Monday 30 December 2013

Menyerupai Sesuatu Adat Atau Kaum Dan Pekahwinan Ghaib...^^..

Menyerupai Sesuatu Adat Atau Kaum Dan Pekahwinan Ghaib...^^..

Soalan : Sering kali kita dengar petikan hadis - " Sesiapa yang menyerupai
sesuatu kaum maka ia termasuk dikalangan kaum itu, sehinggakan bila kita
membuat sesuatu hal ( bukan amalan ibadat ) yang lain sikit dari orang
biasa, maka hadis ini lah yang akan diucapkan.

Soalan:

1) Bilakah seseorang itu dikatakan menyerupai sesuatu kaum?

2) Dalam hal-hal apakah yang dikatakan menyerupai sesuatu kaum?

3) Bila dan sebab apa ( asbabul wurud ) hadis ini diturunkan?

4) Berapa kali kah dan peristiwa apakah Rasulallah SAW mengucapkan hadis
ini?

Jawapan :

Bilakah seseorang itu menyerupai sesuatu kaum? Ringkasnya, meniru atau
mencontohi sesuatu kaum dari segi penampilan, perilaku, bahkan beriktiqad
dalam perayaan mereka dan budaya mereka. Berdasar larangan meniru kaum
lain daripada Nabi SAW jelas memaparkan hal ini. Termasuklah larangan itu,
berdasarkan hadis yang dirujuk seperti di bawah;

Terjemahan: " Barangsiapa meniru sesuatu kaum maka dia adalah sebahagian
dari mereka."

Rujuk: Direkodkan oleh Abu Daud, diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a,
Sunan Abu Daud, no: 4031, Ibn Hibban, no: 437 dalam Bulughul Maram, hadis
ini sahih, Zaila’ie dalam Nusub ar-Rayah, 4/347, Haithami, Majmak Zawaid,
10/274, Fathul Bari, Al-Hafidz al-Asqalani, 6/166, 10/282 – darjat hadis: hasan,
Al-Albani, Ghayatul Maram, no: 198, darjat hadis: Sahih.

Kemudian datang hadis lain seperti di bawah:

Terjemahan: " Barangsiapa redha dengan perbuatan suatu kaum, maka dia
termasuk dari mereka."

Rujuk: Subulus Salam, 4/1477, dari Abu Yu’la.

Hadis ini didhaifkan Al-Albani (lihat: Silsilah Dhaifah, no: 5648, juga
dalam Dhaif al-Jami’) sambil mengulas, hadis-hadis lain semakna
dengannya mempunyai sanad lebih kuat menunjukkan faedah daripada
maksud hadis tersebut. Dalam lafaz tambahan lain, bahawa Ibnu
Mas’ud r.a diajak oleh seorang pemuda ke dalam satu majlis, lalu beliau
mendengar suara-suara merintih, meratap (dalam kadar melampau)
sambil berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda

"Barangsiapa menuruti peratapan satu kaum, dia termasuk dalam
golongan mereka, ditambah lafaz - " Barangsiapa redha dengan
perbuatan suatu kaum, maka dia bersubahat dengan mereka yang
melakukannya. (rujuk: 2/274, Sakhawi, juga dinukilkan dalam
Dirayah, takhrij al-Hidayah dari perkataan gurunya, Ibnu Hajar, 2/267).

Ciri-ciri menyerupai suatu kaum adalah:

1. Merayakan perayaan mereka kerana setiap kaum mempunyai perayaan
tersendiri, dan ia amat jelas berdalilkan hadis yang direkodkan Imam
Muslim, " Setiap kaum mempunyai perayaan, dan inilah perayaan kita –
(Hadis Sahih Riwayat Muslim, no: 892).

2. Meniru budaya & tatacara hidup mereka

3. Meniru perkara khususnya berkaitan dengan simbol agama.

Lihat: Fatawa Islamiah, 1/115.

Soalan : Ustaz, saya ingin bertanya perihal yang berkaitan dengan
bunian. Perkara ini timbul dalam keluarga saya sendiri, iaitu mengenai
adik perempuan saya yang berperangai agak aneh. Kami sekeluarga
amat musykil apabila beliau menolak pinangan orang, sebaliknya
mengaku sudah berkahwin dengan makhluk halus atau bunian.

1. Soalan saya, apakah perkahwinan antara manusia dengan jin boleh
berlaku?
2. Apakah hukumnya perkahwinan tersebut, sah atau tidak dari sisi
Islam?

