Kisah Pemuda Yang Bernama 'Uzair...^^..
Pada suatu hari ketika 'Uzair memasuki kebunnya yang menghijau dengan
pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta
tertarik untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam ini.
Sesudah memetik buah-buahan dia pulang dengan keldainya sambil
menikmati keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang
ditungganginya tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah dia sedar
bahawa dia telah berada di suatu daerah yang tidak dikenali oleh
beliau serta sudah jauh dari negerinya sendiri.
Sebaik sahaja dia sampai ke daerah itu dilihatnya kampung itu baru
sahaja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak-binasa sama
sekali. Di tapak atau bekas runtuhan terdapat mayat-mayat manusia
yang bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur. Melihatkan
pemandangan yang mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya dengan
membawa dua keranjang buah-buahan. Manakala keldainya itu ditambat
di situ, kemudian dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah rumah
yang sudah runtuh bagi melepaskan penatnya. Dalam pada itu, fikirannya
mula memikirkan mayat manusia yang sudah busuk itu.
" Bagaimana orang-orang yang sudah mati dan hancur itu akan dihidupkan
oleh Tuhan kembali di negeri akhirat?" begitulah pertanyaan yang
datang bertalu-talu dia tidak terjawab olehnya sehingga dia menjadi
lemah-longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu, dia seakan-
akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah
meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam atau
semalam, tetapi dia telah tidur terus-menerus tanpa bangun-bangun
selama seratus tahun lamanya.
Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya sudah ramai lapisan
baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang telah didirikan. Dalam
masa seratus tahun itu, segala-galanya sudah berubah, manakala 'Uzair
tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad (tubuh)
yang tidak bernyawa lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang
belulangnya sudah hancur lebur berderai.
Kemudian jasad 'Uzair yang telah mati, daging dan tulangnya yang sudah
hancur itu disusun kembali oleh Allah pada bahagiannya masing-masing
lalu ditiupkan ruhnya. Dan ketika itu juga 'Uzair hidup kembali
seperti dahulu. 'Uzair terus berdiri seperti orang yang bangun dari
tidur lantas dia mencari keldai dan buah-buahannya di dalam keranjang
dahulu.
Tidak berapa lama kemudian, turunlah beberapa malaikat seraya bertanya,
" Tahukah engkau ya 'Uzair berapa lama engkau tidur?" Tanpa berfikir
panjang 'Uzair menjawab, " Saya tertidur sehari dua ataupun setengah
hari." Lalu malaikat pun berkata kepadanya, " Bahawa engkau terdampar
di sini genap seratus tahun lamanya. Disinilah engkau berbaring,
berhujan dan berpanas matahari, kadang-kadang ditiup badai dan berhawa
sejuk dan juga panas terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanan
engkau tetap baik keadaannya. Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu,
dia sendiri pun sudah hancur dan dagingnya sudah busuk."
Berkata malaikat lagi, " Lihatlah dan perhatikanlah sungguh-sungguh.
Demikianlah kekuasaan Allah. Allah dapat menghidupkan kembali orang
yang sudah mati dan mengembalikan jasad-jasad yang sudah hancur lebur
dan dengan semudah itu pulalah Tuhan akan membangkitkan semua manusia
yang sudah mati itu nanti di akhirat untuk diperiksa dan diadili
segala perbuatannya. Hal ini diperlihatkan oleh Tuhan kepada engkau
supaya iman engkau tetap dan engkau sendiri dapat menjadi bukti kepada
manusia-manusia lain supaya engkau dan manusia-manusia lain tiada syak
dan ragu-ragu lagi tentang apa yang diterangkan Tuhan tentang akhirat
itu."
Setelah 'Uzair melihat makanan dan keldainya yang sudah hancur itu,
maka 'Uzair pun berkata, " Sekarang tahulah saya bahawa Allah itu
adalah berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu." Tiba-tiba keldai yang sudah
hancur berderai itu dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan tulangnya.
Dan akhirnya menjadi seperti sediakala iaitu hidup kembali bergerak-
gerak dan berdiri sebagaimana sebelum mati. Maka 'Uzair pun berkata,
" Sekarang tahulah saya bahawa Allah berkuasa di atas segala-galanya."
Lalu dia pun terus mengambil keldainya dahulu dan terus menunggangnya
pulang ke rumahnya dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar untuk
dikenali. Dilihatnya segala-gala telah berubah.
Dia cuba mengingati apa yang pernah dilihatnya seratus tahun dahulu.
