Monday 28 October 2013

19 Tanda Kematian Yang Mulia...^^..

19 Tanda Kematian Yang Mulia...^^..

Oleh Ustaz Zawawi Yusoh
Disunting oleh Norshahuddin Edited Oct 2013

MEMANG amat tersentuh dan mengalir air mata ketika melihat jenazah
adik-adik kecil yang dipanggil Pemiliknya. Mereka dikebumikan
serentak dalam satu lahad. Takziah kepada keluarga mangsa semoga
tabah menghadapi ujian kehilangan yang tersayang. Al-Imam Qurtubi
pernah merakamkan hadis nabi yang bermaksud, mati mengejut bagi
orang yang baik adalah nikmat manakala mati mengejut bagi yang
zalim dan jahat adalah azab.

Memang sedih apabila dengar berita kematian, tapi bagi yang tahu
kategori kematian, ada anugerah di sebalik itu iaitu mati syahid.
Bagi keluarga yang sedang bersedih dengan tragedi terbabit, sedikit
hiburan dari tulisan kali ini. Ini kerana di sana ada satu senarai
pakej kematian yang sangat mulia iaitu husnul khatimah atau mati
syahid terutama di senarai yang ke lapan dan kesembilan dalam
tulisan ini.

1@ Mereka yang dapat mengucapkan syahadah menjelang kematian
sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis sahih, antaranya
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “(Barang siapa yang ucapan
terakhirnya Laa ilaaha illallah maka dia masuk syurga).”
( Hadis Hasan)

2@ Kematian yang disertai dengan basahnya kening dengan keringat
atau peluh berdasarkan hadis Buraidah bin Hushaib r.a: Dari Buraidah
bin Khusaib r.a ( bahawa ketika dia berada di Khurasan sedang
melawat seorang sahabatnya yang sakit dia mendapatinya sudah
meninggal tiba-tiba keningnya berkeringat maka dia berkata:
Allahu Akbar, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
(Kematian seorang mukmin disertai keringat di keningnya). (Hadis
Sahih)

3@ Mereka yang (baik-baik dan soleh) meninggal dunia pada malam
Jumaat atau siangnya berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w (tidaklah
seorang Muslim yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat
melainkan Allah melindunginya daripada seksa kubur).

4@ Meninggal dalam keadaan syahid di medan perang sebagaimana ertinya:
(Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang
terbunuh di jalan Allah mati, tetapi mereka hidup diberi rezeki
di sisi Tuhan mereka. Mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan
Allah kepada mereka dan memberi khabar gembira kepada orang yang
belum mengikuti mereka di belakang janganlah mereka takut dan sedih.
Mereka memberi khabar gembira dengan kenikmatan dari Allah dan
kurnia-Nya dan bahawa Allah tidak mensia-siakan balasan bagi orang-
orang beriman). (Surah Ali Imran ayat 169-171). Rasulullah s.a.w
bersabda: “(Orang yang syahid mendapat kan enam perkara: Diampuni
dosanya sejak titisan darahnya yang pertama, diperlihatkan tempatnya
dalam syurga, dijauhkan dari seksa kubur, diberi keamanan dari
goncangan yang dahsyat di hari kiamat, dipakaikan mahkota keimanan,
dinikahkan dengan bidadari syurga, diizinkan memberi syafaat bagi
tujuh puluh anggota keluarganya.”

5@ Mereka yang meninggal ketika berjuang di jalan Allah (bukan
terbunuh) berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w: “ (Apa yang kalian
nilai sebagai syahid antara kalian? Mereka berkata: Ya Rasulullah
siapa yang terbunuh di jalan Allah maka dia syahid. Beliau berkata:
(Jadi sesungguhnya syuhada’ umatku sedikit ). Mereka berkata: Lalu
siapa mereka Ya Rasulullah? Baginda berkata: (Barang siapa yang
terbunuh di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati di jalan Allah
syahid, barang siapa yang mati kerana wabak taun syahid, barang siapa
yang mati kerana penyakit perut syahid dan orang yang tenggelam
syahid).”

6@ Mati kerana satu wabak penyakit taun berdasarkan beberapa hadis
antaranya: Rasulullah s.a.w bersabda: (Wabak taun adalah kesyahidan
bagi setiap Muslim).

7@ Mereka yang mati kerana penyakit dalam perut berdasarkan hadis di
atas.

