Sunday, 19 April 2015

Riwayat Nabi Hud (004)...^^..

Riwayat Nabi Hud (004)...^^..

Nabi Hud merupakan keturunan Sam bin Nuh ( cucu Nabi Nuh).
Nabi Hud merupakan seorang daripada suku " Aad" dari keluarga
yang terpandang dan berpengaruh, terkenal sejak kecilnya
dengan kelakuan yang baik budi pekerti yang luhur dan sangat
bijaksana dalam pergaulan dengan kawan-kawannya.

" Aad" adalah nama bapa suatu suku yang hidup di jazirah Arab
di suatu tempat bernama " Al-Ahqaf" terletak di utara
Hadramaut antara Yaman dan Umman. Ia termasuk suku yang tertua
sesudah kaum Nabi Nuh serta terkenal dengan kekuatan jasmani
dalam bentuk tubuh-tubuh yang besar dan sasa. Mereka dikurniai
oleh Allah tanah yang subur dengan sumber-sumber airnya yang
mengalir dari segala penjuru sehinggakan memudahkan mereka
bercucuk tanam untuk bahan makanan mereka dan memperindah
tempat tinggal mereka dengan kebun-kebun bunga yang indah-
indah.

Berkat kurnia Tuhan itu mereka hidup menjadi makmur, sejahtera
dan bahagia serta dalam waktu yang singkat mereka berkembang
biak dan menjadi suku yang terbesar diantara suku-suku yang
hidup di sekelilingnya. Sebagaimana dengan kaum Nabi Nuh, kaum
Hud, suku Aad ini adalah pengisian rohaninya tidak mengenal
Allah, Yang Maha Kuasa Pencipta alam semesta. Mereka membuat
patung-patung yang diberi nama " Shamud" dan " Alhattar" dan
itu yang disembah sebagai tuhan mereka yang menurut
kepercayaan mereka dapat memberi kebahagiaan, kebaikan dan
keuntungan serta dapat menolak kejahatan, kerugian dan segala
musibah.

Ajaran dan agama Nabi Idris dan Nabi Nuh sudah tidak lagi
berbekas dalam hati, jiwa serta cara hidup mereka sehari-hari.
Kenikmatan hidup yang mereka sedang nikmati di dalamnya berkat
tanah yang subur dan menghasilkan rezeki yang melimpah ruah
menurut anggapan mereka adalah kurniaan dan pemberian dari
kedua berhala mereka yang mereka sembah. Kerananya mereka
tidak putus-putus sujud kepada kedua berhala itu dengan
mensyukurinya sambil memohon perlindungannya dari segala
bahaya dan mushibah berupa penyakit atau kekeringan.

Sebagai akibat dan amalan dari Aqidah yang Sesat, pergaulan
hidup mereka menjadi dikuasai oleh tuntutan dan pimpinan
Iblis, di mana nilai-nilai moral dan akhlak tidak menjadi
dasar penimbangan atau kelakuan dan tindak-tanduk seseorang.
Tetapi kebendaan dan kekuatan lahiriahlah yang menonjol
sehingga timbul kerusuhan dan tindakan sewenang-wenang
di dalam masyarakat di mana yang kuat menindas yang lemah,
yang besar memperkosa yang kecil dan yang berkuasa memeras
yang di bawahnya.

Sifat-sifat sombong, bongkak, iri-hati, hasad dengki, dan
benci-membenci yang didorong oleh hawa nafsu bermaharajalela
dan menguasai kehidupan mereka sehingga tidak memberi tempat
kepada sifat-sifat belas kasihan, sayang menyayangi, jujur,
amanat dan rendah hati. Demikianlah gambaran masyarakat suku
Aad tatkala Allah mengutuskan Nabi Hud sebagai nabi dan rasul
kepada mereka.

* Nabi Hud Berdakwah Di Tengah-tengah Sukunya *

Sudah menjadi sunnah Allah sejak diturunkannya Adam Ke bumi
bahawa dari masa ke semasa jika hamba-hambaNya sudah berada
dalam kehidupan yang sesat sudah jauh menyimpang dari ajaran-
ajaran agama yang dibawa oleh Nabi-nabiNya, akan diutusNya
seorang Nabi atau Rasul yang bertugas untuk menyegarkan
kembali ajaran-ajaran nabi-nabi yang sebelumnya dan
mengembalikan masyarakat yang sudah tersesat ke jalan lurus
dan benar dan mencuci bersih jiwa manusia dari segala tahayul
dan syirik menggantinya dan mengisinya dengan Iman, Tauhid
dan Aqidah yang sesuai dengan fitrah.

Demikianlah maka kepada suku Aad yang telah dimabukkan oleh
kesejahteraan hidup dan kenikmatan duniawi sehingga tidak
mengenalkan Tuhannya yang mengurniakan itu semua. Nabi Hud
memulai dakwahnya dengan menarik perhatian kaumnya suku Aad
kepada tanda-tanda wujudnya Allah yang berupa alam sekeliling
mereka dan bahawa Allahlah yang mencipta mereka semua dan
mengurniakan mereka dengan segala kenikmatan hidup yang berupa
tanah yang subur, air yang mengalir serta tubuh badan yang
tegak dan kuat. Dialah yang seharusnya mereka sembah dan
bukannya patung-patung yang mereka perbuat sendiri.

Mereka sebagai manusia adalah makhluk Tuhan paling mulia yang
tidak sepatutnya merendahkan diri sujud menyembah batu-batu
yang dapat mereka hancurkan sendiri dan memusnahkannya dari
pandangan dan dengan tangan mereka.

Di terangkan oleh Nabi Hud bahawa dia adalah pesuruh Allah
yang diberi tugas untuk membawa mereka ke jalan yang benar
beriman kepada Allah yang menciptakan mereka menghidup dan
mematikan mereka memberi rezeki atau mencabutnya daripada
mereka. Ia tidak mengharapkan upah dan menuntut balas jasa
atas usahanya memimpin dan menuntut mereka ke jalan yang
benar.

Ia hanya menjalankan perintah Allah dan memperingatkan mereka
bahawa jika mereka tetap menutup telinga dan mata mereka
menghadapi ajakan dan dakwahnya mereka akan ditimpa azab dan
dibinasakan oleh Allah sebagaimana terjadinya atas kaum Nuh
yang mati binasa, tenggelam dalam air bah akibat kebongkakan
dan kesombongan mereka menolak ajaran dan dakwah Nabi Nuh
seraya bertahan pada pendirian dan kepercayaan mereka kepada
berhala dan patung-patung yang mereka sembah dan dipuja itu.

Bagi kaum Aad seruan dan dakwah Nabi Hud itu merupakan barang
yang tidak pernah mereka dengar ataupun menduga. Mereka
melihat bahawa ajaran yang dibawa oleh Nabi Hud itu akan
mengubah sama sekali cara hidup mereka dan merosakkan
peraturan dan adat istiadat yang telah mereka kenal dan warisi
dari nenek moyang mereka.

Mereka tercengang dan merasa hairan bahawa seorang dari suku
mereka sendiri telah berani berusaha merombak tatacara hidup
mereka dan menggantikan agama dan kepercayaan mereka dengan
sesuatu yang baru, yang mereka tidak kenal dan tidak pula
dimengertikan dan susah diterima oleh akal fikiran mereka.

Dengan serta-merta ditolaklah oleh mereka dakwah Nabi Hud itu
dengan berbagai alasan dan tuduhan kosong terhadap diri beliau
serta ejekan-ejekan dan hinaan yang diterimanya dengan kepala
dingin dan penuh kesabaran.

Berkatalah kaum Aad kepada Nabi Hud: " Wahai Hud ! Ajaran dan
agama apakah yang engkau hendak anjurkan kepada kami ? Engkau
ingin agar kami meninggalkan persembahan kami kepada tuhan-
tuhan kami yang berkuasa ini dan menyembah tuhanmu yang tidak
dapat kami jangkau dengan pancaindera kami dan tuhan yang
menurut kata kamu tidak bersekutu.

Cara persembahan yang kami lakukan ini ialah yang telah kami
warisi dari nenek moyang kami dan tidak sesekali kami tidak
akan meninggalkannya bahkan sebaliknya engkaulah yang
seharusnya kembali kepada aturan nenek moyangmu dan jangan
merosakkan kepercayaan dan agama mereka dengan membawa suatu
agama baru yang tidak dikenali oleh mereka dan tentu tidak
akan direstuinya."

" Wahai kaumku !" jawab Nabi Hud, " Sesungguhnya Tuhan yang
aku serukan ini kepada kamu untuk menyembahNya walaupun kamu
tidak dapat menjangkauNya dengan pancainderamu namun kamu
dapat melihat dam merasakan wujudnya dalam diri kamu sendiri
sebagai ciptaanNya dan dalam alam semesta yang mengelilingimu
beberapa langit dengan matahari, bulan dan bintang-bintangnya,
bumi dengan gunung-ganangnya, sungai, tumbuh-tumbuhan dan
binatang-binatang yang kesemuanya dapat memberi manfaat bagi
kamu sebagai manusia.

Dan dapat kamu menikmati kehidupan yang sejahtera dan bahagia.
Tuhan itulah yang harus kamu sembah dan menundukkan kepala
kamu kepadaNya.Tuhan Yang Maha Esa, tiada bersekutu, tidak
beranak dan diperanakan yang walaupun kamu tidak dapat
menjangkauNya dengan pancainderamu, Dia dekat daripada kamu
serta mengetahui segala gerak-geri dan tingkah lakumu,
mengetahui isi hatimu, denyut jantungmu dan jalan fikiranmu.

Tuhan itulah yang harus disembah oleh manusia dengan
kepercayaan penuh kepada KeEsaanNya dan keKuasaanNya dan bukan
patung-patung yang kamu perbuat pahat dan ukir dengan tangan
kamu sendiri, kemudian kamu sembah sebagai tuhan padahal ia
suatu barang yang pasif tidak dapat berbuat sesuatu yang
menguntungkan atau merugikan kamu.

Alangkah Bodohnya dan Ceteknya fikiranmu jika kamu tetap
mempertahankan agamamu yang sesat itu dan menolak ajaran dan
agama yang telah diwahyukan kepadaku oleh Allah Tuhan Yang
Maha Esa itu."

" Wahai Hud !" jawab kaumnya, " Gerangan apakah yang
menjadikan engkau berpandangan dan berfikiran lain daripada
yang sudah menjadi pegangan hidup kami sejak dahulu kala dan
menjadikan engkau meninggalkan agama nenek moyangmu sendiri
bahkan sehingga engkau menghina dan merendahkan martabat
tuhan-tuhan kami dan memperbodohkan kami dan menganggap kami
berakal sempit dan berfikiran cetek ?

Engkau mengaku bahawa engkau terpilih menjadi rasul pesuruh
oleh Tuhanmu untuk membawa agama dan kepercayaan baru kepada
kami dan mengajak kami keluar dari jalan yang sesat menurut
pengakuanmu ke jalan yang benar dan lurus. Kami merasa hairan
dan tidak dapat menerima oleh akal kami sendiri bahawa engkau
telah dipilih menjadi pesuruh Tuhan.

Apakah kelebihan kamu di atas seseorang daripada kami, engkau
tidak lebih tidak kurang adalah seorang manusia biasa seperti
kami hidup makan minum dan tidur, tiada bezanya dengan kami,
mengapa engkau yang dipilih oleh Tuhanmu ? Sungguh engkau
menurut anggapan kami seorang pendusta besar atau mungkin
engkau berfikiran tidak sihat terkena kutukan tuhan-tuhan kami
yang selalu engkau ejek, hina dan cemuhkan."

" Wahai kaumku !" jawab Nabi Hud, " Aku bukanlah seorang
pendusta dan fikiran ku tetap waras dan sihat tidak kurang
sesuatu pun dan ketahuilah bahwa patung-patungmu yang kamu
perTuhankan itu tidak dapat mendatangkan sesuatu gangguan atau
penyakit bagi badanku atau fikiranku.

Kamu kenal aku, sejak lama aku hidup di tengah-tengah kamu
bahawa aku tidak pernah berdusta dan bercakap bohong dan
sepanjang pergaulanku dengan kamu tidak pernah terlihat pada
diriku tanda-tanda ketidakwajaran perlakuanku atau tanda-tanda
yang meragukan kewarasan fikiranku dan kesempurnaan akalku.

Aku adalah benar pesuruh Allah yang diberi amanat untuk
menyampaikan wahyuNya kepada hamba-hambaNya yang sudah
tersesat dengan pengaruh ajaran Iblis dan sudah jauh
menyimpang dari jalan yang benar yang diajar oleh nabi-nabi
yang terdahulu kerana Allah tidak akan membiarkan hamba-
hambaNya terlalu lama terlantar dalam kesesatan dan hidup
dalam kegelapan tanpa diutuskan seorang rasul yang memimpin
mereka ke jalan yang benar dan penghidupan yang diredhaiNya.

Maka percayalah kamu kepadaku, gunakanlah akal fikiran kamu,
berimanlah dan bersujudlah kepada Allah, Tuhan seru sekalian
alam, Tuhan yang menciptakan kamu, menciptakan langit dan
bumi, menurunkan hujan bagi menyuburkan tanah ladangmu,
menumbuhkan tumbuh-tumbuhan bagi meneruskan hidupmu.

Bersembahlah kepadaNya dan mohonlah Ampun atas segala
perbuatan salah dan tindakan sesatmu, agar Dia menambah
rezekimu dan kemakmuran hidupmu dan terhindarlah kamu dari
azab dunia sebagaimana yang telah dialami oleh kaum Nuh dan
kelak azab di akhirat.

Ketahuilah bahawa kamu akan dibangkitkan kembali kelak dari
kubur kamu dan diminta bertanggungjawab atas segala perbuatan
kamu di dunia ini dan diberi ganjaran sesuai dengan amalanmu,
yang baik dan soleh mendapat ganjaran baik dan yang hina dan
buruk akan mendapat ganjaran dengan api neraka.

Aku hanya menyampaikan risalah Allah kepada kamu dengan
memperingati kamu akan akibat yang akan menimpa kepada dirimu,
jika kamu tetap mengingkari kebenaran dakwahku."

Kaum Aad menjawab: " Kami bertambah yakin dan tidak ragu lagi
bahawa engkau telah mendapat kutukan tuhan-tuhan kami sehingga
menyebabkan fikiran kamu kacau dan akalmu berubah menjadi
tidak waras. Engkau telah mengucapkan kata-kata yang tidak
masuk akal bahawa jika kami mengikuti agamamu, akan bertambah
rezeki dan kemakmuran hidup kami dan bahawa kami akan
dibangkitkan kembali dari kubur kami dan menerima segala
ganjaran atas segala amalan kami.

Adakah mungkin kami akan dibangkitkan kembali dari kubur kami
setelah kami mati dan menjadi tulang-belulang. Dan apakah azab
dan seksaan yang engkau selalu menakut-nakuti kami dan
mengancamkannya kepada kami ? Semua ini kami anggap kosong dan
ancaman kosong belaka.

Ketahuilah bahawa kami tidak akan menyerah kepadamu dan
mengikuti ajaranmu kerana bayangan azab dan seksa yang engkau
bayang-bayangkannya kepada kami, bahkan kami menentang
kepadamu datangkanlah apa yang engkau janjikan dan ancamlah
kami jika engkau betul-betul benar dalam kata-katamu dan bukan
seorang pendusta."