Setelah menempuhi berbagai kesukaran, akhirnya dia pun sampai ke
rumahnya. Sebaik sahaja dia sampai di situ, dia mendapati rumahnya sudah
pun buruk di mana segala dinding rumahnya telah habis runtuh. Semasa
dia memandang keadaan sekeliling rumahnya, dia ternampak seorang
perempuan tua, lantas dia pun bertanya, " Inikah rumah tuan 'Uzair?"
" Ya," jawab perempuan itu. " Inilah rumah 'Uzair dahulu, tetapi 'Uzair
telah lama pergi dan tiada didengar berita tentangnya lagi sehingga
semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri tidak pernah menyebut
namanya selain kali ini sahaja." Kata perempuan itu sambil menitiskan
airmata. " Sayalah 'Uzair," jawab 'Uzair dengan pantas. " Saya telah
dimatikan oleh Tuhan seratus tahun dahulu dan sekarang saya sudah
dihidupkan oleh Allah kembali."
Perempuan tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu dia pun
berkata, " 'Uzair itu adalah seorang yang paling soleh, doanya selalu
dimakbulkan oleh Tuhan dan telah banyak jasanya di dalam menyembuhkan
orang yang sakit tenat." Sambungnya lagi, " Saya ini adalah hambanya
sendiri, badan saya telah tua dan lemah, mata saya telah pun buta
kerana selalu menangis terkenangkan 'Uzair. Kalaulah tuan ini 'Uzair
maka cubalah tuan doakan kepada Tuhan supaya mata saya terang kembali
dan dapat melihat tuan."
" Uzair pun menghadap kedua belah tangannya ke langit lalu berdoa ke
hadrat Tuhan. Tiba-tiba mata orang tua itupun terbuka dan dapat melihat
dengan lebih terang lagi. Tubuhnya yang tua dan lemah itu kembali kuat
seakan-akan kembali muda. Setelah merenung wajah 'Uzair dia pun berkata,
" Benar, tuanlah 'Uzair. Saya masih ingat." Hambanya itu terus mencium
tangan 'Uzair lalu keduanya pergi mendapatkan orang ramai, bangsa
Israil. 'Uzair memperkenalkan dirinya bahawa dialah 'Uzair yang pernah
hidup di kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.
Berita itu bukan sahaja mengejutkan bangsa Israil, tetapi ada juga
meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya. Walau bagaimanapun
berita itu menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana
itu mereka ingin menguji kebenaran 'Uzair. Kemudian datanglah anak
kandungnya sendiri seraya bertanya, " Saya masih ingat bahawa bapa saya
mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada
benarlah dia 'Uzair."
Tanda itu memang ada pada 'Uzair, lalu percayalah sebahagian daripada
mereka. Akan tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang lebih nyata, maka
mereka berkata kepada 'Uzair, " Bahawa sejak penyerbuan Nebukadnezar
ke atas bangsa dan negara Israil dan setelah tentera tersebut membakar
kitab suci Taurat, maka tiadalah seorang pun bani Israil yang hafal isi
Taurat kecuali 'Uzair sahaja. Kalau benarlah tuan Uzair, cubalah tuan
sebutkan isi Taurat yang betul."
'Uzair pun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan fasih dan lancar
serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan itu barulah mereka
percaya bahawa sungguh benar itulah 'Uzair. Ketika itu, semua bangsa
Israil pun percaya bahawa dialah 'Uzair yang telah mati dan dihidupkan
semula oleh Tuhan. Banyak di antara mereka yang bersalam dan mencium
tangan 'Uzair serta meminta nasihat dan panduan daripadanya. Tetapi
sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh menganggap 'Uzair sebagai
anak Tuhan pula. Maha Suci Allah tidak mempunyai anak samada 'Uzair
mahupun Isa kerana semua makhluk adalah kepunyaan-Nya belaka. Janganlah
kita was-was tentang kekuasaan Allah, maka hendaklah dia fikir siapakah
yang menciptakan dirinya itu.
Adalah mustahil sesuatu benda itu terjadi dengan sendirinya tanpa ada
yang menciptakan. Kalau masih ada orang yang ragu-ragu tentang
kekuasaan Allah, ubatnya hanya satu sahaja, hendaklah dia membaca dan
memahami Al-Qur'an, was-was terhadap kekuasaan Allah itu hanya
datangnya dari syaitan.
Allah S.W.T telah meletakkan komputer dalam kepala kita untuk berfikir,
oleh itu gunakanlah akal kita untuk berfikir.
tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Dec 2013...^^..
No comments:
Post a Comment