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang
sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda
itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s.
" Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga
nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibubapanya.
Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga.
Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : " Oleh kerana dia telah
berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya.
Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami
pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa
ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga
hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun
hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan
ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan
urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih
sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.

Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan
urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya
kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat
yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa
di alam kubur. Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukanlah
melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua
ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat
yang terbaik di sisi Allah.

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Nov 2013...^^..

No comments:

Post a Comment