Wednesday 9 October 2013

Singapura Dilanggar Todak...^^..

Singapura Dilanggar Todak...^^..

Singapura Dilanggar Todak adalah sebuah cerita lagenda Orang Melayu
yang paling terkenal khususnya di Singapura. Kisah ini pernah
direkodkan dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. 

Mengikut cerita orang Melayu Singapura. Pada suatu hari terdapat
seorang pedagang dan Ulama dari negeri Pasai bernama Tun Jana Khatib
telah datang ke Singapura untuk membuka lembaran kehidupan baru
disamping berdagang. Ketika di Singapura beliau sangat disegani oleh
rakyat Singapura kerana sikapnya yang lemah lembut dan berbudi bahasa
di samping melakukan kerja-kerja amal dan membantu penduduk-penduduk
tempatan.

Pada suatu hari Tun Jana Khatib telah berlalu di sebelah Istana Raja
Singapura. Permaisuri baginda sedang melihat Tun Jana Khatib yang
sedang berdiri di sebatang Pokok Pinang. Lantas Permaisuri Raja
melihat keadaan Tun Jana Khatib yang sedang merenung mata ke arah
pokok pinang, lalu dilihatnya Tun Jana Khatib menghampiri dan
menyentuh batang pokok pinang tersebut. Tiba-tiba, pokok pinang
terbelah dua lalu tersungkur ke tanah. Permaisuri raja berasa amat
terkejut melihat keajaiban yang berlaku pada pokok pinang itu.
Kemudian Tun Jana Khatib pun beredar. Tidak lama kemudian, Raja
Singapura telah terkejut melihat keadaan batang pokok pinang yang
terbelah dua, lalu baginda bertanya kepada permaisurinya bagaimana
kejadian ini boleh berlaku.

Setelah mendapat khabar bahawa kejadian itu adalah perbuatan seorang
dari Pasai. Maka baginda sangat murka dan memerintahkan supaya Tun
Jana Khatib ditangkap dan dihukum bunuh di Hujung Pasar (sekarang
Kampung Gelam).

Apabila pihak istana dapat menangkap Tun Jana Khatib maka beliau telah
bersumpah: " Hai kamu semua! ketahuilah kamu semua. Aku relakan
kematian ini! Tetapi raja yang zalim itu tidak akan terlepas begitu
sahaja. Dia hanya membayar harga keatas kezaliman itu... Dan percayalah
Singapura ini akan huru hara! akan ditimpa malapetaka yang dahsyat!"
Sepantas kilat petanda terus menikam sebilah keris ke arah Tun Jana
Khatib, akhirnya beliau tersungkur lalu rebah ke bumi.

Ketika hendak membawa jenazah Tun Jana Khatib ke tanah perkuburan,
ada yang tidak kena pada jenazah Tun Jana Khatib. Mengikut lagenda,
jenazah beliau tiba-tiba ghaib tetapi darahnya masih ada, ramai orang
bingung dan hairan akan kejadian tersebut.

Beberapa minit kemudian ribut petir telah menggemparkan Singapura dan
disusuli dengan dentuman kuat. Rakyat terus lari menyelamatkan diri
dan pergi ke tempat kejadian semula. Orang ramai mula gempar darah Tun
Jana Khatib tadi telah bertukar menjadi batu. Sementara itu penduduk
di Langkawi pula mula gempar kerana mayatnya telah terbaring di tepi
pantai. Penduduk disana telah mendakwa jenazah itu adalah Tun Jana
Khatib. Jenazahnya kemudian dikebumikan di sebuah tanah perkuburan
yang dipanggil Makam Purba.

Dan dari peristiwa itu terciptalah sebuah pantun sebagai mengenang
kesaktian Tun Jana Khatib, bunyinya:

Telur Itik di Singgora,
Pandan terletak dilangkahi;
Darah titik di Singapura,
Badannya terlantar di Langkawi.

Pada suatu pagi di Singapura, nelayan mula pergi ke pantai untuk
menangkap ikan tetapi orang di situ mula bergegas lari ke tengah
daratan. Beberapa ekor ikan todak telah mula menyerang Singapura.
Ramai orang di situ mula melarikan diri. Tetapi ada juga orang yang
tersungkur kerana ditikam ikan todak. Seorang demi seorang tersungkur
dan ikan todak yang banyaknya terus menyerang sana sini. Peristiwa itu
turut memeranjatkan Raja Singapura kerana ramai bilangan rakyat
di situ telah terkorban. Lantas, Raja Singapura segera mengarahkan
pengawalnya menyediakan seekor gajah tunggangan raja dan terus
ke tempat kejadian.

