Tuesday 6 May 2014

Kisah Nabi Hud Dalam Al-Quran...^^..

Kisah Nabi Hud Dalam Al-Quran...^^..

Kisah Nabi Hud diceritakan oleh 68 ayat dalam 10 surah di antaranya
surah Hud, ayat 50 hingga 60 , surah Al-Mukminun ayat 31 sehingga
ayat 41 , surah Al-Ahqaaf ayat 21 sehingga ayat 26 dan surah
Al-Haaqqah ayat 6 ,7 dan 8.

*** Surah Hud Ayat 50-60,

50@ Dan kepada kaum Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi hud
ia berkata: “ Wahai kaumku ! Sembahlah kamu akan Allah ! Sebenarnya
tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Kamu hanyalah orang-orang
yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta (terhadap Allah).

51@ Wahai kaumku ! Tiadalah aku meminta sebarang upah daripada
kamu tentang (ajaran yang aku sampaikan) itu. Upahku hanyalah dari
Allah yang menciptakan daku; maka mengapa kamu tidak mahu
menggunakan akal (untuk mengetahui kebenaran) ?

52@ Dan wahai kaumku ! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu,
kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan
kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan
di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu
membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa !

53@ Mereka berkata: “ Wahai Hud ! Engkau tidak membawa kepada
kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaranmu, dan kami
tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kami dengan
sebab kata-katamu itu ! Dan kami tidak sekali-kali percaya kepadamu !

54@ ” Kami hanya boleh berkata bahawa setengah dari tuhan-tuhan
kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau
selalu mencaci penyembahan kami itu)”. Nabi Hud menjawab:
“ Sesungguhnya aku menyeru Allah menjadi saksi tentang kebenaranku,
dan kamu juga saksikanlah bahawa aku bersih dari dosa perbuatan
syirik kamu."

55@ ” Menyembah yang lain dari Allah. Maka rancangkanlah tipu helah
kamu semua terhadapku, kemudian jalankan terus, janganlah kamu
beri tempoh kepadaku mempertahankan diri."

56@ ” Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah,
Tuhanku dan Tuhan kamu ! Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk
yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya.
Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.

57@ Dalam pada itu, jika kamu membelakangkan juga seruanku,
maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana aku telah sampaikan
kepada kamu apa yang telah diutus oleh Allah untuk menyampaikannya,
dan Tuhanku akan menggantikan kamu dengan suatu kaum yang lain
(setelah kamu dibinasakan); dan kamu pula tidak akan dapat
membahayakanNya sedikitpun. Sesungguhnya Tuhanku Maha
Pengawal dan Pemelihara tiap-tiap sesuatu.”

58@ Dan apabila datang azab Kami, Kami selamatkan Nabi Hud
beserta dengan umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami;
dan Kami selamatkan mereka dari azab yang keras.

59@ Dan itulah peristiwa kaum Aad, mereka mengingkari ayat-ayat
keterangan Tuhan mereka, serta mereka menderhaka kepada Rasul-
rasulnya; dan mereka menurut perintah tiap-tiap ketua yang
bermaharajalela, lagi degil dalam keingkarannya.

60@ Dan mereka ditimpa laknat (yang tidak putus-putus) dalam dunia
ini dan pada hari kiamat. Ketahuilah Sesungguhnya kaum Aad itu telah
kufur ingkar kepada Tuhan mereka. Ketahuilah ! Sesungguhnya
kebinasaanlah akhirnya bagi Aad: kaum Nabi Hud.

*** Surah Al Mukminun, Ayat 31-41,

31@ Kemudian Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain.

32@ Lalu Kami mengutus kepada mereka seorang Rasul dari kalangan
mereka (dengan berfirman melalui Rasul itu): “ Sembahlah kamu akan
Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.
Oleh itu tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya ?”