" Baiklah !" jawab Nabi Hud, " Jika kamu meragukan kebenaran
kata-kataku dan tetap berkeras kepala tidak menghiraukan
dakwahku dan meninggalkan persembahanmu kepada berhala-berhala
itu maka tunggulah saat tibanya pembalasan Tuhan di mana kamu
tidak akan dapat melepaskan diri dari bencananya. Allah
menjadi saksiku bahawa aku telah menyampaikan risalahNya
dengan sepenuh tenagaku kepadamu dan aku akan tetap berusaha
sepanjang hayat dikandung badan memberi penerangan dan
tuntunan kepada jalan yang baik yang telah digariskan oleh
Allah bagi hamba-hambaNya."

* Pembalasan Allah Atas Kaum Aad *

Pembalasan Tuhan terhadap kaum Aad yang kafir dan tetap
membangkang itu, diturunkan dalam dua peringkat. Tahap pertama
berupa kekeringan yang melanda ladang-ladang dan kebun-kebun
mereka, sehingga menimbulkan kecemasan dan kegelisahan, kalau-
kalau mereka tidak memperolehi hasil dari ladang-ladang dan
kebun-kebunnya seperti biasanya.

Dalam keadaan demikian Nabi Hud masih berusaha meyakinkan
mereka bahawa kekeringan itu adalah suatu permulaan seksaan
dari Allah yang dijanjikan dan bahawa Allah masih lagi memberi
kesempatan kepada mereka untuk sedar akan kesesatan dan
kekafiran mereka dan kembali berIman kepada Allah dengan
meninggalkan persembahan mereka yang bathil, kemudian
berTaubat dan memohon Ampun kepada Allah agar segera Hujan
turun kembali dengan lebatnya dan terhindar mereka dari bahaya
kelaparan yang mengancam.

Akan tetapi mereka tetap belum mahu percaya dan menganggap
janji Nabi Hud itu adalah janji kosong belaka. Bahkan mereka
pergi menghadap berhala-berhala mereka memohon perlindungan
dari musibah yang mereka hadapi. Tentangan mereka terhadap
janji Allah yang diwahyukan kepada Nabi Hud segera mendapat
jawapan dengan datangnya pembalasan tahap kedua yang dimulai
dengan terlihatnya gumpalan awan dan mega hitam yang tebal
di atas mereka yang disambutnya dengan sorak-sorai gembira,
kerana dikiranya bahawa hujan akan segera turun membasahi
ladang-ladang dan menyirami kebun-kebun mereka yang sedang
mengalami kekeringan.

Melihat sikap kaum Aad yang sedang bersuka ria itu berkatalah
Nabi Hud dengan nada mengejek: " Gumpalan awan hitam itu
bukanlah awan rahmat/hujan bagi kamu tetapi awan taufan yang
akan membawa kepada kehancuran kamu sebagai pembalasan Allah
yang telah aku janjikan dan kamu ternanti-nanti untuk
membuktikan kebenaran kata-kataku yang selalu kamu sangkal dan
kamu dusta itu."

Sejurus kemudian menjadi kenyataanlah apa yang diramalkan oleh
Nabi Hud itu bahawa bukan hujan yang turun dari awan yang
tebal itu tetapi angin taufan yang dahsyat dan kencang
disertai bunyi gemuruh yang mencemaskan yang telah merosakkan
bangunan-bangunan rumah dari dasarnya membawa berterbangan
semua perabot-perabot dan harta benda dan melempar jauh
binatang-binatang ternakan. Keadaan kaum Aad menjadi panik
mereka berlari ke sana-sini, mudik mencari perlindungan .

Suami tidak tahu di mana isterinya berada dan ibu juga
kehilangan anaknya, sedang rumah-rumah menjadi sama rata
dengan tanah. Bencana angin taufan itu berlangsung selama,
lapan hari tujuh malam sehingga sempat menyapu bersih kaum Aad
yang bongkak itu dan menamatkan riwayat kaumnya dalam keadaan
yang menyedihkan untuk menjadi pengajaran dan ibrah bagi umat-
umat yang akan datang.

Adapun Nabi Hud dan para sahabatnya yang beriman telah
mendapat perlindungan Allah dari bencana yang menimpa kaumnya
yang kacau bilau dan tenang seraya melihat keadaan kaumnya
yang kacau bilau mendengar gemuruhnya angin dan bunyi pohon-
pohon dan bangunan-bangunan yang berjatuhan serta teriakan dan
tangisan orang yang meminta tolong dan mohon perlindungan.

Setelah keadaan cuaca kembali tenang dan tanah " Al-Ahqaf "
sudah menjadi sunyi senyap dari kaum Aad pergilah Nabi Hud
meninggalkan tempatnya, berhijrah ke Hadramaut, di mana ia
tinggal menghabiskan sisa hidupnya sampai ia wafat dan
dimakamkan di sana dimana hingga sekarang makamnya yang
terletak di atas sebuah bukit di suatu tempat lebih kurang
50 km dari kota Siwun dikunjungi para penziarah yang datang
beramai-ramai dari sekitar daerah itu, terutamanya dan bulan
Syaaban pada setiap tahun.

* Kisah Nabi Hud Dalam Al-Quran *

Kisah Nabi Hud diceritakan oleh 68 ayat dalam 10 surah
di antaranya surah Hud, ayat 50 hingga 60 , surah Al-Mukminun
ayat 31 sehingga ayat 41 , surah Al-Ahqaaf ayat 21 sehingga
ayat 26 dan surah Al-Haaqqah ayat 6 ,7 dan 8.

* Pengajaran Dari Kisah Nabi Hud A.S. *

Nabi Hud telah memberi contoh dan sistem yang baik yang patut
ditiru dan diikuti oleh juru dakwah dan ahli penerangan agama.
Beliau menghadapi kaumnya yang sombong dan keras kepala itu
dengan penuh kesabaran, ketabahan dan kelapangan dada. Ia
tidak sesekali membalas ejekan dan kata-kata kasar mereka
dengan serupa tetapi menolaknya dengan kata-kata yang halus
yang menunjukkan bahawa beliau dapat menguasai emosinya dan
tidak sampai kehilangan akal atau kesabaran.

Nabi Hud tidak marah dan tidak gusar ketika kaumnya mengejek
dengan menuduhnya telah menjadi gila dan tidak waras. Ia
dengan lemah lembut menolak tuduhan dan ejekan itu dengan
hanya mengata:

" Aku tidak gila dan bahawa tuhan-tuhanmu yang kamu sembah
tidak dapat menggangguku atau mengganggu fikiranku sedikit pun
tetapi aku ini adalah rasul, pesuruh Allah kepadamu dan betul-
betul aku adalah seorang penasihat yang jujur bagimu,
menghendaki kebaikanmu dan kesejahteraan hidupmu dan agar kamu
terhindar dan selamat dari azab dan seksaan Allah di dunia
mahupun di akhirat."

Dalam berdialog dengan kaumnya. Nabi Hud selalu berusaha
mengetuk hati nurani mereka dan mengajak mereka berfikir
secara rasional, menggunakan akal dan fikiran yang sihat
dengan memberikan bukti-bukti yang dapat diterima oleh akal
mereka tentang kebenaran dakwahnya dan kesesatan jalan mereka.
Namun Hidayah itu adalah dari Allah, Dia akan memberinya
kepada siapa yang Dia kehendakinya.

posted from Bloggeroid

Riwayat Nabi Nuh (003)...^^..

Riwayat Nabi Nuh (003)...^^..

Nabi Nuh adalah nabi keEmpat sesudah Adam, Syith dan Idris dan
keturunan kesembilan dari Nabi Adam.

* Dakwah Nabi Nuh Kepada Kaumnya *

Nabi Nuh menerima wahyu keNabian dari Allah dalam masa
" fatrah" masa kekosongan di antara dua rasul di mana biasanya
manusia secara beransur-ansur melupakan ajaran agama yang
dibawa oleh nabi yang meninggalkan mereka dan kembali
berSyirik meninggalkan amal kebajikan, melakukan kemungkaran
dan kemaksiatan di bawah pimpinan Iblis.

Demikianlah maka kaum Nabi Nuh tidak luput dari proses
tersebut, sehingga ketika Nabi Nuh datang di tengah-tengah
mereka, mereka sedang menyembah berhala ialah patung-patung
yang dibuat oleh tangan-tangan mereka sendiri disembahnya
sebagai tuhan-tuhan yang dapat membawa kebaikan dan manfaat
serta menolak segala kesengsaraan dan kemalangan, berhala-
berhala yang dipertuhankan dan menurut kepercayaan mereka
mempunyai kekuatan dan kekuasaan ghaib ke atas manusia itu
diberinya nama-nama yang silih berganti menurut kehendak dan
selera kebodohan mereka.

Kadang-kadang mereka namakan berhala mereka " Wadd " dan
" Suwa " kadangkala " Yaguts " dan bila sudah bosan digantinya
dengan nama " Yatuq " dan " Nasr ". Nabi Nuh berdakwah kepada
kaumnya yang sudah jauh tersesat oleh iblis itu, mengajak
mereka meninggalkan syirik dan penyembahan berhala dan kembali
kepada Tauhid menyembah Allah Tuhan sekalian alam melakukan
ajaran-ajaran agama yang diwahyukan kepadanya serta
meninggalkan kemungkaran dan kemaksiatan yang diajarkan oleh
Syaitan dan Iblis.

Nabi Nuh menarik perhatian kaumnya agar melihat alam semesta
yang diciptakan oleh Allah berupa langit dengan matahari,
bulan dan bintang-bintang yang menghiasinya, bumi dengan
kekayaan yang ada di atas dan di bawahnya, berupa tumbuh-
tumbuhan dan air yang mengalir yang memberi kenikmatan hidup
kepada manusia, pergantian malam menjadi siang dan sebaliknya
yang kesemua itu menjadi bukti dan tanda nyata akan adanya
keEsaan Tuhan yang harus disembah dan bukan berhala-berhala
yang mereka buat dengan tangan mereka sendiri.

Di samping itu Nabi Nuh juga memberitakan kepada mereka bahwa
akan ada gajaran yang akan diterima oleh manusia atas segala
amalannya di dunia iaitu Syurga bagi amalan kebajikan dan
Neraka bagi segala pelanggaran terhadap perintah Agama yang
berupa kemungkaran dan kemaksiatan.

Nabi Nuh yang dikurniakan Allah dengan sifat-sifat yang patut
dimiliki oleh seorang nabi, Fasih dan Tegas dalam kata-
katanya, bijaksana dan Sabar dalam tindak-tanduknya
melaksanakan tugas risalahnya kepada kaumnya dengan penuh
kesabaran dan kebijaksanaan dengan cara yang lemah lembut,
mengetuk hati nurani mereka dan kadang kala dengan kata-kata
yang tajam dan nada yang kasar bila menghadapi pembesar-
pembesar kaumnya yang keras kepala yang enggan menerima Hujah
dan Dalil-dalil yang dikemukakan kepada mereka yang tidak
dapat mereka membantahnya atau mematahkannya.

Akan tetapi walaupun Nabi Nuh telah berusaha sekuat tenaga
berdakwah kepda kaumnya dengan segala kebijaksanaan, kecekapan
dan kesabaran dan dalam setiap kesempatan, siang mahupun malam
dengan cara berbisik-bisik atau cara terang dan terbuka
ternyata hanya sedikit sekali dari kaumnya yang dapat menerima
dakwahnya dan mengikuti ajakannya, yang menurut riwayatnya
tidak melebihi bilangan seratus( 100) orang Mereka pula
terdiri dari orang-orang yang Miskin berkedudukan sosial Lemah
dan Naif.

Sedangkan orang yang kaya-raya, berkedudukan tinggi dan
terpandang dalam masyarakat, yang merupakan pembesar-pembesar
dan penguasa-penguasa tetap membangkang, tidak mempercayai
Nabi Nuh serta mengingkari dakwahnya dan sesekali tidak
merelakan melepas agama nenek moyang dan kepercayaan mereka
terhadap berhala-berhala mereka, bahkan mereka berusaha dengan
mengadakan rancangan hendak melumpuhkan dan mengagalkan usaha
dakwah Nabi Nuh.

Berkata mereka kepada Nabi Nuh: " Bukankah engkau hanya
seorang daripada kami dan tidak berbeza daripada kami sebagai
manusia biasa. Jikalau betul Allah akan mengutuskan seorang
rasul yang membawa perintahNya, nescaya Ia akan mengutuskan
seorang malaikat yang patut kami dengarkan kata-katanya dan
kami ikuti ajakannya dan bukan manusia biasa seperti engkau
hanya dapat diikuti orang-orang Rendah kedudukan sosialnya
seperti para buruh petani, orang-orang yang tidak
berpenghasilan yang bagi kami mereka seperti sampah
masyarakat.

Pengikut-pengikutmu itu adalah orang-orang yang tidak
mempunyai daya fikiran dan ketajaman otak, mereka mengikutimu
secara membuta tuli tanpa memikirkan dan menimbangkan semasak-
masaknya kebenaran itu atau tidaknya dakwah dan ajakanmu itu.
Jika agama yang engkau bawa dan ajaran-ajaran yang engkau
sadurkan kepada kami itu betul-betul benar, nescaya kamilah
dulu mengikutimu dan bukannya orang-orang yang menGemis
seperti pengikut-pengikutmu itu.

Kami sebagai pemuka-pemuka masyarakat yang pandai berfikir,
memiliki kecerdasan otak dan pandangan yang luas dan yang
dipandang masyarakat sebagai pemimpin-pemimpinnya, tidaklah
mudah kami menerima ajakanmu dan dakwahmu. Engkau tidak
mempunyai kelebihan di atas kami tentang soal-soal
kemasyarakatan, pergaulan hidup kami juga jauh lebih baik dan
kami lebih mengetahui daripadamu tentang semua hal. Anggapan
kami terhadapmu, tidak lain dan tidak bukan, bahawa engkau
adalah pendusta belaka."

Nuh berkata, menjawab ejekan dan olok-olokan kaumnya: " Adakah
engkau mengira bahawa aku dapat memaksa kamu mengikuti
ajaranku atau mengira bahawa aku mempunyai kekuasaan untuk
menjadikan kamu orang-orang yang berIman jika kamu tetap
menolak ajakan ku dan tetap membuta-tuli terhadap bukti-bukti
kebenaran dakwahku dan tetap mempertahankan pendirianmu yang
tersesat yang diilhamkan oleh kesombongan dan kebongkakan
kerana kedudukan dan harta-benda yang kamu miliki.

Aku hanya seorang manusia yang mendapat amanat dan diberi
tugas oleh Allah untuk menyampaikan risalahNya kepada kamu.
Jika kamu tetap berkeras kepala dan tidak mahu kembali
ke jalan yang Benar dan menerima agama Allah yang diutuskanNya
kepadaku maka terserahlah kepada Allah untuk menentukan
hukumanNya dan ganjaranNya keatas diri kamu. Aku hanya pesuruh
dan rasulNya yang diperintahkan untuk menyampaikan amanatNya
kepada hamba-hambaNya.

Dialah yang berkuasa memberi hidayah kepadamu dan mengampuni
dosamu atau menurunkan azab dan seksaanNya di atas kamu
sekalian jika dikehendakiNya. Dialah pula yang berkuasa
menurunkan seksa dan azabNya di dunia atau menangguhkannya
sampai hari kemudian(Kiamat). Dialah Tuhan pencipta alam
semesta ini, Maha Kuasa, Maha Mengetahui, Maha Pengasih dan
Maha Penyayang."

