Sunday, 6 October 2013

Firasat Hang Tuah ( Iktibar Zaman Kejatuhan Melaka Dengan Peristiwa Monggol Menyerang Baghdad)...^^..

Firasat Hang Tuah ( Iktibar Zaman Kejatuhan Melaka Dengan Peristiwa
Monggol Menyerang Baghdad)...^^..

Sebagai seorang yang tinggi dalam ilmu agama Islam dan ilmu kerohanian,
Hang Tuah cukup peka dengan situasi yang menimpa ke atas kerajaan
Melayu Melaka. Melalui firasatnya serangan Portugis ke atas Melaka
mempunyai persamaan dengan serangan tentera Monggol ke atas Baghdad,
Iraq dalam kurun ke 7 Hijrah pada 616 Hijrah. Ini akibat manusia dan
penguasa yang suka melakukan maksiat dan kekejaman. Maka Allah SWT
akan menarik rahmatNya dari muka bumi ini dan ditimpakan laknat
di kawasan di mana kejahatan berlaku.

Raja Melaka memerintah dengan kekejaman dan tidak berhati perut, anak
isteri orang diambil sesuka hati. Sultan Mahmud Shah telah memberi
arahan membunuh Bendahara Tun Mutahir dan Temenggong Tun Hassan yang
banyak berbakti kepada sultan dengan sewenang-wenangnya. Hanya kerana
seorang perempuan, seisi keluarga Bendahara Tun Mutahir dibunuh pada
tahun 1509, kerana difitnah hendak menderhaka dan menggulingkan
baginda Sultan Mahmud Shah. Ini kerana anak Tun Mutahir, Tun Fatimah
dikahwinkan dengan sepupunya Tun Ali. Sultan Mahmud teramat murka dan
berdendam dengan Tun Mutahir kerana tidak memberitahu kepada baginda
yang beliau mempunyai seorang anak perempuan yang jelita dan
sepatutnya dikahwinkan dengan baginda. Baginda seorang yang penghisap
darah dengan memerah tenaga rakyat yang miskin demi kepentingan
peribadi dan menyakiti dan dianiaya perawan muda dengan memiliki
mereka sebagai pemuas nafsu semata-mata.

Bila perbuatan mungkar sudah berleluasa, Allah tidak lagi memandang
kepada kaum tersebut dan tidak menangguhkan azab yang akan diturunkan
di atas muka bumi ini. Kerana itu urusan Allah, jangan ada siapa yang
cuba mencampurinya. Apabila terjadi suatu musibah atau bala terhadap
sesuatu kaum dari nabi-nabi dan rasul terdahulu, mereka yang beriman
disuruh meninggalkan tempat di mana bala akan diturunkan. Dalam kisah
nabi dan rasul, mereka telah diberi isyarat dan amaran oleh malaikat
untuk meninggalkan tempat akan berlakunya bala. Sebagaimana yang
dialami oleh Nabi Lut AS dan Nabi Ibrahim AS sebelum bala ditimpakan
di kawasan tersebut.

Bermakna sekalipun dia seorang nabi atau rasul, bila datang azab dari
Allah, dia tidak diminta untuk mencampurinya. Sekalipun mendoakan agar
dihindari dari malapetaka yang akan diturunkan, kecuali ummat itu
bertaubat. Jangan diganggu urusanNya, kelak akan berlaku sebagaimana
seorang Aulia yang cuba menghalang kemaraan tentera Monggol di Baghdad
dahulu. Aulia tersebut berjaya mengharu birukan dan menggugat kemaraan
tentera berkuda Monggol yang sedang melakukan pembantaian terhadap
penduduk kota Baghdad.

Panglima-panglima Monggol dan kuda-kudanya jatuh tunggang-langgang
selepas wali Allah tersebut memasukkan tangannya menembusi ke dalam
bumi dan kemudian seolah-olah memutarkan pada sesuatu benda di dalamnya.
Selepas berbuat demikian beliau terdengar satu suara yang memberi
peringatan dan amaran di atas tindakan beliau. Beliau yang sedar akan
kesilapan yang dilakukan itu terus memohon ampun ke hadrat Allah SWT.
Sebaik menjatuhkan tangannya, kepalanya sudah bercerai dari badan dan
jatuh ke tanah terkena libasan pedang tentera Monggol yang sedang mabuk
darah. Maka matilah sang wali Allah itu. Bagaimanapun matinya bukanlah
dalam kederhakaan tetapi sebagai hukuman kepada mereka yang bertaraf
wali Allah bagi mengingatkan kepada yang lain supaya tidak mencampuri
urusanNya.

Fariduddin al Attar yang merupakan seorang Aulia turut mengalami hal
yang sama. Setiap kali beliau memutarkan piring di atas tangannya,
tentera Monggol merasai seolah-olah ada satu kuasa yang membuat
mereka berundur ke belakang. Apabila aulia tersebut hendak mengulangi
lagi bagi kali ketiganya, beliau mendapat isyarat rohaniah bahawa
tindakannya itu mengganggu urusan Allah seperti mahu mengubah
keputusan Allah. Ketika tentera Genghiz Khan memporak porandakan
Persia di tahun 1220M, Al Attar berumur 110 tahun, ikut tertangkap.
Antara sembilan buah karya Al Attar, yang termasyur adalah Manthiquth
Thair sebuah bidalan halus dan indah mengenai perjalanan rohaniah
menghampiri diri dengan Allah.

Hang Tuah yang sedar dan nampak apa yang bakal berlaku dan atas
keputusan keluar dari bumi Melaka. Beliau dikatakan telah mendapat
beberapa isyarat sebelum ini iaitu pengalaman rohaniah dari gurunya
Sang Adi Putera atau Syeikh Thanauddin di Bukit Panau, Pasir Mas,
Kelantan yang berketurunan Arab Yaman dan merupakan anggota Wali Songo.

Tanpa memandang ke belakang lagi, Hang Tuah meninggalkan Melaka dan
duduk mengasingkan diri, bertapa atau berkhalwat di Tanjung Jugra,
kemudian barulah ke Negeri Perak. Di sini boleh dilihat, peristiwa
yang berlaku kerana kurangnya ilmu agama dan kekejaman yang dilakukan
oleh Sultan Melaka dan para pembesar yang banyak melanggar hukum-hukum
agama akan mengundang kemurkaan dan bala dari Allah SWT.

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Oct 2013...^^..

No comments:

Post a Comment