33@ Dan (bagi menolak seruan itu), ketua-ketua dari kaumnya yang
kafir serta mendustakan pertemuan hari akhirat, dan yang Kami
mewahkan mereka dalam kehidupan dunia, berkata (sesama sendiri)
“ Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia makan dari
apa yang kamu makan, dan meminum dari apa yang kamu minum.

34@ “ Dan demi sesungguhnya, jika kamu taati manusia yang seperti
kamu, tentulah kamu dengan membuat demikian, menjadi orang-orang
yang rugi.

35@ “ Patutkah ia menjanjikan kamu, bahawa sesungguhnya apabila
kamu mati dan menjadi tanah dan tulang, kamu akan dikeluarkan
(dari kubur hidup semula) ?"

36@ “ Jauh, amatlah jauh (dari kebenaran) apa yang dijanjikan
kepada kamu itu !"

37@ “ Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini.
Kita mati dan kita hidup (silih berganti) dan tiadalah kita akan
dibangkitkan hidup semula.

38@ “ Tiadalah dia (Nabi Hud) itu selain dari seorang lelaki yang
mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, dan kami tidak
akan beriman kepadanya”.

39@ Nabi Hud berdoa dengan berkata: “ Wahai TuhanKu, belalah
daku, kerana mereka telah mendustakan seruanku”.

40@ Allah berfirman: “ Dalam sedikit masa lagi mereka akan menjadi
orang-orang yang menyesal”.

41@ Akhirnya mereka dibinasakan oleh letusan suara yang
menggempakan bumi, dengan benar lagi adil, lalu Kami jadikan mereka
sebagai sampah sarap (yang dihanyutkan oleh banjir). Maka
kebinasaanlah kesudahannya bagi kaum yang zalim itu.

*** Surah Al Ahqaf, Ayat 21-26,

21@ Dan ingatlah peristiwa (Nabi Hud) saudara kaum Aad, ketika ia
memberi amaran kepada kaumnya yang tinggal di lembah “ Al Ahqaaf”,
sedang (amarannya itu samalah seperti) amaran-amaran yang telah
diberikan oleh Rasul-rasul yang terdahulu daripadanya dan yang
datang sesudahnya (dengan berkata): “ Janganlah kamu menyembah
melainkan Allah, sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab
hari yang besar (huru-haranya)”.

22@ Mereka menjawab: “ Adakah engkau datang kepada kami untuk
memesongkan kami dari menyembah tuhan-tuhan kami ? Maka bawalah
azab seksa yang engkau janjikan kepada kami itu jika betul engkau
dari orang-orang yang benar !”

23@ Nabi Hud berkata: “ Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang
kedatangan azab itu) hanya ada di sisi Allah, dan (tugasku hanya)
menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan membawanya,
tetapi aku lihat kamu satu kaum yang jahil (akan tugas Rasul) !”

24@ Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang
menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: “ Ini ialah
awan yang akan membawa hujan kepada kita !” (Mendengarkan kata-
kata yang demikian, Nabi Hud berkata): “ Tidak ! Bahkan itulah
(azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya, iaitu angin
yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;"

25@ “ Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin
Tuhannya”. (Setelah azab itu menimpa mereka) maka menjadilah
mereka (punah ranah), tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-
tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami membalas kaum yang
berdosa.

26@ Dan demi sesungguhnya ! Kami telah meneguhkan kedudukan
mereka (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan
kamu menguasainya (wahai kaum musyrik Makkah), dan Kami telah
jadikan bagi mereka pendengaran dan penglihatan serta hati; dalam
pada itu, pendengaran dan penglihatan serta hati mereka tidak
memberikan faedah sedikitpun kepada mereka, kerana mereka
sentiasa mengingkari ayat-ayat keterangan Allah; dan (dengan yang
demikian) mereka diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-
ejekkan itu.

*** Surah Al Haqqah, Ayat 6-8,

6@ Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan
dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya,

7@ Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari
terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan
melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka: batang-
batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.

8@ Dengan yang demikian, dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa
mereka (yang masih hidup) ?

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited May 2014...^^..

No comments:

Post a Comment