Pahala Membantu Tetangga Dan Anak Yatim...^^..
Pada suatu masa ketika Abdullah bin Mubarak berhaji, tertidur di
Masjidil Haram. Dia telah bermimpi melihat dua malaikat turun dari
langit lalu yang satu berkata kepada yang lain, " Berapa banyak orang-
orang yang berhaji pada tahun ini?" Jawab yang lain, " Enam ratus
ribu." Lalu ia bertanya lagi, " Berapa banyak yang diterima ?"
Jawabnya, " Tidak seorang pun yang diterima, hanya ada seorang tukang
sepatu dari Damsyik bernama Muwaffaq, dia tidak dapat berhaji, tetapi
diterima hajinya sehingga semua yang haji pada tahun itu diterima
dengan berkat hajinya Muwaffaq."
Ketika Abdullah bin Mubarak mendengar percakapannya itu, maka
terbangunlah ia dari tidurnya, dan langsung berangkat ke Damsyik
mencari orang yang bernama Muwaffaq itu sehingga ia sampailah ke
rumahnya. Dan ketika diketuknya pintunya, keluarlah seorang lelaki
dan segera ia bertanya namanya. Jawab orang itu, " Muwaffaq." Lalu
Abdullah bin Mubarak bertanya padanya, " Kebaikan apakah yang telah
engkau lakukan sehingga mencapai darjat yang sedemikian itu?" Jawab
Muwaffaq, " Tadinya aku ingin berhaji tetapi tidak dapat kerana
keadaanku, tetapi mendadak aku mendapat wang tiga ratus dirham dari
pekerjaanku membuat dan menampal sepatu, lalu aku berniat haji pada
tahun ini sedang isteriku pula hamil, maka suatu hari dia tercium bau
makanan dari rumah jiranku dan ingin makanan itu, maka aku pergi
ke rumah jiranku dan menyampaikan tujuan sebenarku kepada wanita
jiranku itu.
Jawab jiranku, " Aku terpaksa membuka rahsiaku, sebenarnya anak-anak
yatimku sudah tiga hari tanpa makanan, kerana itu aku keluar mencari
makanan untuk mereka. Tiba-tiba bertemulah aku dengan bangkai himar
di suatu tempat, lalu aku potong sebahagiannya dan bawa pulang untuk
masak, maka makanan ini halal bagi kami dan haram untuk makanan kamu."
Ketika aku mendengar jawapan itu, aku segera kembali ke rumah dan
mengambil wang tiga ratus dirham dan keserahkan kepada jiranku tadi
seraya menyuruhnya membelanjakan wang itu untuk keperluan anak-anak
yatim yang ada dalam jagaannya itu.
" Sebenarnya hajiku adalah di depan pintu rumahku." Kata Muwaffaq lagi.
Demikianlah cerita yang sangat berkesan bahawa membantu jiran
tetangga yang dalam kelaparan amat besar pahalanya apalagi di dalamnya
terdapat anak-anak yatim.
Rasulullah ada ditanya, " Ya Rasullullah tunjukkan padaku amal
perbuatan yang bila kuamalkan akan masuk syurga." Jawab Rasulullah,
" Jadilah kamu orang yang baik." Orang itu bertanya lagi, " Ya
Rasulullah, bagaimanakah akan aku ketahui bahawa aku telah berbuat
baik?" Jawab Rasulullah, " Tanyakan pada tetanggamu, maka bila mereka
berkata engkau baik maka engkau benar-benar baik dan bila mereka
berkata engkau jahat, maka engkau sebenarnya jahat."
tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Dec 2013...^^..
No comments:
Post a Comment