Thursday 29 August 2013

Membentuk Pelajar Lemah Menjadi Cemerlang...^^..

Membentuk Pelajar Lemah Menjadi Cemerlang

Oleh Azrina Sobian, Penulis ialah Felo Pusat Sains dan Teknologi
Institut Kefahaman Islam Malaysia
Disunting oleh Norshahuddin Edited Ogos 2013

Pendidikan sangat penting dan kerana itu, tidak hairanlah pada setiap
masa, dunia pendidikan negara mendapat perhatian yang tinggi. Sering
kali kita mendengar pelbagai pandangan diutarakan bagi memperbaiki
sistem pendidikan negara. Namun, sehingga kini usaha merealisasikan
pandangan itu masih terlalu jauh apatah lagi untuk melihat hasilnya.
Rungutan yang diterima pula mempunyai pelbagai sifat, daripada
rungutan terhadap sistem pendidikan, mutu guru, kandungan pelajaran,
kaedah pengajaran serta tumpuan pendidikan.

Segala rungutan akhirnya mengelirukan masyarakat dan menimbulkan rasa
tidak yakin ibu bapa terhadap dunia pendidikan itu sendiri. Paling
terbaru adalah usaha mengehadkan jumlah mata pelajaran yang boleh
diambil pelajar dan menilai semula mata pelajaran teras. Semua usaha
itu dialu-alukan. Sememangnya, perhatian kerajaan terhadap
meningkatkan keupayaan pelajar amat digalakkan. Namun, penulis tidak
begitu pasti adakah usaha dicanangkan itu mengambil kira pelajar
lemah di sekolah?

Apa yang diperhatikan kini, pelbagai usaha penambahbaikan mutu
pendidikan lebih banyak menyentuh atau menjurus kepada pelajar
mempunyai kemampuan belajar yang baik atau dalam bahasa mudahnya,
pelajar pandai.

Namun, langkah memperbaiki sistem pendidikan untuk pelajar lemah jarang
sekali disentuh. Adakah ini bermakna pelajar sebegini tidak diiktiraf
dalam dunia pendidikan negara? Untuk tujuan penulisan ini, penulis
ingin merujuk pelajar lemah yang tidak begitu menyerlah dalam pelajaran
atau tidak dapat menguasai pelajaran.

Secara umumnya, mereka ini menguasai kemahiran asas pembelajaran (3M)
iaitu membaca, mengira dan menulis namun mereka adalah pelajar yang
jarang sekali memperoleh A dalam pelajaran. Dengan kata lain, mereka
sering kali dirujuk sebagai ‘pelajar tidak pandai’.

Pelajar tidak pandai ini disebabkan pelbagai punca. Ada pelajar itu
sememangnya sudah sedia menghadapi masalah ketidakupayaan pembelajaran.
Ada pula menghadapi masalah sikap dan tidak ketinggalan sememangnya
tidak menyukai sesuatu mata pelajaran akibat pengalaman pembelajaran
tidak baik atau tidak menyeronokkan.

Walaupun pelajar lemah tidak menyerlah dalam pelajaran dan mungkin,
setiap kali peperiksaan hanya mendapat markah ‘cukup makan’, tidak
bermakna mereka tidak mempunyai potensi atau kemampuan untuk berjaya.
Malangnya, dalam keadaan kini, potensi atau keupayaan pelajar tidak
dikenal pasti kerana dunia pendidikan lebih banyak menumpukan kepada
pelajar berkeupayaan tinggi. Hasilnya, jarang sekali mendengar masalah
atau nasib pelajar lemah terbela setelah gagal atau hanya mendapat
markah minimum dalam peperiksaan utama.

Oleh kerana itulah persoalan diskriminasi dunia pendidikan terhadap
pelajar lemah ditimbulkan. Apakah yang terjadi kepada mereka selepas
tidak memperoleh keputusan baik dalam peperiksaan? Adakah program atau
perancangan khusus dilakukan untuk pelajar ini? Atau mungkinkah mereka
hanya dibiarkan menentukan nasib sendiri. Jika ini benar terjadi maka
tidak hairanlah pelbagai masalah berkait dunia remaja semakin
berleluasa.

Tidak dinafikan, ada perancangan tertentu untuk pelajar yang kurang
menyerlah dalam pelajaran. Jika tidak masakan kerajaan memperkenalkan
sekolah vokasional atau sekolah kemahiran. Namun, berapa ramaikah
pelajar lemah berpeluang memasuki sekolah begini? Pasti tidak semua
pelajar mempunyai peluang yang sama untuk memasuki sekolah kemahiran.
Apa pula terjadi kepada pelajar yang tidak terpilih? Ini pasti
menimbulkan persoalan terhadap pelaksanaan dasar atau perancangan yang
tidak menepati sasaran dikehendaki.

Justeru, kita hendaklah bijak mengenal pasti keupayaan anak atau
pelajar dan seterusnya membangunkan keupayaan mereka ke tahap
tertinggi. Jika pelajar tidak mampu cemerlang dalam pelajaran, maka
keupayaan lain dimiliki pelajar itu mestilah dikenal pasti.

Kemungkinan besar pelajar itu pandai dalam lukisan atau muzik. Maka,
kelebihan itulah yang perlu digilap. Inilah yang berlaku kepada
beberapa insan ternama di dunia seperti Albert Einstein (14 Mac 1879
- 18 April 1955). Einstein menghadapi masalah disleksia yang
menyebabkan beliau mempunyai daya ingatan tidak baik dan sentiasa
gagal menghafal walaupun satu perkara mudah seperti mengingati bulan
dalam satu tahun. Walaupun Einstein mungkin tidak dapat belajar
dengan baik, sumbangan beliau dalam dunia saintifik dan teori
sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.

Begitu juga penulis terkenal Agatha Christie (15 September 1890 - 12
Januari 1976). Walaupun menghadapi masalah dalam pembelajaran, ia
tidak menghalang beliau menjadi kreatif dan belajar untuk menulis.
Hasilnya, beliau berjaya menulis pelbagai buku misteri yang terjual
sehingga 4 bilion naskhah di seluruh dunia. Malah, tulisan beliau
menjadi sumber ilham ramai penulis muda di seluruh dunia.

Manusia mempunyai pelbagai keupayaan dan keupayaan yang perlu digilap.
Dalam dunia pendidikan negara, perbezaan keupayaan sememangnya diakui
wujud namun sejauh mana usaha mengenal pasti dan memupuk perbezaan
keupayaan itu dilaksanakan masih menjadi tanda tanya.

Apa yang sangat diperlukan adalah usaha campur tangan awal dalam
pengenal pasti keupayaan pelajar. Ini harus dilakukan seawal mungkin
dan seterusnya kaedah pendidikan yang menjurus kepada keupayaan itu
mestilah dilaksanakan segera. Jika ini dapat dilakukan, maka
keupayaan semua pelajar dapat digembleng dan diarahkan kepada jalan
yang baik. Seterusnya, ini membuktikan betapa kita mengiktiraf
keistimewaan yang dimiliki setiap pelajar.

Norshahuddin Edited Ogos 2013...^^..

No comments:

Post a Comment