Al Hasan al Basri, Anak Asuhan Dan Susuan Isteri Nabi...^^..
Di Madinah sekitar tahun 30 Hijrah. Wajah Ummu Salamah tidak
lekang daripada senyuman. Berita tentang lahirnya seorang putera
membuatkan hatinya gembira. Putera bertuah itu dilahirkan oleh
hambanya yang bernama Khairah dan diberi nama al Hasan atau
nama penuhnya al Hasan bin Yasar. Ummu Salamah meminta
seseorang menjemput Khairah ke rumahnya. Beliau sendiri ingin
menjaga Khairah dan bayinya dalam tempoh berpantang. Lalu,
membesarlah al Hasan di rumah Ummu Salamah r.h.a.
Beliau merupakan hamba lelaki yang telah dimerdekakan, milik
seorang sahabat yang bernama Zaid bin Thabit r.a. Pada suatu
hari ibunya; Khairah mempunyai beberapa urusan yang perlu
diselesaikan di luar. Ummu Salamah menjaga al Hasan yang masih
lagi menyusu.
*** Disusukan oleh Wanita Mulia. ***
Setelah lama menunggu, ibunya masih belum pulang. Al Hasan
menangis kelaparan. Ummu Salamah memujuk dengan kasih sayang,
namun beliau gagal dipujuk serta tangisannya meruntun perasaan.
Ummu Salamah membawa al Hasan yang masih kecil masuk
ke biliknya dan disusukannya sekadar untuk menenangkan anak
kecil itu. Al Hasan menyusu dengan Ummu Salamah.
Padahal, beliau belum mampu lagi menghasilkan susu. Dengan kuasa
Allah, badan Ummu Salamah dapat mengeluarkan susu sehingga
membuatkan al Hasan tertidur kekenyangan. Kajian banyak
membuktikan penghasilan susu ibu boleh berlaku kesan psikologi
kasih sayang seorang ibu.
*** Berkhidmat di Rumah Para Isteri. ***
Jiwa pendidik atau murabbiyah yang mengalir dalam darah Ummu
Salamah r.h.a. dialirkan pula ke jiwa al Hasan. Siapa yang tidak kenal
Ummu Salamah ? Beliau seorang wanita Arab yang memiliki
kesempurnaan akal pemikiran, mempunyai kebijaksanaan, memiliki ilmu
yang sangat luas, banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah serta
termasuk dalam kalangan wanita yang pandai menulis pada zaman
jahiliah.
Pada masa kecilnya, al Hasan sentiasa hidup berpindah-randah
di antara rumah-rumah Ummul Mukminin. Kehidupan sedemikian
menyebabkan al Hasan terdidik dalam suasana yang murni dengan
akhlak yang baik, agama, beradab dan berilmu.
*** Kehidupan Beliau Menuntut Ilmu. ***
Al Hasan diberi peluang untuk berguru dan menuntut ilmu dengan
sahabat-sahabat Rasulullah yang terkemuka di masjid Rasulullah s.a.w.
seperti Uthman bin Affan, Abdullah bin Abbas, Ali bin Abu Talib, Abu
Musa al-Ash'ari, Anas bin Malik, Jabir bin Abdullah dan Abdullah bin
Umar.
Ketika berusia 14 tahun, al Hasan merantau ke Basrah. Beliau
membawa kedua-dua ibu bapanya bersama dan menetap di sana.
Basrah merupakan salah satu syurga ilmu yang terbesar pada masa
itu. Masjidnya sering dikunjungi oleh para sahabat yang terkemuka
terutamanya Abdullah bin Abbas. Al Hasan mendapat ilmu secara
langsung daripadanya seperti ilmu tafsir, hadis dan qiraat.
Selain berguru daripada Abdullah bin Abbas, al Hasan juga tekun
mempelajari ilmu fiqah, bahasa Arab dan adab (sastera) daripada
para sahabat lain sehingga beliau muncul sebagai seorang yang alim
pada zaman beliau.
Seterusnya, al Hasan telah berkongsi dan menyampaikan ilmunya
kepada masyarakat umum. Ramai pencinta ilmu yang berguru dengan
beliau. Ini menyebabkan beliau disayangi oleh orang lain dengan sikap
dan ilmu yang beliau sampaikan.
*** Pujian Ulama kepada al Hasan. ***
Khalid bin Safwan, sahabat rapat al Hasan berkata; " Beliau seorang
yang memiliki sifat batiniah yang sama dengan sifat lahiriahnya. Kata-
kata beliau sama dengan perbuatan beliau. Apabila beliau
memerintahkan supaya melakukan kebaikan, beliaulah orang yang
paling banyak melakukannya. Apabila beliau melarang daripada
melakukan kemungkaran, beliaulah orang yang paling banyak
meninggalkannya.
" Malah, aku berpendapat beliau seorang yang tidak memerlukan
bantuan orang lain kerana beliau seorang yang zuhud kepada apa
yang dimiliki orang lain. Sebaliknya, aku melihat orang lain yang
memerlukan bantuan beliau kerana mereka sentiasa meminta apa
yang beliau miliki."
