Kisah Unta Mematahkan Rancangan Abu Jahal Untuk Membunuh
Rasullullah S.A.W...^^..
Setelah pelbagai usaha oleh kaum Quraisy untuk menyekat dan
menghapuskan penyebaran agama Islam menemui kegagalan, maka Abu
Jahal semakin benci terhadap Rasulullah S.A.W. Kebencian Abu Jahal
ini tidak ada tolok bandingnya, malah melebihi kebencian Abu Lahab
terhadap Rasulullah S.A.W.
Melihatkan agama Islam semakin tersebar, Abu Jahal pun berkata
kepada kaum Quraisy di dalam suatu perhimpunan, " Hai kaumku !
Janganlah sekali-kali membiarkan Muhammad menyebarkan ajaran
barunya dengan sesuka hatinya. Ini adalah kerana dia telah menghina
agama nenek moyang kita, dia mencela tuhan yang kita sembah. Demi
Tuhan, aku berjanji kepada kamu sekalian, bahawa esok aku akan
membawa batu ke Masjidil Haram untuk dibalingkan ke kepala
Muhammad ketika dia sujud.
Selepas itu, terserahlah kepada kamu semua samada mahu menyerahkan
aku kepada keluarganya atau kamu membela aku dari ancaman kaum
kerabatnya. Biarlah orang-orang Bani Hasyim bertindak apa yang
mereka sukai."
Tatkala mendengar jaminan daripada Abu Jahal, maka orang ramai yang
menghadiri perhimpunan itu berkata secara serentak kepadanya,
" Demi Tuhan, kami tidak akan sekali-kali menyerahkan engkau kepada
keluarga Muhammad. Teruskan niatmu."
Orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu merasa bangga mendengar
kata-kata yang diucapkan oleh Abu Jahal bahawa dia akan menghapuskan
Muhammad kerana jika Abu Jahal berjaya menghapuskan Nabi
Muhammad S.A.W bererti akan terhapuslah segala keresahan dan
kesusahan mereka selama ini yang disebabkan oleh kegiatan Rasulullah
S.A.W menyebarkan agama Islam di kalangan mereka.
Dalam pada itu, terdapat juga para hadirin di situ telah mengira-ngira
perbelanjaan untuk mengadakan pesta sekiranya Nabi Muhammad S.A.W
berjaya dihapuskan. Pada pandangan mereka adalah mudah untuk
membunuh Nabi Muhammad S.A.W yang dikasihi oleh Tuhan Yang Maha
Esa serta sekalian penghuni langit. Padahal Allah tidak akan sekali-kali
membiarkan kekasih-Nya diancam dan diperlakukan seperti binatang.
Dengan perasaan bangga, keesokan harinya di sebelah pagi, Abu Jahal
pun terus pergi ke Kaabah iaitu tempat biasa Nabi Muhammad S.A.W
bersembahyang. Dengan langkahnya seperti seorang satria, dia berjalan
dengan membawa seketul batu besar di tangan sambil diiringi oleh
beberapa orang Quraisy yang rapat dengannya. Tujuan dia mengajak
kawan-kawannya ialah untuk menyaksikan bagaimana nanti dia akan
menghempapkan batu itu di atas kepala Nabi Muhammad S.A.W.
Sepanjang perjalanan itu dia membayangkan bagaimana keadaan Nabi
Muhammad nanti setelah kepalanya dihentak oleh batu itu. Dia
tersenyum sendirian apabila membayangkan kepala Nabi Muhammad
S.A.W pecah dan tidak bergerak lagi. Dan juga membayangkan
bagaimana kaum Quraisy akan menyambutnya sebagai pahlawan yang
telah berjaya membunuh musuh nombor satu mereka.
Sebaik sahaja Abu Jahal tiba di perkarangan Masjidil Haram,
dilihatnya Rasulullah S.A.W baru sahaja sampai dan hendak
mengerjakan sembahyang. Dalam pada itu, Nabi Muhammad S.A.W
tidak menyedari akan kehadiran Abu Jahal dan kawan-kawannya di situ.
Baginda tidak pernah terfikir apa yang hendak dilakukan oleh Abu
Jahal terhadap dirinya pada hari itu.
Sebaik-baik sahaja Abu Jahal melihat Rasulullah S.A.W telah mula
bersembahyang, dia berjalan perlahan-lahan dari arah belakang
menuju ke arah Nabi Muhammad S.A.W. Abu Jahal melangkah dengan
berhati-hati, setiap pergerakannya dijaga, takut disedari oleh
baginda.
