Thursday 5 March 2015

Riyadhus Shalihin (Kitab Karangan Imam an Nawawi) Bab 1, Keikhlasan...^^..

Riyadhus Shalihin (Kitab Karangan Imam an Nawawi) Bab 1,
Keikhlasan Dan Menghadhirkan Niat Dalam Segala Perbuatan,
Ucapan Dan Keadaan Yang Nyata Dan Yang Samar...^^..

Allah Ta'ala berfirman, " Dan tidaklah mereka itu
diperintahkan melainkan supaya sama menyembah Allah, dengan
tulus ikhlas menjalankan agama untukNya semata-mata, berdiri
lurus dan menegakkan shalat serta menunaikan zakat dan yang
sedemikian itulah agama yang benar."[1#](Surah al Bayyinah: 5)

Allah Ta'ala berfirman pula, " Sama sekali tidak akan sampai
kepada Allah daging-daging dan darah-darah binatang korban
itu, tetapi akan sampailah padaNya, ketaqwaan dan engkau
sekalian." (Surah al Haj: 37)

Allah Ta'ala berfirman pula, " Katakanlah (Wahai Muhammad)[2#]
sekalipun engkau semua sembunyikan apa-apa yang ada di dalam
hatimu ataupun engkau sekalian tampakkan, pasti diketahui
juga oleh Allah." (Surah Ali Imran: 29)


1@ Dari Amirul mu'minin Abu Hafs iaitu Umar bin Al-khaththab
bin Nufail bin Abdul 'Uzza bin Riah bin Abdullah bin Qurth bin
Razah bin 'Adi bin Ka'ab bin Luai bin Ghalib al-Qurasyi
al-'Adawi r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w.
bersabda [3#],

" Hanyasanya semua amal perbuatan itu dengan disertai niat-
niatnya dan hanyasanya bagi setiap orang itu apa yang telah
menjadi niatnya. Maka barangsiapa yang hijrahnya itu kepada
Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itupun kepada Allah dan
RasulNya.

Dan barangsiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang
hendak diperolehinya, ataupun untuk seorang wanita yang hendak
dikahwininya, maka hijrahnyapun kepada sesuatu yang dimaksud
dalam hijrahnya itu."

Keterangan: Hadis di atas adalah berhubung erat dengan
persoalan niat. Rasulullah s.a.w. menyabdakannya itu ialah
kerana di antara para sahabat Nabi s.a.w. sewaktu mengikuti
untuk berhijrah dari Makkah ke Madinah, semata-mata sebab
terpikat oleh seorang wanita yakni Ummu Qais. Beliau s.a.w.
mengetahui maksud orang itu, lalu bersabda sebagaimana
di atas.

Oleh kerana orang itu memperlihatkan sesuatu yang bertentangan
dengan maksud yang terkandung dalam hatinya, meskipun
sedemikian itu boleh saja, tetapi sebenarnya tidak patut
sekali sebab saat itu sedang dalam suasana yang amat genting
dan rumit, maka ditegurlah secara terang-terangan oleh
Rasulullah s.a.w.

Bayangkanlah, betapa anehnya orang yang berhijrah dengan
tujuan memburu wanita yang ingin dikahwin, sedang sahabat
beliau s.a.w. yang lain-lain dengan tujuan menghindarkan diri
dari amarah kaum kafir dan musyrik yang masih tetap berkuasa
di Makkah, hanya untuk kepentingan penyebaran agama dan
keluhuran Kalimatullah.

Bukankah tingkah-laku manusia sedemikian itu tidak patut sama-
sekali. Jadi oleh sebab niatnya sudah keliru, maka pahala
hijrahnya pun kosong. Lain sekali dengan sahabat-sahabat
beliau s.a.w. yang dengan keikhlasan hati bersusah payah
menempuh jarak yang demikian jauhnya untuk menyelamatkan
keyakinan kalbunya, pahalanya pun besar sekali kerana
hijrahnya memang dimaksudkan untuk mengharapkan keredhaan
Allah dan RasulNya.

Sekalipun datangnya Hadis itu mula-mula tertuju pada manusia
yang salah niatnya ketika dia mengikuti hijrah, tetapi
sifatnya adalah umum. Para imam mujtahidin berpendapat bahwa
sesuatu amal itu dapat sah dan diterima serta dapat dianggap
sempurna apabila disertai niat.

Niat itu ialah sengaja yang disembunyikan dalam hati, ialah
seperti ketika mengambil air sembahyang atau wudhu', mandi
shalat dan lain-lain sebagainya.

Perlu pula kita maklumi bahawa barangsiapa berniat mengerjakan
suatu amalan yang bersangkutan dengan ketaatan kepada Allah ia
mendapatkan pahala. Demikian pula jikalau seseorang itu
berniat hendak melakukan sesuatu yang baik, tetapi tidak jadi
dilakukan, maka dalam hal ini orang itupun tetap juga menerima
pahala.

Ini berdasarkan Hadis yang berbunyi, " Niat seseorang itu
lebih baik daripada amalannya."

Maksudnya: Berniatkan sesuatu yang tidak jadi dilakukan sebab
adanya halangan yang tidak dapat dihindarkan itu adalah lebih
baik daripada sesuatu kelakuan yang benar-benar dilaksanakan,
tetapi tanpa disertai niat apa-apa.

Hanya saja dalam menetapkan wajibnya niat atau tidaknya, agar
amalan itu menjadi sah, maka ada perselisihan pendapat para
imam mujtahidin. Imam-imam Syafi'i, Maliki dan Hanbali
mewajibkan niat itu dalam segala amalan, baik yang berupa
wasilah yakni perantaraan seperti wudhu', tayammum dan mandi
wajib, atau dalam amalan yang berupa maqshad (tujuan) seperti
shalat, puasa, zakat, haji dan umrah.

Tetapi imam Hanafi hanya mewajibkan adanya niat itu dalam
amalan yang berupa maqshad atau tujuan saja sedang dalam
amalan yang berupa wasilah atau perantaraan tidak diwajibkan
dan sudah dianggap sah.

Adapun dalam amalan yang berdiri sendiri, maka semua imam
mujtahidin sependapat tidak perlunya niat itu, misalnya dalam
membaca al-Quran, menghilangkan najis dan lain-lain.