Kaum Nuh mengemukakan syarat dengan berkata: " Wahai Nuh !
Jika engkau menghendaki kami mengikutimu dan memberi sokongan
dan semangat kepada kamu dan kepada agama yang engkau bawa,
maka jauhkanlah para pengikutmu yang terdiri dari orang-orang
petani, buruh dan hamba-hamba sahaya itu. Usirlah mereka dari
pengaulanmu kerana kami tidak dapat bergaul dengan mereka,
duduk berdampingan dengan mereka, mengikut cara hidup mereka
dan bergabung dengan mereka dalam suatu agama dan kepercayaan.

Dan bagaimana kami dapat menerima satu agama yang menyama
ratakan para bangsawan dengan orang awam, penguasa dan
pembesar dengan buruh-buruhnya dan orang kaya yang
berkedudukan dengan orang yang miskin dan papa."

Nabi Nuh menolak pensyaratan kaumnya dan berkata: " Risalah
dan agama yang aku bawa adalah untuk semua orang tiada
pengecualian, yang pandai mahupun yang bodoh, yang kaya
mahupun miskin, majikan ataupun buruh , di antara penguasa dan
rakyat biasa semuanya mempunyai kedudukan dan tempat yang sama
terhadap agama dan hukum Allah.

Andai kata aku memenuhi pensyaratan kamu dan meluluskan
keinginanmu menyingkirkan para pengikutku yang setia itu, maka
siapakah yang dapat ku harapkan akan meneruskan dakwahku
kepada orang ramai dan bagaimana aku sampai hati menjauhkan
daripadaku orang-orang yang telah beriman dan menerima
dakwahku dengan penuh keyakinan dan keIkhlasan di kala kamu
menolaknya serta mengIngkarinya, orang-orang yang telah
membantuku dalam tugasku di kala kamu menghalangi usahaku dan
merintangi dakwahku.

Dan bagaimanakah aku dapat mempertanggungjawabkan tindakan
pengusiranku kepada mereka terhadap Allah bila mereka mengadu
bahawa aku telah membalas kesetiaan dan ketaatan mereka dengan
sebaliknya semata-mata untuk memenuhi permintaanmu dan tunduk
kepada pensyaratanmu yang tidak wajar dan tidak dapat diterima
oleh akal dan fikiran yang sihat. Sesungguhnya kamu adalah
orang-orang yang bodoh dan tidak berfikiran sihat."

Pada akhirnya, kerana merasa tidak berdaya lagi mengingkari
kebenaran kata-kata Nabi Nuh dan merasa kehabisan alasan dan
hujah untuk melanjutkan dialog dengan beliau, maka berkatalah
mereka:

" Wahai Nabi Nuh ! Kita telah banyak bermujadalah dan berdebat
dan cukup berdialog serta mendengar dakwahmu yang sudah
menjemukan itu. Kami tetap tidak akan mengikutimu dan tidak
akan sesekali melepaskan kepercayaan dan adat-istiadat kami
sehingga tidak ada gunanya lagi engkau mengulang-ulangi dakwah
dan ajakanmu dan bertegang lidah dengan kami.

Datangkanlah kepada kami, apa yang engkau katakan, jika benar,
kamu orang yang menepati janji. Kami ingin melihat kebenaran
kata-katamu dan ancamanmu dalam kenyataan. Kerana kami masih
tetap belum mempercayaimu dan tetap meragukan dakwahmu."

* Nabi Nuh Berputus Asa Dari Kaumnya.*

Nabi Nuh berada di tengah-tengah kaumnya selama sembilan ratus
lima puluh tahun berdakwah menyampaikan risalah Tuhan,
mengajak mereka meninggalkan penyembahan berhala dan kembali
menyembah dan beribadah kepada Allah Yang maha Kuasa serta
memimpin mereka keluar dari jalan yang Sesat dan gelap
ke jalan yang Benar dan terang, mengajar mereka hukum-hukum
syariat dan agama yang diwahyukan oleh Allah kepadanya,
mengangkat darjat manusia yang tertindas dan lemah ke tingkat
yang sesuai dengan fitrah dan qudratnya dan berusaha
menghilangkan sifat-sifat sombong dan bongkak yang melekat
pada para pembesar kaumnya dan mendidik agar mereka berkasih
sayang, tolong-menolong diantara sesama manusia.

Akan tetapi dalam waktu yang cukup lama itu, Nabi Nuh tidak
berhasil menyedarkan dan menarik kaumnya untuk mengikuti dan
menerima dakwahnya supaya kaumnya berIman, berTauhid dan
berIbadat kepada Allah kecuali sekelompok kecil kaumnya dan
tidak mencapai seramai seratus orang, walaupun ia telah
melakukan tugasnya dengan segala daya-usahanya dan sekuat
tenaganya dengan penuh kesabaran dan kesulitan menghadapi
pengHinaan, Ejekan dan Cercaan serta Makian kaumnya. Kerana ia
mengharapkan akan datang masanya di mana kaumnya akan sedar
kesalahan diri dan datang mengakui kebenarannya dan kebenaran
dakwahnya.

Harapan Nabi Nuh akan kesedaran kaumnya ternyata makin hari
makin berkurangan dan bahawa sinar Iman dan Takwa tidak akan
menebus ke dalam hati mereka yang telah tertutup rapat oleh
ajaran dan bisikan Iblis. Akhirnya, Nabi Nuh menerima
firman/arahan Allah yang bermaksud:

" Sesungguhnya tidak akan seorang daripada kaumnya mengikutimu
dan beriman kecuali mereka yang telah mengikutimu dan beriman
lebih dahulu, maka janganlah engkau bersedih hati kerana apa
yang mereka perbuatkan."

Dengan penegasan firman Allah itu, lenyaplah sisa harapan Nabi
Nuh dari kaumnya dan habislah keSabarannya. Ia memohon kepada
Allah agar menurunkan AzabNya di atas kaumnya yang berkepala
batu seraya berseru: " Ya Allah ! Janganlah Engkau biarkan
seorang pun daripada orang-orang kafir itu hidup dan tinggal
di atas bumi ini.

Mereka akan berusaha menyesatkan hamba-hambaMu, jika Engkau
biarkan mereka tinggal, mereka pasti akan melahirkan dan
menurunkan selain anak-anak yang berbuat maksiat dan anak-anak
yang kafir seperti mereka."

Doa Nabi Nuh dikabulkan oleh Allah dan permohonannya
diluluskan dan dia tidak perlu lagi menghiraukan dan
mempersoalkan kaumnya, kerana mereka itu akan menerima hukuman
Allah dengan mati tenggelam.

* Nabi Nuh Membuat Kapal.*

Setelah menerima perintah Allah untuk membuat sebuah kapal,
segeralah Nabi Nuh mengumpulkan para pengikutnya dan mulai
mereka mengumpulkan bahan yang diperlukan untuk maksud
tersebut, kemudian dengan mengambil tempat yang agak jauh dari
kota dan bekerjalah orang berIman dengan rajin dan tekun
bekerja siang dan malam menyelesaikan pembinaan kapal yang
diperintahkan itu.

Walaupun Nabi Nuh telah menjauhi kota dan masyarakatnya, agar
dapat bekerja dengan tenang tanpa gangguan bagi menyelesaikan
pembinaan kapalnya namun ia tidak luput dari ejekan dan
cemuhan kaumnya yang kebetulan atau sengaja melalui tempat
kerja membina kapal itu. Mereka mengejek dan mengolok-olokkan
dengan mengatakan:

" Wahai Nuh ! Sejak bila engkau telah menjadi tukang kayu dan
pembuat kapal ? Bukankah engkau seorang nabi dan rasul menurut
pengakuanmu, kenapa sekarang menjadi seorang tukang kayu dan
pembuat kapal.

Dan kapal yang engkau buat itu berada di tempat yang jauh dari
air ini adalah maksudmu untuk ditarik oleh kerbau ataukah
mengharapkan angin yang akan menarik kapalmu ke laut ?" Dan
lain-lain kata ejekan yang diterima oleh Nabi Nuh dengan sikap
dingin dan tersenyum seraya menjawab:

" Baiklah tunggu saja saatnya nanti, jika kamu sekarang
mengejek dan mengolok-olokkan kami maka akan tibalah masanya
kelak bagi kami untuk mengejek kamu dan akan kamu ketahui
kelak untuk apa kapal yang kami siapkan ini. Tunggulah saatnya
azab dan hukuman Allah menimpa atas diri kamu."

Setelah selesai pekerjaan pembuatan kapal yang merupakan alat
pengangkutan laut pertama di dunia, Nabi Nuh menerima wahyu
dari Allah: " Siap-siaplah engkau dengan kapalmu, bila tiba
perintahKu dan terlihat tanda-tanda daripadaKu maka segeralah
angkut bersamamu di dalam kapalmu dan kerabatmu dan bawalah
dua pasang dari setiap jenis makhluk yang ada di atas bumi dan
belayarlah dengan izinKu."

Kemudian tercurahlah dari langit dan memancur dari bumi air
yang deras dan dahsyat yang dalam sekelip mata telah menjadi
banjir besar yang melanda seluruh kota dan desa menenggelamkan
daratan yang rendah mahupun yang tinggi, mencapai puncak
bukit-bukit sehingga tiada tempat berlindung dari air bah yang
dahsyat itu kecuali kapal Nabi Nuh yang telah terisi penuh
dengan para orang mukmin dan pasangan makhluk yang
diselamatkan oleh Nabi Nuh atas perintah Allah.

Dengan iringan " Bismillah majraha wa mursaha" belayarlah
kapal Nabi Nuh dengan lajunya menyelusuri lautan air,
menentang angin yang kadang kala lemah lembut dan kadang kala
ganas dan ribut. Di kanan kiri kapal, terlihatlah orang-orang
kafir bergelut melawan gelombang air yang menggunung berusaha
menyelamat diri dari cengkaman maut yang sudah sedia menerkam
mereka di dalam lipatan gelombang-gelombang itu.

Tatkala Nabi Nuh berada di atas geladak kapal memperhatikan
cuaca dan melihat-lihat orang-orang kafir dari kaumnya sedang
bergelimpangan di atas permukaan air, tiba-tiba terlihatlah
olehnya, tubuh putera sulungnya yang bernama " Kan'aan" timbul
tenggelam dipermainkan oleh gelombang yang tidak menaruh belas
kasihan kepada orang-orang yang sedang menerima hukuman Allah
itu.

Pada saat itu, tanpa disedari, timbullah rasa cinta dan kasih
sayang seorang ayah terhadap putera kandungnya yang berada
dalam keadaan cemas menghadapi maut ditelan gelombang.

Nabi Nuh secara spontan, terdorong oleh suara hati kecilnya
berteriak dengan sekuat suaranya memanggil puteranya: " Wahai
anakku ! Datanglah kemari dan gabungkan dirimu bersama
keluargamu. Bertaubatlah engkau dan berimanlah kepada Allah
agar engkau selamat dan terhindar dari bahaya maut yang engkau
menjalani hukuman Allah. "

Kan'aan, putera Nabi Nuh, yang tersesat dan telah terkena
racun rayuan syaitan dan hasutan kaumnya yang sombong dan
keras kepala itu menolak dengan keras ajakan dan panggilan
ayahnya yang menyayanginya dengan kata-kata yang menentang:

" Biarkanlah aku dan pergilah, jauhilah aku, aku tidak sudi
berlindung di atas bahtera kapalmu, aku akan dapat
menyelamatkan diriku sendiri dengan berlindung di atas bukit
yang tidak akan dijangkau oleh air bah ini."

Nuh menjawab: " Percayalah bahawa tempat satu-satunya yang
dapat menyelamatkan engkau ialah bergabung dengan kami
di atas kapal ini. Tidak akan ada yang dapat melepaskan diri
dari hukuman Allah yang telah ditimpakan ini kecuali orang-
orang yang memperolehi rahmat dan keampunanNya."

Setelah Nabi Nuh mengucapkan kata-katanya tenggelamlah Kan'aan
disambar gelombang yang ganas dan lenyaplah ia dari pandangan
mata ayahnya, tergelincirlah ke bawah lautan air mengikut
kawan-kawannya dan pembesar-pembesar kaumnya yang durhaka itu.

Nabi Nuh bersedih hati dan berdukacita atas kematian puteranya
dalam keadaan kafir tidak beriman dan belum mengenal Allah.
Beliau berkeluh-kesah dan berseru kepada Allah: " Ya Tuhanku,
sesungguhnya puteraku itu adalah darah dagingku dan adalah
bahagian dari keluargaku dan sesungguhnya janjiMu adalah janji
benar dan Engkaulah Maha Hakim yang Maha Berkuasa."

Kepadanya Allah berfirman: " Wahai Nuh ! Sesungguhnya dia,
puteramu itu tidaklah termasuk keluargamu, kerana ia telah
menyimpang dari ajaranmu, melanggar perintahmu menolak
dakwahmu dan mengikuti jejak orang-orang yang kafir daripada
kaummu. Terkeluarlah namanya dari daftar keluargamu.

Hanya mereka yang telah menerima dakwahmu mengikuti jalanmu
dan beriman kepadaKu dapat engkau masukkan dan golongkan
ke dalam barisan keluargamu yang telah Aku janjikan
perlindungannya dan terjamin keselamatan jiwanya. Adapun
orang-orang yang mengingkari risalahmu, mendustakan dakwahmu
dan telah mengikuti hawa nafsunya dan tuntutan Iblis, pastilah
mereka akan binasa menjalani hukuman yang telah Aku tentukan
walau mereka berada dipuncak gunung.

Maka janganlah engkau sesekali menanyakan tentang sesuatu yang
engkau belum ketahui. Aku ingatkan janganlah engkau sampai
tergolong ke dalam golongan orang-orang yang bodoh."

Nabi Nuh segera tersedar setelah menerima teguran dari Allah
bahwa cinta kasih sayangnya kepada anaknya telah menjadikan ia
lupa akan janji dan ancaman Allah terhadap orang-orang kafir
termasuk puteranya sendiri.

Ia sedar bahawa ia tersesat pada saat ia memanggil puteranya
untuk menyelamatkannya dari bencana banjir yang didorong oleh
perasaan naluri darah yang menghubungkannya dengan puteranya
padahal sepatutnya cinta dan taat kepada Allah harus
mendahului cinta kepada keluarga dan harta-benda.

Dia sangat menyesal keatas kelalaian dan kealpaannya itu dan
menghadap kepada Allah memohon ampun dan maghfirahnya dengan
berseru: " Ya Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari godaan
syaitan yang terlaknat, ampunilah kelalaian dan kealpaanku
sehingga aku menanyakan sesuatu yang aku tidak mengetahuinya.

Ya Tuhanku, bila Engkau tidak memberi ampun dan maghfirah
serta menurunkan rahmat bagiku, nescaya aku menjadi orang
yang rugi."

Setelah air bah itu mencapai puncak keganasannya dan habis
binasalah kaum Nuh yang kafir dan zalim sesuai dengan kehendak
dan hukum Allah, surutlah lautan air diserap bumi kemudian
bertambatlah kapal Nuh di atas bukit " Judie " dengan iringan
perintah Allah kepada Nabi Nuh:

" Turunlah wahai Nuh ke darat, bersama para mukmin yang
menyertaimu dengan selamat dilimpahi barakah dan inayah dari
sisiKu bagimu dan bagi umat yang menyertaimu."