Dari jauh kawan-kawan Abu Jahal memerhatikan dengan perasaan
cemas bercampur gembira. Dalam hati mereka berkata, " Kali ini
akan musnahlah engkau hai Muhammad."
Sebaik sahaja Abu Jahal hendak menghampiri Nabi Muhammad S.A.W
dan menghayun batu yang dipegangnya itu, tiba-tiba secepat kilat dia
berundur ke belakang. Batu yang dipegangnya juga jatuh ke tanah.
Mukanya yang tadi merah kini menjadi pucat lesi seolah-olah tiada
berdarah lagi. Rakan-rakannya yang amat ghairah untuk melihat Nabi
Muhammad S.A.W terbunuh, tercengang dan saling berpandangan.
Kaki Abu Jahal seolah-olah terpaku ke bumi. Dia tidak dapat
melangkahkan kaki walaupun setapak. Melihatkan keadaan itu, rakan-
rakannya segera menarik Abu Jahal dari situ sebelum disedari oleh
baginda. Abu Jahal masih terpinga-pinga dengan kejadian yang
dialaminya.
Sebaik sahaja dia sedar dari kejutan peristiwa tadi, rakan-rakannya
tidak sabar untuk mengetahui apakah sebenarnya yang telah berlaku.
Kawannya bertanya, " Apakah sebenarnya yang terjadi kepada
engkau, Abu Jahal ? Mengapa engkau tidak menghempapkan batu
itu ke kepala Muhammad ketika dia sedang sujud tadi ?"
Akan tetapi Abu Jahal tetap membisu, rakan-rakannya semakin
kehairanan. Abu Jahal yang mereka kenali selama ini seorang yang
lantang berpidato dan menyumpah seranah Nabi S.A.W, tiba-tiba
sahaja diam membisu.
Dalam pada itu, Abu Jahal masih terbayang-bayang akan kejadian
yang baru menimpanya tadi. Dia seolah-olah tidak percaya dengan
apa yang dilihatnya, malah dia sendiri tidak menyangka perkara
yang sama akan berulang menimpa dirinya.
Perkara yang sama pernah menimpa Abu Jahal sewaktu Rasulullah
S.A.W pergi ke rumah Abu Jahal apabila seorang Nasrani mengadu
kepada baginda bahawa Abu Jahal telah merampas hartanya.
Pada masa itu Abu Jahal tidak berani berkata apa-apa pada baginda
apabila dia terpandang dua ekor harimau menjadi pengawal peribadi
Rasulullah S.A.W.
Kemudian setelah habis mereka menghujani Abu Jahal dengan pelbagai
soalan, maka Abu Jahal pun mula bersuara, " Wahai sahabatku !
Untuk pengetahuan kamu semua, sebaik sahaja aku menghampiri
Muhammad hendak menghempapkan batu itu ke kepalanya, tiba-tiba
muncul seekor unta yang besar hendak menendang aku. Aku amat
terkejut kerana belum pernah melihat unta yang sebegitu besar
seumur hidupku. Sekiranya aku teruskan niatku, nescaya akan
matilah aku ditendang oleh unta itu, sebab itulah aku berundur dan
membatalkan niatku."
Rakan-rakan Abu Jahal berasa amat kecewa mendengar penjelasan
itu, mereka tidak menyangka orang yang selama ini gagah dan
beria-ia hendak membunuh Nabi Muhammad S.A.W hanya tinggal
kata-kata sahaja. Orang yang selama ini diharapkan boleh
menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W dan pengaruhnya hanya
berupaya bercakap seperti tin kosong sahaja.
Setelah mendengar penjelasan dari Abu Jahal yang tidak memuaskan
hati itu, maka mereka pun berkata kepada Abu Jahal dengan
perasaan kehairanan, " Ya Abu Jahal, semasa kau menghampiri
Muhammad tadi, kami memerhatikan engkau dari jauh tetapi kami
tidak nampak akan unta yang engkau katakan itu. Malah bayangnya
pun kami tidak nampak."
Rakan-rakan Abu Jahal mula sangsi dengan segala keterangan yang
diberikan oleh Abu Jahal. Mereka menyangka Abu Jahal sentiasa
mereka-reka cerita yang karut itu, mereka mula hilang kepercayaan
terhadapnya. Akhirnya segala kata-kata Abu Jahal mereka tidak
berapa endahkan lagi.
tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Feb 2014...^^..
No comments:
Post a Comment