Selanjutnya dalam amalan yang hukumnya mubah atau jawaz (yakni
yang boleh dilakukan dan boleh pula tidak), seperti makan-
minum, maka jika disertai niat agar kuat beribadat serta
bertaqwa kepada Allah atau agar kuat bekerja untuk bekal dalam
melakukan ibadat bagi dirinya sendiri dan keluarganya,
tentulah amalan tersebut mendapat pahala, sedangkan kalau
tidak disertai niat apa-apa, misalnya hanya supaya kenyang
saja, maka kosonglah pahalanya.


2@ Dari Ummul mu'minin iaitu ibunya, sebenarnya adalah bibinya
Abdullah yakni Aisyah radhiallahu 'anha, berkata, " Saya
mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,

" Ada sepasukan tentera yang hendak memerangi menghancurkan
Ka'bah, kemudian setelah mereka berada di suatu padang dari
tanah lapang lalu dibenamkan, dalam tanah tadi, dengan yang
pertama sampai yang terakhir dari mereka semuanya."

Aisyah bertanya, " Saya berkata, wahai Rasulullah,
bagaimanakah semuanya dibenamkan dari yang pertama sampai yang
terakhir, sedang di antara mereka itu ada yang ahli pasaran
(maksudnya para pedagang) serta ada pula orang yang tidak
termasuk golongan mereka tadi (yakni) tidak berniat ikut
menggempur Ka'bah ?"

Rasulullah s.a.w. menjawab, " Ya, semuanya dibenamkan dari
yang pertama sampai yang terakhir, kemudian nantinya mereka
itu akan diba'ats (dibangkitkan dari masing-masing kuburnya)
sesuai niat-niatnya sendiri (untuk diterapi dosa atau
tidaknya.)

Keterangan: Sayyidah Aisyah diberi gelar Ummul mu'minin, yakni
ibunya sekalian orang mu'min sebab beliau adalah isteri
Rasulullah s.a.w., jadi sudah sepatutnya. Beliau juga diberi
nama ibu Abdullah oleh Nabi s.a.w., sebenarnya Abdullah itu
bukan puteranya sendiri, tetapi putera saudarinya yang bernama
Asma'.

Jadi dengan Sayidah Aisyah, Abdullah itu adalah anak tirinya.
Adapun beliau ini sendiri tidak mempunyai seorang putera pun.

Dari huraian yang tersebut dalam Hadis ini, dapat diambil
kesimpulan bahawa seseorang yang shalih, jika berdiam
di lingkungan suatu golongan yang selalu berkecimpung dalam
kemaksiatan dan kemungkaran, maka apabila Allah Ta'ala
mendatangkan azab atau siksa kepada kaum itu, orang shalih itu
pun pasti akan terkena pula.

Jadi Hadis ini mengingatkan kita semua agar jangan sekali-kali
bergaul dengan kaum yang ahli kemaksiatan, kemungkaran dan
kezaliman.

Namun demikian perihal amal perbuatannya tentulah dinilai
sesuai dengan niat yang terkandung dalam hati orang yang
melakukannya itu.

Mengenai gelar Ummul mu'minin itu bukan hanya khusus diberikan
kepada Sayidah Aisyah radhiallahu 'anha belaka, tetapi juga
diberikan kepada para isteri Rasulullah s.a.w. yang lain-lain.


3@ Dari Aisyah radhiallahu 'anha, berkata, Nabi s.a.w.
bersabda: " Tidak ada hijrah setelah pembebasan (Makkah)[4#],
tetapi yang ada ialah jihad dan niat. Maka dari itu, apabila
engkau semua diminta untuk keluar (oleh imam untuk berjihad),
maka keluarlah (yakni berangkatlah)." (Muttafaq 'alaih)

Maknanya: Tiada hijrah lagi dari Makkah, sebab saat itu Makkah
telah menjadi perumahan atau Negara Islam.


4@ Dari Abu Abdillah iaitu Jabir bin Abdullah al-Anshari
radhiallahu'anhuma, berkata, Kita berada beserta Nabi s.a.w.
dalam suatu peperangan (iaitu perang Tabuk) kemudian beliau
s.a.w. bersabda,

" Sesungguhnya di Madinah itu ada beberapa orang lelaki yang
engkau semua tidak menempuh suatu perjalanan dan tidak pula
menyeberangi suatu lembah, melainkan orang-orang tadi ada
besertamu (yakni sama-sama memperolehi pahala) mereka itu
terhalang oleh sakit (maksudnya andaikata tidak sakit pasti
ikut berperang)."

Dalam suatu riwayat dijelaskan, " Melainkan mereka (yang
tertinggal itu) bersekutu denganmu dalam hal pahalanya."
(Riwayat Muslim)

Hadis sebagaimana di atas, juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari
dari Anas r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda,

" Kita kembali dari perang Tabuk beserta Nabi s.a.w., lalu
beliau bersabda, " Sesungguhnya ada beberapa kaum yang kita
tinggalkan di Madinah, tiada menempuh kita sekalian akan
sesuatu lereng ataupun lembah, [5#] melainkan mereka itu
bersama-sama dengan kita jua (jadi memperolehi pahala seperti
yang berangkat untuk berperang itu) mereka itu terhalang oleh
sesuatu keuzuran."


5@ Dari Abu Yazid iaitu Ma'an bin Yazid bin Akhnas radhiallahu
'anhum. Ia, ayahnya dan neneknya adalah termasuk golongan
sahabat semua. Kata saya, " Ayahku, iaitu Yazid mengeluarkan
beberapa dinar yang dengannya ia bersedekah, lalu dinar-dinar
itu ia letakkan di sisi seseorang di dalam masjid.

Saya (yakni Ma'an anak Yazid) datang untuk mengambilnya,
kemudian saya menemui ayahku dengan dinar-dinar tadi. Ayah
berkata, " Demi Allah, bukan engkau yang kukehendaki (untuk
diberi sedekah itu)."

