Wali Allah Yang Solat Di Atas Air...^^..
Sebuah kapal yang sarat dengan muatan dan bersama 200 orang termasuk
ahli perniagaan berlepas dari sebuah pelabuhan di Mesir. Apabila
kapal itu berada di tengah lautan maka datanglah ribut petir dengan
ombak yang kuat membuat kapal itu terumbang-ambing dan hampir
tenggelam. Berbagai usaha dibuat untuk mengelakkan kapal itu dipukul
ombak ribut, namun semua usaha mereka sia-sia sahaja. Kesemua orang
yang berada di atas kapal itu sangat cemas dan menunggu apa yang
akan terjadi pada kapal dan diri mereka.
Ketika semua orang berada dalam keadaan cemas, terdapat seorang
lelaki yang sedikitpun tidak merasa cemas. Dia kelihatan tenang
sambil berzikir kepada Allah S.W.T. Kemudian lelaki itu turun dari
kapal yang sedang terumbang-ambing dan berjalanlah dia di atas air
dan mengerjakan solat di atas air.
Beberapa orang peniaga yang bersama-sama dia dalam kapal itu melihat
lelaki yang berjalan di atas air dan dia berkata, " Wahai wali Allah,
tolonglah kami. Janganlah tinggalkan kami!" Lelaki itu tidak
memandang ke arah orang yang memanggilnya. Para peniaga itu memanggil
lagi, " Wahai wali Allah, tolonglah kami. Jangan tinggalkan kami!"
Kemudian lelaki itu menoleh ke arah orang yang memanggilnya dengan
berkata, " Apa hal?" Seolah-olah lelaki itu tidak mengetahui apa-apa.
Peniaga itu berkata, " Wahai wali Allah, tidakkah kamu hendak
mengambil berat tentang kapal yang hampir tenggelam ini?" Wali itu
berkata, " Dekatkan dirimu kepada Allah." Para penumpang itu berkata,
" Apa yang mesti kami buat?" Wali Allah itu berkata, " Tinggalkan
semua hartamu, jiwamu akan selamat." Kesemua mereka sanggup
meninggalkan harta mereka. Asalkan jiwa mereka selamat. Kemudian
mereka berkata, " Wahai wali Allah, kami akan membuang semua harta
kami asalkan jiwa kami semua selamat."
Wali Allah itu berkata lagi, " Turunlah kamu semua ke atas air dengan
membaca Bismillah." Dengan membaca Bismillah, maka turunlah seorang
demi seorang ke atas air dan berjalan menghampiri wali Allah yang
sedang duduk di atas air sambil berzikir. Tidak berapa lama kemudian,
kapal yang mengandungi muatan beratus ribu ringgit itu pun tenggelam
ke dasar laut. Habislah kesemua barang-barang perniagaan yang mahal-
mahal terbenam ke laut. Para penumpang tidak tahu apa yang hendak
dibuat, mereka berdiri di atas air sambil melihat kapal yang tenggelam
itu.
Salah seorang daripada peniaga itu berkata lagi, " Siapakah kamu wahai
wali Allah?" Wali Allah itu berkata, " Saya ialah Awais Al-Qarni."
Peniaga itu berkata lagi, " Wahai wali Allah, sesungguhnya di dalam
kapal yang tenggelam itu terdapat harta fakir-miskin Madinah yang
dihantar oleh seorang jutawan Mesir."
Wali Allah berkata, " Sekiranya Allah kembalikan semua harta kamu,
adakah kamu betul-betul akan membahagikannya kepada orang-orang miskin
di Madinah ?" Peniaga itu berkata, " Betul, saya tidak akan menipu,
ya wali Allah."
Setelah wali itu mendengar pengakuan dari peniaga itu, maka dia pun
mengerjakan solat dua rakaat di atas air, kemudian dia memohon kepada
Allah S.W.T agar kapal itu ditimbulkan semula bersama-sama hartanya.
Tidak berapa lama kemudian, kapal itu timbul sedikit demi sedikit
sehingga terapung di atas air. Kesemua barang perniagaan dan lain-lain
tetap seperti asal. Tiada yang kurang.
Setelah itu dinaikkan kesemua penumpang ke atas kapal itu dan
meneruskan pelayaran ke tempat yang dituju. Apabila sampai di Madinah,
peniaga yang berjanji dengan wali Allah itu terus menunaikan janjinya
dengan membahagi-bahagikan harta kepada semua fakir miskin di Madinah
sehingga tiada seorang pun yang tertinggal. Wallahu a'alam.
tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Dec 2013...^^..
No comments:
Post a Comment