Saturday, 4 May 2013

Al-Quran Mukjizat Terbesar Rasulullah S.A.W...^^..

Al-Quran Mukjizat Terbesar Rasulullah S.A.W

SURAH AL-ALAQ
BISMILLAHHIRRAHMANIRRAHIM
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang


Sumber: Berita Harian, 14 September 2008 - 14 Ramadhan 1429


Kandungan kitab miliki rahsia mengenai kehidupan perlukan kajian mendalam
RABU ini, sekali lagi umat Islam menyambut ulang tahun peristiwa terbesar dalam sejarah Islam iaitu turunnya al-Quran, mukjizat terbesar Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadan yang turut dikenali sebagai Nuzul Quran.

Ada ulama berpendapat al-Quran diturunkan kepada Rasulullah untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia menerusi tiga peringkat. Peringkat pertama, al-Quran diturunkan Allah secara keseluruhannya ke suatu tempat dinamakan Lauhil Mahfudz.
Peringkat kedua, al-Quran dibawa keseluruhannya dari Lauhil Mahfudz ke Baitul Izzah iaitu suatu tempat yang terletak di langit dunia. Proses ini berlaku pada malam lailatul qadar seperti firman-Nya dalam ayat pertama surah al-Qadr: "Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatul qadar."
Seterusnya, al-Quran diturunkan dari langit dunia kepada Nabi Muhammad menerusi perantaraan malaikat Jibrail AS secara berperingkat dan turunnya ayat pertama adalah pada 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos 610.
Peristiwa penurunan ayat pertama hingga kelima dari surah al-Alaq itu juga menjadi petanda kerasulan Nabi Muhammad ketika Baginda berada di Gua Hira, di bukit Jabal Nur berhampiran Makkah.
Ayat itu adalah: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekian makhluk). Ia mencipta manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan penulisan. Ia mengajarkan manusia akan apa yang tidak diketahuinya."

Ayat al-Quran mengandungi 114 surah diturunkan selama 23 tahun dengan 13 tahun di Makkah (1,456 ayat) dan sepuluh tahun di Madinah (4,780 ayat).
Selepas disampaikan Rasulullah, nas al-Quran dipelihara melalui tiga cara iaitu hafalan sahabat, naskhah yang ditulis untuk nabi serta naskhah yang ditulis untuk simpanan sahabat. Selain itu, Rasulullah turut mengulang ayat al-Quran di hadapan Jibrail setahun sekali dan pada akhir hayat Baginda, Rasulullah khatam al-Quran sebanyak dua kali di hadapan Jibrail.
Bagaimanapun, kebanyakan sahabat yang menghafaz al-Quran syahid dalam peperangan menegakkan agama Allah menyebabkan perlunya al-Quran dikumpul dan dijilidkan.
Sejarah penjilidan al-Quran bermula pada pemerintahan Uthman Affan dan setiap nas disusun mengikut tertib ditunjukkan Rasulullah sebelum Baginda wafat. Uthman menubuhkan jawatankuasa khas untuk membukukan al-Quran diketuai Zaid bin Tsabit selain Abdullah bin Zubair, Sa'id 'Ash dan Abdur Rahman bin Harits bin Hisyam.
Jawatankuasa itu mengumpul serta menyalin nas al-Quran hingga dibukukan selain memperoleh lembaran nas yang disalin Abu Bakar as-Siddiq daripada puterinya Hafsah. Antara lain, jawatankuasa itu menjejak penghafaz al-Quran untuk mendengar hafalan mereka dan semua hafalan itu ditulis kembali dalam dialek Quraish untuk mengelakkan perbalahan sesama kaum.
Akhirnya, jawatankuasa itu berjaya menyalin serta menjilid lima al-Quran yang dinamakan al-Mushhaf dan empat daripadanya dikirimkan ke Makkah, Syria, Basrah dan Kufah untuk disalin pihak di sana. Sebuah lagi al-Quran disimpan untuk kegunaan Uthman RA dinamakan Mushhaf al-Imam dan selepas itu, semua lembaran salinan al-Quran yang ditulis sebelum pembukuan dibakar.
Ayat al-Quran turut memiliki rahsia tersendiri mengenai kehidupan yang disampaikan kepada manusia secara jelas atau memerlukan kajian mendalam. Hal ini diakui Allah menerusi firman-Nya: "Inilah ayat-ayat al-Quran yang mengandungi hikmah." (Surah Yunus, ayat pertama).
Allah sudah menerangkan secara jelas mengenai pelbagai fakta sains yang melampaui pemikiran manusia walaupun pada masa ayat al-Quran diturunkan, zaman ketika itu masih dianggap kuno dan belum terdedah kepada ilmu sains.

Antara fakta sains yang ditemui dalam al-Quran iaitu semua cakerawala bergerak secara terapung (Yaasiin: 40), bumi bergerak (An-Naml: 88), atom adalah benda terkecil (Yunus: 61), semakin tinggi semakin sukar bernafas (Al-An'aam: 125), makhluk berpasangan (Adz-Dzaariyaat: 49), proses kejadian manusia (Al-Mu'minuun), kegunaan besi (Al-Hadiid: 25) dan langit yang terkawal (Al-Anbiyaa': 32).
Selain itu, kajian lain yang dijalankan mendapati jumlah sesetengah perkataan yang berlawanan dalam bahasa Arab adalah sama antaranya perkataan dunia dan akhirat disebut masing-masing sebanyak 115 kali.
Perkataan lain adalah malaikat dan syaitan (88 kali), hidup dan mati (145 kali), faedah dan kerugian (50 kali), kesusahan dan kesabaran (114 kali), lelaki dan perempuan (24 kali), ummah dan penyampai (50 kali), iblis dan memohon perlindungan daripada iblis (11 kali), musibah dan bersyukur (75 kali), bersedekah dan berpuas hati (73 kali) serta zakat dan berkat (32 kali).
Golongan muslimin dan jihad (41 kali), emas dan kemurahan hidup (lapan kali), keajaiban dan fitnah (60 kali), minda dan nur (49 kali), lidah dan sumpah (25 kali), nafsu dan ketakutan (lapan kali), bercakap di khalayak ramai dan berdakwah (18 kali).
Jumlah perkataan lain yang dianggap ajaib ditemui adalah solat (lima kali), bulan (12 kali), tahun (365), lautan (32 kali) dan daratan (13 kali). Jumlah lautan dan daratan ini apabila ditukar dalam bentuk peratus adalah bersamaan dengan jumlah sebenar kawasan laut dan darat yang ada di dunia ketika ini iaitu masing-masing 71.111 peratus dan 28.889 peratus.

Misteri yang terkandung dalam ayat al-Quran ini membuktikan kitab berkenaan bukanlah rekaan seorang manusia melainkan ia dihasilkan oleh suatu kuasa yang mentadbir seluruh alam ini yakni Allah.

No comments:

Post a Comment