Selanjutnya hal itu saya adukan kepada Rasulullah s.a.w., lalu
beliau bersabda, " Bagimu adalah apa yang engkau niatkan hai
Yazid (yakni bahawa engkau telah memperolehi pahala sesuai
dengan niat sedekahmu itu) sedang bagimu adalah apa yang
engkau ambil, hai Ma'an (yakni bahawa engkau boleh terus
memiliki dinar-dinar tersebut, kerana juga sudah diizinkan
oleh orang yang ada di masjid), yang dimaksudkan oleh Yazid
tadi." (Riwayat Bukhari)


6@ Dari Abu Ishak, yakni Sa'ad bin Abu Waqqash, yakni Malik
bin Uhaib bin Abdu Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin
Ka'ab bin Luai al-Qurasyi az-Zuhri r.a., iaitu salah satu dari
sepuluh orang yang diberi kesaksian akan memperolehi syurga
radhiallahu 'anhum, katanya,

" Rasulullah s.a.w. datang padaku untuk menjengukku pada tahun
haji wada' (yakni haji Rasulullah s.a.w. yang terakhir dan
sebagai haji pamitan) kerana kesakitan yang menimpa diriku,
lalu saya berkata,

" Ya Rasulullah, sesungguhnya saja kesakitanku ini telah
mencapai sebagaimana keadaan yang Tuan ketahui, sedang saya
adalah seorang yang berharta dan tiada yang mewarisi hartaku
itu melainkan seorang puteriku saja. Maka itu apakah
dibenarkan sekiranya saya bersedekah dengan dua pertiga
hartaku ?"

Beliau menjawab, " Tidak dibenarkan." Saya berkata pula,
" Separuh hartaku, ya Rasulullah ?" Beliau bersabda, " Tidak
dibenarkan juga." Saya berkata lagi, " Sepertiga, bagaimana ya
Rasulullah ?"

Beliau lalu bersabda, " Ya, sepertiga boleh dan sepertiga itu
sudah banyak atau sudah besar jumlahnya. Sesungguhnya jikalau
engkau meninggalkan para ahli warismu dalam keadaan kaya-kaya,
maka itu adalah lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka
dalam keadaan miskin meminta-minta pada orang banyak.

Sesungguhnya tiada sesuatu nafkah yang engkau berikan dengan
niat untuk mendapatkan keredhaan Allah, melainkan engkau pasti
akan diberi pahalanya, sekalipun sesuatu yang engkau berikan
untuk makanan isterimu."

Abu Ishak meneruskan huraiannya, Saya berkata lagi, " Apakah
saya ditinggalkan (di Makkah) setelah kepulangan sahabat-
sahabatku itu ?" Beliau menjawab, " Sesungguhnya engkau itu
tiada ditinggalkan, kemudian engkau melakukan suatu amalan
yang engkau maksudkan untuk mendapatkan keredhaan Allah,
melainkan engkau malahan bertambah darjat dan keluhurannya.

Barangkali sekalipun engkau ditinggalkan (kerana usia masih
panjang lagi), tetapi nantinya akan ada beberapa kaum yang
dapat memperolehi kemanfaatan dari hidupmu itu (yakni sesama
kaum Muslimin, baik manfaat duniawiyah atau ukhrawiyah) dan
akan ada kaum lain-lainnya yang memperolehi bahaya dengan
sebab masih hidupmu tadi (yakni kaum kafir), sebab menurut
riwayat Abu Ishak ini tetap hidup sampai dibebaskannya Irak
dan lain-lainnya, lalu diangkat sebagai gubernor di situ dan
menjalankan hak dan keadilan.

" Ya Allah, sempurnakanlah pahala untuk sahabat-sahabatku
dalam hijrah mereka itu dan janganlah engkau balikkan mereka
pada tumit-tumitnya (yakni menjadi murtad kembali
sepeninggalnya nanti.) Tetapi yang miskin (rugi) itu ialah
Sa'ad bin Khaulah.”

Rasulullah s.a.w. merasa sangat kasihan padanya sebab matinya
di Makkah. (Muttafaq 'alaih)

Keterangan: Sa'ad bin Khaulah itu dianggap sebagai orang yang
miskin dan rugi, kerana menurut riwayat ia tidak mengikuti
hijrah dari Makkah, jadi rugi kerana tidak ikutnya hijrah
tadi. Sebahagian riwayat yang lain mengatakan bahawa ia sudah
mengikuti hijrah, bahkan pernah mengikuti perang Badar pula,
tetapi akhirnya ia kembali ke Makkah dan terus wafat di situ
sebelum dibebaskannya Makkah saat itu.

Maka ruginya ialah kerana lebih sukanya kepada Makkah sebagai
tempat akhir hayatnya, padahal masih di bawah kekuasaan kaum
kafir. Ada lagi riwayat yang menyebutkan bahawa ia pernah pula
mengikuti hijrah ke Habasyah, mengikuti pula perang Badar,
kemudian mati di Makkah pada waktu haji wada' tahun 10, ada
lagi yang meriwayatkan matinya itu pada tahun 7 di waktu
perletakan senjata antara kaum Muslimin dan kaum kafir.

Jadi kerugiannya di sini ialah kerana ia mati di Makkah itu,
kerana kehilangan pahala yang sempurna yakni sekiranya ia mati
di Madinah, tempat ia berhijrah yang dimaksudkan semata-mata
sebab Allah Ta'ala belaka.


7@ Dari Abu Hurairah, iaitu Abdur Rahman bin Shakhr r.a.,
katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, " Sesungguhnya Allah
Ta'ala itu tidak melihat kepada tubuh-tubuhmu, tidak pula
kepada bentuk rupamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hatimu
sekalian." (Riwayat Muslim)


8@ Dari Abu Musa, yakni Abdullah bin Qais al-Asy'ari r.a.,
katanya, " Rasulullah s.a.w. ditanya perihal seseorang yang
berperang dengan tujuan menunjukkan keberanian, ada lagi yang
berperang dengan tujuan kesombongan (ada yang ertinya
kebencian), ada pula yang berperang dengan tujuan pameran
(menunjukkan pada orang-orang lain) kerana ingin berpamer.

Manakah di antara semua itu yang termasuk dalam jihad
fisabilillah ?" Rasulullah s.a.w. menjawab, " Barangsiapa yang
berperang dengan tujuan agar kalimat Allah (Agama Islam)
itulah yang luhur, maka ia disebut jihad fi sabilillah."
(Muttafaq 'alaih)

Keterangan: Hadis di atas dengan jelas menerangkan semua amal
perbuatan itu hanya dapat dinilai baik, jika baik pula niat
yang terkandung dalam hati orang yang melakukannya.

Selain itu dijelaskan pula bahawa keutamaan yang nyata bagi
orang-orang yang berjihad melawan musuh di medan perang itu
semata-mata dikhususkan untuk mereka yang berjihad
fisabilillah, yakni tiada maksud lain kecuali untuk meluhurkan
kalimat Allah, iaitu Agama Islam.


