Thursday 5 March 2015

Istikharah, Boleh Citer Sikit ? Plus + MaknaNya Sekali...^^..

Istikharah, Boleh Citer Sikit ? Plus + MaknaNya Sekali...^^..

Wahhh!!! Tajuk Istikharah sangat popular di kalangan anak muda
yang mahu memeluk cinta. Apabila tiba saat hati rasa diusik-
usik, maka pilihan mahu segera di buat. Lantas Istikharah
menjadi jawapannya.

Sebenarnya, istikharah ini bukanlah tertentu dalam bab memilih
jodoh semata-mata. Di dalam hadith Nabi s.a.w yang
diriwayatkan oleh Imam Bukhari , ia disebut secara umum, iaitu
mana-mana orang yang diberatkan akan beberapa pilihan, maka
hendaklah dia solat dua rakaat iaitu solat sunat Istikharah,
dan kemudian membaca doa.

Meskipun pelbagai artikel dan tulisan tentang solat Istikharah
serta persoalan-persoalan berkaitannya bertebaran di sana
sini, namun soal jawab tentangnya tetap berterusan. Kali ini
cuba kita lihat secara ringkas perihal solat sunat Istikharah
itu sendiri.

*** Pertama: Kenapa Perlu ?

Jawabnya, kerana sebagai manusia, kita tidak lepas daripada
berdoa. Meminta kepada Allah yang Maha Tahu adalah jalan
terbaik bagi kita selaku manusia yang tidak tahu. Pengetahuan
kita sangat terbatas, sedangkan pengetahuan Allah Maha Luas.

Dia Tahu tentang apa yang sebelum kita, serta apa yang bakal
berlaku selepas kita. Termasuklah dalam hal ehwal jodoh serta
pasangan kita nanti. Justeru, kita yang tidak tahu ini
perlulah meminta pertolongan Allah untuk menunjukkan kepada
kita mana yang terbaik, supaya dengan keputusan yang kita buat
itu kita tidak akan menyesal di kemudian hari.

*** Kedua: Kaitan dengan HATI

Kita kena faham, bahawa Istikharah itu sangat berkait rapat
dengan hati. Kalau hati kotor, mana mungkin akan mendapat
petunjuk yang baik. Kalau hati bersih, InsyaAllah ilhamnya
nanti juga baik.

Ada orang, bersungguh-sungguh solat Istikharah, tetapi maksiat
tetap tak tinggal, solat wajib tunggang langgang, maka
bagaimana hendak mengharap kepada petunjuk yang baik.

Justeru, satu proses yang paling penting dalam bab Istikharah
ini adalah membersihkan hati terlebih dahulu. Jika anda sudah
benar-benar melaksanakan proses ini, maka barulah anda boleh
mengharap datangnya petunjuk yang benar kepada hati anda. Jika
tidak, berkemungkinan petunjuk itu hanyalah bayangan daripada
Syaitan.

*** Ketiga: Perkara yang boleh Istikharah

Perkara yang boleh kita Istikharah hanyalah dalam perkara yang
harus di sisi Syarak sahaja. Tidak ada istilah Istikharah
untuk hal yang telah jelas akan wajib atau haramnya.

Umpamanya, nak bayar zakat atau tidak, tidak perlu Istikharah
kerana telah jelas wajibnya. Begitu juga dengan bercouple,
tidak payah Istikharah kerana telah jelas haramnya. Tetapi
dalam hal yang harus, umpamanya untuk memilih antara dua
pekerjaan yang sama-sama halal, maka Istikharahlah memohon
petunjuk dari Allah.

*** Keempat: Istikharah 50-50

Benda yang telah kita yakin sebenarnya tidak lagi berhajat
kepada Istikharah. Ada orang, berdepan dengan dua pilihan
iaitu Nora dan Siti. Tetapi dalam hatinya, dia memang telah
sukakan Siti dan dia tidak sukakan Nora. Dalam keadaan ini,
kalau dia Istikharah sekalipun, dalam keadaan hatinya sudah
meletakkan jawapan, Istikharah itu tiada maknanya.

Istikharah hanya dalam perkara yang kita benar-benar buntu
untuk memilih, antara A dan B keduanya sama berat. Dalam masa
yang sama, kita tidak kisah pun kalau mendapat A ataupun B
kerana keduanya tidak memberi mudharat kepada hidup kita.
Jadi, Istikharah dalam hal itu adalah digalakkan.

*** Kelima: Satu pilihan, Dua pilihan atau Tiga pilihan

Sebenarnya, tidak kisahlah berapa pilihan sekalipun yang ada
di hadapan kita, apa yang kita ingin minta adalah pilihan yang
terbaik daripada kesemua yang ada. Kata kuncinya di sini
adalah PILIHAN.

Jika wujud elemen pilihan, wujudlah Isikharah. Jika tidak,
bagaimana untuk wujud Istikharah ? Mungkin kita perlu memilih
antara A, B atau C. Mungkin juga kita perlu memilih antara
menerima A atau menolak.