* Kisah Nabi Nuh Dalam Al-Quran.*

Al-Quran menceritakan kisah Nabi Nuh dalam 43 ayat dari 28
surah di antaranya surah Nuh dari ayat 1 sehinga 28, juga
dalam surah " Hud" ayat 25 sehingga 49 yang mengisahkan dialog
Nabi Nuh dengan kaumnya dan perintah pembuatan kapal serta
keadaan banjir yang menimpa di atas mereka.

* Pengajaran Dari Kisah Nabi Nuh A.S.*

Bahawasanya hubungan antara manusia yang terjalin karena
ikatan persamaan kepercayaan atau penamaan aqidah dan
pendirian adalah lebih erat dan lebih berkesan daripada
hubungan yang terjalin kerana ikatan darah atau kelahiran.

Kan'aan yang walaupun ia adalah anak kandung Nabi Nuh, oleh
Allah s.w.t. dikeluarkan dari bilangan keluarga ayahnya kerana
ia menganut kepercayaan dan agama berlainan dengan apa yang
dianuti dan didakwahkan oleh ayahnya sendiri, bahkan ia berada
di pihak yang memusuhi dan menentangnya.

Maka dalam pengertian inilah dapat difahami firman Allah dalam
Al-Quran yang bermaksud: " Sesungguhnya para mukmin itu adalah
bersaudara." Demikian pula hadis Rasulullah s.a.w. yang
bermaksud:

" Tidaklah sempurna iman seseorang kecuali jika ia menyintai
saudaranya yang beriman sebagaimana ia menyintai dirinya
sendiri." Juga peribahasa yang berbunyi: " Adakalanya engkau
memperolehi seorang saudara yang tidak dilahirkan oleh ibumu."

posted from Bloggeroid

Riwayat Nabi Idris (002)...^^..

Riwayat Nabi Idris (002).....

Tidak banyak keterangan yang didapati tentang kisah Nabi Idris
di dalam Al-Quran mahupun dalam kitab-kitab Tafsir dan kitab-
kitab sejarah nabi-nabi. Di dalam Al-Quran hanya terdapat dua
ayat tentang Nabi Idris iaitu dalam surah Maryam ayat 56 dan
57,

56@ " Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka, kisah)
Idris yang terdapat tersebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya
ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi.

57@ Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi."
{ Surah Maryam : 56 - 57 }

Nabi Idris adalah keturunan keenam dari Nabi Adam adalah
keturunan pertama yang dikurniai kenabian menjadi Nabi setelah
Adam dan Syith. Nabi Idris menurut sementara riwayat bermukim
di Mesir di mana ia berdakwah untuk agama Allah mengajarkan
Tauhid dan berIbadat menyembah Allah serta memberi beberapa
pedoman hidup bagi pengikut-pengikutnya agar menyelamat diri
dari seksaan di akhirat dan kehancuran serta kebinasaan
di dunia. Ia hidup sampai usia 82 tahun.

Nabi Idris merupakan bapa Nabi Nuh a.s. dan beliau tegas dalam
memerangi orang-orang yang derhaka kepada Allah s.w.t.

* Gelaran Nabi Idris.*

" Idris " ini adalah nama gelaran kerana ia banyak mempelajari
sahifah-sahifah yang diturunkan kepada Nabi Adam a.s., Nabi
Syith dan dirinya sendiri iaitu, sebanyak 90 suhuf semuanya
iaitu, Nabi Adam 10 Suhuf, Nabi Syith 50 Suhuf dan Nabi Idris
(sendiri) 30 Suhuf.

Beliau menimba pelbagai ilmu dan beliau diangkat menjadi Nabi
dan Rasul. Nama sebenarnya adalah, Akhnuh. Nabi Idris a.s.
ditinggikan Allah darjatnya, kerana beliau adalah orang yang
soleh dan bersabar.

* Kandungan Suhuf dan Amanat Nabi Idris.*

Beliau menurunkan 30 amanat yang berisi petunjuk daripada
Allah untuk di sampaikan kepada umatnya, iaitu untuk keturunan
Qabil yang derhaka kepada Allah s.w.t.

Di antara beberapa nasihat dan kata-kata mutiaranya ialah, ~

1@ KeSabaran yang disertai iman kepada Allah membawa
kemenangan.

2@ Orang yang bahagia ialah orang yang berWaspada/berhati-hati
dan mengharapkan syafaat dari Tuhannya dengan amal-amal
solehnya.

3@ Bila kamu memohon sesuatu kepada Allah dan berdoa maka
Ikhlaskanlah niatmu demikian pula puasa dan solatmu.

4@ Janganlah bersumpah dalam keadaan kamu berdusta dan
janganlah menuntut sumpah dari orang yang berdusta agar kamu
tidak menyekutui mereka dalam dosa.

5@ Taatlah kepada raja-rajamu dan tunduklah kepada pembesar-
pembesarmu serta penuhilah selalu mulut-mulutmu dengan ucapan
syukur dan puji kepada Allah.

6@ Janganlah iri hati kepada orang-orang yang baik nasibnya,
kerana mereka tidak akan banyak dan lama menikmati kebaikan
nasibnya.

7@ Barang siapa melampaui keSederhanaan tidak sesuatu pun akan
memuaskannya.

8@ Tanpa membahagi-bagikan nikmat yang diperolehnya, seorang
itu seperti tidak bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat
yang diperolehinya itu.

Dalam hubungan dengan firman Allah bahawa Nabi Idris diangkat
ke martabat tinggi. Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya
meriwayatkan bahawa Nabi Idris wafat tatkala berada di langit
ke empat dibawa oleh seorang Malaikat.

* Exxxtra Info, Tambahan Maklumat...^^..

* Nabi Idris A.S. Melawat Perkampungan Akhirat...
..

Nabi Idris A.S. sentiasa beribadat kepada Allah SWT. Baginda
mendapat pujian daripada Malaikat Izrail. Malaikat Izrail
meminta izin daripada Allah SWT untuk melawat Nabi Idris A.S.
Malaikat Izrail menyamar sebagai seorang pemuda.

Dia membawa makanan kepada Nabi Idris A.S. yang berpuasa.
Nabi Idris A.S. berbuka puasa dan beribadat sehingga subuh.
Malaikat Izrail menunggu baginda.

Malaikat Izrail dan Nabi Idris A.S. melihat-lihat keindahan
alam. Mereka melihat pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Nabi
Idris A.S. melihat beberapa keanehan pada diri pemuda itu.
Baginda tertanya-tanya akan pemuda itu.

Nabi Idris A.S. bertanya, " Siapakah kamu sebenarnya ?" Pemuda
itu memberitahu bahawa dia Malaikat Izrail atau Malaikat Maut.
Nabi Idris A.S. mahu merasai kewafatan. Baginda memohon
Malaikat Izrail mengambil nyawa baginda. Allah SWT mengizinkan
Malaikat Izrail mengambil nyawa Nabi Idris A.S.

Malaikat Izrail menangis melihat Nabi Idris A.S. wafat. Ia
memohon kepada Allah SWT supaya menghidupkan baginda semula.
Nabi Idris A.S. ingin melihat Neraka. Malaikat Izrail membawa
baginda melihat Neraka. Nabi Idris A.S. melihat pelbagai
seksaan Allah SWT seperti rantai-rantai yang panas, ular yang
berbisa dan lain-lain.

Nabi Idris A.S. memohon kepada Malaikat Izrail membawa baginda
masuk ke dalam Syurga. Nabi Idris A.S. melihat keindahan
Syurga. Baginda tidak mahu keluar dari Syurga. Allah SWT
membenarkan baginda tinggal di Syurga.

Betapa hebat mukjizat Nabi Idris A.S. Baginda dapat merasai
wafat dan melawat perkampungan akhirat. Baginda juga tidak
wafat dan tinggal di dalam Syurga.

posted from Bloggeroid

Riwayat Nabi Adam (001)...^^..

Riwayat Nabi Adam (001)...^^..

Setelah Allah s.w.t. menciptakan bumi dengan gunung-gunungnya,
laut-lautannya dan tumbuh-tumbuhannya, menciptakan langit
dengan mataharinya, bulan dan bintang-bintangnya yang
bergemerlapan dan menciptakan malaikat.

Malaikat ialah sejenis makhluk halus yang diciptakan untuk
beribadah, menjadi perantara antara Zat Yang Maha Kuasa dengan
hamba-hamba terutama para rasul dan nabinya. Maka tibalah
kehendak Allah s.w.t. untuk menciptakan sejenis makhluk lain
yang akan menghuni dan mengisi bumi memeliharanya menikmati
tumbuh-tumbuhannya, menguruskan kekayaan yang terpendam
di dalamnya dan berkembang biak, turun-temurun, waris-mewarisi
sepanjang masa yang telah ditakdirkan baginya.

* Kekhuatiran Para Malaikat*

Para malaikat ketika diberitahukan oleh Allah s.w.t. akan
kehendakNya menciptakan makhluk lain itu, mereka khuatir
kalau-kalau kehendak Allah menciptakan makhluk yang lain itu,
disebabkan kecuaian atau kelalaian mereka dalam ibadah dan
menjalankan tugas atau kerana pelanggaran yang mereka lakukan
tanpa disadari.

Berkata mereka kepada Allah s.w.t., " Wahai Tuhan kami ! Buat
apa Tuhan menciptakan makhluk lain selain kami, padahal kami
selalu bertasbih, bertahmid, melakukan ibadah dan mengagungkan
namaMu tanpa henti-hentinya, sedang makhluk yang Tuhan akan
ciptakan dan turunkan ke bumi itu, nescaya akan bertengkar
satu dengan lain, akan saling bunuh-membunuh berebutan
menguasai kekayaan alam yang terlihat diatasnya dan terpendam
di dalamnya, sehingga akan terjadilah kerosakan dan kehancuran
di atas bumi yang Tuhan ciptakan itu."

Allah berfirman, menghilangkan kekhuatiran para malaikat itu,
" Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui dan Aku
sendirilah yang mengetahui hikmat penguasaan Bani Adam atas
bumiKu. Bila Aku telah menciptakannya dan meniupkan roh
kepadanya, bersujudlah kamu di hadapan makhluk baru itu
sebagai penghormatan dan bukan sebagai sujud ibadah, kerana
Allah s.w.t. melarang hambaNya beribadah kepada sesama
makhlukNya."

Kemudian diciptakanlah Adam oleh Allah s.w.t. dari segumpal
tanah liat, kering dan lumpur hitam yang berbentuk. Setelah
disempurnakan bentuknya, ditiupkanlah roh ciptaan Tuhan
ke dalamnya dan berdirilah ia tegak menjadi manusia yang
sempurna.

* Iblis Membangkang*

Iblis membangkang dan enggan mematuhi perintah Allah seperti
para malaikat yang lain, yang segera bersujud di hadapan Adam
sebagai penghormatan bagi makhluk Allah yang akan diberi
amanat menguasai bumi dengan segala apa yang hidup dan tumbuh
di atasnya serta yang terpendam di dalamnya.

Iblis merasa dirinya lebih mulia, lebih utama dan lebih agung
dari Adam, kerana ia diciptakan dari unsur api, sedang Adam
pula dari tanah dan lumpur. Kebanggaannya dengan asal-usulnya
menjadikan ia sombong dan merasa rendah untuk bersujud
menghormati Adam seperti para malaikat yang lain, walaupun
diperintah oleh Allah.

Tuhan bertanya kepada Iblis, " Apakah yang mencegahmu sujud
menghormati sesuatu yang telah Aku ciptakan dengan tanganKu ?"
Iblis menjawab, " Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul dari
dia. Engkau ciptakan aku dari api dan menciptakannya dari
lumpur."

Kerana kesombongan, keegoan dan sifat suka membangkang
melakukan sujud yang diperintahkan, maka Allah menghukum Iblis
dengan mengusir dari syurga dan mengeluarkannya dari barisan
malaikat dengan disertai kutukan dan laknat yang akan melekat
pada dirinya hingga hari kiamat. Di samping itu ia dinyatakan
sebagai penghuni neraka.

Iblis dengan sombongnya menerima dengan baik hukuman Tuhan itu
dan ia hanya mohon agar kepadanya diberi kesempatan untuk
hidup kekal hingga hari kebangkitan/kembali di hari kiamat.
Allah meluluskan permohonannya dan ditangguhkanlah ia sampai
hari kebangkitan, tidak berterima kasih dan bersyukur atas
pemberian jaminan itu, bahkan sebaliknya ia mengancam akan
menyesatkan Adam, sebagai sebab terusirnya dia dari syurga.

Ia dikeluarkan dari barisan malaikat, dan akan mendatangi
anak-anak keturunannya Adam dari segala sudut untuk memujuk
mereka meninggalkan jalan yang lurus dan bersamanya menempuh
jalan yang sesat, mengajak mereka melakukan maksiat dan hal-
hal yang terlarang, menggoda mereka supaya melalaikan
perintah-perintah agama dan mempengaruhi mereka agar menjadi
tidak bersyukur dan tidak beramal soleh.

Kemudian Allah berfirman kepada Iblis yang terkutuk itu,
" Pergilah engkau bersama pengikut-pengikutmu yang semuanya
akan menjadi isi neraka Jahanam dan bahan bakar neraka. Engkau
tidak akan berdaya menyesatkan hamba-hambaKu yang telah
beriman kepadaKu dengan sepenuh hatinya dan memiliki aqidah
yang mantap yang tidak akan tergoyah oleh rayuanmu walaupun
engkau menggunakan segala kepandaianmu menghasut dan
memfitnah."

* Pengetahuan Adam Tentang Nama-Nama Benda.*

Allah hendak menghilangkan anggapan rendah para malaikat
terhadap Adam dan menyakinkan mereka akan kebenaran hikmatNya
menunjuk Adam sebagai penguasa bumi, maka diajarkanlah kepada
Adam, nama-nama benda yang berada di alam semesta, kemudian
diperagakanlah benda-benda itu di depan para malaikat seraya
berkata,

" Cubalah sebutkan bagiKu nama benda-benda itu, jika kamu
benar merasa lebih mengetahui dan lebih mengerti dari Adam."
Para malaikat tidak berdaya memenuhi tentangan Allah untuk
menyebut nama-nama benda yang berada di depan mereka. Mereka
mengakui ketidaksanggupan mereka dengan berkata,

" Maha Agung Engkau ! Sesungguhnya kami tidak memiliki
pengetahuan tentang sesuatu, kecuali apa yang Tuhan ajarkan
kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui dan
Maha Bijaksana."

Adam lalu diperintahkan oleh Allah untuk memberitahu nama-nama
benda itu kepada para malaikat dan setelah diberitahukan oleh
Adam tentang nama dan fungsi benda-benda tersebut,
berfirmanlah Allah kepada mereka (malaikat),

" Bukankah Aku telah katakan padamu bahawa Aku mengetahui
rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan
dan apa yang kamu sembunyikan."

* Adam Menghuni Syurga.*

Adam diberi tempat oleh Allah di syurga dan baginya
diciptakanlah Hawa untuk mendampinginya dan menjadi teman
hidupnya, menghilangkan rasa kesepiannya dan melengkapi
keperluan fitrahnya untuk mengembangkan keturunan. Menurut
cerita para ulama, Hawa diciptakan oleh Allah dari salah satu
tulang rusuk Adam yang di sebelah kiri, di waktu ia masih
tidur sehingga ketika ia terjaga, ia melihat Hawa sudah berada
di sampingnya.