9@ Dari Abu Bakrah, yakni Nufai' bin Haris as-Tsaqafi r.a.
bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: " Apabila dua orang Muslim
berhadap-hadapan dengan membawa masing-masing pedangnya
(dengan maksud ingin berbunuh-bunuhan) maka yang membunuh dan
yang terbunuh itu, semua masuk di dalam neraka."

Saya bertanya, " Ini yang membunuh (patut masuk neraka) tetapi
bagaimanakah halnya orang yang terbunuh (yakni) mengapa ia
masuk neraka pula ?" Rasulullah s.a.w. menjawab, " Kerana
sesungguhnya orang yang terbunuh itu juga ingin sekali hendak
membunuh kawannya." (Muttafaq 'alaih)


10@ Dari Abu Hurairah r.a., katanya, " Rasulullah s.a.w.
bersabda, " Shalatnya seseorang lelaki dengan berjamaah itu
melebihi shalatnya di pasar atau rumahnya (secara sendirian
atau munfarid dengan dua puluh lebih) tiga sampai sembilan
tingkat darjatnya. Yang sedemikian itu ialah kerana apabila
seseorang itu berwudhu' dan memperbaguskan cara wudhu'nya,

Kemudian mendatangi masjid, tidak menghendaki ke masjid itu
melainkan hendak bersembahyang, tidak pula ada yang
menggerakkan kepergiannya ke masjid itu kecuali hendak shalat,
maka tidaklah ia melangkahkan kakinya selangkah kecuali ia
dinaikkan tingkatnya sedarjat dan kerana itu pula dileburlah
satu kesalahan daripadanya (yakni tiap selangkah tadi)
sehingga ia masuk masjid.

Apabila ia telah masuk ke dalam masjid, maka ia memperolehi
pahala seperti dalam keadaan shalat, selama memang shalat itu
yang menyebabkan ia bertahan di dalam masjid tadi, juga para
malaikat mendoakan untuk mendapatkan kerahmatan Tuhan pada
seseorang dari engkau semua, selama masih berada di tempat
yang ia bersembahyang di situ.

Para malaikat itu berkata, " Ya Allah, kasihanilah orang ini.
wahai Allah, ampunilah ia, ya Allah, terimalah taubatnya."
Hal sedemikian ini selama orang tersebut tidak berbuat buruk
(yakni berkata-kata soal keduniaan, mengumpat orang lain,
memukul dan lain-lain) dan juga selama ia tidak berhadas
(yakni tidak batal wudhu'nya).


11@ Dari Abul Abbas, iaitu Abdullah bin Abbas bin Abdul
Muththalib, radhiallahu 'anhuma dari Rasulullah s.a.w. dalam
suatu huraian yang diceriterakan dari Tuhannya Tabaraka wa
Ta'ala (Hadis semacam ini disebut Hadis Qudsi) bersabda,

" Sesungguhnya Allah Ta'ala itu mencatat semua kebaikan dan
keburukan, kemudian menerangkan yang sedemikian itu (yakni
mana-mana yang termasuk hasanah dan mana-mana yang termasuk
sayyi 'ah).

Maka barangsiapa yang berkehendak mengerjakan kebaikan,
kemudian tidak jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah
yang Maha Suci dan Tinggi sebagai suatu kebaikan yang sempurna
di sisiNya, dan barangsiapa berkehendak mengerjakan kebaikan
itu kemudian jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah
sebagai sepuluh kebaikan di sisiNya, sampai menjadi tujuh
ratus kali lipat, bahkan dapat sampai menjadi berganda-ganda
yang amat banyak sekali.

Selanjutnya barangsiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan
kemudian tidak jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah
Ta'ala sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisiNya dan
barangsiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan itu
kemudian jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah Ta'ala
sebagai satu keburukan saja di sisiNya." (Muttafaq 'alaih)

Keterangan: Hadis di atas menunjukkan besarnya kerahmatan
Allah Ta'ala kepada kita semua sebagai ummatnya Nabi Muhammad
s.a.w.

Renungkanlah wahai saudaraku. Semoga kami dan anda diberi
taufik (pertolongan) oleh Allah hingga dapat menginsafi
kebesaran belas-kasihan Allah dan fikirkanlah kata-kata ini.

Ada perkataan 'Indahuu (bagiNya), inilah suatu tanda
kesungguhan Allah dalam memperhatikannya itu. Juga ada
perkataan kaamitah (sempurna), ini adalah untuk mengukuhkan
ertinya dan sangat perhatian padanya.

Dan Allah berfirman di dalam kejahatan yang disengaja
(dimaksud) akan dilakukan, tetapi tidak jadi dilakukan, bagi
Allah ditulis menjadi satu kebaikan yang sempurna dikukuhkan
dengan kata-kata " Sempurna". Dan kalau jadi dilakukan,
ditulis oleh Allah " Satu kejahatan saja" dikukuhkan dengan
kata-kata " Satu saja" untuk menunjukkan kesedikitannya, dan
tidak dikukuhkan dengan kata-kata " Sempurna".

Maka bagi Allah segenap puji dan kurnia. Maha Suci Allah,
tidak dapat kita menghitung pujian atasNya. Dan dengan Allah
jualah adanya pertolongan.


12@ Dari Abu Abdur Rahman, iaitu Abdullah bin Umar bin
al-Khaththab radhiallahu 'anhuma, katanya, Saya mendengar
Rasulullah s.a.w. bersabda,

" Ada tiga orang dari golongan orang-orang sebelummu sama
berangkat berpergian, sehingga terpaksalah untuk menempati
sebuah gua, guna bermalam, kemudian merekapun memasukinya.
Tiba-tiba jatuhlah sebuah batu besar dari gunung lalu menutup
gua itu atas mereka.

Mereka berkata bahawasanya tidak ada yang dapat menyelamatkan
engkau semua dari batu besar ini melainkan jikalau engkau
semua berdoa kepada Allah Ta'ala dengan menyebutkan
perbuatanmu yang baik-baik.

Seorang dari mereka itu berkata, " Ya Allah. Saya mempunyai
dua orang tua yang sudah tua-tua serta lanjut usianya dan saya
tidak pernah memberi minum kepada siapapun sebelum keduanya
itu, baik kepada keluarga ataupun hamba sahaya.