8@ n 9@ Mereka yang mati kerana tenggelam dan terkena runtuhan
berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: (Syuhada ada lima: yang
mati kerana wabak taun, kerana penyakit perut, yang tenggelam, yang
terkena runtuhan dan yang syahid di jalan Allah).

10@ Mereka yang matinya seorang wanita dalam nifasnya disebabkan
melahirkan anaknya: Dari Ubadah bin Shamit r. a bahawa Rasulullah
s.a.w menjenguk Abdullah bin Rawahah dan berkata: Beliau tidak
berpindah dari tempat tidurnya lalu berkata: Tahukah kamu siapa
syuhada’ dari umatku? Mereka berkata: Terbunuhnya seorang Muslim adalah
syahid. Beliau berkata: (Jadi sesungguhnya para syuhada’ umatku,
terbunuhnya seorang Muslim syahid, mati kerana wabak taun syahid,
wanita yang mati kerana janinnya syahid (ditarik oleh anaknya dengan
tali arinya ke syurga).

11@ n 12@ Mereka yang mati kerana terbakar dan sakit bengkak panas
yang menimpa selaput dada di tulang rusuk, ada beberapa hadis yang
terkait yang paling masyhur: Dari Jabir bin ‘Atik dengan sanad marfu’:
(Syuhada’ ada tujuh selain terbunuh di jalan Allah: yang mati kerana
wabak tha’un syahid, yang tenggelam syahid, yang mati kerana sakit
bengkak yang panas pada selaput dada syahid, yang sakit perut syahid,
yang mati terbakar syahid, yang mati terkena runtuhan syahid, dan wanita
yang mati setelah melahirkan syahid).

13@ Mereka yang mati kerana sakit (TB)Tibi berdasarkan hadis: Rasulullah
s.a.w bersabda yang bermaksud: (Terbunuh di jalan Allah syahid, wanita
yang mati kerana melahirkan syahid, orang yang terbakar syahid, orang
yang tenggelam syahid, dan yang mati kerana sakit TB syahid, yang mati
kerana sakit perut syahid). (Hadis Hasan)

14@ Mereka yang mati kerana mempertahankan hartanya yang hendak dirampas.
Dalam hal itu ada beberapa hadis di antaranya: Rasulullah s.a.w bersabda
yang bermaksud: (Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya (dalam
riwayat: barang siapa yang hartanya diambil tidak dengan alasan yang
benar lalu dia mempertahankannya dan terbunuh) maka dia syahid).

15@ n 16@ Mereka yang mati kerana mempertahankan agama dan dirinya:
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang terbunuh
kerana hartanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana keluarganya
syahid, barang siapa yang terbunuh kerana agamanya syahid, barang siapa
yang terbunuh kerana darahnya syahid).

17@ Mereka yang mati dalam keadaan ribath (berjaga di perbatasan)di
jalan Allah. Ada dua hadis dalam hal itu salah satunya: Rasulullah s.a.w
bersabda yang bermaksud: (Ribath sehari semalam lebih baik dari berpuasa
dan qiyamul lail selama sebulan, dan jika mati maka akan dijalankan
untuknya amalan yang biasa dikerjakannya, akan dijalankan rezekinya dan
di amankan dari fitnah).

18@ Mati ketika melakukan amal soleh berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w
bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang mengucapkan: Laa ilaaha
illallah mengharapkan wajah Allah lalu wafat setelah mengucapkannya maka
dia masuk syurga, barang siapa berpuasa satu hari mengharapkan wajah
Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga, barang
siapa yang bersedekah dengan satu sedekah mengharapkan wajah Allah lalu
wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga).

19@ Mereka yang dibunuh oleh penguasa yang zalim kerana memberi nasihat
kepadanya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Penghulu para
Syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutalib kerana dia seseorang yang
mendatangi penguasa yang zalim lalu dia memerintahkan yang baik dan
melarang dari yang mungkar lalu dia dibunuhnya) Hadis dikeluarkan oleh
Al-Hakim dan disahihkannya dan Al Khatib.

Sama-samalah kita berdoa agar kita sama termasuk dalam senarai di atas.
Amin Ya Rabbal ‘aalamin.

tuliskanakuhadith.blospot.com
Norshahuddin Edited Oct 2013...^^..

No comments:

Post a Comment