Ia ditanya oleh malaikat, " Wahai Adam ! Apa dan siapakah
makhluk yang berada di sampingmu itu ?" Berkatalah Adam,
" Seorang perempuan." Sesuai dengan fitrah yang telah
di ilhamkan oleh Allah kepadanya. " Siapa namanya ?" Tanya
malaikat lagi. " Hawa", Jawab Adam.

" Untuk apa Tuhan menciptakan makhluk ini ?", Tanya malaikat
lagi. Adam menjawab, " Untuk mendampingiku, memberi kebahagian
bagiku dan mengisi keperluan hidupku sesuai dengan kehendak
Allah."

Allah berpesan kepada Adam, " Tinggallah engkau bersama
isterimu di syurga, rasakanlah kenikmatan yang berlimpah-
limpah di dalamnya, rasailah dan makanlah buah-buahan yang
lazat yang terdapat di dalamnya sepuas hatimu dan sekehendak
nasfumu. Kamu tidak akan mengalami atau merasa lapar, dahaga
ataupun letih selama kamu berada di dalamnya.

Akan tetapi, Aku ingatkan janganlah makan buah dari pohon ini
yang akan menyebabkan kamu celaka dan termasuk orang-orang
yang zalim. Ketahuilah bahawa Iblis itu adalah musuhmu dan
musuh isterimu, ia akan berusaha memujuk kamu dan menyeret
kamu keluar dari syurga sehingga hilanglah kebahagiaan yang
kamu sedang nikmati ini."

* Iblis Mulai Beraksi/Bertindak.*

Sesuai dengan ancaman yang diucapkan ketika diusir oleh Allah
dari Syurga akibat pembangkangannya dan terdorong pula oleh
rasa iri hati dan dengki terhadap Adam yang menjadi sebab
sampai ia terkutuk dan terlaknat selama-lamanya tersingkir
dari singgahsana kebesarannya.

Iblis mulai menunjukkan rancangan penyesatannya kepada Adam
dan Hawa yang sedang hidup berdua di syurga yang tenteram,
damai dan bahagia.

Ia mendekati Adam dan Hawa dan menyatakan kepada mereka bahawa
ia adalah kawan mereka dan ingin memberi nasihat dan petunjuk
untuk kebaikan dan mengekalkan kebahagiaan mereka. Segala cara
dan kata-kata halus digunakan oleh Iblis untuk mendapatkan
kepercayaan Adam dan Hawa bahawa ia betul-betul jujur dalam
nasihat dan petunjuknya kepada mereka.

Ia membisikkan kepada mereka bahawa larangan Tuhan kepada
mereka memakan buah-buah yang ditunjuk itu adalah kerana
dengan memakan buah itu mereka akan menjelma menjadi malaikat
dan akan hidup kekal.

Diulang-ulangilah pujukkannya dengan menunjukkan akan harumnya
bau pohon yang dilarang (indah bentuk buahnya dan lazat
rasanya).

Sehingga pada akhirnya termakanlah pujukan yang halus itu oleh
Adam dan Hawa dan dilanggarnya larangan Tuhan. Allah mencela
perbuatan mereka itu dan berfirman yang bermaksud,

" Tidakkah Aku mencegah kamu mendekati pohon itu dan memakan
dari buahnya dan tidakkah Aku telah ingatkan kamu bahawa
syaitan itu adalah musuhmu yang nyata."

Adam dan Hawa mendengar firman Allah itu sedarlah mereka
bahawa mereka telah melanggar perintah Allah dan bahawa mereka
telah melakukan suatu kesalahan dan dosa besar. Seraya
menyesal berkatalah mereka,

" Wahai Tuhan kami ! Kami telah menganiaya diri kami sendiri
dan telah melanggar perintahMu kerana terkena pujukan Iblis.
Ampunilah dosa kami, kerana nescaya kami akan tergolong orang-
orang yang rugi bila Engkau tidak mengampuni dan mengasihi
kami."

* Adam dan Hawa Diturunkan Ke Bumi.*

Allah telah menerima taubat Adam dan Hawa serta mengampuni
perbuatan pelanggaran perintah yang mereka telah lakukan, yang
mana telah melegakan dada mereka dan menghilangkan rasa sedih
akibat kelalaian peringatan Tuhan tentang Iblis sehingga
terjerumus menjadi mangsa pujukan dan rayuannya yang manis
namun beracun itu.

Adam dan Hawa merasa tenteram kembali setelah menerima
pengampunan Allah dan selanjutnya akan berhati-hati agar tidak
tertipu lagi oleh pujukan Iblis. Mereka juga akan berusaha
tidak menimbulkan murka dan menerima teguran Tuhan itu menjadi
pengajaran bagi mereka berdua untuk lebih berhati-hati
menghadapi tipu daya dan pujukan Iblis yang terlaknat itu.

Harapan untuk tinggal terus di syurga yang telah pudar kerana
perbuatan pelanggaran perintah Allah, hidup kembali dalam hati
dan fikiran Adam dan Hawa yang merasa kenikmatan dan
kebahagiaan hidup mereka di syurga tidak akan terganggu oleh
sesuatu dan bahawa redha Allah serta rahmatnya akan tetap
melimpah di atas mereka untuk selama-lamanya.

Akan tetapi Allah telah menentukan dalam takdirNya apa yang
tidak terlintas dalam hati dan tidak terfikirkan oleh mereka.
Allah s.w.t. yang telah menentukan dalam takdirnya bahawa bumi
yang penuh dengan kekayaan untuk di amanahkan kepada manusia
berketurunan Adam. Allah s.w.t. memerintahkan Adam dan Hawa
turun ke bumi sebagai benih pertama dari hamba-hambanya yang
bernama manusia itu.

Berfirmanlah Allah kepada mereka, " Turunlah kamu ke bumi,
sebagian daripada kamu menjadi musuh bagi sebagian yang lain,
kamu dapat tinggal tetap dan hidup di sana hingga sampai waktu
yang telah ditentukan (Dengan Jalan Kematian)."

Turunlah Adam dan Hawa ke bumi menghadapi cara hidup baru yang
jauh berlainan dengan hidup di syurga yang pernah dialami dan
yang tidak akan berulang kembali. Mereka harus menempuh hidup
di dunia yang fana ini dengan suka dan dukanya dan akan
menurunkan umat manusia yang beraneka ragam sifat dan
tabiatnya berbeza-beza warna kulit dan kecerdasan otaknya.

Umat manusia yang akan berkelompok-kelompok menjadi suku-suku
dan bangsa-bangsa, di mana yang satu menjadi musuh yang lain,
saling bunuh-membunuh, aniaya-menganianya dan tindas-menindas
sehingga dari waktu ke waktu Allah mengutus nabi-nabiNya dan
rasul-rasulNya memimpin hamba-hambaNya ke jalan yang lurus,
penuh damai, kasih sayang di antara sesama manusia jalan yang
menuju kepada redhaNya dan kebahagiaan manusia di dunia dan
akhirat.

* Kisah Adam dalam Al-Quran.*

Al Quran menceritakan kisah Adam dalam beberapa surah
di antaranya surah Al Baqarah ayat 30 sehingga ayat 38 dan
surah Al A'raaf ayat 11 sehingga 25.

* Pengajaran Yang Terdapat Dari Kisah Adam.*

Bahawasanya hikmah yang terkandung dalam perintah-perintah dan
larangan-larangan Allah dan dalam apa yang diciptakannya
kadangkala tidak atau belum dapat dicapai oleh otak manusia
bahkan oleh makhlukNya yang terdekat sebagaimana telah
di alami oleh para malaikat tatkala diberitahu bahawa Allah
akan menciptakan manusia berketurunan Adam untuk menjadi
khalifahNya di bumi sehingga mereka seakan-akan merasa
keberatan dan bertanya-tanya mengapa dan untuk apa Allah
menciptakan jenis makhluk lain daripada mereka yang sudah
patuh rajin beribadat, bertasbih, bertahmid dan mengagungkan
namaNya.

Bahawasanya manusia walaupun ia telah dikurniakan kecergasan
berfikir dan kekuatan fizikal dan mental. Tetapi, ia tetap
mempunyai beberapa kelemahan pada dirinya seperti sifat lalai,
lupa dan khilaf. Hal yang telah terjadi pada diri Nabi Adam
yang walaupun ia telah menjadi manusia yang sempurna dan
dikurniakan kedudukan yang istimewa di syurga, ia tetap tidak
terhindar dari sifat-sifat manusia yang lemah itu.

Ia telah lupa dan melalaikan peringatan Allah kepadanya
tentang pohon terlarang dan tentang Iblis yang menjadi
musuhnya dan musuh seluruh keturunannya, sehingga terperangkap
ke dalam tipu daya dan terjadilah pelanggaran pertama yang
dilakukan oleh manusia terhadap larangan Allah.

Bahawasanya seseorang yang telah terlanjur melakukan maksiat
dan berbuat dosa tidaklah, ia sepatutnya berputus asa dari
rahmat dan ampunan Tuhan. Asalkan ia sedar akan kesalahannya
dan bertaubat tidak akan melakukannya kembali. Rahmat Allah
dan maghfirahNya meliputi segala dosa yang diperbuat oleh
hambaNya kecuali syirik. Bagaimana besar pun dosa itu asalkan
diikuti dengan kesedaran bertaubat dan pengakuan kesalahan
kepada Allah.

Sifat sombong dan bongkak selalu membawa akibat kerugian dan
kebinasaan. Lihatlah Iblis yang turun dari singgahsananya
dilucutkan kedudukannya sebagai seorang malaikat dan diusir
oleh Allah dari syurga dengan disertai kutukan dan laknat yang
akan melekat kepada dirinya hingga hari Kiamat.

Kerana kesombongannya dan kebanggaaannya dengan asal-usulnya
sehingga ia menganggap dan memandang rendah kepada Nabi Adam
dan menolak untuk sujud menghormatinya walaupun diperintahkan
oleh Allah s.w.t.

posted from Bloggeroid

Wednesday, 15 April 2015

Riyadhus Shalihin (Kitab Karangan Imam an Nawawi) Bab 55, Keutamaan Zuhud Di Dunia Dan Anjuran Untuk Mempersedikit Keduniaan Dan Keutamaan Kefakiran (Kemiskinan)...^^..

Riyadhus Shalihin (Kitab Karangan Imam an Nawawi) Bab 55,
Keutamaan Zuhud Di Dunia Dan Anjuran Untuk Mempersedikit
Keduniaan Dan Keutamaan Kefakiran (Kemiskinan)...^^..

Allah Ta'ala berfirman, " Hanyasanya perumpamaan kehidupan
dunia ini adalah seperti air yang Kami turunkan dari langit,
kemudian tumbuhlah kerananya itu tumbuh-tumbuhan di bumi,
di antaranya ada yang dimakan manusia dan ternak. Sehingga
setelah bumi itu mengenakan pakaian hiasannya dan menjadi
indah permai dan penduduknya mengira, bahawa mereka akan dapat
menguasainya, maka datanglah perintah Kami di waktu malam atau
siang (untuk merosakkan semua itu sebagai siksa), lalu Kami
jadikanlah bumi itu sebagai ladang padi yang telah dituai,
seolah-olah kelmarinnya tidak terjadi sesuatu apapun.
Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat Kami kepada orang-orang
yang berfikir." (Surah Yunus: 24)

Allah Ta'ala berfirman pula, " Dan buatlah untuk mereka
perumpamaan kehidupan dunia, sebagai air hujan yang Kami
turunkan dari langit dan kerananya lalu tumbuhlah tumbuh-
tumbuhan di bumi, kemudian setelah subur lalu menjadi kering
yang dapat diterbangkan oleh angin dan Allah itu adalah Maha
Kuasa atas segala sesuatu. Harta benda dan anak-anak itu
adalah perhiasan kehidupan dunia dan amalan-amalan yang baik
yang kekal pahalanya adalah lebih baik pahalanya di sisi
Tuhanmu dan lebih bagus pula harapannya."
(Surah Al Kahf: 45-46)

Juga Allah Ta'afa berfirman, " Ketahuilah olehmu semua,
bahawasanya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda-
gurau, perhiasan dan bermegah-megah antara sesamamu, berlumba
banyak kekayaan dan anak-anak. Perumpamaannya adalah seperti
hujan yang menghairankan orang-orang kafir (yang menjadi
petani) melihat tumbuh tanamannya, kemudian menjadi kering
lalu engkau lihat menjadi kuning warnanya, kemudian menjadi
hancur binasa. Dan di akhirat siksa yang amat sangat untuk
mereka itu (yang berbuat kesalahan), juga pengampunan dari
Allah serta keredhaan (bagi orang-orang yang berbuat kebaikan)
dan tidaklah kehidupan dunia ini melainkan hanyalah kesenangan
tipuan belaka." (Surah Al Hadid: 20)

Allah Ta'ala berfirman lagi, " Diperhiaskanlah untuk para
manusia itu (yakni diberi perasaan bernafsu) untuk mencintai
kesyahwatan-kesyahwatan dari para wanita, anak-anak, kekayaan
yang berlimpah-limpah dari emas dan perak, kuda yang bagus,
binatang ternak dan sawah ladang. Demikian itulah kesenangan
kehidupan dunia dan di sisi Allah ada tempat kembali yang
sebaik-baiknya." (Surah Ali Imran: 14)

Allah Ta'ala berfirman pula, " Hai sekalian manusia,
sesungguhnya janji Allah itu adalah benar. Maka dari itu,
janganlah engkau semua tertipu oleh kehidupan dunia ini dan
janganlah sekali-kali kepercayaanmu kepada Allah itu tertipu
oleh sesuatu yang amat pandai menipu." (Surah Fathir: 5)

Juga Allah Ta'ala berfirman, " Engkau semua dilalaikan oleh
perlumbaan mencari kekayaan, sehingga engkau semua mengunjungi
kubur (yakni sampai mati). Jangan begitu, nanti engkau semua
akan mengetahui, kemudian sekali lagi jangan begitu, nanti
engkau semua akan mengetahui (mana yang sebenarnya salah dan
mana yang tidak). Jangan begitu, andaikata engkau semua dapat
mengetahui dengan ilmu yakin, tentu engkau semua tidak berbuat
seperti di atas itu." (Surah At Takatsur: 1-5)

Allah Ta'ala juga berfirman, " Dan tidaklah kehidupan di dunia
ini melainkan senda-gurau dan permainan belaka dan
sesungguhnya perumahan akhirat adalah kehidupan yang
sebenarnya. Jikalau mereka mengetahui." (Surah Al Ankabut: 64)

Ayat-ayat dalam bab ini amat banyak sekali dan sudah masyhur.

Keterangan: Ada sementara orang yang berpendapat bahawa yang
dinamakan zuhud itu ialah dengan menyiksa diri sendiri, makan
dan minum harus dikurangi sesangat-sangatnya, demikian pula
tidur dan istirehatnya, pakaian cukup yang buruk-buruk, rambut
biarkan kusut-masai tanpa disisir,

Mandi pun harus jarang-jarang, berjalan harus selalu
menundukkan muka, tidak perlu bekerja keras-keras dan cukuplah
dengan menerima belas kasihan orang lain, bertasbih sepanjang
hari dan malam dan lain-lain kelakuan yang bukan-bukan.