Mungkin juga perlu memilih antara membuka ruang untuk lamaran
A atau menutup pintu hati untuk kesemua urusan tersebut. Yang
penting, kita benar-benar berada dalam persimpangan untuk
membuat pilihan antara semua yang ada.

*** Keenam: Istisyarah atau Mesyuarat

Manusia di anugerahkan akal untuk membuat pertimbangan.
Justeru ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk berfikir,
menganalisa dan mencari jalan. Islam menganjurkan bermesyuarat
atau meminta pendapat orang berpengalaman, sebagai kembar
kepada proses Istikharah itu sendiri.

Maknanya, kita tidak boleh seratus peratus bergantung kepada
proses Istikharah semata-mata, hinggakan ada yang menunggu-
nunggu mimpi dan sebagainya.

Sebaliknya, dengan bermesyuarat pun kita akan mendapat
kekuatan untuk membuat keputusan. Timbanglah dengan akal yang
matang akan kesemua pilihan yang ada di depan mata, dan
belajarlah untuk menjadi berani membuat keputusan. Itukan
sunnatullah dalam kehidupan.

*** Ketujuh: Mimpi

Dalam banyak keadaan, ini boleh dikatakan mitos. Dari mulut ke
mulut, petunjuk tentang mimpi adalah benda wajib yang akan
dikembarkan dengan saranan Istikharah. Sedangkan kita tahu,
mimpi juga boleh berlaku ke atas seseorang yang sedang angau.

Maka jika si angau ini bermimpi, adakah boleh dengan senangnya
dia menganggap mimpi itu petunjuk Istikharah ? Tentunya tidak
semudah itu. Bagaimana pula jika Istikharah dan bermimpi calon
A lalu mahu membuat keputusan, tiba-tiba esoknya termimpi pula
calon B ?

Atau, bagaimana jika dalam satu masa yang sama bermimpi calon
A dan B serentak ? Maka sebaiknya, jangan gantungkan
Istikharah anda itu dengan sebarang mimpi !

Begitu juga, Istikharah tidak memerlukan sehingga anda dan
calon anda bermimpi perkara yang serupa, barulah dianggap
Istikharah anda itu berjaya. Tidak sama sekali.

*** Kelapan: Petunjuk yang bagaimana ?

Ketika fikiran dan hati kita terbeban mahu memilih antara A
dan B (atau lain-lain) maka hendaklah kita melazimi solat
Istikharah. Dalam masa yang sama kita jangan tinggalkan
Istisyarah.

Antara petanda yang mungkin hadir adalah, ketika kita bangun
daripada tidur dan teringatkan tentang perkara yang membebani
kita itu (membuat pilihan) maka salah satu pilihan tersebut
menjadi tenang di hati kita berbanding pilihan yang lagi satu.

Ini salah satu petunjuk bahawa pilihan itu adalah yang terbaik
untuk kita ikut. Mudahnya, petunjuk itu datang ke dalam hati
kita sendiri. Kita sendiri akan merasai perkara tersebut jika
kita benar-benar konsisten dengan Istikharah dan Istisyarah.
Ia seterusnya akan mencetus keyakinan kepada kita dalam
membuat langkah seterusnya tanpa ada lagi perasaan ragu-ragu.

Firman Allah ta’ala: " Dan apabila kamu telah berazam untuk
melakukan sesuatu, maka bertawakkallah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang bertawakkal"

*** Kesembilan: Was-was itu daripada Syaitan

Dalam Fiqh, kalau kita yakin kita masih ada wudhuk dan mahu
solat, tetapi tiba-tiba ada semacam bisikan bahawa wudhuk kita
sudah batal, maka bisikan tersebut tidak dikira membatalkan
keyakinan kita.

Kaedah menyebut: " Yakin tidak akan gugur kerana Syak." Begitu
juga dalam bab Istikharah. Jika sudah yakin dengan pilihan
yang kita buat, berdasarkan doa Istikharah kita kepada Allah
serta pertimbangan-pertimbangan yang kita buat dengan
Istisyarah.

Maka jangan dilayan lagi bisikan-bisikan umpamanya mungkin
akan menyesal, atau nanti begitu atau begini, kerana kesemua
itu sebenarnya adalah helah daripada Syaitan.

Seorang ulama’ menyebut, " Tidak akan menyesal orang yang
melakukan solat Istikharah."

@@@ Kesimpulan

Optimislah dengan keputusan sendiri. Belajarlah membuat
keputusan dengan yakin. Jangan harapkan anasir lain membuat
keputusan untuk anda. Istikharah tidak harus sama sekali
di letakkan di tahap itu, kerana ia adalah hubungan antara
hamba dengan Tuhannya.

Tetapi meletakkan anasir lain untuk membuat keputusan,
umpamanya mengharapkan mimpi tertentu, melihat kepada objek-
objek tertentu ataupun nombor-nombor tertentu, ke semua ini
akan menjadikan anda seorang manusia yang tiada fungsi. Ia
jauh sekali daripada ajaran Islam, apatah lagi hendak
dikaitkan dengan solat sunat Istikharah.

No comments:

Post a Comment