Saturday, 21 September 2013

Tun Jana Khatib...^^..

Tun Jana Khatib...^^..

Mengikut cerita orang Melayu Singapura. Pada suatu hari terdapat seorang
pedagang dan Ulama dari negeri Pasai bernama Tun Jana Khatib telah
datang ke Singapura untuk membuka lembaran kehidupan baru disamping
berdagang. Ketika di Singapura beliau sangat disegani oleh rakyat
Singapura kerana sikapnya yang lemah lembut dan berbudi bahasa di samping
melakukan kerja-kerja amal dan membantu penduduk-penduduk tempatan.

Pada suatu hari Tun Jana Khatib telah berlalu di sebelah Istana Raja
Singapura. Permaisuri baginda sedang melihat Tun Jana Khatib yang
sedang berdiri di sebatang Pokok Pinang. Lantas Permaisuri Raja melihat
keadaan Tun Jana Khatib yang sedang merenung mata ke arah pokok pinang,
lalu dilihatnya Tun Jana Khatib menghampiri dan menyentuh batang pokok
pinang tersebut. Tiba-tiba, pokok pinang terbelah dua lalu tersungkur ke
tanah. Permaisuri raja berasa amat terkejut melihat keajaiban yang berlaku
pada pokok pinang itu. Kemudian Tun Jana Khatib pun beredar.

Tidak lama kemudian, Raja Singapura telah terkejut melihat keadaan batang
pokok pinang yang terbelah dua, lalu baginda bertanya kepada permaisurinya
bagaimana kejadian ini boleh berlaku. Setelah mendapat khabar bahawa
kejadian itu adalah perbuatan seorang dari Pasai.

Maka baginda sangat murka dan memerintahkan supaya Tun Jana Khatib
ditangkap dan dihukum bunuh di Hujung Pasar (sekarang Kampung Gelam).
Apabila pihak istana dapat menangkap Tun Jana Khatib maka beliau telah
bersumpah: " Hai kamu semua! ketahuilah kamu semua. Aku relakan kematian
ini! Tetapi raja yang zalim itu tidak akan terlepas begitu sahaja. Dia
hanya membayar harga keatas kezaliman itu... Dan percayalah Singapura ini
akan huru hara! akan ditimpa malapetaka yang dahsyat!"

Sepantas kilat petanda terus menikam sebilah keris ke arah Tun Jana Khatib,
akhirnya beliau tersungkur lalu rebah ke bumi. Ketika hendak membawa jenazah
Tun Jana Khatib ke tanah perkuburan, ada yang tidak kena pada jenazah Tun
Jana Khatib. Mengikut lagenda, jenazah beliau tiba-tiba ghaib tetapi
darahnya masih ada, ramai orang bingung dan hairan akan kejadian tersebut.

Beberapa minit kemudian ribut petir telah menggemparkan Singapura dan
disusuli dengan dentuman kuat. Rakyat terus lari menyelamatkan diri dan
pergi ke tempat kejadian semula. Orang ramai mula gempar darah Tun Jana
Khatib tadi telah bertukar menjadi batu. Sementara itu penduduk di Langkawi
pula mula gempar kerana mayatnya telah terbaring di tepi pantai. Penduduk
di sana telah mendakwa jenazah itu adalah Tun Jana Khatib.�Jenazahnya
kemudian dikebumikan di sebuah tanah perkuburan yang dipanggil Makam Purba.

Dan dari peristiwa itu terciptalah sebuah pantun sebagai mengenang kesaktian
Tun Jana Khatib, bunyinya:

Telur Itik di Singgora,
Pandan terletak dilangkahi;
Darah titik di Singapura,
Badannya terlantar di Langkawi.

Berpunca daripada tindakan menghukum bunuh Tun Jana Khatib, ikan todak telah
menyerang kebanyakan masyarakat Melayu Asli yang tinggal di sekitar perairan
pantai�Tanjong Pagar. Akibat angka korban nyawa yang semakin meningkat
akibat serangan Ikan todak, maka Hang Nadim yang masih kecil itu telah
mengesyorkan kepada pemerintah Temasek ketika itu untuk membina sebuah
tembok panjang dan tebal berasaskan batang pisang mengelilingi pantai yang
bertindak sebagai penghadang daripada serangan ikan todak. Syor Hang Nadim
itu diterima baik, lalu kerja-kerja pembinaan diusahakan, hasilnya tuntas
dan berjaya. Banyak ikan todak telah tersangkut muncungnya pada batang-
batang pisang.

tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Sept 2013...^^..

No comments:

Post a Comment