Jelaslah bahawa bukan yang sedemikian ini yang dikehendaki
oleh Rasulullah s.a.w. dalam pengertian zuhud sebagaimana yang
tercantum dalam Hadis di atas.

Memang zuhud itu apabila kita lakukan, pasti kita akan
dicintai oleh Allah dan seluruh manusia. Nabi s.a.w. bersabda,

" Berlaku zuhudlah di dunia, pasti dicintai Allah dan berlaku
zuhudlah terhadap milik orang lain, pasti dicintai oleh sesama
manusia." Maka dari itu yang sekarang perlu kita sedari
sebaik-baiknya ialah, apakah yang dinamakan zuhud itu ?

Zuhud ialah meninggalkan ketamakan dalam urusan keduniawian
sehingga lupa ketaatan kepada Allah, lengah untuk mencari
bekal hidup di akhirat nanti. Inilah ertinya zuhud di dunia.
Ringkas saja, bukan. Kalau ini dilakukan, pasti Allah
mencintai kita.

Selain zuhud sebagaimana pengertiannya di atas itu, hendaknya
pula kita jangan ingin memiliki sesuatu yang bukan kepunyaan
kita, sehingga timbul hasrat ingin merebut yang bukan hak kita
itu. Boleh saja kita ingin mempunyai yang seperti milik orang
lain, tetapi carilah yang lain dan jangan yang sudah menjadi
milik orang lain itu dirampas.

Inilah yang diertikan zuhud dengan apa yang ada pada para
manusia. Kalau ini kita lakukan sudah pasti tidak seseorang
pun yang membenci kita. Kita tentu disukai sebab kita pandai
bergaul dan menghormati milik orang.

Demikianlah dua pengertian zuhud dalam Agama Islam. Maka
apabila diertikan lebih dari ini, maka teranglah bahawa itu
bukan berasal dari ajaran Allah Ta'ala dan RasulNya, tetapi
buat-buatan manusia biasa atau mungkin penciplakan dari agama
lain atau dari ilmu yang tidak diredhai oleh Allah semacam
klinik dan sebagainya.

Lihatlah sejarah Rasulullah s.a.w. Beliau adalah sezuhud-
zuhudnya manusia di dunia ini, tetapi beliau s.a.w. pula yang
bersabda,

" Badanmu itu wajib kamu penuhi haknya."

Jadi makan minumnya, pakaiannya, kesenangannya dan lain-lain
sebagainya. Beliau s.a.w. juga tidur dan beristirahat, kahwin,
bersenda-gurau, berkumpul dengan keluarganya dan lain-lain
lagi.

Singkatnya asalkan kita sudah berzuhud sebagaimana dua
pengertian dalam Hadis di atas dan menjalankan perintah Allah
serta menjauhi larangan-laranganNya, Insya Allah selamatlah
hidup kita di dunia sampai di akhirat.

Adapun Hadis-hadisnya, maka lebih banyak lagi untuk dapat
diringkaskan, oleh sebab itu kami peringatkan sebahagian saja
dengan meninggalkan yang lainnya.


455@ Dari 'Amr bin 'Auf al Anshari r.a. bahawasanya Rasulullah
s.a.w. mengirimkan Abu 'Ubaidah al Jarrah r.a. ke daerah
Bahrain (sebuah daerah yang masuk wilayah Iraq) dan
kedatangannya ke situ ialah untuk mengambil pajak.

Kemudian setelah selesai tugasnya, datanglah ia dengan membawa
harta dari Bahrain itu. Kaum Anshar sama mendengar akan
kedatangan Abu Ubaidah, mereka lalu menunaikan shalat fajar
(yakni subuh) bersama Rasulullah s.a.w. Setelah Rasulullah
s.a.w. selesai bersembahyang, beliau pun lalu kembali,
kemudian mereka menuju kepadanya untuk menemuinya.

Rasulullah s.a.w. lalu tersenyum ketika melihat mereka itu
terus bersabda, " Saya kira engkau semua sudah mendengar
bahawasanya Abu Ubaidah tiba dari Bahrain dengan membawa
sesuatu harta." Mereka menjawab,

" Benar, ya Rasulullah." Beliau selanjutnya bersabda,
" Bergembiralah engkau semua dan bolehlah mengharapkan sesuatu
yang akan menyenangkan engkau semua. Demi Allah, bukannya
kefakiran itu yang saya takutkan mengenai engkau semua, tetapi
saya takut jikalau harta dunia ini diluaskan untukmu semua
(yakni engkau semua menjadi kaya raya),

Sebagaimana telah diluaskan untuk orang-orang yang sebelummu,
kemudian engkau semua itu saling berlumba-lumba untuk
mencarinya sebagaimana mereka juga berlumba-lumba untuk
mengejarnya, lalu harta dunia itu akan merosakkan agamamu
semua sebagaimana ia telah merosakkan agama mereka.
(Muttafaq 'alaih)


456@ Dari Abu Said al Khudri r.a., katanya, " Rasulullah
s.a.w. duduk di atas mimbar dan kita duduk di sekitarnya, lalu
beliau s.a.w. bersabda,

" Sesungguhnya salah satu yang saya takutkan atas kamu semua
sepeninggalku nanti, ialah apa yang akan dibukakan untukmu
semua itu dari keindahan harta dunia serta hiasan-hiasannya
(yakni bahawa meluapnya kekayaan pada ummat Muhammad inilah
yang amat ditakutkan), sebab dapat merosakkan agama jikalau
tidak waspada mengendalikannya." (Muttafaq'alaih)


457@ Dari Abu Said r.a. pula bahawasanya Rasulullah s.a.w.
bersabda, " Sesungguhnya dunia adalah manis dan hijau (yakni
menyenangkan sekali) dan sesungguhnya Allah menjadikan engkau
semua sebagai pengganti di bumi itu (untuk mengolah dan
memakmurkan).

Maka, Allah akan melihat bagaimana yang engkau semua lakukan
(untuk dibalas menurut masing-masing amalannya). Oleh sebab
itu, bertaqwalah dalam mengemudikan harta dunia dan
bertaqwalah dalam urusan kaum wanita." (Riwayat Muslim)


458@ Dari Anas r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda,
" Ya Allah. Tidak ada kehidupan yang kekal melainkan kehidupan
di akhirat." (Muttafaq 'alaih)


459@ Dari Anas r.a. pula dari Rasulullah s.a.w., sabdanya,
" Ada tiga macam mengikuti mayat itu (ketika di bawa
ke kubur), iaitu keluarganya, hartanya dan amalnya. Yang dua
kembali dan satu tetap tinggal menyertainya. Keluarga dan
hartanya kembali, sedang amalnya tetap mengikutinya."
(Muttafaq 'alaih)


460@ Dari Anas r.a. pula, katanya, " Rasulullah s.a.w.
bersabda, " Akan didatangkanlah orang yang ternak kehidupannya
di dunia dan ia termasuk golongan ahli neraka pada hari kiamat
nanti, lalu diceburkan dalam neraka sekali ceburan, lalu
dikatakan,

" Hai anak Adam (yakni manusia), adakah engkau dapat merasakan
sesuatu kebaikan (keenakan sekalipun sedikit) ? Adakah suatu
kenikmatan yang pernah menghampirimu sekalipun sedikit ?" Ia
berkata,

" Tidak, demi Allah, ya Tuhanku" yakni setelah merasakan
pedihnya siksa neraka, maka kenikmatan-kenikmatan dan
keenakan-keenakan di dunia itu seolah-olah lenyap sama sekali.

Juga akan didatangkanlah orang yang paling menderita
kesengsaraan di dunia dan ia termasuk ahli syurga, lalu ia
dimasukkan sekali masuk dalam syurga, lalu dikatakan padanya,

" Hai anak Adam, adakah engkau dapat merasakan sesuatu
kesengsaraan, sekalipun sedikit ? Adakah suatu kesukaran yang
pernah menghampirimu sekalipun sedikit ?" Ia menjawab,

" Tidak, demi Allah, tidak pernah ada kesukaran pun yang
menghampiri diriku dan tidak pernah saya melihat suatu
kesengsaraan pun sama sekali,"

Yakni setelah merasakan kenikmatan syurga, maka kesengsaraan
dan kesukaran yang pernah diderita di dunia itu seolah-olah
lenyap sekaligus. (Riwayat Muslim)


461@ Dari al-Mustaurid bin Syaddad r.a., katanya, " Rasulullah
s.a.w. bersabda,

" Tidaklah dunia ini kalau dibandingkan dengan akhirat,
melainkan seperti sesuatu yang seseorang di antara engkau
semua menjadikan jarinya masuk dalam air lautan, maka cubalah
lihat dengan apa ia kembali (yakni, seberapa banyak air yang
melekat di jarinya itu). Jadi dunia itu sangat kecil nilainya
dan hanya seperti air yang melekat di jari tadi banyaknya."
(Riwayat Muslim)


462@ Dari Jabir r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. berjalan
melalui pasar, sedang orang-orang ada di sebelahnya kiri
kanan. Kemudian melalui seekor anak kambing kecil telinganya
dan telah mati.

Beliau s.a.w. menyentuhnya lalu mengambil telinganya, terus
bertanya, " Siapakah di antara engkau semua yang suka membeli
ini dengan wang sedirham ?" Orang-orang menjawab,

" Kita semua tidak suka menukarnya dengan sesuatu apa pun dan
akan kita gunakan untuk apa itu ?" Beliau bertanya lagi,
" Sukakah engkau semua kalau ini diberikan saja padamu."
Orang-orang menjawab,

" Demi Allah, andaikata kambing itu hidup, tentunya juga cacat
kerana ia kecil telinganya. Jadi apa harganya lagi setelah
kambing itu mati ?" Kemudian beliau s.a.w. bersabda,

" Demi Allah, nescayalah dunia ini lebih hina di sisi Allah
daripada kambing ini bagimu semua." (Riwayat Muslim)

Kanafaihi ertinya ada di sebelahnya kanan kiri dan asakku
ertinya kecil telinganya.


463@ Dari Abu Zar r.a., katanya, " Saya berjalan bersama Nabi
s.a.w. di suatu tempat yang berbatu hitam di Madinah, lalu
berhadap-hadapanlah gunung Uhud dengan kita, kemudian beliau
s.a.w. bersabda,

" Hai Abu Zar." Saya berkata, " Labbaik, ya Rasulullah."
Beliau bersabda lagi, " Tidak menyenangkan padaku andaikata
saya mempunyai emas sebanyak gunung Uhud ini, sampai berlalu
tiga hari lamanya, di antaranya ada sedinar saja yang saya
simpan untuk memenuhi hutang,

Kecuali saya akan mengucapkan dengan memberikan harta itu
untuk para hamba Allah demikian demikian demikian." Beliau
menunjuk ke sebelah kanan, kiri dan belakangnya (maksudnya
bahawa kalau beliau s.a.w. mempunyai harta sebanyak Uhud dan
berupa emas, apalagi lainnya),

Tentu akan disedekahkan kepada hamba-hamba Allah semuanya,
kecuali sedinar saja yang akan disimpan jikalau ada hutang
yang belum ditunaikannya dan harta sebanyak itu akan
dihabiskan membelanjakannya dalam tiga hari saja.

Kemudian beliau s.a.w. berjalan, lalu bersabda lagi,
" Sesungguhnya orang-orang yang kaya-raya dengan harta dunia
itulah yang tersedikit pahala akhiratnya pada hari kiamat
nanti, melainkan orang yang berkata demikian, demikian dan
demikian (yakni membelanjakan hartanya itu untuk kebaikan)."

Beliau s.a.w. menunjuk ke kanan, kiri dan belakangnya.
Sabdanya lagi, " Tetapi sedikit sekali orang yang suka
melakukan demikian tadi." Seterusnya beliau bersabda padaku,

" Tetaplah engkau di tempatmu ini. Jangan berpindah (yakni
meninggalkan tempat itu), sampai saya datang padamu nanti."
Beliau s.a.w. berangkat dalam malam yang kelam itu sampai
tertutup dari pandangan.

Kemudian saya mendengar suara yang keras sekali, lalu saya
merasa takut barangkali ada seseorang yang hendak berbuat
jahat pada Nabi s.a.w. Saya ingin hendak mendatanginya,
tetapi saya ingat akan sabdanya,

" Janganlah engkau meninggalkan tempat ini sampai saya datang
padamu." Oleh kerana itu saya tidak meninggalkan tempat itu
sehingga beliau s.a.w. datang padaku. Kemudian saya berkata,

" Saya telah mendengar suatu suara yang saya merasa ketakutan
padanya," Lalu saya ingatkan bunyi suara itu pada beliau.
Selanjutnya beliau bersabda, " Adakah engkau mendengarnya ?"

Saya menjawab, " Ya." Beliau lalu bersabda, " Itu tadi adalah
suara Jibril yang datang padaku, lalu ia berkata,

" Barangsiapa yang meninggal dunia dari ummatmu, yang tidak
menyekutukan sesuatu dengan Allah, maka ia akan masuk syurga."
Saya bertanya, " Sekalipun ia berzina dan sekalipun ia
mencuri ?" Beliau menjawab, " Sekalipun ia berzina dan
sekalipun ia mencuri." (Muttafaq 'alaih)

Hadis ini adalah lafaznya Imam Bukhari.


464@ Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah s.a.w., sabdanya,
" Andaikata saya memiliki emas sebanyak gunung Uhud, nescaya
saya tidak senang kalau berjalan sampai lebih dari tiga hari,
sedangkan di sisiku masih ada emas itu sekalipun sedikit,
kecuali kalau yang sedikit tadi saya sediakan untuk memenuhi
hutang yang menjadi tanggunganku. (Muttafaq 'alaih)


465@ Dari Abu Hurairah r.a. pula, katanya, " Rasulullah s.a.w.
bersabda,

" Lihatlah kepada orang yang tarafnya ada di bawahmu semua dan
janganlah melihat orang yang tarafnya ada di atasmu semua
(dalam hal keduniaan). Sebab yang sedemikian itu lebih nyata
bahawa engkau semua tidak akan menghinakan kenikmatan yang
dilimpahkan atasmu semua itu." (Muttafaq 'alaih)

Ini adalah lafaznya Imam Muslim. Ada pun dalam riwayat Bukhari
ialah, Rasulullah s.a.w. bersabda,

" Jikalau seseorang dari engkau semua melihat pada orang yang
dilebihkan daripada dirinya sendiri (oleh Allah) dalam hal
keduniaan dan keindahan rupa, maka hendaklah memerhatikan saja
kepada orang yang keadaannya lebih bawah daripadanya."


466@ Dari Abu Hurairah r.a. pula dari Nabi s.a.w., sabdanya.
" Binasalah (yakni celakalah) orang yang menjadi hambanya
dinar (emas) dan dirham (perak), beludru sutera serta pakaian.
Jikalau ia diberi itu relalah hatinya dan jikalau tidak
diberi, maka tidaklah rela (maksudnya ialah amat sangat
tamaknya). (Riwayat Bukhari)


467@ Dari Abu Hurairah r.a. pula katanya, " Saya benar-benar
telah melihat tujuh puluh orang dari ahlus shuffah (orang-
orang Islam yang fakir-miskin), [48#] tidak seorangpun dari
mereka yang mengenakan selendang, ada kalanya bersarung dan
ada kalanya berbaju.