Kemudian pada suatu hari amat jauhlah saya mencari kayu (yang
dimaksud daun-daunan untuk makanan ternak). Saya belum lagi
pulang pada kedua orang tua itu sampai mereka tertidur.

Selanjutnya saya pun terus memerah minuman untuk keduanya itu
dan keduanya saya temui telah tidur. Saya enggan untuk
membangunkan mereka ataupun memberikan minuman kepada
seseorang sebelum keduanya, baik pada keluarga atau hamba
sahaya.

Seterusnya saya tetap dalam keadaan menantikan bangun mereka
itu terus-menerus dan gelas itu tetap pula di tangan saya,
sehingga fajarpun menyingsinglah, Anak-anak kecil sama
menangis kerana kelaparan dan mereka ini ada di dekat kedua
kaki saya.

Selanjutnya setelah keduanya bangun lalu, mereka minum
minumannya. " Ya Allah, jikalau saya mengerjakan yang
sedemikian itu dengan niat benar-benar mengharapkan
keredhaanMu, maka lapanglah kesukaran yang sedang kita hadapi
dari batu besar yang menutup ini." Batu besar itu tiba-tiba
membuka sedikit, tetapi mereka belum lagi dapat keluar dari
gua.

Yang lain berkata, " Ya Allah, sesungguhnya saya mempunyai
seorang anak bapa saudara yang wanita (jadi sepupu wanita,
yang merupakan orang yang tercinta bagiku dari sekalian
manusia) dalam sebuah riwayat disebutkan, Saya mencintainya
sebagai kecintaan orang-orang lelaki yang amat sangat kepada
wanita) kemudian saya menginginkan dirinya, tetapi ia menolak
kehendakku itu,

Sehingga pada suatu tahun ia memperolehi kesukaran. lapun
mendatangi tempatku, lalu saya memberikan seratus dua puluh
dinar padanya dengan syarat ia suka menyendiri antara tubuhnya
dan antara tubuhku (maksudnya suka dikumpuli dalam
seketiduran). Ia berjanji sedemikian itu.

Setelah saya dapat menguasai dirinya (dalam sebuah riwayat
lain disebutkan: Setelah saya dapat duduk di antara kedua
kakinya) sepupuku itu lalu berkata,

" Takutlah engkau pada Allah dan jangan membuka cincin
(maksudnya cincin di sini adalah kemaluan), maka maksudnya
ialah jangan melenyapkan kegadisanku ini (melainkan dengan
haknya) yakni dengan perkahwinan yang sah, lalu saya pun
meninggalkannya,

Sedangkan ia adalah yang amat tercinta bagiku dari seluruh
manusia dan emas yang saya berikan itu saya biarkan
dimilikinya. " Ya Allah, jikalau saya mengerjakan yang
sedemikian dengan niat untuk mengharapkan keredhaanMu, maka
lapangkanlah kesukaran yang sedang kita hadapi ini."

Batu besar itu kemudian membuka lagi, hanya saja mereka masih
juga belum dapat keluar dari dalamnya.

Orang yang ketiga lalu berkata, " Ya Allah, saya mengupah
beberapa kaum buruh dan semuanya telah kuberikan upahnya
masing-masing, kecuali seorang lelaki. Ia meninggalkan upahnya
dan terus pergi. Upahnya itu saya perkembangkan sehingga
bertambah banyaklah hartanya tadi.

Sesudah beberapa waktu, pada suatu hari ia mendatangi saya,
kemudian berkata, " Hai hamba Allah, tunaikanlah sekarang
upahku yang dulu itu." Saya berkata, " Semua yang engkau lihat
ini adalah berasal dari hasil upahmu itu, baik yang berupa
unta, lembu dan kambing dan juga hamba sahaya.

Ia berkata, " Hai hamba Allah, janganlah engkau memperolok-
olokkan aku." Saya menjawab, " Saya tidak memperolok-olokkan
engkau." Kemudian orang itu pun mengambil segala yang
dimilikinya. Semua digiring dan tidak seekorpun yang
ditinggalkan. " Ya Allah, jikalau saya mengerjakan yang
sedemikian ini dengan niat mengharapkan keredhaanMu, maka
lapangkanlah kita dari kesukaran yang sedang kita hadapi ini."

Batu besar itu lalu membuka lagi dan mereka pun keluar dari
gua itu. (Muttafaq 'alaih)

Keterangan: Ada beberapa kandungan yang penting-penting dalam
Hadis di atas, iaitu,

1* Kita disunnahkan berdoa kepada Allah di kala kita sedang
dalam keadaan yang sulit, misalnya mendapatkan malapetaka,
kekurangan rezeki dalam kehidupan, sedang sakit dan lain-lain.

2* Kita disunnahkan bertawassul dengan amal perbuatan kita
sendiri yang shalih, agar kesulitan itu segera lenyap dan
diganti dengan kelapangan oleh Allah Ta'ala. Bertawassul
ertinya membuat perantaraan dengan amal shalih itu, agar
permohonan kita dikabulkan olehNya. Bertawassul dengan cara
seperti ini tidak ada seorang ulamapun yang tidak membolehkan.
Jadi beliau-beliau itu sependapat tentang bolehnya.

Juga tidak diperselisihkan oleh para alim-ulama perihal
bolehnya bertawassul dengan orang shalih yang masih hidup,
sebagaimana yang dilakukan oleh Sayidina Umar r.a. dengan
bertawassul kepada Sayidina Abbas, agar hujan segera
diturunkan.

Yang diperselisihkan ialah jikalau kita bertawassul dengan
orang-orang shalih yang sudah wafat, maksudnya kita memohonkan
sesuatu kepada Allah Ta'ala dengan perantaraan beliau-beliau
yang sudah di dalam kubur agar ikut membantu memohonkan supaya
doa kita dikabulkan.

Jadi bukan orang-orang shalih itu yang dimohoni, tetapi yang
dimohoni tetap Allah Ta'ala jua, tetapi beliau-beliau dimohon
untuk ikut membantu mendoakan saja. Kalau yang dimohoni itu
orang-orang yang sudah mati, sekalipun bagaimana juga
shalihnya, semua alim-ulama Islam sependapat bahawa perbuatan
sedemikian itu haram hukumnya.

Sebab hal itu termasuk syirik atau menyekutukan sesuatu
dengan Allah Ta'ala yang Maha Kuasa Mengabulkan segala
permohonan.