Jawapan

1. Perkahwinan dalam erti kata yang kita fahami hari ini, tidur bersama
selepas perkahwinan yang sah, memang berlaku di antara manusia
dengan manusia sahaja seperti yang disebut oleh Allah S.W.T dalam
Surah ar-Rum, ayat 21 .

Firman Allah SWT maksudnya : " Dan di antara tanda-tanda kebesaran
Allah S.W.T, dijadikan bagi kamu (manusia) untuk pasanganmu dari
jenis kamu juga (manusia), supaya kamu mendapat ketenangan
dengannya dan dianugerahkan kepada kamu kasih sayang dan rahmat
dari Allah S.w.T." (Surah ar-Rum ayat 21)

Ayat ini menjelaskan bahawa pasangan hidup manusia dalam
rumahtangga yang dirahmati Allah, adalah di antara manusia dengan
manusia.

Mengenai dakwaan adik puan yang menyatakan bahawa dia telah
berkahwin dengan jin. Pada saya hal ini memang boleh berlaku pada
suatu kemungkinan (possibility).

Dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.ha, Nabi SAW
pernah bersabda yang bermaksud, " Bahawasanya ada kalangan
manusia ini yang akan menjadi mugharribeen, maka Aishah bertanya
Nabi maksud mugharribuun itu? Maka Nabi bersabda yang bermaksud
ialah mereka-mereka yang telah bermusyarakah dalam kehidupan
rumahtangga dengan jin."

Daripada rujukan ini menunjukkan bahawasanya ada kemungkinan
manusia itu mengahwini jin sama seperti apa yang didakwakan. Kerana
makhluk ini, seperti disebut dalam beberapa hadis, mereka boleh
menyerupai dengan rupa-rupa yang diizinkan Allah kepada mereka
menyerupainya. Tetapi dalam keadaan-keadaan yang amat sempit
atau peluang yang mereka ada amat terhad, demi menjaga kemaslahatan
anak Adam tidak terdedah dengan luas untuk ditanggung oleh makhluk-
makhluk halus.

Penjelmaan mereka menjadi makhluk seperti manusia, disabitkan dalam
hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, iaitu kejadian pencurian harta
zakat yang dikawal selia oleh Abu Hurairah, sehingga Abu Hurairah boleh
menangkapnya dan dibawa kepada Rasulullah SAW untuk pendakwaan.
Walaupun akhirnya jin tersebut dilepaskan tetapi Nabi SAW telah
menyatakan bahawasanya yang mencuri itu adalah syaitan.

Disabitkan juga bahawa penjelmaan jin itu wujud dalam bentuk yang jelas
menyerupai manusia dalam peristiwa peperangan Badar seperti yang
disebut dalam Surah al-Anfaal ayat 87.

Firman Allah SWT maksudnya : " Dan ketika dihiasi oleh syaitan kepada
mereka, tentera Islam dengan katanya kepada mereka, kamu tidak
dikalahkan oleh musuhmu oleh manusia dan saya adalah jiran kepada
kamu yang akan membantu dalam peperangan ini. Maka apabila kedua-
dua kumpulan (Islam dengan Kafir Jahilliyah) bersemuka untuk peperangan
yang berjanji untuk menolong mereka orang-orang kuffar itu telah cabut
lari mengatakan saya tidak lagi boleh bersama-sama dengan kamu kerana
saya dapat melihat apa yang kamu tidak boleh lihat dan saya
sesungguhnya amat takut kepada Allah dan Allah itu amat dahsyat
keseksaan-Nya". (Surah al-Anfal ayat 87)

Ayat ini merujuk kepada adanya kepada satu makhluk yang menjelma sebagai
manusia kununnya untuk membantu askar-askar musuh (kuffar) menentang
Islam dan sabit bahawa makhluk itu bukan manusia, tetapi jelas mereka
adalah syaitan.

Dengan demikian, jelaslah bahawasanya syaitan ini boleh menyerupai manusia
dan dengan sendirinya boleh menjadi suami atau isteri kepada manusia.

2. Hukumnya adalah jelas, jumhurnya ulama sudah berijma' bahawa hukumnya
(mengahwini jin) tidak sah! Tidak boleh perkahwinan manusia dengan jin
dilakukan. Melainkan ada seorang ulama yang bernama Qamuli yang
menyatakan perkahwinan tersebut boleh.

Namun saya berpegang kepada pandangan jumhur ulama bahawa hukum
perkahwinan tersebut adalah tidak sah, kerana ianya menyalahi dengan ayat
Surah ar-Rum yang disebut di atas. Perkahwinan antara manusia dengan jin
tidak akan melahirkan ketenangan, kebahagiaan ataupun mendapat rahmat
Allah S.W.T.