Mereka mengikatkan pada lehernya masing-masing. Di antaranya
ada pakaiannya itu hanya sampai pada setengah dari kedua
betisnya dan di antaranya ada pula yang sampai di kedua mata
kakinya, lalu dikumpulkannyalah dengan tangannya kerana tidak
suka terlihat auratnya." (Riwayat Bukhari)


468@ Dari Abu Hurairah r.a. pula, katanya, " Rasulullah s.a.w.
bersabda,

" Dunia ini adalah penjara bagi orang mu'min (kalau
dibandingkan dengan kenikmatan yang disediakan di syurga) dan
syurga bagi orang kafir (kalau dibandingkan dengan pedihnya
siksa di neraka)." (Riwayat Muslim)


469@ Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma.katanya, " Rasulullah
s.a.w. menepuk kedua belikatku, lalu bersabda,

" Jadilah engkau di dunia ini seolah-olah engkau orang gharib
(yakni orang yang sedang berada di negeri orang dan tentu akan
kembali ke negeri asalnya) atau sebagai orang yang
menyeberangi jalan (yakni amat sebentar sekali di dunia ini)."

Ibnu Umar berkata, " Jikalau engkau di waktu petang, maka
janganlah menantikan waktu pagi dan jikalau engkau di waktu
pagi, maka janganlah menantikan waktu petang (untuk beramal
baik itu), ambillah kesempatan sewaktu engkau sihat untuk masa
sakitmu, sewaktu engkau masih hidup untuk masa matimu."
(Riwayat Bukhari)

Para alim-ulama mengatakan dalam syarahnya Hadis ini,
" Ertinya ialah, " Janganlah engkau terlampau cinta pada
dunia, jangan pula dunia itu dianggap sebagai tanahair, juga
janganlah engkau mengucapkan dalam hatimu sendiri bahawa
engkau akan lama kekalmu di dunia itu.

Selain itu janganlah pula amat besar perhatianmu padanya,
jangan tergantung padanya, sebagaimana orang yang bukan
di negerinya tidak akan menggantungkan diri pada negeri orang
yakni yang bukan tanahairnya sendiri.

Juga janganlah bekerja di dunia itu, sebagaimana orang yang
bukan di negerinya tidak akan berbuat sesuatu di negeri orang
tadi (yakni yang diperbuat hendaklah yang baik-baik saja
supaya meninggalkan nama harum di negeri orang), kerana pasti
ingin kembali ke tempat keluarganya semula.
Wa billa hit taufiq.

Keterangan: Seorang asing atau seorang perantau itu, sekali
pun berapa saja lamanya di negeri orang, ia tetap tidak
bertanahair di tempat yang didiami itu. Kalau orang itu
bijaksana, tentu kegiatan bekerjanya ditujukan untuk mencari
bekal yang akan dibawa ke tanahairnya kembali,

Sehingga hidupnya di negeri asalnya itu tidak mengalami
kekecewaan dan tidak mengalami kekurangan sesuatu apa pun,
sebab telah dipersiapkan seluruhnya. Nabi Muhammad s.a.w.
menasihati kita manusia yang masih hidup di dunia sekarang
ini, hendaknya beranggapan sebagai orang asing atau perantau
yang bijaksana tadi.

Dengan demikian tidak hanya sekadar untuk makan minum saja
yang giat kita usahakan, tetapi bekal untuk kembali ke kampung
akhirat, itulah yang wajib lebih diutamakan. Bekal untuk
perjalanan yang jauh ke tanahair akhirat itu tidak ada lain
kecuali memperbanyak amalan yang shalih, menjalankan semua
perintah Allah dan menjauhi semua laranganNya.

Adapun maksud ucapan Ibnu Umar anhuma itu ialah supaya segera-
segeralah kita melakukan amal-amal yang baik, jangan ditunda-
tunda waktunya. Kalau waktu pagi, jangan menunggu sampai
petang hari dan kalau waktu petang jangan menunggu sampai pagi
hari, sebab kematian itu datangnya dapat sekonyong-konyong.

Demikian pula di saat badan sihat, jangan memperlambat-
lambatkan untuk beramal shalih, sebab sakit itu dapat
mendatangi kita sewaktu-waktu. Juga selagi masih hidup ini
segeralah giat-giat berbuat kebajikan, sebab mati itupun dapat
juga mendadak, tanpa memberikan tanda-tanda apapun.

Kini yang perlu kita perhatikan ialah:

(a) Dunia fana ini jangan sampai dianggap sebagai tempat
kediaman yang abadi, agar kita tidak lengah untuk mencari
bekal guna kebahagiaan kita di akhirat.

(b) Ini tidak bererti bahawa untuk kebahagiaan kita di dunia
harus diabaikan, tetapi antara dua kepentingan itu wajib kita
laksanakan bersamaan. Masing-masing sama dikejar menurut
waktunya sendiri-sendiri. Jadi di waktu datang kewajiban
ibadat jangan sekali-kali digunakan mengejar duit atau
sebaliknya.

(c) Mencintai harta benda duniawiyah jangan melampaui batas,
hingga menjadi kikir untuk melakukan kesosialan. Ingatlah
bahawa semua yang kita cintai itu pada suatu ketika pasti akan
kita tinggalkan, sedangkan harta benda itu nantinya menjadi
milik orang lain dan tidak mustahil akan dibuat perbalahan
di kalangan anak dan cucu.

Perbanyaklah amal shalih sedapat mungkin dengan harta yang
kita miliki itu.


470@ Dari Abu Abbas, iaitu Sahal bin Sa'ad as-Sa'idi r.a.,
katanya, " Ada seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w., lalu
berkata, " Ya Rasulullah, tunjukkanlah padaku sesuatu amalan
yang apabila amalan itu saya lakukan, maka saya akan dicintai
oleh Allah dan juga dicintai oleh seluruh manusia."

Beliau s.a.w. bersabda, " Berzuhudlah di dunia, tentu engkau
dicintai oleh Allah dan berzuhudlah dari apa yang dimiliki
oleh para manusia, tentu engkau akan dicintai oleh para
manusia."

Hadis hasan yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan lain-lainnya
dengan isnad-isnad yang baik.


471@ Dari an Nu'man bin Basyir radhiallahu 'anhuma, katanya,
" Umar bin Alkhaththab r.a. menyebut-nyebutkan apa yang telah
didapatkan oleh orang banyak dari hal dunia, lalu katanya,

" Sungguh saya melihat Rasulullah s.a.w. mengkerut pada hari
ini, beliau tidak mendapatkan kurma yang bermutu rendah pun
untuk mengisi perutnya." (Riwayat Muslim)

Addaqal dengan fathahnya dal muhmalah dan qaf, ertinya ialah
kurma yang bermutu rendah.


472@ Dari Aisyah radhiallahu 'anha, katanya, " Rasulullah
s.a.w. wafat, sedang di rumahku tidak ada sesuatu apapun yang
dapat dimakan oleh seseorang yang berhati (maksudnya oleh
manusia yang hidup), melainkan sedikit gandum yang ada di rak
ku. Kemudian saya makan daripadanya sampai lama halku
sedemikian itu, kemudian saya takarlah itu lalu habislah."
(Muttafaq 'alaih)

Ucapannya, Syathru sya'irin itu ertinya sedikit sekali dari
gandum itu, demikianlah yang ditafsirkan oleh Imam Tirmidzi.


473@ Dari 'Amr bin al Harits, iaitu saudaranya Juwairiyah
binti al Harits Ummul mu'minin radhiallahu 'anhuma (jadi
isterinya Nabi s.a.w.), katanya,

" Rasulullah s.a.w. tidak meninggalkan dirham, tidak pula
dinar, hamba sahaya lelaki ataupun perempuan, atau apa pun
juga ketika wafatnya, melainkan hanyalah keledai putihnya yang
dahulu dinaikinya, juga senjatanya, serta sebidang tanah yang
dijadikan sebagai sedekah kepada ibnus sabil (orang yang dalam
perjalanan)." (Riwayat Bukhari)


474@ Dari Khabab bin al Aratti r.a., katanya, " Kita semua
berhijrah bersama Rasulullah s.a.w. untuk mencari keredhaan
Allah Ta'ala, maka jatuhlah pahala kita itu atas Allah Ta'ala.

Lalu di antara kita ada yang mati dan tidak pernah memperolehi
sesuatupun dari pahalanya itu (tetaplah) yakni tidak pernah
sampai memperolehi harta rampasan. Di antara mereka itu ialah
Mus'ab bin Umair r.a. yang dibunuh pada hari perang Uhud dan
meninggalkan selembar baju lurik (seperti singa).

Apabila bajunya itu kita tutupkan pada kepalanya, maka
tampaklah kedua kakinya, dan apabila kita tutupkan pada kedua
kakinya, maka tampak kepalanya.

Kemudian Rasulullah s.a.w. menyuruh kita, supaya kita tutupkan
saja pada kepalanya, sedang di kedua kakinya kita letakkan
saja sedikit tumbuh-tumbuhan idzkhir (semacam tumbuh-tumbuhan
harum baunya).

Di antara kita lagi ada yang sudah masak buahnya, maka
dapatlah ia memetik hasilnya itu (maksudnya dapat menjadi baik
nasibnya kerana kaum Muslimin mendapatkan kejayaan di mana-
mana. (Muttafaq 'alaih)

Annamirah ialah pakaian yang berwarna, terbuat dari bulu,
Aina'at ertinya sudah matang dan masak. Yahdibuha dengan
fathahnya ya' dan dhammahnya dal atau boleh juga dal itu
dikasrahkan (jadi ada dua lughat untuk ini), ertinya memetik
dan menuainya.

Ini adalah kata pinjaman bahawa Allah mengurniakan kaum
Muslimin itu dapat memperolehi kelapangan dari hal keduniaan
dan menetaplah kenikmatan mereka itu di dunia.


475@ Dari Sahal bin Sa'ad as Sa'idi r.a., katanya,
" Rasulullah s.a.w. bersabda,

" Andaikata dunia ini di sisi Allah dianggap menyamai
(nilainya) dengan selembar sayap nyamuk, nescayalah Allah
tidak akan memberi minum seteguk air pun kepada orang kafir
daripadanya."

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini
adalah Hadis shahih.

Maksudnya, Andaikata dunia ini bagi Allah dianggap masih ada
nilainya sekali pun amat rendah, tentu orang kafir tidak akan
diberi kenikmatan yang sekecil-kecilnya pun di dunia ini.
Tetapi oleh sebab dianggap oleh Allah tidak berharga sama
sekali, maka banyak saja orang kafir yang berlebih-lebihan
rezekinya.


476@ Dari Abu Hurairah r.a., katanya, " Saya mendengar
Rasulullah s.a.w. bersabda,

" Ingatlah, sesungguhnya dunia itu dilaknat, dilaknat pula
segala sesuatu yang ada di dalamnya, melainkan berzikir kepada
Allah dan apa-apa yang menyamainya, juga orang yang alim serta
orang yang menuntut ilmu."

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini
adalah Hadis hasan.

Keterangan: Mal 'uunah, ertinya dilaknati, yakni dibenci dan
rendah nilainya di sisi Allah. Jadi seluruh dunia dan seisinya
ini menurut Hadis di atas adalah terlaknat, selain berzikir
dan yang menjurus ke arah mengingat kepada Allah, misalnya
ketaatan yang dapat menyampaikan diri kepada keredhaanNya.

Tetapi kita jangan sekali-kali salah faham, iaitu dengan
adanya keterangan dilaknat itu lalu kita mencaci-maki hal-hal
keduniawiyah dan membencinya secara mutlak. Tetapi hendaknya
kita ingat pula bahawa yang dimaksudkan itu adalah yang
menyebabkan menjauhkan diri dari ketaatan kepada Allah Ta'ala
atau pun yang melalaikan kita, sehingga lupa kepada hal-hal
keakhiratan.

Ayat-ayat dan Hadis-hadis yang menjelaskan persoalan untuk
giat mencari kebahagiaan di dunia itu banyak sekali.

Demikian pula Hadis yang di bawahnya, agar kita jangan
terpengaruh dengan banyaknya tanah yang kita miliki. Ini pun
sejiwa dengan yang di atas, yakni memiliki banyak boleh saja,
asalkan jangan sampai mencintainya melebihi dari soal-soal
keakhiratan, sampai-sampai lupa kepada ajaran agama kerana
terpesona dengan banyaknya harta benda.


477@ Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya, " Rasulullah
s.a.w. bersabda,

" Janganlah engkau semua terlampau cinta dalam mencari sesuatu
untuk kehidupan, sebab dengan terlampau mencintainya itu, maka
engkau semua akan mencintai pula keduniaan."

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini
adalah Hadis hasan.


478@ Dari Abdullah bin 'Amr bin al 'Ash radhiallahu 'anhuma,
katanya, " Rasulullah s.a.w. berjalan melalui kita dan kita
saat itu sedang mengerjakan perbaikan rumah, lalu beliau
s.a.w. bersabda, " Apa ini ?" Kita menjawab,

" Rumah ini telah lemah (rosak), maka itu kita
memperbaikinya." Beliau s.a.w. bersabda, " Saya tidak mengerti
akan perkara ajal, melainkan akan lebih cepat datangnya dari
selesainya perbaikan ini."

Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud dan Tirmidzi dengan
isnadnya Imam-imam Bukhari dan Muslim dan Imam Tirmidzi
mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.


479@ Dari Ka'ab bin 'lyadh r.a., katanya, " Saya mendengar
Rasulullah s.a.w. bersabda,

" Sesungguhnya setiap ummat itu ada fitnahnya dan fitnah
ummatku ialah harta."

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini
adalah Hadis hasan shahih.


480@ Dari Abu 'Amr, ada yang mengatakan Abu Abdillah, ada pula
yang mengatakan Abu Laila iaitu Usman bin Affan r.a.
bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda,

" Tidak ada hak apapun bagi anak Adam (yakni manusia) selain
dari perkara-perkara ini, iaitu rumah yang menjadi tempat
kediamannya, pakaian yang digunakan untuk menutupi auratnya
dan roti tawar (tanpa lauk) beserta air."

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini
adalah Hadis hasan shahih.

Imam Tirmidzi berkata, " Saya mendengar Abu Dawud iaitu
Sulaiman bin Aslam al Balkhi berkata, " Saya mendengar
an Nadhr bin Syumail, katanya, Aljilfu itu ialah roti tanpa
lauk." Lainnya lagi berkata, " Iaitu roti yang kasar," sedang
Alharawi berkata, " Yang dimaksudkan di sini ialah wadah roti
seperti juwatik dan khurj." Wallahu a'lam.


481@ Dari Abdullah bin as Sikhkhir (dengan kasrahnya sin dan
kha' yang disyaddahkan serta mu'jamah keduanya r.a.),
bahawasanya ia berkata, " Saya datang kepada Nabi s.a.w. dan
beliau sedang membaca ayat (yang ertinya),

" Engkau semua dilalaikan oleh perlumbaan memperbanyakkan
kekayaan." Lalu beliau bersabda, " Anak Adam itu berkata,

" Hartaku, hartaku ! Padahal harta yang benar-benar menjadi
milikmu itu, hai anak Adam, ialah apa-apa yang engkau makan
lalu engkau habiskan, apa-apa yang engkau pakai, lalu engkau
rosakkan atau apa-apa yang engkau sedekahkan lalu engkau
lampaukan (dengan tetap adanya pahala)." (Riwayat Muslim)


482@ Dari Abdullah bin Mughaffal r.a., katanya, " Ada seorang
lelaki berkata kepada Nabi s.a.w., " Ya Rasulullah, demi
Allah, sesungguhnya saya ini nescaya cinta kepada Tuan."

