Thursday 29 August 2013

Ahli Sunnah Pewaris Generasi Sahabat, Tabiin ...^^

Ahli Sunnah Pewaris Generasi Sahabat, Tabiin

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Disunting oleh Norshahuddin Edited Ogos 2013

Rasulullah menyatakan al-Jamaah terselamat berbanding 71 golongan yang
akan hancur. Dari sudut sejarah, tidak diketahui dengan tepat tarikh
kemunculan mazhab Ahlal-Sunnah wal-Jamaah. Begitu juga tokoh yang mula
memperkenalkan nama mazhab itu.Kemunculannya jauh berbeza daripada
aliran Syiah dan Khawarij.

Kemunculan kedua-dua golongan itu bermotifkan politik terutama kepemimpinan
umat Islam. Oleh itu, Syiah dan Khawarij boleh dikatakan dua parti siasah
agama yang terawal lahir dalam sejarah umat Islam.

Menurut Ibnu Tamiyyah (wafat 728 Hijrah), Ahli Sunnah adalah mazhab sedia
ada sejak dulu dan dikenali sebelum kemunculan Abu Hanifah, Malik,
Al-Syafie dan Ahmad. Ia mazhab sahabat yang bersumber daripada Nabi SAW.
Mereka bersepakat mengatakan ijmak sahabat adalah hujah, tetapi mereka
berselisih pendapat mengenai ijmak generasi selepas sahabat.

Ibn Abbas menyebut istilah Ahl al-Sunnah ketika beliau mentafsirkan firman
Allah yang maksudnya: "(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka
(orang) menjadi putih berseri dan ada muka (orang) menjadi hitam legam".

Dalam ayat itu, Ibn Abbas mentafsirkan muka orang yang putih berseri ialah
Ahl al-Sunnah dan ulama, manakala muka hitam legam ialah ahli bidaah sesat.

Ahmad Hambal (wafat 241 Hijrah) pula menyatakan dalam mukadimah kitabnya
al-Sunnah: "Inilah mazhab ahli ilmu, ashab al-athar dan ahl al-sunnah yang
berpegang teguh pada al-Sunnah yang dikenali jejak langkahnya serta
menjadi ikutan umat bermula daripada sahabat Nabi SAW hingga ke hari ini."

Asas pengenalan kepada Ahl al-Sunnah boleh dilihat melalui keiltizaman
mereka dengan al-Quran dan sunnah sebagai sumber rujukan utama mengatasi
yang lain. Di samping itu, mereka memandang tinggi kepada generasi sahabat,
tabiin dan tokoh ulama hadis kerana melalui jaluran ini ilmu agama dapat
dipelajari serta diyakini.

Ulama berusaha mencari siapakah yang dimaksudkan al-Jamaah iaitu golongan
yang terselamat seperti dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW. Daripada
Anas Malik bahawa Rasulullah bersabda bani Israel terbahagi kepada 71
golongan, daripada itu 70 golongan hancur binasa dan satu golongan lagi
terselamat.

Sesungguhnya umatku juga akan berpecah kepada 72 golongan dan 71 golongan
akan hancur binasa. Satu golongan lagi akan terselamat". Sahabat bertanya:
"Wahai Rasulullah, siapakah golongan yang terselamat itu? Baginda
menjawab: Al-Jama'ah, al-Jamaah. (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).

Secara umum pendapat ulama berhubung al-Jamaah seperti berikut: Golongan
teramai (al-Sawad al-Azam) daripada umat Islam. Ini berdasarkan sabda
Rasulullah maksudnya: "Allah tidak menghimpunkan umatku dalam perkara
kesesatan selama-lamanya. Hendaklah kamu mengikuti al-Sawad al-A'zam,
yang bermaksud sekumpulan majoriti orang yang berhimpun mentaati
pemerintah dan menurut jalan yang lurus."

Berdasarkan kenyataan ini, termasuk dalam pengertian al-Jamaah ialah
golongan mujahid umat, ulama dan pendukung syariat yang beramal dengannya.
Sesiapa saja yang keluar daripada jemaah, dia ialah golongan menyeleweng
yang terjatuh dalam perangkap syaitan.

Begitu juga ahli bidaah kerana amalan mereka bercanggah dengan amalan
golongan terdahulu daripada umat ini. Oleh itu, dalam keadaan apa
sekalipun mereka tidak termasuk dalam al-Sawad al-Azam.

Golongan ahli ilmu, fekah dan hadis kalangan ulama mujtahidin. Allah
menjadikan imam mujtahid sebagai hujah terhadap makhluk yang menerima
ajaran mereka dalam urusan agama. Merekalah golongan yang dimaksudkan
melalui sabda Rasulullah SAW maksudnya: "Allah tidak menghimpunkan umatku
dalam perkara kesesatan selama-lamanya".

Sahabat Rasulullah secara khusus tidak termasuk generasi selepas mereka
Mereka menegakkan tiang agama dan meneguhkan sendinya. Mereka juga tidak
pernah berhimpun dalam perkara sesat.

Pendapat ini juga menepati riwayat al-Jamaah yang disebutkan Rasulullah
dalam hadis bermaksud: "Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan juga
sahabatku."

Dr Hamka pula berpendapat Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah ialah orang yang
mengikuti sunnah Nabi dan ulama mujtahid yang mengeluarkan pendapat
bebas sebagai hasil ijtihadnya. Orang yang menganut mazhab Syafie,
Hanafi, Maliki dan Hambali dalam soal furuk ialah golongan Ahl al-Sunnah
wa al-Jamaah, sedangkan Syiah, Khawarij dan Muktazilah tidak termasuk
di dalamnya.

Demikian juga pendukung bidaah yang menambah, apatah lagi mengurangi
ajaran Nabi Muhammad SAW tidak termasuk dalam Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.
Dalam ilmu kalam, mazhab al-Asyari dan al-Maturidi ialah mazhab Ahl
al-Sunnah wa al-Jamaah.

Ringkasnya, Ahli Sunnah wa al-Jamaah adalah generasi sahabat dan tabiin
yang bersatu mengikuti kebenaran yang jelas daripada kitab Allah dan
Sunnah Rasulullah.

Norshahuddin Edited Ogos 2013...^^..

No comments:

Post a Comment