Monday 30 September 2013

Fitnah Ke Atas Islam Mengikut Zaman...^^..

Fitnah Ke Atas Islam Mengikut Zaman

Sedih melihat apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Fitnah terhadap
ulama-ulama bertebaran di mana-mana. Kita serahkan kepada Allah SWT
dan bertawassul kepada Rasulullah SAW semoga diberikan kekuatan
sebagaimana Rasulullah SAW menerima ujian ketika berdakwah terdahulu.
Jika dibandingkan dengan ujian yang Rasulullah SAW dan para
salafussoleh yang terdahulu hadapi maka ternyata apa yang kita hadapi
ini terlalu sedikit. Langsung tidak dapat dibandingkan dengan setitik
peluh Rasulullah SAW yang cukup mulia.

Setiap zaman punya fitnahnya tersendiri. Zaman Saidina Abu Bakar as
Siddiq RA menghadapi golongan murtad serta golongan yang tidak mahu
membayar zakat. Semua lawan yang terpaksa dihadapi itu merupakan
kelompok manusia yang pernah seagama dan seakidah dengannya semasa
Rasulullah masih hidup. Akhirnya baginda wafat di racun oleh golongan
yang tidak senangkan akan kebaikan.

Saidina Umar al Faruq, khalifah yang penuh dengan kebaikan dan
keadilan. Sehinggakan baginda bersabda, " Jika ada lagi nabi
selepasku maka Umarlah yang layak untuk menjadi nabi. Namun Allah SWT
telah menetapkan bahawa tiada lagi nabi selepas kewafatanku."
Umar juga dibunuh dengan kejam oleh Abu Lu'luah al Majusi laknatullah.
Tujuh belas tikaman di belakang Umar dengan menggunakan serampang dua
mata bukanlah sesuatu yang biasa.

Saidina Utsman Zun Nurain RA, khalifah ketiga dan juga sahabat
baginda yang lemah lembut. Rupanya kelembutan dalam berdakwah juga
tidak disenangi oleh sekelompok manusia yang busuk hati. Rasulullah
ada menyebutkan para malaikat Allah malu kepada Utsman.

Namun tangan-tangan kotor yang memancung Utsman ketika membaca ayat
ayat suci Al Quran langsung tidak malu untuk berbuat sedemikian. Malah
mereka tidak malu untuk berhadapan dengan baginda kelak.

Saidina Ali KWJ seorang sahabat yang sanggup susah senang dengan
baginda juga turut dibenci malah dimusuhi sehingga berakhir dengan
pembunuhan. Tetakan di bahagian kepalanya hampir mengenai otaknya.

Saidina Hasan al Basri rahimahullah pula terpaksa berhadapan dengan
seorang gabenor yang kejam, Hajjaj ibnu Yusuf ats Tsaqafi yang dikejar
dan diburu untuk dipancung. Namun Allah SWT menyelamatkan ulama besar
ini. Diburu hanya kerana ingin mempertahankan kebenaran. Saidina Said
bin Jubair rahimahullah, seorang ulama besar tabi'in, juga pernah
dicaci maki oleh Hajjaj. Malah Hajjaj turut memaki ibu Saidina Said
bin Jubair di hadapan matanya sendiri sebelum beliau disembelih oleh
Hajjaj ibnu Yusuf. Hajjaj meminta Saidina Said memilih cara mati yang
bagaimana yang beliau mahu.

Maka dijawab oleh Said: " Bunuhlah dengan apa cara sekalipun yang
engkau suka wahai Hajjaj. Allah SWT akan membalas kembali kepadamu
sepertimana cara yang engkau gunakan kepadaku ketika membunuhku
di akhirat kelak."

Ketika diberikan arahan untuk dibunuh maka Saidina Said tertawa.
Hajjaj pelik melihat keadaan sedemikian bertanya: " Bukankah kamu
tidak pernah tertawa selama 40 tahun, tetapi mengapa sekarang kamu
ketawa? "

Saidina Said menjawab: " Benar aku tidak pernah tertawa selama 40
tahun, tetapi hari ini aku tertawa kerana lucu dengan sikap angkuhmu
terhadap hukuman Allah, namun Allah SWT masih berlembut denganmu."

Pengajaran penting yang boleh kita ambil daripada kata-kata Saidina
Said ialah, betapa ramai yang mulutnya lancang memaki hamun dan
mencerca orang lain. Namun diri tidak sedar betapa Allah SWT masih
menyayanginya dengan memberikan peluang hidup untuk bertaubat dan
memohon keampunan. Akan tetapi berapa ramai yang sedar perkara ini?
Ramai yang lalai.

Imam Ahmad rahimahullah disebat hanya semata-mata kerana mempertahankan
bahawa Al Quran bukanlah makhluk tetapi Kalam Allah yang Qadim.
Mulianya sikap beliau sehinggakan Imam Syafie yang pada ketika itu
berada Iraq, bermimpi bertemu Rasulullah. Rasulullah menyuruh Imam
Syafie rahimahullah menyampaikan salam kepada Imam Ahmad di atas
pengorbanan yang dilakukan dan khabar gembira untuk Imam Ahmad bahawa
beliau akan masuk syurga Allah SWT dengan ujian tersebut.

Imam Ahmad yang gembira dengan berita tersebut memberikan jubahnya
kepada Imam Syafie. Jubah itu direndam oleh Imam Syafie rahimahullah
dan air rendaman tersebut menjadi ubat bagi pesakit beliau.

Imam Isa bin Dinar rahimahullah yang wafat pada tahun 212 Hijrah.
Beliau dipenjara 20 tahun hanya semata-mata mempertahankan sepertimana
yang dipertahankan oleh Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah.

Ini contoh-contoh kesusahan dan keperitan yang dihadapi oleh para
ulama terdahulu. Jika dibandingkan dengan apa yang dihadapi sekarang
oleh kita, terlalu jauh malah tidak layak untuk dibandingkan.

Fitnah sekarang ialah fitnah kejahilan. Ubat jahil ialah ilmu. Ilmu
yang benar akan diperoleh oleh hati yang benar-benar inginkan
kebenaran dan ikhlas. Tidak terlintas di hati para ulama Islam yang
benar untuk mengkafirkan seseorang sesuka hati. Malah mereka lebih
suka untuk menyelamatkan umat daripada memusnahkan.

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Sept 2013...^^..

No comments:

Post a Comment