Wednesday 3 June 2015

072. Al-Jinn 001-028, Terjemahan Al Quran...^^.. (Golongan Jin)

072. Al-Jinn 001-028, Terjemahan Al Quran...^^..
(Golongan Jin)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Telah diwahyukan kepadaku,
bahawa sesungguhnya, satu rombongan jin telah mendengar
(Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu
kepada kaumnya dengan) berkata, " Sesungguhnya kami telah
mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan
kandungannya sungguh menakjubkan !"

2@ " Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami
beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan
mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.

3@ Dan (ketahuilah wahai kaum kami !) Bahawa sesungguhnya,
tertinggilah kebesaran dan keagungan Tuhan kita daripada
beristeri atau beranak."

4@ " Dan (dengan ajaran Al Quran nyatalah) bahawa
sesungguhnya, (ketua) yang kurang akal pertimbangannya dari
kalangan kita telah mengatakan terhadap Allah kata-kata yang
melampaui kebenaran,

5@ " Dan bahawa sesungguhnya (nyatalah kesalahan) kita
menyangka bahawa manusia dan jin tidak sekali-kali akan berani
mengatakan sesuatu yang dusta terhadap Allah.

6@ " Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan)
beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya
dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin,
kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin
bertambah sombong dan jahat.

7@ " Dan bahawa sesungguhnya (tidaklah benar) manusia
menyangka sebagaimana yang kamu sangka, bahawa Allah tidak
sekali-kali mengutuskan sebarang Rasul (atau tidak akan
membangkitkan manusia pada hari kiamat).

8@ " Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari
berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan
pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan
rejaman-rejaman) api yang menyala.

9@ " Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-
tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan
penduduknya), maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan
mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.

10@ " Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah
(dengan adanya kawalan langit yang demikian) hendak menimpakan
bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka
hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka ?

11@ " Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara
kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita
yang lain dari itu, kita masing-masing adalah menurut jalan
dan cara yang berlainan.

12@ " Dan bahawa sesungguhnya kita (sekarang) mengetahui,
bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat melepaskan diri dari
balasan Allah (walau di mana sahaja kita berada) di bumi, dan
kita juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri dari
balasanNya (walau ke langit sekalipun).

13@ " Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk
(Al Quran), kami beriman kepadanya (dengan tidak bertangguh
lagi), kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka
tidaklah ia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai
amalnya yang baik), dan juga tidak akan ditimpakan sebarang
kesusahan.

14@ " Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al Quran,
nyatalah) ada di antara kita golongan yang berugama Islam, dan
ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari
jalan yang benar, maka sesiapa yang menurut Islam (dengan
beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-
sungguh mencari dan menurut jalan yang benar,

15@ " Adapun orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang
benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka Jahannam.

16@ (Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi), " Dan bahawa
sesungguhnya ! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan
betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan
mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat
kepada mereka.

17@ " (Pemberian yang demikian) untuk Kami menguji (dan
menzahirkan bawaan dan keadaan) mereka dalam menikmati apa
yang Kami berikan itu (adakah mereka bersyukur dan tetap betul
menurut Islam), dan (ingatlah), sesiapa yang berpaling dari
mengingati Tuhannya, (dengan berlaku ingkar dan derhaka, maka)
Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang memuncak beratnya.

18@ " Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat
kepada) Allah semata-mata, maka janganlah kamu seru dan sembah
sesiapapun bersama-sama Allah.

19@ " Dan bahawa sesungguhnya, ketika hamba Allah (Nabi
Muhammad) berdiri mengerjakan ibadat kepadaNya, mereka hampir-
hampir menindih satu sama lain mengerumuninya."

20@ Katakanlah (wahai Muhammad), " Sesungguhnya aku hanyalah
beribadat kepada Tuhanku semata-mata, dan aku tidak
mempersekutukanNya dengan sesiapapun."

21@ Katakanlah lagi, " Sesungguhnya aku tidak berkuasa
mendatangkan sebarang mudarat dan tidak juga berkuasa
mendatangkan sebarang kebaikan bagi kamu.

22@ Katakanlah lagi, " Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali
akan dapat diberi perlindungan oleh sesiapapun dari (azab)
Allah (jika aku menderhaka kepadaNya), dan aku tidak sekali-
kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya,

23@ " (Aku diberi kuasa) hanya menyampaikan (wahyu) dari Allah
dan perintah-perintahNya (yang ditugaskan kepadaku
menyampaikannya), dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan
ingkarkan bawaan RasulNya, maka sesungguhnya disediakan
baginya neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya selama-
lamanya."

24@ (Golongan yang kufur ingkar itu tetap memandang engkau
lemah dan kurang penyokong wahai Muhammad), sehingga apabila
mereka melihat (azab) yang dijanjikan kepada mereka, maka
(pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang
lemah penolong-penolongnya, dan sedikit jumlah bilangannya.

25@ (Kalau ditanya bilakah azab itu ? Maka) katakanlah, " Aku
tidak mengetahui sama ada (azab) yang dijanjikan kepada kamu
itu sudah dekat, atau Tuhanku menentukan bagi kedatangannya
satu tempoh yang lanjut.

26@ " Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka
Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu
kepada sesiapapun,

27@ " Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya (untuk
mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan
tugasnya, apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka
Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-
malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib
itu selamat sampai kepada yang berkenaan).

28@ " (Tuhan mengadakan malaikat-malaikat itu) supaya Ia
mengetahui bahawa sesungguhnya (dengan jagaan mereka) Rasul-
rasul itu telah menyampaikan perutusan-perutusan Tuhan mereka,
(dengan sempurna), pada hal Ia memang mengetahui dengan
meliputi segala keadaan yang ada pada mereka, serta Ia
menghitung tiap-tiap sesuatu, satu persatu."

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment