Makanan Dari Neraka, Untuk Golongan Bertaraf VVIP...^^..
Imam al-Qurtubi menceritakan dalam tafsirnya kisah berikut.
Ia berkenaan Imam Ahli Basrah yang bernama al Hasan bin Abi
Hasan al Basri (w. 110H).
Suatu petang, al Hasan sedang menunggu saat-saat waktu berbuka
puasa. Makanan telah pun siap terhidang di hadapannya. Tiba-
tiba beliau teringat ayat ini:
Sesungguhnya di sisi Kami ada belenggu-belenggu yang berat dan
Neraka yang menyala-nyala. Dan makanan yang menyumbat
di kerongkongan (za ihussah) dan azab yang pedih.
(Surah al-Muzzammil 73: 12-13)
Beliau menjadi tidak berselera untuk makan. Beliau berkata,
“ Angkatlah makanan ini.”
Pada keesokan harinya, al Hasan meneruskan puasanya. Apabila
tiba waktu berbuka, sekali lagi beliau teringat kembali ayat
itu dan tidak berselera untuk makan. Beliau berkata,
“ Angkatlah makanan ini.”
Hal yang sama berlaku pada hari ketiga. Dengan demikian, sudah
tiga hari beliau tidak makan apa-apa.
Melihat keadaan itu, anak beliau segera menemui para ulama
Basrah, Thabit al Bunani, Yazid al Dabbi dan Yahya al Bakka.
Mereka segera ke rumah al Hasan dan terus merayu kepadanya
supaya dia makan. Setelah beberapa lama, akhirnya al Hasan
menghirup sedikit kuah sup.
@@@ Membayangkan Makanan Ahli Neraka. @@@
Apa sebenarnya yang berada di fikiran Hasan al Basri apabila
membaca ayat ini ? Saya juga tidak tahu hakikatnya. Namun jika
saya boleh andaikan, fikiran beliau ketika itu pasti dipenuhi
dengan imej ahli Neraka yang sedang tercekik apabila melahap
makanan Neraka.
Makanan itu tidak boleh turun ke perut, namun tidak juga boleh
dimuntahkan. Mereka tersedak dalam keadaan yang sangat
menyeksakan. Itulah makna “ ta’am zi ghussah” (makanan yang
tersumbat di dalam kerongkong) dalam ayat di atas.
Ayat ini, bersama beberapa ayat lain yang menyebut berkenaan
makanan dan minuman di Neraka, memberi isyarat bahawa ahli
Neraka berasa lapar dan dahaga sebagai seksaan bagi mereka.
Lapar dan haus yang mereka rasakan jauh lebih menyeksa daripada
yang dirasakan oleh orang yang mati kebuluran di dunia ini.
Sebuah hadis panjang, riwayat at Tirmizi menyebut perkara itu
dengan sangat jelas. Daripada Abu al Darda, Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud:
“ Akan dicampakkan perasaan lapar kepada ahli Neraka. Maka dia
(rasa lapar itu) menyamai azab seksa yang sedang mereka rasai.”
@@@ Bentuk Seksaan. @@@
Jika kita renungkan, “ makanan” ahli Neraka sebenarnya bukankah
makanan. Ia sama sekali tidak memiliki sifat-sifat makanan yang
dapat menghilangkan lapar dan dahaga. Malah, ia sebenarnya
hanya satu bentuk seksaan untuk sistem dalaman tubuh mereka.
Pelbagai ayat dan hadis menceritakan bahawa setelah ahli Neraka
melahap makanan atau meneguk minuman, maka kesakitan merebak
ke seluruh tubuh mereka.
Perhatikan firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim (14) ayat 17 i
ni, “Dia (ahli Neraka) meminum air nanah itu dengan susah payah,
hampir dia tidak dapat menelannya. Maka datanglah maut dari
segenap penjuru, namun dia tidak akan mati. Di hadapannya masih
ada azab yang sangat berat.”
Ayat ini menjelaskan bahawa keadaannya setelah menyantap minuman
Neraka ini seperti orang yang sedang menghadapi sakaratulmaut.
Kesakitan terasa di seluruh bahagian tubuhnya walaupun
di bahagian tubuh yang terkecil.
Ibrahim al Taymi berkata, “ Kesakitan sakaratulmaut mendatangi
ahli Neraka dari setiap bahagian tubuhnya. Bahkan dari hujung-
hujung rambutnya kerana kesakitan yang terasa di sekujur badannya.
Keadaan ini terus berlaku sepanjang keberadaan di dalam Neraka.
Imam al Qurtubi dalam Tafsirnya berkata, “ Keadaan orang kafir
di dalam Neraka seperti keadaan orang yang terus menerus
mengalami sakaratulmaut tanpa henti.”
Maknanya, ahli Neraka tidak akan berasa kenikmatan walaupun hanya
sesaat, sepertimana ahli Syurga tidak akan merasa kesusahan
walaupun hanya sedikit.
@@@ Pohon Zaqqum. @@@
Al Quran menyebut beberapa benda yang akan menjadi “ makanan dan
minuman” ahli Neraka antaranya ialah Zaqqum, Ghislin, Ghassaq,
Hamim dan Dari’. Menurut az-Zamakhsyari dalam Tafsir al Kasyaf,
setiap makanan ini telah disediakan untuk kelas-kelas tertentu
daripada ahli Neraka sesuai dengan dosa-dosa mereka.
Penjelasan tentang semua ini sangat panjang. Maka pada kesempatan
ini, saya hanya akan berbincang tentang salah satu daripadanya
sahaja iaitu Zaqqum.
@@@ Zaqqum. @@@
Dari segi bahasa, Zaqqum ialah nama untuk setiap makanan beracun
yang dapat membunuh orang yang memakannya. Demikianlah
sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn al Manzur dalam Lisan
al Arab daripada Tha’lab, seorang pakar bahasa Arab.
Menurut Imam Abu Hanifah dan Qutrub, Zaqqum sebenarnya ialah nama
sebatang pokok yang tumbuh di negeri Tihamah yang kering dan
panas. Baunya sangat busuk, daunnya berbentu bulat dan kecil. Ia
mengeluarkan getah berwarna putih yang jika terkena kulit manusia
akan menyebabkan bengkak-bengkak. Jika dimakan, biasanya boleh
mengakibatkan kematian.
Al Quran menyebut pohon ini beberapa kali. Salah satunya dalam
firman Allah SWT, maksudnya:
“ Sesungguhnya pohon Zaqqum itu makanan orang yang banyak berbuat
dosa. (Ia) seperti keruhan minyak yang mendidih di dalam perut.”
(Surah ad Dukhan 44: 43-45)
Semasa pertama kali mendengar nama pohon ini, ahli Makkah tidak
mengenalinya kerana ia tidak tumbuh di negeri mereka. Oleh sebab
itu, Abu Jahal mempersendakan sambil berkata kepada teman-temannya,
“ Tahukah kamu, apa itu Zaqqum ? Ia adalah kurma yang dicampur
dengan mentega.” Mereka lalu makan kurma dan mentega sambil
tertawa-tawa.
Allah SWT lalu menjelaskan melalui firman-Nya:
“ Sesungguhnya ia adalah sebatang pohon yang keluar dari dasar
Neraka yang menyala. Mayang (buahnya) seperti kepala-kepala
syaitan.” (Surah ash Shaffat 37: 64-65)
Oleh sebab Neraka dipenuhi api, maka pohon Zaqqum tumbuh daripada
inti api itu. Pohon ini tidak terbakar oleh api kerana ia sama
jenis dengan api. Akarnya menjalar dari dasar Jahannam, lalu
cabang-cabangnya menyebar hingga ke semua tingkat Neraka.
Ia bermayang seperti pohon kurma, namun rupa buahnya sangat
menyeramkan seperti kepala syaitan. Disamakan dengan syaitan
kerana ia merupakan personafikasi keburukan yang tidak mengandungi
kebaikan sedikit pun dalamnya, menurut Imam az-Zamakhsyari.
@@@ Lapar dan Dahaga. @@@
Jika pohon ini begitu menyeramkan, mengapa ahli Neraka tetap
mendatangi dan memakan buahnya ? Jawapannya ialah kerana mereka
berasa lapar yang teramat sangat dan tidak menemui pilihan lain.
Ahli Neraka bukan sahaja memakannya, malah memenuhkan perut mereka
dengannya.
Allah SWT berfirman, maksudnya:
“ Kemudian sesungguhnya kamu, wahai orang yang sesat lagi
mendustakan (hari Akhirat), benar-benar akan memakan daripada
pohon Zaqqum, dan akan memenuhkan perutmu dengannya. Sesudah itu
kamu akan meminum air yang sangat panas. Maka kamu minum seperti
unta yang sedang kehausan." (Surah al Waqi’ah 56: 51-55)
Az Zamakhsyari berkata, “ Makna ayat ini, ahli Neraka akan berasa
lapar yang teramat sangat sehingga memaksa mereka untuk memakan
buah Zaqqum yang rasanya seperti minyak panas. Apabila buah-buah
itu memenuhi perut mereka, tiba-tiba mereka menjadi sangat haus
kerana kepanasannya. Lalu mereka terpaksa meminum timah cair yang
sangat panas sehingga terputus usus-usus perut mereka.”
Dalam hadis riwayat at Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“ Andai setitik daripada buah Zaqqum terjatuh ke lautan dunia,
nescaya musnah semua kehidupan yang terdapat di dalamnya. Maka,
bayangkanlah bagaimana jika seseorang memakannya ?”
@@@ Ketakutan. @@@
Seseorang yang membaca al-Quran dengan pemahaman yang mendalam,
diiringi dengan iman doa khusyuk seperti yang dilakukan oleh
Imam Hasan al Basri, maka seolah-olah dia menyaksikan seksaan ini
dengan matanya. Lalu, mungkinkah dia dapat makan dan minum dengan
penuh berselera ?
Hasan al Basri juga terkenal sebagai seorang tokoh yang selalu
dikuasai rasa takut (khauf) kepada hari Akhirat. Dosa-dosanya
selalu berada di depan mata. Oleh sebab takutkan dosa-dosanya,
beliau khuatir makanan yang dimakannya menjadi makanan ahli
Neraka yang tidak dapat ditelan ataupun dimuntahkan.
Beginilah akhlak ulama salaf kita terdahulu sebagai warisan
daripada Rasulullah SAW. Dalam hadis riwayat al Bukhari,
Rasulullah SAW bersabda,
“ Andai engkau mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan
sedikit tertawa dan banyak menangis.”
Demi Allah, hati kita tidak seperti hati mereka. Apabila membaca
ayat-ayat yang menceritakan azab Neraka, kita masih boleh makan
dengan lahapnya. Kita masih boleh tertawa dan bersenda gurau.
Semoga Allah SWT mengampuni kelalaian hati kita dan tidak
menghukum kita kerananya. Semoga Allah SWT mengisi hati kita
dengan keyakinan, keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Amin, Amin, Amin, Ya Rabbal ‘alamin.
@* Sumber dari peribadirasulullah.wordpress.com
tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Nov 2014/Muharram 1436...^^..
No comments:
Post a Comment