Namun demikian hal-hal seperti di atas hanya merupakan soal-
soal furu'iyah (bukan akidah pokok), maka jangan hendaknya
menyebabkan retaknya persatuan kita kaum Muslimin.

Nota kaki:
[1#] Orang-orang di zaman Jahiliyah dulu jika menginginkan
atau mengharapkan keredhaan Tuhan, mereka sembelihlah unta
sebagai kurban, lalu darah unta itu disapukan pada dinding
Baitullah atau Ka'bah.

Kaum Muslimin hendak meniru perbuatan mereka itu, lalu
turunlah ayat sebagaimana di atas.

[2#] Semua huraian yang tertera antara -.... - adalah tambahan
terjemahan dari kami sendiri untuk memudahkan pengertiannya
dan mudah memahamkannya. Harap Maklum.

[3#] Saidina Umar bin Khaththab r.a. itu adalah seorang
khalifah dari golongan Rasyidin yang pertama kali menggunakan
sebutan Amirul mu'minin, (pemimpin sekalian kaum mu'minin).

Beliau adalah khalifah kedua sepeninggalan Rasulullah s.a.w.
Panggilan Amirul mu'minin itu lalu dicontoh dan diteruskan
oleh khalifah Usman dan Ali radhiallahu 'anhuma, juga oleh
para khalifah Bani Umayyah, Bani Abbas dan selanjutnya.

Jadi di zaman khalifah Abu Bakar sebutan di atas belum
digunakan. Adapun Abu Hafs itu adalah gelar kehormatan bagi
Sayidina Umar r.a. Abu ertinya bapa, sedang hafs ertinya
singa.

Beliau r.a. memperolehi gelar Bapa Singa, sebab memang
terkenal berani dalam segala hal, seperti dalam menghadapi
musuh di medan perang, dalam menegakkan keadilan di antara
seluruh rakyatnya dan tanpa pandang bulu dalam meneterapkan
hukuman kepada siapapun.

Ringkasnya yang salah pasti ditindak dengan keras, sedang
yang teraniaya dibela dan dilindungi.

[4#] Sabda Rasulullah s.a.w., " Tidak ada hijrah setelah
pembebasan (Makkah)," oleh para alim-ulama dikatakan bahawa
mengenai hijrah dari daerah harb atau perang yang dikuasai
oleh orang kafir ke Darul Islam, yakni daerah yang dikuasai
oleh orang-orang Islam adalah tetap ada sampai hari kiamat.

Oleh sebab itu Hadis di atas diberikan penakwilannya menjadi
dua macam:

Pertama: Tiada hijrah setelah dibebaskannya Makkah, sebab
sejak saat itu Makkah telah menjadi sebahagian dari Darul
Islam atau Negara Islam, jadi tidak mungkin lagi akan
terbayang tentang adanya hijrah setelah itu.

Kedua: Inilah yang merupakan pendapat tershahih, iaitu yang
diertikan bahawa hijrah yang dianggap mulia yang dituntut,
yang pengikutnya itu memperoleh keistimewaan yang nyata itu
sudah terputus sejak dibebaskannya Makkah dan sudah lampau
pula untuk mereka yang ikut berhijrah sebelum dibebaskannya
Makkah itu, sebab dengan dibebaskan Makkah itu, Islam boleh
dikata telah menjadi kukuh kuat dan perkasa, yakni suatu
kekuatan dan keperkasaan yang nyata. Jadi lain sekali dengan
sebelum dibebaskannya Makkah tersebut.

Adapun sabda beliau s.a.w. yang menyebutkan, " Tetapi yang
ada adalah jihad dan niat," maksudnya ialah bahawa
diperolehinya kebaikan dengan sebab hijrah itu telah terputus
dengan dibebaskannya Makkah itu, tetapi sekalipun demikian
masih pula dapat dicapai kebaikan tadi dengan berjihad dan
niat yang shalih.

Dalam Hadis di atas jelas diuraikan adanya perintah untuk
suka berniat dalam melakukan kebaikan secara mutlak dan
bahawa yang berniat itu sudah dapat memperolehi pahala dengan
hanya keniatannya itu belaka.

[5#] Syi'ib (lereng) yang dimaksudkan di sini ialah jalan
di daerah pergunungan, sedang Wadi (lembah) ialah tempat yang
di situ ada airnya mengalir.

Cinta Remaja, Zaman Serba Baru...^^..

Cinta Remaja, Zaman Serba Baru...^^..

Kami hanya berbual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum
di kafe. Adakah itu menghampiri zina ? Ya, perbuatan itu boleh
menjerumuskan pelakunya ke lembah penzinaan. Kami dapat
mengawal perasaan dan kami tidak berniat kearah itu.

Hari ini ya. Esok mungkin kamu kecundang. Iblis akan
memerangkap kamu. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya
sangat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama, Adam
dan Hawa. Iblis amat licik.

Rasulullah telah berpesan bahawa seseorang itu tidak akan
bersendirian dengan seorang wanita kecuali dengan kehadiran
pihak yang ketiga iaitu syaitan, (Tabrani). Kita lemah
menghadapi tipu daya iblis.

Kami berdua sama-sama belajar, study group, saling memberi
semangat dan motivasi. Tak adakah kaum sejenis yang boleh
dijadikan rakan belajar ? Habis sudahkah kaum sejenis yang
boleh memberikan motivasi ? Jangan hina kaum sejenis kita.

Ingat, banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum
sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat
dan rahmat pula.

Kalau begitu cinta remaja semua menghampiri zina ??? Ya, kalau
lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik,
kemudian perasaan dilayan, kemudian teringat, rindu, kemudian
diatur pertemuan, kemudian duduk berdua-duaan, kemudian
mencari tempat sunyi sedikit.

Kemudian berbual panjang sampai gelap malam. Hubungan semakin
akrab dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi
macam kawan, sekarang macam pengantin baru, bukankah mereka
semakin hampir dengan zina ??

Berapa ramai mereka yang bercinta telah sampai kepada daerah
penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibubapa yang
melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripada
seekor nyamuk sekalipun !

Masih adakah orang yang tidak bercinta di zaman ini ?? Ya,
masih ada orang suci dalam debu. Golongan ini akan sentiasa
ada walaupun jumlah mereka sedikit. Mereka akan bertemu suatu
hari nanti. Mereka ada pasangannya.

