Saturday 20 September 2014

Rabiatul Adawiyah, MenCintai Tuhannya(Allah S.W.T)...^^..

Rabiatul Adawiyah, MenCintai Tuhannya(Allah S.W.T)...^^..

Rabiatul Adawiyah adalah wanita yang diangkat tarafnya menjadi wali
Allah s.w.t. Beliau mempunyai suara yang amat merdu dan wajah
yang ayu, namun cinta hatinya tidak mampu dimiliki sebarangan lelaki.
Bairpun mereka dari ulama terbilang, yang datang meminang,
ataupun sultan negara datang merisik. Beliau teguh dengan
pendiriannya kerana cinta hatinya hanyalah untuk Allah s.w.t sahaja.

Antara isi kandungan Surat Penolakan Pernikahan Rabiatul Adawiyah
kepada Raja Basrah:

***
Raja yang dimuliakan,

Kesenangan itu hanya akan diperolehi dengan mudah apabila kita
cuba menjauhi keduniaan. Secara jelas mahupun tersembunyi, secara
lahir mahupun batin. Kekecewaan dan kerugian adalah teman rapat
bagi mereka yang memburu dunia.

Sewajarnya kita berusaha mempersiapkan diri kita menjadi penasihat
untuk diri kita sendiri. Seandainya penasihat itu selain daripada diri kita
sendiri, maka kelemahan kita pasti akan terbongkar.

Sekiranya anda mampu, berpuasalah untuk selamanya. Waktu ketika
ajal anda datang menjemput merupakan waktu bagi berbuka yang
paling afdal.

Sekiranya Allah s.w.t. mengurniakan saya kekayaan melebihi daripada
apa yang TuanKu miliki sekarang, itu juga, pasti tidak mampu
mengubah keputusan dan pendirian saya. Saya tetap bertegas
menyerahkan diri saya untuk berzikir kepadaNya sehingga masa itu
terhenti dengan sendiri. Semoga Tuanku dan saya sentiasa mendapat
keberkatan serta dirahmati oleh Allah s.w.t.
***

Jawapan kepada Hasan al Basri, untuk persoalan pernikahan ke atas
dirinya, Rabiatul Adawiyah;

***
" Nikah itu menjadi kepentingan bagi orang yang mendambakannya,
sedangkan saya tidak punya pilihan lain kerana pilihan saya, bersama 
nazar yang saya buat, saya tidak akan berkahwin hingga ke akhir hayat.
Saya membuat keputusan mahu menghabiskan seluruh masa saya
hanya untuk Allah s.w.t. Saya tekad mahu bernaung hanya di bawah
perintahNya."

" Semua persoalan pasti terjawab apabila kita sebagai hamba Allah
berjaya memerangi nafsu malah menaklukinya. Ingatlah, orang yang
zuhud serta abid sentiasa mengingati Allah dalam suka dan duka,
dalam sedar atau tidak, dalam ratap dan juga tangis supaya di akhirat
kelak, menjadi bukti untuk mendapatkan balasan yang sudah tersedia."
***

Jawapan kepada Pemuda yang ingin menguji, sebab mengapa
Rabiatul Adawiyah selalu menghindari perkahwinan;

***
" Saya juga pasti akan berkahwin, sekiranya mereka yang mahu
mengahwini saya mampu mencari jalan bagi mengeluarkan,
menyelamat dan mengubati saya daripada kerisauan dan perasaan
dukacita yang saya hadapi sekarang."

" Pertama, saat bila malaikat maut mahu mencabut nyawa yang
tunggal ini, apakah dirinya dapat menjamin saya menghadap Allah
s.w.t. dengan bekalan iman yang sempurna ?"

" Keduanya, sejurus ketika berada di padang mahsyar kelak, dapatkah
dirinya memastikan saya akan menerima buku amalan sepanjang
kehidupan saya dengan tangan kanan ?"

" Yang ketiga, setelah selesai di hisab di padang mahsyar kelak, dari
golongan yang soleh akan dimasukkan ke dalam syurga manakala
dari golongan yang kufur akan dihumban ke dalam neraka. Apakah dia
akan dapat menjamin saya akan berada di dalam Syurga Allah ?"
***

" Kehidupan saya sentiasa dihiasi rasa takut kepada hal-hal tentang
hari akhirat. Apa perlunya bersuami, kerana bersuami itu pasti akan
menghadkan masa saya dengan Allah s.w.t. Itu merupakan satu
kerugian yang tidak mampu saya laburkan."

" Tidak perlu saya sibukkan diri dengan perkara-perkara lainnya,
apabila mendapat jaminan daripada Allah s.w.t. Dia lebih mengetahui
dan memahami apa yang saya perlukan sebelum saya sempat
berkata-kata atau meminta-minta dari sesama makhluk."

" Sekiranya dijanjikan suatu kenikmatan dan kasih sayang Allah s.w.t.
di akhirat kelak, adakah kamu akan berasa rugi untuk bekerja keras
untuk hari ini ? Sesungguhnya, mereka yang kuat berusaha adalah
manusia yang paling berbahagia di akhirat kelak."

" Saya sentiasa dirundum perasaan sedih dan berduka kerana, walau
sebanyak manapun amalan saya kepada Allah s.w.t, saya juga tidak
pasti, sama ada Allah s.w.t. redha akan perbuatan saya. Tidak mustahil,
adakalanya Allah murka kepada saya."

" Saya kira, saya hanya bermain-main sahaja di dunia, namun segala
amalan saya adalah untuk akhirat. Oleh itu, janganlah kamu cuba
mencuri atau merampas kecintaan saya kepada Allah s.w.t., kelak
kamu pasti akan menyesal."

#### Memang menjadi keganjilan, sekiranya terdapat mana-mana
manusia, tidak mahu mendirikan rumah tangga, kerana kenikmatan
untuk berumah tangga memang sengaja di syariatkan Allah s.w.t. bagi
menghindari manusia daripada terjebak dengan kancah perzinaan
dan dosa besar.

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Sept 2014/ Zulkaedah 1435...^^..

No comments:

Post a Comment