Thursday 29 August 2013

Ilmu Angkat Martabat Manusia Sebagai Khalifah...^^..

Ilmu Angkat Martabat Manusia Sebagai Khalifah

Oleh Amran Zakaria, Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI)
Disunting oleh Norshahuddin Edited Ogos 2013

Islam menjadikan ilmu pengetahuan penggerak utama mencapai maksud
merubah kehidupan ke arah lebih baik. Ilmu diangkat ke tahap paling
tinggi kerana tanpa ilmu pengetahuan, segala kegiatan akan menemui
kegagalan dan tidak sampai kepada matlamat sebenar, iaitu mencari
keredaan Allah.

Menurut Islam, ilmu pengetahuan adalah ukur tara yang jelas bagi
membezakan antara seseorang dengan yang lain. Ini dijelaskan
melalui firman Allah bermaksud: “Katakanlah, adakah sama orang yang
mengetahui dengan yang tidak mengetahui.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)

Selain itu, ilmu pengetahuan juga alat bagi mencapai tahap keimanan
sempurna dan pengukur ketakwaan seseorang kepada penciptanya. Ilmu
dan iman tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling berhubungan
dan saling mempengaruhi.

Seseorang Muslim dinilai dari segi ilmu, iman serta amalannya bagi
mengukur sejauh mana ketakwaannya kepada Allah. Ia bukan dinilai
dari segi keturunan, kedudukan, bangsa, kekayaan, rupa dan warna
kulit.

Allah meletakkan orang beriman dan berilmu ke tahap paling tinggi,
seperti ditegaskan Allah dalam firmannya bermaksud: “Allah akan
meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang
diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah,
ayat 11)

Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia.
Firman Allah bermaksud: “Katakanlah adakah sama orang berilmu
dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat
peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu
dan bijaksana.” (Surah al-Zumar, ayat 9)

Daripada Ka’ab bin Malik, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk
menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya
dengan ilmu itu wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah
masukkan dia ke dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn
Majah)

Ilmu agama atau ilmu yang ada dalam al-Quran dan sunnah akan menjadi
benteng mencegah seseorang daripada melakukan perkara dilarang
syariat, dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam
perkara agama atau mengejar kebendaan duniawi.

Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti kejuruteraan, kedoktoran,
pertanian dan sebagainya dapat membantu kesejahteraan hidup manusia
di dunia. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut
ilmu membuktikan Islam memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang
yang berilmu.

Baginda Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Menuntut ilmu itu
adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.”
(Hadis riwayat Ibn 'Adiyy, Al-Bayhaqi dan Al-Tabarani)

Kedudukan serta martabat orang berilmu diangkat dan diletakkan
di tempat yang tinggi. Ilmu dapat mengangkat darjat seseorang
kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat.

Firman Allah bermaksud: “Allah mengangkat beberapa darjat orang
yang beriman dan orang yang diberi ilmu pengetahuan.”
(Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagiaan hidup
di dunia dan akhirat, memberi kekuatan ketika dalam kesusahan
dan berhadapan dengan musuh. Dengan ilmu, manusia dapat menjalankan
ibadah secara sempurna serta melaksanakan peranan sebagai khalifah
Allah di muka bumi dengan sebaiknya.

Di Malaysia, sumber ilmu melalui penghasilan buku sangat sedikit.
Hasil kajian profil membaca Malaysia oleh Perpustakaan Negara
Malaysia (PNM) pada 1996 mendapati hanya 10,310 judul buku dalam
pelbagai bidang didaftarkan setahun, berbanding 180,000 judul
di China, 116,000 judul di United Kingdom, 60,000 judul di Amerika
Syarikat dan 45,000 judul di India.

Daripada 10,310 judul buku berdaftar setahun yang dihasilkan
perangkaan PNM itu, hanya 1,273 atau 32 peratus saja buku ilmiah
dikategorikan boleh meningkatkan minda, inovasi dan keilmuan
kepada pembaca. Yang lain adalah bahan bacaan santai di samping
buku teks akademik dan kanak-kanak.

Rasulullah SAW mengajarkan sahabat untuk selalu berlindung
daripada sifat malas. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Siapa merintis jalan mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan
baginya jalan ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya, ilmu yang ada pada kita amat sedikit. Alangkah sayangnya
jika ilmu yang sedikit dikurniakan Allah gagal untuk dimanfaatkan
bagi tujuan agama dan ummah. Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah
wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk
menulis kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu
sebelum habis kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan
lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan.” (Surah Al-Kahfi,
ayat 109)

Justeru, kajian yang dibuat adalah bertujuan untuk mencari ilmu,
bukan untuk bersaing dengan ilmuwan yang ada, bukan berbahas demi
memperoleh kemenangan dan bukan untuk menjadi masyhur. Ia ditulis
hanyalah untuk mencari keredaan Allah semata-mata.

Satu peringatan keras daripada Rasulullah SAW, dilaporkan daripada
Abu Hurairah, sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesiapa yang
mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari reda Allah, tetapi
dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia,
maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat.” (Hadis
riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

Niat menuntut ilmu juga penting kerana jika tujuan mendalami sesuatu
bidang tidak bagi mencapai keredaan Allah, maka rugi di dunia apatah
lagi di akhirat.

Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata: “Ilmu diiringi dengan
perbuatan. Barang siapa berilmu maka dia harus berbuat. Ilmu
memanggil perbuatan. Jika dia menjawabnya, maka ilmu tetap
bersamanya, namun jika tidak maka ilmu pergi darinya.”

Seharusnya ketika ini kita sudah bersedia untuk memecahkan gumpalan
pemikiran lama yang menjadikan tesis dan bahan kajian sekadar
menjadi simbol kebanggaan yang langsung tidak dimanfaatkan.

Alangkah baiknya jika semua analisis dan kajian dibuat dapat
diterjemahkan untuk tujuan pelaksanaan demi kepentingan dan
pembangunan ummah. Tidak bolehkah kajian itu diwakafkan demi
kepentingan tamadun ummah.

Memecahkan gumpalan pemikiran yang sudah berabad itu memang tidak
mudah. Tetapi itulah agenda besar yang harus dilaksanakan jika ingin
mengembalikan dinamik Islam ke arah berdaya saing.

Sudah lama kita dilihat lemah dan tidak berkeupayaan untuk
membuktikan Islam adalah pelopor serta menjadi paksi kemajuan dunia.
Ingatlah, buku adalah gudangnya ilmu dan membaca itu adalah kuncinya.

Diriwayatkan, Rasulullah SAW ada memberitahu kepada Abu Dzar: “Wahai
Abu Dzar, kamu pergi mengajarkan ayat dari Kitabullah lebih baik
bagimu dari solat seratus rakaat. Dan, pergi mengajarkan satu bab
ilmu pengetahuan, dilaksanakan atau tidak, itu lebih baik dari solat
seribu rakaat.” ( Hadis riwayat Ibnu Majah)

Norshahuddin Edited Ogos 2013...^^..

No comments:

Post a Comment