" (Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk
lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk
perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-
perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-
lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka
(yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang
dikatakan oleh orang-orang (yang jahat), mereka (yang baik)
itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang
mulia." (Surah An Nur: 26)

Firman ALLAH: " Dan orang-orang lelaki yang memelihara
kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara
kehormatannya (yang memelihara dirinya dari melakukan zina)...
Allah telah menyediakan bagi mereka segala keampunan dan
pahala yang besar. (Surah Al-Ahzab: 35)

" Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin
melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan
musyrik, dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak
ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina
atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu haram
terlarang kepada orang-orang yang beriman. (Surah An Nur: 2)

Adakah orang yang bercinta hilang maruah ?? Ya, orang yang
bercinta seolah-olah cuba menggadaikan maruahnya kerana mereka
menghampiri zina. Manakala orang yang pernah berzina tidak
layak berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina.

Jadi orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai berkahwin
dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu satu
penghinaan dari Tuhan.

Jadi, perempuan yang bercinta, jatuh maruahnya pada pandangan
lelaki ?(Tidak mengikut syariat) Tentu, Mana ade orang lelaki
yang normal suka pada barang yang second hand sedangkan barang
yang baru masih ada.

Sesetengah mereka menggambarkan perempuan seperti kereta yang
di letakkan di bilik pameran sahaja. Tapi ada yang boleh test
drive.

Ada pula yang kata; " Sekadar sepinggan mee goreng dan segelas
sirap bandung, bawalah ke hulu, ke hilir. Sedihkan. Itulah
hakikatnye." Tanya sikit, adik angkat, kakak angkat, abang
angkat boleh ke ??

Ganti bercinta, semua itu adalah perangkap iblis dan syaitan.

Hakikatnye adalah sama. Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya
nampak berlainan tapi isinya sama je. Semua ini adalah tipu
daya syaitan. Manusia yang terlibat dengan budaya angkat ini
sebenarnya telah masuk dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu
masa dikorbankan.

Bagaimana kami ??? Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan
taubat nasuha. Berdoalah serta mohon keampunan daripadaNya.
Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redhaNya.
Tunjukkanlah kami bagaimana taubat nasuha.

1@ Tinggalkan perbuatan maksiat, putuskan hubungan cinta yang
tidak diredhai Allah ini.

2@ Menyesal, menginsafi diri di atas tindak tanduk hidup yang
telah menjerumus diri ke dalam lembah percintaan.

3@ Berazam, bertekad dalam hati tidak akan mencintai sesiapa
kecuali dengan insan bernama isteri atau suami. Saatnya ialah
selepas diijabkabul.

Ingatlah semakin bebas pergaulan sebelum berkahwin, semakin
hambar dan kurang rasa cinta, setelah menjadi suami isteri.

Istikharah, Boleh Citer Sikit ? Plus + MaknaNya Sekali...^^..

Istikharah, Boleh Citer Sikit ? Plus + MaknaNya Sekali...^^..

Wahhh!!! Tajuk Istikharah sangat popular di kalangan anak muda
yang mahu memeluk cinta. Apabila tiba saat hati rasa diusik-
usik, maka pilihan mahu segera di buat. Lantas Istikharah
menjadi jawapannya.

Sebenarnya, istikharah ini bukanlah tertentu dalam bab memilih
jodoh semata-mata. Di dalam hadith Nabi s.a.w yang
diriwayatkan oleh Imam Bukhari , ia disebut secara umum, iaitu
mana-mana orang yang diberatkan akan beberapa pilihan, maka
hendaklah dia solat dua rakaat iaitu solat sunat Istikharah,
dan kemudian membaca doa.

Meskipun pelbagai artikel dan tulisan tentang solat Istikharah
serta persoalan-persoalan berkaitannya bertebaran di sana
sini, namun soal jawab tentangnya tetap berterusan. Kali ini
cuba kita lihat secara ringkas perihal solat sunat Istikharah
itu sendiri.

*** Pertama: Kenapa Perlu ?

Jawabnya, kerana sebagai manusia, kita tidak lepas daripada
berdoa. Meminta kepada Allah yang Maha Tahu adalah jalan
terbaik bagi kita selaku manusia yang tidak tahu. Pengetahuan
kita sangat terbatas, sedangkan pengetahuan Allah Maha Luas.

Dia Tahu tentang apa yang sebelum kita, serta apa yang bakal
berlaku selepas kita. Termasuklah dalam hal ehwal jodoh serta
pasangan kita nanti. Justeru, kita yang tidak tahu ini
perlulah meminta pertolongan Allah untuk menunjukkan kepada
kita mana yang terbaik, supaya dengan keputusan yang kita buat
itu kita tidak akan menyesal di kemudian hari.

*** Kedua: Kaitan dengan HATI

Kita kena faham, bahawa Istikharah itu sangat berkait rapat
dengan hati. Kalau hati kotor, mana mungkin akan mendapat
petunjuk yang baik. Kalau hati bersih, InsyaAllah ilhamnya
nanti juga baik.

Ada orang, bersungguh-sungguh solat Istikharah, tetapi maksiat
tetap tak tinggal, solat wajib tunggang langgang, maka
bagaimana hendak mengharap kepada petunjuk yang baik.

Justeru, satu proses yang paling penting dalam bab Istikharah
ini adalah membersihkan hati terlebih dahulu. Jika anda sudah
benar-benar melaksanakan proses ini, maka barulah anda boleh
mengharap datangnya petunjuk yang benar kepada hati anda. Jika
tidak, berkemungkinan petunjuk itu hanyalah bayangan daripada
Syaitan.

*** Ketiga: Perkara yang boleh Istikharah

Perkara yang boleh kita Istikharah hanyalah dalam perkara yang
harus di sisi Syarak sahaja. Tidak ada istilah Istikharah
untuk hal yang telah jelas akan wajib atau haramnya.

Umpamanya, nak bayar zakat atau tidak, tidak perlu Istikharah
kerana telah jelas wajibnya. Begitu juga dengan bercouple,
tidak payah Istikharah kerana telah jelas haramnya. Tetapi
dalam hal yang harus, umpamanya untuk memilih antara dua
pekerjaan yang sama-sama halal, maka Istikharahlah memohon
petunjuk dari Allah.