Beliau lalu bersabda, " Lihatlah baik-baik apa yang engkau
ucapkan itu." Orang itu berkata lagi, " Demi Allah,
sesungguhnya saya ini nescayalah cinta kepada Tuan." Dia
berkata demikian sampai tiga kali.

Kemudian beliau s.a.w. bersabda, " Jikalau engkau mencintai
saya, maka sediakanlah sebuah baju tijfaf untuk menempuh
kefakiran, sebab sesungguhnya kefakiran itu lebih cepat
mengenai orang yang mencintai saya daripada cepatnya air
banjir sampai di tempat penghabisannya."

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini
adalah Hadis hasan.

Attijfaf dengan kasrahnya ta' mutsannat dan sukunnya jim dan
dengan fa' yang dirangkapkan iaitu sesuatu yang dikenakan pada
kuda untuk menjaga dirinya dari bahaya (senjata dan lain-
lain), dan kadang-kadang pakaian sedemikian itu juga dikenakan
oleh manusia.

Keterangan: Mungkin kita akan merasakan suatu keanehan pada
sabda Rasulullah s.a.w. kepada orang yang menyatakan cintanya
kepada beliau, lalu beliau bersabda supaya orang itu bersiap-
siap mengenakan baju kefakiran. Mengapa demikian dan apakah
ada di balik sabda beliau itu yang sebenarnya ?

Kita wajib ingat bahawa orang yang menyatakan dirinya kepada
Nabi s.a.w., baik orang di zaman sahabat dahulu ataupun
di zaman kita ini, bererti ia merasa ikut bertanggungjawab
menyebarluaskan agama yang benar yakni Islam yang dibawa
olehnya, bersedia berkorban,

Sanggup menderita dalam menghadapi siapapun yang hendak
menghalang-halangi perkembangan agama itu. Untuk berkorban
itu, bukan hanya berupa omongan yang keluar dari bibir yang
tak bertulang, tetapi wajib disertai dengan perbuatan, dengan
menginfakkan dan membelanjakan harta, menyumbangkan tenaga
dan fikiran dan bila mana diperlukan berjihad pun suka
mengikutinya.

Jadi bukan sebaliknya, misalnya mengakukan dirinya mencintai
Nabi s.a.w., namun perbuatannya jauh bertentangan dengan
ajaran yang dibawa oleh Islam.

Kerana itu, jikalau benar-benar mencintai Nabi, pengabdian dan
pengorbanan wajib ada. Orang yang bersikap demikian itulah
yang dimaksudkan oleh beliau s.a.w. supaya menyiapkan diri
untuk mengenakan baju tijfaf liifaqri sebagaimana yang
tercantum dalam Hadis di atas. Wallahu a'lam.


483@ Dari Ka'ab bin Malik r.a., katanya, " Rasulullah s.a.w.
bersabda,

" Tidaklah dua ekor serigala yang lapar yang dikirimkan
ke tempat kambing itu lebih berbahaya padanya daripada
tamaknya seseorang itu pada harta dan kemegahan dalam
membahayakan agamanya,"

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini
adalah Hadis hasan shahih.


484@ Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya, " Rasulullah
s.a.w. tidur di atas selembar tikar, lalu bangun sedang
di lambungnya nampak bekas tikar itu. Kami berkata,

" Ya Rasulullah, alangkah baiknya kalau kita ambilkan saja
sebuah kasur untuk Tuan." Beliau bersabda, " Apakah untukku
ini dan apa pula untuk dunia."

(Maksudnya, bagaimana saya akan senang pada dunia ini. Saya
di dunia ini tidaklah lain kecuali seperti seorang yang
mengendarai kenderaan yang bernaung di bawah pohon, kemudian
tentu akan pergi dan meninggalkan pohon itu)."

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini
adalah Hadis hasan shahih.


485@ Dari Abu Hurairah r.a., katanya, " Rasulullah s.a.w.
bersabda,

" Orang-orang fakir itu akan masuk syurga sebelum orang-orang
kaya dengan selisih waktu lima ratus tahun."

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini
adalah Hadis hasan shahih.


486@ Dari Ibnu Abbas dan Imran bin Hushain radhiallahu 'anhum
dari Nabi s.a.w., sabdanya,

" Saya telah menjenguk dalam syurga, maka saya melihat bahawa
sebahagian banyak penghuninya adalah kaum fakir dan saya juga
telah menjenguk dalam neraka, maka saya melihat bahawa
sebahagian banyak penghuninya adalah para wanita."

Muttafaq 'alaih dari riwayat Ibnu Abbas. Imam Bukhari
meriwayatkan pula dari riwayatnya Imran bin Hushain.


487@ Dari Usamah bin Zaid, radhiallahu 'anhuma dari Nabi
s.a.w. sabdanya,

" Saya berdiri di pintu syurga, maka sebahagian besar orang
yang memasukinya itu ialah orang-orang miskin, sedang orang-
orang yang kaya (berharta) semua ditahan dulu, hanya saja
orang-orang yang menjadi ahli neraka telah diperintah untuk
dimasukkan dalam neraka seluruhnya." (Muttafaq 'alaih)

Aljaddu ialah bahagian harta dan kekayaan, Hadis ini telah
lalu keterangannya dalam bab, Keutamaan kaum lemah.


488@ Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya,
" Setepat-tepatnya kalimat yang diucapkan oleh seseorang syair
ialah ucapan Labid (yang ertinya, " Ingatlah, semua benda yang
selain Allah adalah batil (atau rosak dan tidak kekal)."
(Muttafaq 'alaih)

Lanjutan dari sya'ir di atas ialah, " Dan setiap kenikmatan
itu pasti akan hilang yakni tidak kekal."

Jadi yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. hanyalah separuh bait
yang pertama, sedang yang lanjutannya tidak. Sebabnya ialah
kerana ada sesuatu kenikmatan yang tetap kekal, iaitu
kenikmatan yang akan diperolehi ahli syurga, apabila mereka
telah berada di dalamnya. Kenikmatan di situ kekal abadi dan
tidak akan lenyap sampai bila pun juga.


Nota kaki:

[48#] Di zaman Nabi s.a.w. mereka itu sama berkumpul dan
berdiam di serambi belakang masjid Madinah.

posted from Bloggeroid

Rukun Iman...^^..

Rukun Iman...^^..

Ada Enam Perkara:

1@ Beriman Kepada Allah S.W.T...

Beriman kepada Allah s.w.t merupakan Rukun Iman yang pertama,
yang menjadi dasar keimanan seseorang itu. Beriman kepada
Allah s.w.t bererti wajib mempercayai Allah s.w.t itu ada, Ia
Maha Berkuasa, Maha Mencipta dan Maha Mengetahui segala apa
yang ada di langit, di udara, di muka bumi dan juga di lautan.

Dia adalah Maha Esa, yakni tunggal dan tidak menyerupai dan
tidak diserupai oleh sesuatu. Seperti firmanNya yang bermaksud
, " Katakanlah wahai Muhammad, bahawa Allah itu satu. Allah
tempat segala makhluk bergantung. Allah tidak beranak dan
tidak pula diperanakkan. Dan tidak sesiapapun yang setara atau
seumpama dengan Allah." (Surah Al Ikhlas 1-4)

2@ Beriman Kepada Malaikat...

Beriman kepada malaikat bererti wajib bagi setiap orang Islam
mengetahui bahawa malaikat adalah makhluk yang Allah s.w.t
jadikan daripada cahaya dan boleh berupa berbagai bentuk,
tidak bersifat seperti sifat manusia.

Malaikat juga menjalankan perintah Allah s.w.t dengan taat dan
patuh. Jumlah malaikat adalah terlalu banyak dan kita sebagai
umat Islam wajib mengetahui 10 daripadanya.

Nama Malaikat Tugasnya

Jibril ; Menyampaikan wahyu
Raqib ; Mencatat amalan keburukan
Atib ; Mencatat amalan kebaikan
Izrail ; Mengambil nyawa
Mikail ; Menurunkan rezeki
Israfil; Meniup sangkakala
Mungkar; Menyoal orang mati
Nankir ; Menyoal orang mati
Malik ; Menjaga neraka
Ridzuan; Menjaga syurga

3@ Beriman Kepada Rasul...

Beriman kepada Rasul dan Nabi merupakan rukun Iman yang
ketiga. Bagi orang Islam wajiblah yakin dan percaya bahawa
Allah s.w.t telah mengutuskan para Rasul dan Nabi kepada
manusia di dunia ini bagi menunjukkan jalan ke arah kebenaran
dan kebahagian di dunia dan di akhirat.

Jumlah Nabi dan Rasul yang wajib diketahui adalah seramai 25
orang. Antaranya;

Adam, Idris, Nuh, Hud, So'leh, Ibrahim, Luth, Ishak, Ismail,
Yaa'kob, Yusuff, Syuaib, Musa, Daud, Zulkefle, Sulaiman,
Ayyub, Ilyas, Ilyasa', Yunus, Zakaria, Yahya, Isa, Muhammad...

4@ Beriman Kepada Kitab...

Beriman kepada kitab Allah bererti kita wajib beriktikad dan
yakin dengan sebenar-benarnya bahawa sesungguhnya Allah s.w.t
mempunyai beberapa kitab suci yang merupakan firman Allah
s.w.t yang hakiki.

Diturunkan melalui wahyu yang disampaikan melalui perantaraan
malaikat Jibril a.s. Sejak Zaman Nabi Adam a.s sehingga kepada
Nabi Muhammad s.a.w, jumlah kitab suci yang diturunkan adalah
sebanyak 104 iaitu 100 buah suhuf dan 4 buah kitab suci.

Senarai kitab dan penerimanya;

Taurat - Nabi Musa a.s
Zabur - Nabi Daud a.s
Injil - Nabi Isa a.s
Al Quran - Nabi Muhammad s.a.w

Nabi-nabi yang menerima Suhuf;

Nabi Syits - 50 suhuf
Nabi Idris - 30 suhuf
Nabi Ibrahim - 10 suhuf
Nabi Musa - 10 suhuf

Al Quran merupakan penutup segala kitab. Diturunkan kepada
Nabi Muhammad s.a.w. Tidak akan ada lagi kitab suci lain
selepas Al Quran. Juga pelengkap segala Kitab milik Allah.
Dengan erti kata lain kitab yang Sempurna.

5@ Beriman Kepada Hari Akhirat...

Percaya kepada hari akhirat ialah kita wajib beriktikad dan
meyakini bahawa akan adanya hari akhirat atau hari kiamat
(pembalasan) di mana pada hari itu semua manusia akan
dibangunkan kembali di padang Mahsyar untuk menerima hukuman
berdasarkan segala amal perbuatan mereka semasa mereka hidup
di muka bumi Allah s.w.t ini.

Tanda-tanda kecil akan kedatangan hari akhirat:

Sedikit orang alim dan banyak orang jahil.
Perempuan lebih ramai daripada lelaki.
Urusan Agama ditakbir oleh orang yang bukan ahli.
Pelacuran dan maksiat berlaku dengan meluas.
Minum arak dan benda yang memabukkan menjadi kebanggaan.
Orang miskin menjadi kaya, membina bangunan dan gedung tinggi
mencakar langit.
Banyak berlaku gerak gempa.

Tanda-tanda besar:

Keluar Dajjal merosakkan agama (ahli fitnah baru, bertujuan
menyesatkan orang munafik Islam yang tidak mendapat petunjuk).
Keluar binatang yang dipanggil Dabbatul Ard merosakkan
manusia. Keluar Yakjuj dan Makjuj. Hilangnya Al Quran dari
mashafnya. Terbit matahari dari sebelah barat.

6@ Beriman Kepada Qada' Dan Qadar...

Beriman kepada qada' dan qadar disebut juga sebagai percaya
kepada takdir. Iaitu seseorang itu mesti yakin dan percaya
bahawa segala yang berlaku dalam alam ini semuanya ketentuan
dan ketetapan Allah s.w.t.

Erti Qadar: Ketentuan yang mesti berlaku atas tiap-tiap
makhluk, sesuai dengan batas-batas yang telah ditentukan oleh
Allah s.w.t sejak azali lagi sama ada yang baik atau buruk.

Qadar ada dua jenis iaitu: Berupa aturan atau perjalanan alam
ini. Berupa untung nasib yang menimpa manusia dan makhluk
lain.

Erti Qada: Ialah pelaksanaan Allah s.w.t terhadap apa yang
telah ditetapkan sejak azali lagi. Contohnya, bila Dia akan
Mematikan seorang Hamba atau Makhluknya, sekian masa, sekian
hari.

Perkara Yang Membatalkan Iman...
### Mensyirikkan Allah s.w.t, iaitu menduakan Allah dengan
yang lain serta bertawakkal dan bergantung kepada yang lain
selain daripada Allah s.w.t seperti menyembah berhala.

Menafikan segala nikmat sama ada yang nampak atau tidak nampak
adalah kurnian daripada Allah s.w.t ataupun ciptaan Allah
s.w.t. Melakukan perbuatan yang dilakukan dalam amalan
keagamaan lain, yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Mengubah hukum Allah s.w.t iaitu, menghalalkan yang haram dan
mengharamkan yang halal. Menolak atau mengubah Al Quran dan
hadis. Yakni tidak mahu beriman kepada Nas Al Quran dan sunnah
amalan Rasulullah ataupun ingkar terhadap perintah Allah s.w.t
dan menafikan kebenaran Islam.###

posted from Bloggeroid

Rukun Islam...^^..

Rukun Islam...^^..

Ertinya menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah melalui
seluruh kehidupan kita, jiwa raga kita dan harta milik kita
sehingga tertegaknya KEISLAMAN yang sempurna.

* Mengucap Dua Kalimah Syahadat...
" Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan
Allah dan Nabi Muhammad itu adalah PesuruhNya". Dengan
Syahadatain, kita mengabdikan diri dengan hati sanubari dan
dengan pengakuan lidah kita bahawa Tuhan yang Maha Esa itu
adalah Allah s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w itu adalah
pesuruhNya.

* Solat Lima Waktu Sehari Semalam...
Dengan sembahyang, kita mengabdikan seluruh tubuh badan kita
menyembah kepadaNya. Mulai dari lidah membaca, tangan
bergerak, mata, telinga dan fikiran berpusat dengan mengikut
susunan rukun sembahyang yang diajarkan oleh Nabi s.a.w.

* Mengeluarkan Zakat...
Dengan zakat, kita mengabdikan kepada Tuan dengan menyerahkan
sebahagian dari harta milik kita kepada mereka yang berhak
menerimanya mengikut agama.

* Berpuasa Pada Bulan Ramadhan...
Dengan berpuasa, kita mengabdikan hawa nafsu dan segala
keinginan kita kepada Allah. Dengan menahan nafsu makan dan
minum serta menjauhi segala laranganNya, secara tidak langsung
akan melahirkan rasa keinsafan di dalam peribadi kita serta
meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

*** Mengerjakan Haji Di Baitullah...
Dengan mengerjakan Haji, kita menyembah Allah dengan harta
kekayaan milik kita dan mengunjungi ke Baitullah kepada mereka
yang mempunyai kemampuan sekurang kurangnya sekali dalam
hidup.

posted from Bloggeroid