Perkahwinan yang tidak sah pada hukum syarak tidak mungkin dirahmati
Allah dan tidak mendapat restu Allah. Tidak mungkin kebahagian dan
ketenangan berlaku! Kita dapat merasakan jika berlaku suatu krisis
rumahtangga dengan mereka (golongan jin), bagaimana rumahtangga boleh
aman daripada gangguan mereka?

Malahan anak-anak yang mungkin lahir dari hubungan itu, akan menjadikan
masalah kepada manusia, mereka tidak boleh bergaul dalam alam manusia
dengan sanak saudara. Jika berlaku pula masalah dengan anak-anak jiran,
maka ianya akan mengundang berbagai kecelakaan. Nasihat saya kepada
keluarga, hindarilah hal-hal ini daripada berlaku. Mintalah berjumpa pakar
perbuatan Islam untuk mengenal pasti bahawa beliau mungkin sedang
di ganggu oleh makhluk jin sehingga dia merasakan telah berkahwin dengan
jin. Wallahu a'lam.

Makhluk halus, maka jangan sesekali melayaninya, jangan beri ruang kepadanya
melakukan sesuatu yang tidak baik kepada kamu, lindungilah diri kamu dengan
ayat-ayat al-Quran dan pesanan-pesanan daripada hadis-hadis Rasulullah SAW.
Antaranya banyak membaca dua surah terakhir daripada al-Quran, ayatul Kursi
sebanyak yang mungkin, membaca Surah Al-Baqarah hingga akhir, atau
membaca Khawateem Al-Baqarah (ayat 184, 185 dan 186).

1. Sebaik-baiknya sebelum tidur, membaca 11 ayat dari Surah Al-Baqarah, iaitu
ayat 1, 2, 3, 4, 5 dan 255, 256, 257 dan 284, 285 serta 286). Boleh juga membaca
Surah Yaasin atau mana-mana surah, dengan memohon pertolongan Allah SWT
agar perkara sebegini tidak berlaku lagi.

2. Tidur dengan berwuduk terlebih dahulu. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW
: “ Apabila kamu hendak tidur maka berwuduklah sebagaimana wuduk untuk
solat, kemudian berbaringlah di atas sisi kananmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan
Muslim).

3. Memulai tidur dengan membaringkan tubuh ke sisi sebelah kanan
sebagaimana dalam hadis di atas.

4. Tidak tidur dengan tiarap, berdasarkan sabda Nabi SAW “ Sesungguhnya itu
adalah cara tidur yang dimurkai Allah ‘azza wa jalla”.(Hadis Riwayat Abu Daud
dengan sanad yang shahih)

5. Mengumpulkan kedua telapak tangannya. Kemudian ditiup dan dibacakan:
surat Al-ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Kemudian dengan kedua telapak tangan
tadi mengusap tubuh yang dapat dijangkau dimulai dari kepala, wajah dan
tubuh bagian depan. Hal ini dilakukan sebanyak tiga kali." (Hadis Riwayat
Bukhari dan Muslim)

6. Mengibaskan tempat tidur dengan ujung sarung atau dengan pakaiannya
sebanyak tiga kali. (Hadis Riwayat Bukhari).

7. Membaca doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, seperti membaca doa
“ Bismika Allahumma amuutu wa ahyaa (Dengan menyebut nama-Mu ya Allah
aku mati dan hidup)” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

8. Dianjurkan membaca tasbih 33 kali, tahmid 33 kali, takbir 33 kali atau 34 kali
ketika hendak tidur, sebagaimana sabda baginda kepada Ali bin Abi Thalib dan
isterinya ketika mereka hendak tidur, “ Maka bacalah tasbih tiga puluh tiga kali,
tahmid tiga puluh tiga kali, dan takbir tiga puluh tiga kali” dan dalam riwayat
lain “takbirlah tiga puluh empat kali” (Hadis Riwayat Bukhari).

9. Dianjurkan juga membaca ayat kursi, membaca dua ayat terakhir surat
Al-Baqarah atau membaca surat Ali ‘Imran ayat 190-200. (Hadis Riwayat Bukhari).
Wallahu a’lam

Masuk neraka dengan keredhaan  Allah itu lebih baik daripada masuk syurga
dengan keredhaan Ibumu, kesayanganmu...
Itu lebih bersih, kerana kita menyatakan kehambaan kita kepada tuhan kita.
Kita ini terlalu banyak dosa terlihat mahupun terlindung, dan kita tidak sedari...

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Dec 2013...^^..

No comments:

Post a Comment