Di kawasan pantai yang penuh dengan mayat bergelimpangan terdampar,
baginda telah mula berasa amat tertekan. Maka Raja Singapura
mengarahkan orang yang ada disitu untuk terus ke tepi pantai berbaris,
lalu dijadikan betis masing-masing sebagai pedinding dari serangan
ikan todak. Namun usahanya gagal. Seorang demi-seorang daripada mereka
mati ditikam oleh ikan todak. Semua orang berada dalam ketakutan dan
mereka menyangka tiada harapan lagi untuk bertahan. Keadaan ini
membuatkan Raja Singapura bertambah murka dan seraya mendakwa sesiapa
yang lari akan dikira sebagai penderhaka kepada raja yang akan ditimpa
hukuman.

Maka ada seorang kanak-kanak yang berusia 10 tahun yang bijaksana
bernama Hang Nadim. Beliau terus pergi untuk menghadap raja yang
berdiri di situ. Raja Singapura terus mengemukakan cadangan lain
kepada Hang Nadim. Maka ada cadangan yang baik dari Hang Nadim bahawa
elok jika dibariskan batang pisang untuk dijadikan kubu pertahanan.
Akhirnya baginda bersetuju dengan cadangan Hang Nadim itu, lalu
mengarahkan orang yang ada di situ untuk terus meninggalkan pantai
untuk mencari batang pisang bagi dijadikan kubu. Orang yang ada
di situ terus gembira apabila titah baginda disambut dengan penuh
sorakan dan mula meninggalkan pantai. Mereka terus ke kebun pisang
untuk mencari batang pisang lalu dibawa ke pantai. Beberapa jam
kemudian batang-batang pisang yang ada di situ terus dijadikan kubu.
Kubu akhirnya siap dalam masa yang terdekat.

Tidak lama kemudian kebanyakan ikan todak telah menyerang semula dan
akhirnya ikan todak telah tersangkut pada batang pisang. Rakyat
Singapura yang melihat kejadian itu disambut dengan penuh kegembiraan
dan sorakan penuh. Apabila ikan todak berhenti menyerang orang ramai
yang ada di situ mula ke pantai lalu membersihkan ikan todak itu.
Singapura akhirnya bebas dari serangan ikan todak. Baginda telah
memuji kejayaan Hang Nadim menumpaskan ikan todak lalu baginda
menjemput Hang Nadim ke istana untuk menerima anugerah daripadanya.

Sementara itu di istana, kebanyakkan pembesar berasa iri hati dan mula
berasa benci dengan kebijaksanaan dan populariti Hang Nadim kerana
pada pengamatan mereka, apabila Hang Nadim sudah dewasa nanti, beliau
mungkin akan diangkat tinggi dan kebarangkalian Hang Nadim akan
merampas kuasa baginda raja dan memerintah Singapura pada suatu hari
nanti.

Para pembesar yang iri hati telah berjaya menghasut Raja Singapura
dengan berita fitnah tersebut. Raja Singapura yang mudah percaya akan
dakwaan tersebut telah mengarahkan pembesar supaya membatalkan istiadat
penganugerahan dan diganti dengan perlaksanaan hukuman bunuh. Dengan
mengucap salam ke atas ibunya, Hang Nadim mula pergi ke istana untuk
menghadiri istiadat penganugerahan, tetapi sejurus sampainya ke istana,
beliau mula merasakan ada yang tidak kena apabila pengawal istana terus
menangkap Hang Nadim. Keadaan menjadi tegang apabila beliau bukannya
ke balai penghadapan tetapi diseret ke tengah halaman. Tanpa berlengah
masa lagi baginda mengarahkan petanda supaya melaksanakan hukuman bunuh
ke atas budak itu. Hang Nadim mula menjerit kesakitan apabila ditikam
oleh sebilah keris lalu mati. Namun terdapat dakwaan bahawa Hang Nadim
tidak dibunuh secara tikaman, tetapi dicampakkan ke dalam laut dan
dibiarkan Hang Nadim mati lemas. Akhirnya Hang Nadim telah menemui
ajalnya di dalam laut akibat khianat pada umur semuda tujuh tahun.

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Oct 2013...^^..

No comments:

Post a Comment