*** Keempat: Istikharah 50-50

Benda yang telah kita yakin sebenarnya tidak lagi berhajat
kepada Istikharah. Ada orang, berdepan dengan dua pilihan
iaitu Nora dan Siti. Tetapi dalam hatinya, dia memang telah
sukakan Siti dan dia tidak sukakan Nora. Dalam keadaan ini,
kalau dia Istikharah sekalipun, dalam keadaan hatinya sudah
meletakkan jawapan, Istikharah itu tiada maknanya.

Istikharah hanya dalam perkara yang kita benar-benar buntu
untuk memilih, antara A dan B keduanya sama berat. Dalam masa
yang sama, kita tidak kisah pun kalau mendapat A ataupun B
kerana keduanya tidak memberi mudharat kepada hidup kita.
Jadi, Istikharah dalam hal itu adalah digalakkan.

*** Kelima: Satu pilihan, Dua pilihan atau Tiga pilihan

Sebenarnya, tidak kisahlah berapa pilihan sekalipun yang ada
di hadapan kita, apa yang kita ingin minta adalah pilihan yang
terbaik daripada kesemua yang ada. Kata kuncinya di sini
adalah PILIHAN.

Jika wujud elemen pilihan, wujudlah Isikharah. Jika tidak,
bagaimana untuk wujud Istikharah ? Mungkin kita perlu memilih
antara A, B atau C. Mungkin juga kita perlu memilih antara
menerima A atau menolak.

Mungkin juga perlu memilih antara membuka ruang untuk lamaran
A atau menutup pintu hati untuk kesemua urusan tersebut. Yang
penting, kita benar-benar berada dalam persimpangan untuk
membuat pilihan antara semua yang ada.

*** Keenam: Istisyarah atau Mesyuarat

Manusia di anugerahkan akal untuk membuat pertimbangan.
Justeru ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk berfikir,
menganalisa dan mencari jalan. Islam menganjurkan bermesyuarat
atau meminta pendapat orang berpengalaman, sebagai kembar
kepada proses Istikharah itu sendiri.

Maknanya, kita tidak boleh seratus peratus bergantung kepada
proses Istikharah semata-mata, hinggakan ada yang menunggu-
nunggu mimpi dan sebagainya.

Sebaliknya, dengan bermesyuarat pun kita akan mendapat
kekuatan untuk membuat keputusan. Timbanglah dengan akal yang
matang akan kesemua pilihan yang ada di depan mata, dan
belajarlah untuk menjadi berani membuat keputusan. Itukan
sunnatullah dalam kehidupan.

*** Ketujuh: Mimpi

Dalam banyak keadaan, ini boleh dikatakan mitos. Dari mulut ke
mulut, petunjuk tentang mimpi adalah benda wajib yang akan
dikembarkan dengan saranan Istikharah. Sedangkan kita tahu,
mimpi juga boleh berlaku ke atas seseorang yang sedang angau.

Maka jika si angau ini bermimpi, adakah boleh dengan senangnya
dia menganggap mimpi itu petunjuk Istikharah ? Tentunya tidak
semudah itu. Bagaimana pula jika Istikharah dan bermimpi calon
A lalu mahu membuat keputusan, tiba-tiba esoknya termimpi pula
calon B ?

Atau, bagaimana jika dalam satu masa yang sama bermimpi calon
A dan B serentak ? Maka sebaiknya, jangan gantungkan
Istikharah anda itu dengan sebarang mimpi !

Begitu juga, Istikharah tidak memerlukan sehingga anda dan
calon anda bermimpi perkara yang serupa, barulah dianggap
Istikharah anda itu berjaya. Tidak sama sekali.

*** Kelapan: Petunjuk yang bagaimana ?

Ketika fikiran dan hati kita terbeban mahu memilih antara A
dan B (atau lain-lain) maka hendaklah kita melazimi solat
Istikharah. Dalam masa yang sama kita jangan tinggalkan
Istisyarah.

Antara petanda yang mungkin hadir adalah, ketika kita bangun
daripada tidur dan teringatkan tentang perkara yang membebani
kita itu (membuat pilihan) maka salah satu pilihan tersebut
menjadi tenang di hati kita berbanding pilihan yang lagi satu.

Ini salah satu petunjuk bahawa pilihan itu adalah yang terbaik
untuk kita ikut. Mudahnya, petunjuk itu datang ke dalam hati
kita sendiri. Kita sendiri akan merasai perkara tersebut jika
kita benar-benar konsisten dengan Istikharah dan Istisyarah.
Ia seterusnya akan mencetus keyakinan kepada kita dalam
membuat langkah seterusnya tanpa ada lagi perasaan ragu-ragu.

Firman Allah ta’ala: " Dan apabila kamu telah berazam untuk
melakukan sesuatu, maka bertawakkallah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang bertawakkal"

*** Kesembilan: Was-was itu daripada Syaitan

Dalam Fiqh, kalau kita yakin kita masih ada wudhuk dan mahu
solat, tetapi tiba-tiba ada semacam bisikan bahawa wudhuk kita
sudah batal, maka bisikan tersebut tidak dikira membatalkan
keyakinan kita.

Kaedah menyebut: " Yakin tidak akan gugur kerana Syak." Begitu
juga dalam bab Istikharah. Jika sudah yakin dengan pilihan
yang kita buat, berdasarkan doa Istikharah kita kepada Allah
serta pertimbangan-pertimbangan yang kita buat dengan
Istisyarah.

Maka jangan dilayan lagi bisikan-bisikan umpamanya mungkin
akan menyesal, atau nanti begitu atau begini, kerana kesemua
itu sebenarnya adalah helah daripada Syaitan.

Seorang ulama’ menyebut, " Tidak akan menyesal orang yang
melakukan solat Istikharah."

@@@ Kesimpulan

Optimislah dengan keputusan sendiri. Belajarlah membuat
keputusan dengan yakin. Jangan harapkan anasir lain membuat
keputusan untuk anda. Istikharah tidak harus sama sekali
di letakkan di tahap itu, kerana ia adalah hubungan antara
hamba dengan Tuhannya.

Tetapi meletakkan anasir lain untuk membuat keputusan,
umpamanya mengharapkan mimpi tertentu, melihat kepada objek-
objek tertentu ataupun nombor-nombor tertentu, ke semua ini
akan menjadikan anda seorang manusia yang tiada fungsi. Ia
jauh sekali daripada ajaran Islam, apatah lagi hendak
dikaitkan dengan solat sunat Istikharah.