Thursday 29 August 2013

Akidah Tunjang Keimanan, Kepercayaan...^^..

Akidah Tunjang Keimanan, Kepercayaan

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Suntingan oleh Norshahuddin Edited Ogos 2013

Pelajar melihat sejadah berdiri di Masjid Sekolah Menengah Agama Mahad
Ar-Rahmah. Setiap Muslim mesti belajar fardu ain elak terpengaruh
ajaran sesat

Akidah Islam adalah satu cabang ilmu Islam yang penting dalam kehidupan
setiap Muslim kerana ia berkait rapat mengenai keimanan dan kepercayaan
kepada Allah. Malah ilmu akidah adalah ilmu fardu ain yang wajib
dipelajari setiap Muslim, agar terpelihara daripada kepercayaan salah
dan ajaran sesat yang semakin membarah dalam masyarakat.

Tanpanya, umat Islam sudah pasti terjebak dalam kancah kesesatan dan
kebatilan. Biarpun konsep akidah Islam amat mudah untuk difahami dan
dihayati dalam konteks kehidupan Muslim seharian, masih ramai
terpengaruh dengan kepercayaan khurafat kerana diwarisi turun temurun.
Khurafat adalah amalan bertentangan dengan konsep akidah Islam, sekali
gus ia menjejaskan iman seseorang atau menyebabkan syirik kepada
Allah, satu dosa tidak diampuni Allah.

Firman Allah, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik
mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan
dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut
aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan
sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia melakukan dosa besar.
(Surah al-Nisa': 48)

Syeikh Idris al-Marbawi mendefinisikan khurafat sebagai cerita karut
manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula menyimpulkan
khurafat itu ialah semua cerita, sama ada rekaan atau khayalan,
ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan, pemujaan atau
kepercayaan menyimpang daripada ajaran Islam.

Antara ciri amalan dan kepercayaan khurafat yang wajib diambil perhatian
setiap Muslim ialah:

1 ~Tidak bersumberkan nas syarak sama ada dari al-Quran mahu pun hadis;
2 ~Cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut;
3 ~Berdasarkan kepercayaan lama dan adat bercanggah dengan Islam;
4 ~Berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus untuk
memudaratkan dan menyeleweng daripada akidah Islam;
5 ~Menggunakan objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya untuk
tujuan tertentu; dan
6 ~Wujud unsur negatif kepada akidah dan syariat Islam.

Demikianlah antara ciri amalan dan kepercayaan khurafat jika dihalusi
secara mendalam, ia memang banyak berlaku dalam masyarakat Islam masa
kini. Bahkan, ia masih lagi menebal dalam kehidupan seharian umat Islam.

Sebagai contoh, kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu
atau batu hikmat yang kononnya boleh menyembuhkan sebarang penyakit,
memuja objek tertentu, roh nenek moyang dan kubur wali keramat dan
sebagainya.

Terkini pula, sejadah berdiri dengan sendirinya. Rupa bentuk sejadah
itu digambarkan seperti seorang lelaki atau wanita yang sedang
menunaikan sembahyang dan berada dalam keadaan duduk di antara dua
sujud. Beberapa lagi insiden sama berlaku dalam skala besar
di beberapa surau di Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Itulah antara kepercayaan dan amalan khurafat masih wujud dan berakar
umbi dalam masyarakat Islam. Justeru, Islam sebagai ad-Din amat
menitikberatkan aspek akidah dan syariah, menjelaskan segala amalan,
adat, kepercayaan, perkataan dan perbuatan tidak berdasarkan kepada
sumber sahih dari al-Quran, hadis, ijma ulama dan qias dilarang sama
sekali oleh Islam.

Sehubungan itu, Rasulullah pernah bersabda bermaksud, "Sesiapa yang
mengada-adakan sesuatu perkara dalam agama kami, yang tidak termasuk
dalam ajaran Islam yang suci, maka apa yang diamalkan itu tertolak
(tidak diterima amalan itu oleh Allah dan tidak diberikan pahala).
(Hadis Bukhari dan Muslim).

Di samping itu, amalan memuja jin dan memohon pertolongan daripadanya
seperti lazim dilakukan kebanyakan bomoh dan dukun adalah perbuatan
syirik dan sesat. Begitu juga dengan orang yang bersahabat dan
menggunakan jin seperti tukang sihir dan tukang tenung termasuk dalam
kalangan orang yang menzalimi dirinya sebagaimana mafhum firman Allah
maksudnya, "Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain dari
Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak
mendatangkan mudarat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang
demikian, maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim
(terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)" .
(Surah Yunus: 106)

Setiap Muslim wajib mendalami ilmu akidah Islam untuk memelihara kesucian
akidahnya, kepercayaannya, perkataannya, perbuatannya daripada amalan
khurafat yang menyesatkan itu. Ilmu akidah Islam sajalah perisai utama
yang boleh menyelamatkan seseorang Muslim daripada lembah kesesatan dan
memimpinnya ke arah keredaan llahi dan kesejahteraan hidup dunia akhirat.

Norshahuddin Edited Ogos 2013...^^..

No comments:

Post a Comment