Maslamah bin Abdul Malik berkata tentang beliau; " Bagaimana
sesuatu kaum boleh tersesat sedangkan dalam kalangan mereka
terdapat seseorang seperti al Hasan al Basri ?"
*** Ikhlas Menasihati Pemerintah. ***
Al Hasan al Basri tidak bersikap pejam mata terhadap suasana politik
yang berlaku dalam negaranya. Beliau ikhlas menasihati pemerintah.
Pada suatu ketika, Umar bin Hubayrah datang kepada beliau untuk
meminta buah fikiran. Ini berlaku apabila Khalifah Yazid bin Abdul
Malik memerintahkan suatu perkara yang Umar bin Hubayrah sendiri
tidak bersetuju mengenai perkara tersebut.
Lalu al Hasan memberikan nasihat; " Wahai Ibn Hubayrah ! Takutlah
kepada Allah dalam melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Yazid.
Janganlah kamu takut kepada Yazid dalam melaksanakan perintah
Allah."
Umar bin Hubayrah teruja. Dia terus memberi perhatian dan fokus
terhadap kata-kata al Hasan. Al Hasan berkata lagi; " Ketahuilah
bahawa Allah s.w.t. berkuasa untuk melindungi kamu daripada
kemarahan Yazid, sedangkan Yazid tidak berkuasa untuk melindungi
kamu daripada kemurkaan Allah."
Umar bin Hubayrah tertunduk, al Hasan menyambung bicara;
" Wahai Ibn Hubayrah ! Tidak lama lagi malaikat yang sangat bengis
dan tidak pernah melanggar perintah Allah akan datang kepada kamu.
Ia akan memindahkan kamu dari katil kamu dan Ia akan memindahkan
kamu dari istana kamu yang sangat luas ini ke kubur kamu yang sangat
sempit. Di sana, kamu tidak akan bertemu dengan Yazid sebaliknya
kamu akan bertemu dengan amalan perbuatan kamu yang melanggar
perintah Tuhan kepada Yazid."
Umar bin Hubayrah menjadi gerun, al Hasan terus menyambung:
" Wahai Ibn Hubayrah ! Sekiranya kamu tetap bersama-sama dengan
Allah dan sentiasa berada dalam keadaan melakukan ketaatan
kepadaNya, kamu akan terselamat daripada malapetaka Yazid bin
Abdul Malik di dunia dan di akhirat kelak. Tetapi, sekiranya kamu
sentiasa bersama-sama dengan Yazid di dalam melakukan maksiat
kepada Allah s.w.t. Allah akan menyerahkan kamu kepada Yazid.
Ketahuilah, wahai Ibn Hubayrah, sesungguhnya kita tidak boleh
mentaati perintah makhluk dalam perkara yang melanggar perintah
Allah."
Mendengar kata-kata tersebut, Ibn Hubayrah terus menangis
sehingga air matanya membasahi janggutnya.
*** Hikmah Bicara al Hasan. ***
Pengajaran yang baik diberikan oleh al Hasan boleh menggegarkan hati,
menarik perhatian orang yang lalai dan mengalirkan air mata orang
yang mendengarnya. Antara pengajaran beliau ialah:
" Sesungguhnya perumpamaan di antara dunia dan akhirat adalah
seperti timur dan barat. Apabila kamu semakin hampir kepada salah
satunya bererti kamu semakin jauh dari yang satu lagi."
" Dunia merupakan suatu tempat yang pada awalnya adalah kepenatan
dan penghujungnya adalah kebinasaan. Perkara halalnya mengandungi
perhitungan, manakala perkara haramnya pula mengandungi pembalasan
seksa. Sesiapa yang merasakan dirinya telah mencukupi dengan apa
yang ada dalamnya, bererti dia telah tertipu. Manakala sesiapa yang
merasakan dirinya sangat memerlukan kepada apa yang ada dalamnya,
dia akan bersedih."
Al Hasan meninggal dunia pada tahun 110 Hijrah di usia 80 tahun.
Ketika hari itu, semua penduduk Basrah keluar mengiringi jenazah
beliau iaitu bersamaan hari Jumaat awal bulan Rejab. Semoga Allah
meRedhainya, dan beliau Redha kepada Allah.
tuliskanakuhadith.blogspot.com
Norshahuddin Edited Jun 2014...^^..
Yang Penting Mencari Keredhaan Allah, Masuk Neraka dengan keredhaan Allah itu lebih baik daripada masuk Syurga dengan keredhaan Manusia, kesayanganmu...Jika Dia(Allah) telah menerima Amalanmu sedangkan seluruh Makhluk berPaling daripadamu. Itulah yang Penting, Bersih dan Suci, kerana kita menyatakan keHambaan kita kepada Tuhan kita. Kita ini Terlalu banyak Dosa terlihat mahupun terLindung, tanpa kita Sedari...^^.. BerHaraP Ahli KeluargaKu DaPat Masuk SyurGa SeMuaNYa, LeBih Aku Sukai...^^..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment