Wednesday 15 April 2015

Rukun Iman...^^..

Rukun Iman...^^..

Ada Enam Perkara:

1@ Beriman Kepada Allah S.W.T...

Beriman kepada Allah s.w.t merupakan Rukun Iman yang pertama,
yang menjadi dasar keimanan seseorang itu. Beriman kepada
Allah s.w.t bererti wajib mempercayai Allah s.w.t itu ada, Ia
Maha Berkuasa, Maha Mencipta dan Maha Mengetahui segala apa
yang ada di langit, di udara, di muka bumi dan juga di lautan.

Dia adalah Maha Esa, yakni tunggal dan tidak menyerupai dan
tidak diserupai oleh sesuatu. Seperti firmanNya yang bermaksud
, " Katakanlah wahai Muhammad, bahawa Allah itu satu. Allah
tempat segala makhluk bergantung. Allah tidak beranak dan
tidak pula diperanakkan. Dan tidak sesiapapun yang setara atau
seumpama dengan Allah." (Surah Al Ikhlas 1-4)

2@ Beriman Kepada Malaikat...

Beriman kepada malaikat bererti wajib bagi setiap orang Islam
mengetahui bahawa malaikat adalah makhluk yang Allah s.w.t
jadikan daripada cahaya dan boleh berupa berbagai bentuk,
tidak bersifat seperti sifat manusia.

Malaikat juga menjalankan perintah Allah s.w.t dengan taat dan
patuh. Jumlah malaikat adalah terlalu banyak dan kita sebagai
umat Islam wajib mengetahui 10 daripadanya.

Nama Malaikat Tugasnya

Jibril ; Menyampaikan wahyu
Raqib ; Mencatat amalan keburukan
Atib ; Mencatat amalan kebaikan
Izrail ; Mengambil nyawa
Mikail ; Menurunkan rezeki
Israfil; Meniup sangkakala
Mungkar; Menyoal orang mati
Nankir ; Menyoal orang mati
Malik ; Menjaga neraka
Ridzuan; Menjaga syurga

3@ Beriman Kepada Rasul...

Beriman kepada Rasul dan Nabi merupakan rukun Iman yang
ketiga. Bagi orang Islam wajiblah yakin dan percaya bahawa
Allah s.w.t telah mengutuskan para Rasul dan Nabi kepada
manusia di dunia ini bagi menunjukkan jalan ke arah kebenaran
dan kebahagian di dunia dan di akhirat.

Jumlah Nabi dan Rasul yang wajib diketahui adalah seramai 25
orang. Antaranya;

Adam, Idris, Nuh, Hud, So'leh, Ibrahim, Luth, Ishak, Ismail,
Yaa'kob, Yusuff, Syuaib, Musa, Daud, Zulkefle, Sulaiman,
Ayyub, Ilyas, Ilyasa', Yunus, Zakaria, Yahya, Isa, Muhammad...

4@ Beriman Kepada Kitab...

Beriman kepada kitab Allah bererti kita wajib beriktikad dan
yakin dengan sebenar-benarnya bahawa sesungguhnya Allah s.w.t
mempunyai beberapa kitab suci yang merupakan firman Allah
s.w.t yang hakiki.

Diturunkan melalui wahyu yang disampaikan melalui perantaraan
malaikat Jibril a.s. Sejak Zaman Nabi Adam a.s sehingga kepada
Nabi Muhammad s.a.w, jumlah kitab suci yang diturunkan adalah
sebanyak 104 iaitu 100 buah suhuf dan 4 buah kitab suci.

Senarai kitab dan penerimanya;

Taurat - Nabi Musa a.s
Zabur - Nabi Daud a.s
Injil - Nabi Isa a.s
Al Quran - Nabi Muhammad s.a.w

Nabi-nabi yang menerima Suhuf;

Nabi Syits - 50 suhuf
Nabi Idris - 30 suhuf
Nabi Ibrahim - 10 suhuf
Nabi Musa - 10 suhuf

Al Quran merupakan penutup segala kitab. Diturunkan kepada
Nabi Muhammad s.a.w. Tidak akan ada lagi kitab suci lain
selepas Al Quran. Juga pelengkap segala Kitab milik Allah.
Dengan erti kata lain kitab yang Sempurna.

5@ Beriman Kepada Hari Akhirat...

Percaya kepada hari akhirat ialah kita wajib beriktikad dan
meyakini bahawa akan adanya hari akhirat atau hari kiamat
(pembalasan) di mana pada hari itu semua manusia akan
dibangunkan kembali di padang Mahsyar untuk menerima hukuman
berdasarkan segala amal perbuatan mereka semasa mereka hidup
di muka bumi Allah s.w.t ini.

Tanda-tanda kecil akan kedatangan hari akhirat:

Sedikit orang alim dan banyak orang jahil.
Perempuan lebih ramai daripada lelaki.
Urusan Agama ditakbir oleh orang yang bukan ahli.
Pelacuran dan maksiat berlaku dengan meluas.
Minum arak dan benda yang memabukkan menjadi kebanggaan.
Orang miskin menjadi kaya, membina bangunan dan gedung tinggi
mencakar langit.
Banyak berlaku gerak gempa.

Tanda-tanda besar:

Keluar Dajjal merosakkan agama (ahli fitnah baru, bertujuan
menyesatkan orang munafik Islam yang tidak mendapat petunjuk).
Keluar binatang yang dipanggil Dabbatul Ard merosakkan
manusia. Keluar Yakjuj dan Makjuj. Hilangnya Al Quran dari
mashafnya. Terbit matahari dari sebelah barat.

6@ Beriman Kepada Qada' Dan Qadar...

Beriman kepada qada' dan qadar disebut juga sebagai percaya
kepada takdir. Iaitu seseorang itu mesti yakin dan percaya
bahawa segala yang berlaku dalam alam ini semuanya ketentuan
dan ketetapan Allah s.w.t.

Erti Qadar: Ketentuan yang mesti berlaku atas tiap-tiap
makhluk, sesuai dengan batas-batas yang telah ditentukan oleh
Allah s.w.t sejak azali lagi sama ada yang baik atau buruk.

Qadar ada dua jenis iaitu: Berupa aturan atau perjalanan alam
ini. Berupa untung nasib yang menimpa manusia dan makhluk
lain.

Erti Qada: Ialah pelaksanaan Allah s.w.t terhadap apa yang
telah ditetapkan sejak azali lagi. Contohnya, bila Dia akan
Mematikan seorang Hamba atau Makhluknya, sekian masa, sekian
hari.

Perkara Yang Membatalkan Iman...
### Mensyirikkan Allah s.w.t, iaitu menduakan Allah dengan
yang lain serta bertawakkal dan bergantung kepada yang lain
selain daripada Allah s.w.t seperti menyembah berhala.

Menafikan segala nikmat sama ada yang nampak atau tidak nampak
adalah kurnian daripada Allah s.w.t ataupun ciptaan Allah
s.w.t. Melakukan perbuatan yang dilakukan dalam amalan
keagamaan lain, yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Mengubah hukum Allah s.w.t iaitu, menghalalkan yang haram dan
mengharamkan yang halal. Menolak atau mengubah Al Quran dan
hadis. Yakni tidak mahu beriman kepada Nas Al Quran dan sunnah
amalan Rasulullah ataupun ingkar terhadap perintah Allah s.w.t
dan menafikan kebenaran Islam.###

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment